• Tidak ada hasil yang ditemukan

AKHLAK DAN REMAJA

2.4 KONSEP REMAJA

2.4.6 Minda / Intelek

Minda atau intelek didefinisikan sebagai kuasa untuk berfikir; akal budi126 dan akal fikiran , daya berfikir.127 Ia telah didefinisikan oleh ahli psikologi, akademik dan sosiologi sebagai mempunyai tiga elemen utama iaitu pemikiran abstrak, kapasiti untuk menimba ilmu dan keupayaan untuk menyelesaikan masalah.128 Perkembangan minda manusia terutama kanak-kanak sepertimana yang diperolehi dari teori perkembangan kognitif Piaget melibatkan empat peringkat iaitu tahap sensori motor (0-2 tahun), tahap praoperasi (2-7 tahun), tahap operasi konkrit (7-11 tahun) dan tahap operasi formal (11 tahun ke atas ).129

Di tahap tiga dan empat dikatakan kanak-kanak sudah mula mempunyai cara berfikir yang lebih abstrak dan kritikal, di mana ia dikenali sebagai era remaja. Pada ketika ini mereka sudah boleh membuat penaakulan dan andaian tentang sesuatu hal dengan lebih baik dari sebelumnya. Ini menunjukkan mereka tidak lagi menerima sesuatu perkara itu dengan begitu sahaja.130 Perubahan-perubahan fisiologi yang berlaku dalam otak telah menyebabkan berlakunya perkembangan dalam cara remaja berfikir. Perubahan dan perkembangan yang berlaku dalam sel-sel saraf di dalam otak telah meningkatkan keupayaan tertentu setiap hemisfera otak, meningkatkan hubungan-hubungan antara sel-sel saraf ini dan meningkatkan keupayaan dan penambah-baikan di dalam memproses informasi-informasi. Proses-proses ini dimangkinkan oleh proses pembelajaran seseorang itu.131

Konsep ini menjelaskan bahawa usia remaja disedari apabila seseorang itu didapati mulai mampu berfikir dan berinteraksi secara matang walaupun belum sampai

126 Amdan Husain (2000), op. cit., h. 266

127 Sheikh Othman bin Sheikh Salim (1989), op.cit., h. 828

128 Rhoda Cummings (1995), op.cit., h. 95

129 Jas Laile Suzana Jaafar (1996), op.cit., h. 84

130 Ibrahim Mamat (1997) op.cit., h. 13

45

ke tahap golongan dewasa namun fikiran mereka ini sudah melangkaui pula pemikiran sebelum itu (zaman kanak-kanak).

Satu ujian telah dijalankan oleh Thurstone, Thorndike, Terman dan Jones terhadap perkembangan minda/intelek manusia dan ia menunjukkan bahawa prestasi minda manusia akan memuncak ketika dalam usia 16 tahun ke 19 tahun. Ini jelas ditunjukkan dalam Rajah 2.4. 132

Rajah 2.4: Pertumbuhan keupayaan mental bagi remaja mengikut usia.

Sumber: Raymond G. Kuhlen (1952), The Psycology of Adolescent Development. New York: Harper & Row Pub.

Kesimpulan dari konsep minda ini mendapati bahawa ketika umur mencapai 16 tahun seseorang itu mempunyai satu pertumbuhan keupayaan mental yang agak menonjol dari sebelum itu. Para pengkaji menganggap pada usia inilah peringkat umur remaja bermula sehinggalah ke usia 25 tahun. Namun begitu, ia sebenarnya

46

beza di antara setiap individu mengikut etnik, kedudukan geografi, ekonomi dan kebudayaan masing-masing.133

2.5 ILMU PERSONALITI REMAJA ISLAM

Personaliti adalah satu istilah yang dipinjamkan dari bahasa Inggeris iaitu „personality‟, bermaksud „characteristics and qualities of a person seen as a whole‟134 dan „the

particular qualities or characteristics of an individual‟135. Namun, ia sebenarnya

berasal dari perkataan Latin iaitu „pesona‟ yang bermaksud topeng muka. „Pesona‟ ini difahami sebagai „bahawa kebanyakan manusia ingin menonjolkan perilaku yang baik

sahaja dan menyembunyikan yang buruk‟.136

Kamus Dewan pula mendefinisikannya sebagai sahsiah, keperibadian atau sifat-sifat (kelakuan, sikap dan lain-lain) seseorang yang sudah sebati dengan dirinya sendiri (yang terasing daripada umum).137 Secara umum ia adalah ciri-ciri keseluruhan tingkah laku manusia sama ada yang dapat dilihat ataupun tidak.

Personaliti seseorang itu sebenarnya bersifat fleksibel iaitu ia boleh dibentuk dan diolahkan sama ada ke arah kebaikan ataupun kejahatan. Proses pembentukan dan olahan personaliti ini mengalami beberapa peringkat dan bersandarkan kepada beberapa faktor pembentukan iaitu secara ilmiah ini dikenali sebagai teori pembentukan personaliti.138 Islam membincangkan perihal pembentukan personaliti manusia termasuk para remaja secara jelas dan terbuka di dalam al-Quran dan al-Hadis. Secara umum, ilmu personaliti remaja Islam bermaksud ilmu yang membincangkan bagaimana seorang remaja Islam itu dibentuk tingkah lakunya oleh faktor-faktor tertentu terutama

133 Zainal Madon & Mohd. Sharani Ahmad (2004), Panduan Mengurus Remaja Moden. Batu Caves: PTS Publishion & Distribution Sdn.Bhd., h. 7

134 Hornby A.S. (2000), Oxfort Compact Advanced Learner‟s English-Malay Dictionary. Kuala Lumpur: Oxford Fajar Sdn.Bhd.., h. 1068

135 Anne Wevell (1998), op. cit., h. 644

136 Zainal Madon & Mohd. Sharani Ahmad (2004), op. cit., ,h.13

137 Sheikh Othman bin Sheikh Salim (1989), op. cit., h. 872

47

dalam aspek interaksi dengan faktor-faktor tersebut mengikut peraturan Islam dan hukum-hukum syarak sehingga mewujudkan seorang remaja yang tahu tanggungjawab sebenar di muka bumi ini.

Ilmu ini dilihat amat relevan untuk didedahkan kepada masyarakat masakini demi untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap agama Islam serta melayakkan umat Islam menjadi khalifah Allah SWT di atas bumi ini. Keberkesanan ilmu ini dalam membentuk personaliti manusia terutama para remaja menerusi kestabilan perasaan dan emosi dan kemantapan pemikiran atau akal sehingga menghasilkan tingkah laku yang mulia tidak boleh disangkal kerana ia telah dibuktikan melalui perwatakan yang ditonjolkan oleh Rasulullah SAW serta para sahabat Baginda. Ilmu ini telah dibincangkan sejak 1431 tahun lalu oleh Nabi SAW. Ia kemudiannya diperkembangkan oleh para sahabat Baginda dan para ulama silam seperti Ibn Rush, Ibn Sina dan Al-Ghazali. Kini, ia diperhebatkan lagi oleh cendiakawan-cendiakawan Islam seperti Yusuf Qaradawi, Aidh Abdullah dan Muhammad al-Sayyid Yusuf. Ia adalah satu bidang yang memberi tumpuan kepada tiga perkara utama, iaitu diri remaja Islam secara keseluruhan, faktor mempengaruhi dan bagaimana remaja ini mengolah segala faktor itu menurut metode Islam.139

Al-Ghazali secara umumnya berpendapat ilmu personaliti remaja Islam adalah satu ilmu yang membicarakan tentang hakikat kejiwaan seseorang remaja Islam. Menurutnya, ilmu ini turut membincangkan bagaimana satu entiti spiritual iaitu jiwa akan berjaya mengawal fungsi fizikal dan organik para remaja Islam mengikut landasan Islam serta dapat pula menguasai deria sejajar dengan tuntutan syariat untuk menjalankan keperluan-keperluan badannya.140

139 Habibah Elias & Noran Fauziah Yaakub (2006), Psikologi Personaliti. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka, h. 1

48

Ibn Sina pula secara asasnya berpendapat bahawa ilmu personaliti remaja Islam adalah satu ilmu yang mengulas bagaimana jiwa seseorang remaja Islam yang secara dasarnya mempunyai potensi secara teori dan praktikal untuk membentuk kecerdikan dan kecerdasan minda boleh membangkitkan keupayaan memikirkan baik dan buruk serta dosa dan pahala. Menurutnya lagi, kekuatan aqidah mengarahkan jiwa itu mencapai idea yang tidak disedari oleh remaja sama ada melalui perasaan, imaginasi atau anggaran yang merupakan aset utama pencetus tingkahlaku yang baik serta diredhai Allah SWT.141

Seterusnya, Yusuf Al-Qaradawi pula menjelaskan bahawa ilmu personaliti remaja Islam adalah satu ilmu yang membincangkan bagaimana para remaja Islam dapat mencapai tahap di mana segala kehidupan dan tingkah lakunya adalah untuk pendekatan diri kepada Allah SWT, berakhlak dengan akhlak-Nya dan berusaha beroleh keredhaan-Nya. Menurutnya, ilmu ini membincangkan bagaimana remaja Islam mengendalikan diri dari hawa nafsu, menekan naluri dan syahwatnya kerana mengharap pahala dan keredhaan-Nya serta beriman akan adanya ganjaran yang baik daripada-Nya.142

Kesimpulannya, ilmu personaliti remaja Islam adalah ilmu yang membincangkan proses pembentukan dan perkembangan diri remaja Islam berasaskan aqidah Islam dan menurut kaedah-kaedah yang ditentukan oleh al-Quran, al-hadis serta ijma‟ ulama‟ sehingga melahirkan tingkah laku yang dicerminkan oleh Nabi SAW.

141 Avicenna-Wikipedia, the free encylopedia, http://en.wikipedia.org/wiki/avicenna, 7 Nov 2010.

49

2.6 FAKTOR MEMPENGARUHI PERSONALITI REMAJA

Zaman remaja adalah satu zaman yang penuh dengan masalah dan konflik yang disebabkan oleh berapa faktor. Faktor-faktor inilah yang telah mengganggu minda, emosi, jasmani malahan turut menggoncangkan keimanan para remaja. Umumnya, terdapat dua faktor utama yang mempengaruhi perkembangan personaliti remaja iaitu faktor baka dan faktor persekitaran.143 Faktor baka adalah aspek yang menghubung-kaitkan sifat baka dengan kecerdasan dan bentuk tubuh yang menimbulkan tingkahlaku tertentu144 manakala faktor persekitaran dikaitkan dengan suasana kehidupan dan budaya masyarakat di sekitar sehingga mempengaruhi perwatakan yang ditonjolkannya.145

Muhammad Said Ramadhan menyatakan bahawa remaja itu sebenarnya sentiasa berada dalam tuntutan tabiat kemanusiaan, naluri dan akliah. Mereka menjadi tersalah atau terseleweng (kemelut kejiwaan, percanggahan dengan adat dan pertentangan dengan tradisi) adalah kerana pantulan dari keadaan masyarakatnya sendiri iaitu meliputi ibu bapa, keluarga, rumah, sekolah, jalan raya, masjid, tempat bermain, pasar dan segala kawasan yang ada hubungannya dari segi makna, nilai dan pemikiran mereka.146