Pendidikan Islam dalam Membentuk Asas Jati Diri sebagai Modal Insan yang Cemerlang
KEBERKESANAN PENDIDIKAN ISLAM DALAM KURIKULUM BERSEPADU SEKOLAH MENENGAH
Sistem Pendidikan Islam merujuk kepada tiga bentuk pendidikan Islam yang terdapat dalam sistem pendidikan negara kita. Bentuk yang pertama ialah kurikulum pendidikan Islam seperti yang diajarkan di sekolah-sekolah kerajaan. Bentuk yang kedua ialah Pendidikan Islam di sekolah-sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA). Bentuk yang ketiga ialah penyelarasan peperiksaan sekolah-sekolah agama melalui peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Hampir kesemua sekolah beroperasi dengan menggunakan atau menyesuaikan salah satu daripada bentuk yang dinyatakan tadi atau kesemua sekali (Suzalie 2003).
Dalam senario pendidikan Islam kini di Malaysia, persoalan keberkesanan boleh dilihat sekurang-kurangnya dari tiga segi. Pertama, penawaran dan pelaksanaan. Kedua, melalui pencapaian dalam peperiksaan. Ketiga, dari segi penghayatan dan amalan. Dari segi pertama dan kedua mudah dilihat dan dibuat penilaian. Manakala dari segi penghayatan dan amalan penilaian keberkesanan pendidikan ini agak sukar ditentukan dan mudah dipengaruhi nilai, pengalaman dan kecenderungan peribadi. Lebih-lebih lagi matlamat Pendidikan Islam adalah luas mencakupi seluruh aspek kehidupan di dunia dan di akhirat (Sufean Hussin 2008). Selain itu, keberkesanan Pendidikan Islam sering dikaitkan dengan isu gejala sosial, kelemahan jati diri dan toleransi. Di sudut yang lain, ia dikaitkan dengan fahaman ekstrem, fanatik, ajaran sesat, khurafat dan lain-lain lagi. Namun, gejala ini tidaklah meluas. Persoalan ini juga telah menjadi antara tumpuan pengajaran dan pembelajaran dalam kurikulum semakan Pendidikan Islam mulai tahun 2003. Oleh yang demikian, jika diukur kepada majoriti murid yang mempelajari Pendidikan Islam, ia telah berjaya memberikan kesan yang positif ke arah membentuk Muslim yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia sebagai khalifah Allah di bumi ini (Azhar 2010).
Dari segi peperiksaan, pencapaian murid-murid dalam Pendidikan Islam adalah baik berbanding dengan pencapaian dalam keseluruhan mata pelajaran. Jika diteliti keputusan peperiksaan awam setiap tahun, kita akan mendapati lebih kurang 90% murid lulus dalam Pendidikan Islam pada tahun 2001 (Suzalie 2003). Penawaran program pendidikan telah menjadi satu daripada ukuran utama kejayaan dan keberkesanan sistem pendidikan. Contohnya, UNESCO telah menghasilkan indikator tertentu bagi mengukur pencapaian pendidikan dalam kalangan pelbagai negara Islam di dunia ini. Justeru, selain daripada sumber di atas terdapat beberapa sumber lain yang boleh membantu dalam pengajaran yang berkesan dalam Pendidikan Islam seperti berikut.
Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran
Kefahaman yang jelas terhadap Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Islam mampu memberi dorongan dalaman yang lebih berkesan kepada guru Pendidikan Islam dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P). Dengan kefahaman itu, mereka akan lebih memahami tentang matlamat pengajaran dan pembelajaran yang mereka laksanakan serta lebih serius menjadi pendokong kepada ketinggian pendidikan keseluruhan di Malaysia. Selain itu, pendekatan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam amat penting di sekolah menengah. Oleh kerana prinsip Islam itu yang universal dan dinamik menjadikan Islam sebagai satu agama yang tetap sesuai tanpa mengira waktu. Ini kerana terdapat sumber utama dalam melaksanakan Pendidikan Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah yang kekal sepanjang zaman. Kebanyakan sekolah menengah
sekarang telah menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Ini dapat membantu pelajar lebih memahami sesuatu mata pelajaran tersebut sebagai contoh Pendidikan Islam (Abd. Halim & Nik Mohd Rahimi 2010).
Abdullah (1995) pula menyatakan bahawa pembentukan kurikulum yang bersepadu, sama ada kurikulum umum mahu pun Pendidikan Islam tidak akan lengkap tanpa sempurna sekiranya kaedah P&P tidak dititikberatkan. Menurut prespektif Islam, penguasaan ilmu dan pembentukan peribadi yang sempurna bukan sahaja berpunca daripada guru, malah berpunca daripada kurikulum yang lengkap serta disokong oleh kaedah P&P yang sempurna. Kepentingan untuk memilih strategi atau kaedah pengajaran dan pembelajaran menjadi satu faktor penting kepada para pelajar selain daripada bakat dan ketokohan seseorang guru dalam sesuatu disiplin termasuk Pendidikan Islam. Ini menunjukkan pendekatan pengajaran dan pembelajaran dapat menarik minat pelajar kepada sesuatu mata pelajaran sehingga mampu mendorong mereka mencapai pencapaian terbaik (Kamarul Azmi 2007).
Manhaj atau kurikulum yang telah digariskan oleh al-Quran dan as-Sunnah telah berjaya merubah peri laku orang beriman melalui pengajaran dan pembelajaran akidah dan nilai Islam melalui beberapa pendekatan utama yang signifikasi iaitu motivasi, pergulungan, menarik perhatian, belajar beransur-ansur secara berperingkat dan menegur serta memberi nasihat. Dalam konteks pelaksanaan strategi dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran seperti yang telah digariskan dalam al-Quran, Rasulullah S.A.W telah memainkan peranan penting sebagai model dalam proses pembentukan generasi para sahabat sehingga mereka mampu mengatur sendiri proses pembelajaran mereka dan seterusnya membentuk peri laku, jiwa dan keperibadian yang mulia (Azhar 2010).
Menurut Ibn Khaldun (1993), al-Quran dan as-Sunnah menggunakan pelbagai pendekatan dalam memberikan motivasi pendidikan rohani kepada orang-orang beriman seperti membangkitkan semangat, memberi harapan, janji ganjaran (targhib) dan ancaman seksaan (tarhib), bercerita serta mengambil manfaat dan pengajaran daripada peristiwa yang berlaku. Rasulullah S.A.W juga menggunakan kaedah sentuhan dan memuji-muji para sahabat dalam memberi galakan. Al-Quran dan as-Sunnah juga banyak membawa orang-orang beriman menguasai sesuatu pembelajaran melalui pendekatan secara amali dan aktif (Najati Muhammad 1987). Penyertaan aktif adalah penting dalam mempelajari keterampilan serta membolehkan pelajar menguasai sesuatu konsep, tingkah laku, keutamaan nilai dan etika sosial dengan lebih baik dan mendalam.
Selain itu, ia turut menekankan pendekatan belajar secara beransur-ansur dalam tempoh yang berbeza dan diselangi dengan tempoh tenang yang akan membantu menguasai dan mengukuhkan kefahaman apa yang telah dipelajari. Al-Quran sendiri turun beransur-ansur. Dalam pelaksanaan pengajaran, Rasulullah S.A.W menyampaikan pengajaran dengan perlahan-lahan menggunakan masa yang singkat dan memilih waktu yang sesuai (M. Abdel Haleem 2002). Selain penggunaan pendekatan pembelajaran dan pembelajaran yang berkesan seperti yang diberikan panduan dalam al-Quran, kejayaan pendidikan Rasulullah S.A.W secara umumnya banyak bergantung kepada pendekatan psikologi terhadap para sahabat seperti sifat-sifat peribadi yang amat menyenangkan iaitu memberi senyuman, sifat lemah lembut, peramah, menghormati tetamu serta bijak dalam mengawal majlis dan penggunaan alat bantu visual dan bukan visual bagi menghuraikan beberapa konsep yang rumit (Kamarul Azmi Jasmi 2007).
Pendekatan Individu
Maksud pendekatan individu dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah penggunaan pendekatan yang menumpu kepada pembelajaran pelajar berasaskan kepada keupayaan diri pelajar sendiri. Kamal Hassan (1986) mentafsirkan pendekatan individu sebagai satu proses pembelajaran untuk setiap bidang kurikulum yang disusun untuk membolehkan setiap pelajar mendalami pelbagai bidang mata pelajaran. Pendekatan individu dalam pengajaran Pendidikan Islam turut mengambil kira peranan pengajaran itu sendiri. Sebagai pendidik yang baik, ia mampu memberi bimbingan kepada para pelajar untuk membantu mereka dalam proses pembelajaran. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa pengajaran merupakan proses guru membimbing pelajar ke arah satu matlamat iaitu untuk menghasilkan perubahan jati diri pelajar itu dengan lebih baik. Hasil daripada proses pengajaran, para pelajar dapat memperbanyakkan ilmu pengetahuan serta melahirkan pelajar yang cemerlang dan berdisiplin dalam menuntut ilmu (Tengku Sarina Aini & Yusmini Md Yusoff 2006).
Sementara itu, pendidikan dalam Islam turut mengiktiraf kemampuan pemikiran seseorang individu. Pendekatan individu dalam kaedah pengajaran bertujuan untuk mempengaruhi segala aspek diri individu ke arah pembentukan kognitif dan efektif pelajar untuk membentuk perubahan jati diri yang lebih positif dan merangsang perkembangan diri pelajar secara optimum (Mohd Daud Hamzah 1993). Dalam konteks pendidikan hari ini, pendekatan pengajaran merujuk kepada kaedah atau cara pengajaran diaplikasikan oleh guru kepada para pelajar. Pendekatan pengajaran ini ditentukan dengan kaedah atau cara sesuatu kandungan pelajaran itu diajar. Selain itu, faktor kemampuan pelajar dari kelas yang berbeza membolehkan guru menggunakan pendekatan yang berbeza. Pendekatan untuk mengajar kelas yang elit adalah mustahil digunakan serta dipraktikkan untuk kelas tercorot walaupun berada di sekolah dan persekitaran yang sama. Justeru, penting bagi seseorang guru untuk mengetahui tentang kemampuan kognitif para pelajar yang terlibat di dalam pengajaran. Ini adalah kerana kemampuan daya fikiran mereka berbeza. Jika hal ini tidak diambil berat oleh guru, maka mustahil akan wujud suatu proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Malah sebaliknya akan melahirkan pelajar yang gagal untuk bertindak dengan kreatif dan kritis dalam kehidupan (Azhar 2010).
Dalam mata pelajaran Pendidikan Islam umpamanya, bukanlah setakat belajar dalam bilik darjah, tetapi hendaklah diteruskan dengan kaedah amali secara istiqamah seperti pelajaran Ibadat seperti solat. Guru bukan sahaja setakat menerangkan secara syarahan di dalam kelas tentang rukun-rukun solat, malah diteruskan secara amali. Jika terdapat pelajar yang tidak tahu mengerjakan solat, maka pengajaran secara individu perlu dilakukan supaya pelajar dapat memahami apa yang diajar. Begitu juga dengan kaedah resistensi (rintangan) yang boleh digunakan untuk menilai sejauh mana para pelajar mengetahui dan memahami tentang sesuatu mata pelajaran yang diajar. Kaedah ini akan melibatkan ingatan semula tentang maklumat yang baru diperolehi. Justeru, kaedah ini boleh digunakan untuk tujuan pengajaran pendekatan secara individu terutamanya dalam bahagian hafalan (Tengku Sarina Aimi & Yusmini 2006). Bertitik tolak daripada sinilah, maka pendekatan individu merupakan satu pendekatan yang sesuai untuk diaplikasikan kepada semua pelajar yang menekankan pentingnya mendekati dan menyampaikan sesuatu kepada mereka secara individu dan bukannya satu teori pengajaran semata-mata.