Penyakit bawaan vektor ialah penyakit yang boleh membunuh dan merebak sebagai wabak. Penyebaran penyakit bawaan vektor berkait rapat dengan kegagalan mengurus selia kebersihan persekitaran kawasan kediaman. Bahagian seterusnya akan menghuraikan tentang penyakit bawaan vektor ialah demam denggi, demam malaria, dan Chikungunya.
Denggi
Majoriti masyarakat umum mungkin telah mengetahui bahawa demam denggi merupakan antara penyakit berjangkit yang menjadi pembunuh utama di negara ini. Demam denggi merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus Denggi (genus Flavivirus) yang disebarkan oleh nyamuk Aedes betina. Virus demam denggi disebarkan melalui gigitan nyamuk aedes daripada individu yang berpenyakit kemudian nyamuk yang sama menggigit pula orang yang sihat.
Apakah yang dikatakan demam denggi?
Terdapat dua jenis denggi yang paling berbahaya iaitu Demam Denggi Hemoragik (DHF) dan Sindrom Kejutan Denggi (DSS). Wabak demam denggi yang pertama kali telah berlaku hampir serentak, di benua Asia, Afrika, dan Amerika Utara pada tahun 1780-an. Penyakit tersebut dikenal pasti dan diberi nama (dengue haemorrhagic fever) pada 1779. Terdapat juga catatan yang menyatakan bahawa ia mula dikesan di Kepulauan Caribbean antara tahun 1827-1828.
Denggi dan denggi berdarah merupakan penyakit febril akut (acute febrile), dijumpai di kawasan tropika, dengan taburan geografi serupa dengan malaria. Disebabkan oleh satu daripada empat virus serotype yang berkait rapat dari genus Flavivirus, famili Flaviviridae, setiap serotype cukup berbeza menjadikan tiadanya perlindungan bertindan (cross-protection) dan wabak denggi yang disebabkan oleh pelbagai serotype (hyper endemicity) boleh berlaku. Denggi disebarkan kepada manusia oleh nyamuk Aedes aegypti (hanya kadang kala oleh Aedes albopictus).
Pada awalnya denggi tidak berbahaya. Wabak sejagat kemudian meletus di Asia Tenggara sekitar tahun 1950-an. Pada tahun 1975, DHF telah menjadi penyebab utama kematian dalam kalangan kanak-kanak di kebanyakan negara di kawasan tersebut. Wabak denggi menjadi epidemik semenjak 1980-an. Pada akhir tahun 1990-an, denggi merupakan penyakit virus bawaan nyamuk paling utama menjangkiti manusia selepas malaria. Nyamuk bersifat antropofilik (ingin mendekati manusia) dan mengesan mangsanya melalui haba badan seseorang. Manusia yang mempunyai haba yang cepat panas atau berpeluh lebih mudah dan cepat untuk dihampiri oleh nyamuk. Nyamuk biasanya bergantung hidup kepada darah manusia, haiwan, serta cecair tumbuhan sebagai makanannya.
Bagaimana demam denggi berjangkit?
Manusia dijangkiti kuman virus denggi melalui gigitan nyamuk. Virus denggi ini hidup dan berkembang biak di dalam air liur nyamuk. Ia memerlukan masa pengeraman selama 8-10 hari untuk berkembang biak dan terkumpul di dalam air liur nyamuk. Nyamuk yang telah dijangkiti akan terus membawa virus denggi sepanjang hidupnya. Apabila nyamuk Aedes betina menggigit manusia atau haiwan, ia akan memasukkan
sekali virus denggi yang ada di dalam air liurnya ke dalam sistem aliran darah manusia. Apabila nyamuk Aedes betina menghisap darah manusia yang mengandungi virus denggi, ia akan melengkapi kitaran hidup virus tersebut dan menyebarkan kepada orang lain.
Penularan virus denggi boleh juga terjadi apabila nyamuk aedes betina sedang menghisap darah orang yang dijangkiti virus denggi diganggu dan nyamuk itu dengan segera menggigit orang lain pula. Ini akan menyebabkan virus yang terdapat dalam belalai nyamuk tersebut akan masuk ke dalam peredaran darah orang kedua tanpa memerlukan masa pengeraman. Cara ini dipanggil 'Penularan Mekanikal'. Tanda-tanda atau simptom ini hanya dapat disahkan serta dipastikan oleh doktor setelah melalui diagnosis secara klinikal di klinik atau hospital melalui ujian darah pesakit.
Diagnosis penyakit denggi
Terdapat 3 teknik untuk mendiagnosis denggi di makmal iaitu secara isolasi virus, serologi dan mengenal pasti DNA virus denggi. Kini terdapat satu peralatan komersial yang dipanggil 'Dengue Blot' yang digunakan untuk tujuan yang sama.
Isolasi virus denggi
Isolasi virus denggi dari darah atau spesimen tisu adalah cara yang paling konklusif untuk diagnosis denggi. Walau bagaimanapun tatacara ini bukanlah mudah kerana virus ini tidak hidup dengan baik di dalam binatang dan kultur sel. Satu cara yang telah dimodifikasikan supaya keputusan didapati dengan mudah dan lebih cepat adalah dengan mengisolasikan virus melalui inokulasi larva 'Toxorhynchites splendens' (Lam 1993). Pusat Demam Denggi dan Demam Denggi berdarah di Universiti Malaya dengan kerjasama WHO telah menggunakan teknik kombinasi inokulasi nyamuk dan kultur sel nyamuk.
Serologi
Kebanyakan makmal menggunakan teknik serologi bagi mengenal pasti penyakit denggi. Ujian piawaian bagi penyakit denggi adalah 'Haemagglutination InhibitionbvTest' (HI). Ujian ini berdasarkan kepada keupayaan antibodi seseorang menghalang virus denggi dari mengaglutinasikan sel-sel darah merah
yang tertentu. Selain dari memastikan jangkitan denggi ujian HI ini juga berupaya memastikan sama ada jangkitan adalah primer atau sekunder berdasar kepada tahap antibodi. WHO telah menetapkan titer bagi jangkitan sekunder sebagai 1:2560, manakala Malaysia pula menggunakan titer1:1280.
Ujian yang lebih cepat ialah pengesanan denggi IgM melalui Enzyme-Linked Immunoabsorbent Assay (ELISA). IgM ini didapati hanya seketika pada jangkitan primer dan sekunder dan pengesanan IgM di dalam serum menunjukkan kepada jangkitan aktif atau jangkitan yang baru. Lebih dari 6,000 sampel serum telah diuji dengan ujian HI dan ELISA dan didapati kedua-dua ujian adalah sama dari segi spesifisiti dan sensitiviti. Namun begitu ELISA lebih cepat, hanya memakan masa beberapa jam bagi jangkitan sekunder dan 7 hari untuk jangkitan primer.
Dengue Blot
Dengue Blot adalah satu peralatan komersial yang telah dimodifikasikan dari ujian ELISA. Kajian yang telah dilakukan bagi mengetahui keberkesanan Dengue Blot mendapati ia mempunyai sensitiviti 100% bagi jangkitan sekunder dan hanya 28.6% bagi jangkitan primer. Oleh itu ujian ini berguna sebagai ujian saringan terutama sekali di negeri-negeri yang endemik di mana sebilangan besar penduduk telah dijangkiti virus denggi. Sampel-sampel yang negatif perlu dibuat ujian serologi yang lain (Lam 1993).
Pengesanan asid nuklik virus
Ini merupakan satu teknik yang baru dengan menggunakan teknik 'Polymerase Chain reaction' (PCR). PCR telah dapat memastikan beberapa kematian akibat denggi apabila teknik-teknik lain gagal berbuat demikian.
Apakah tanda dan gejala demam denggi?
Demam denggi bermula dengan demam mengejut, dengan sakit kepala teruk, sakit di belakang bebola mata, sakit sendi dan otot (myalgias dan arthralgias, sakit pinggang yang teruk menyebabkan ia juga digelar demam tulang-pecah / break-bone fever) dan gatal-gatal. Ciri-ciri keradangan demam denggi adalah bintik-bintik merah terang, dan
biasanya muncul di anggota bahagian bawah - pada sesetengah pesakit, ia merebak hampir kepada keseluruhan tubuh. Tanda pada kulit yang klasik ialah seluruh kulit tubuh bertukar kemerahan diselangi dengan tompok-tompok kulit warna yang normal (island of white in a sea of red). Kemungkinannya terdapat gastritis dengan gabungan sakit perut, mual, muntah atau cirit-cirit. Pesakit juga boleh mendapat radang hati, radang otak (lebih pada kanak-kanak) dan juga dalam kes luar biasa radang otot jantung (cardiomyopathy).
Demam denggi klasik berlarutan selama enam hingga tujuh hari dengan demam kembali memuncak pada akhir demam (dikenali sebagai pola biphasic). Secara klinikal bilangan sel darah pembeku (platelet) akan turun sehingga hilang demam diikuti dengan kehilangan bendalir plasma darah dari salur darah ke dalam tisu perantara atau ruang ke tiga (third space loss di antara selaput paru-paru, ruang peritoneum dan sebagainya), kerana kapilari darah menjadi rapuh (capillary fragility). Pada peringkat ini pesakit terdedah kepada renjatan dan risiko perdarahan.
Biasanya pada peringkat inilah pesakit terdedah kepada renjatan serta risiko pendarahan. Seterusnya pendarahan, thrombocytopenia dan haemoconcentration, serta demam yang kuat yang dikategorikan sebagai Dengue Hemorrhagic Fever (DHF) akan melarat kepada Dengue Shock Syndrome (DSS) . Apabila gejala tersebut berlaku, besar kemungkinan risiko kematian menimpa pesakit amat tinggi dengan 20% daripada kes kematian yang dilaporkan berpunca daripada DHF.
Bagaimana mengenal pasti tanda-tanda demam denggi?
Untuk mengetahui bahawa sama ada seseorang itu menghidapi demam denggi, terdapat tanda-tanda atau gejala seperti berikut:
Demam panas yang kuat secara mendadak selama 2 – 7 hari
Keadaan fizikal kelihatan lemah dan lesu (badan tidak bermaya, mata cengkung)
Timbul bintik-bintik merah pada kulit (yang mungkin berasa gatal-gatal) di seluruh badan
Berasa kesakitan pada bahagian otot dan sendi, tulang, mata, kepala, dan ulu hati
Kadang-kadang berlaku pendarahan hidung atau di bawah lapisan kulit (bagi kes yang teruk atau lambat mendapat rawatan)
Kadangkala pesakit akan muntah atau buang air besar berdarah
Bagi kes pesakit yang teruk akan berasa kesejukan di bahagian tangan dan kaki; dan badannya peluh dingin (berisiko untuk meninggal dunia)
Hilang selera makan (mungkin kerana ada pesakit yang berasa pahit pada lidah).
Bagaimana mencegah demam denggi?
Demam denggi adalah sejenis penyakit berjangkit berbahaya yang disebabkan oleh virus denggi dan dibawa oleh nyamuk aedes. Pada masa ini, tiada ubat khusus untuk merawat penyakit itu kecuali aktiviti pencegahan adalah amat penting. Ketiadaan vaksin bagi merawat penyakit denggi, menjadikan penyakit tersebut amat berbahaya kepada pesakit khasnya kategori denggi berdarah kerana boleh meragut nyawa atau menyebabkan pesakit mendapat radang hati, radang otak (biasanya kanak-kanak) dan juga dalam kes luar biasa, radang otot jantung atau cardiomyopathy.
Oleh yang demikian, langkah yang paling berkesan bagi mengelakkan demam denggi adalah dengan mencegahnya daripada berlaku. Ini kerana kata-kata keramat “mencegah lebih baik daripada merawat” memang terbukti keberkesanannya dalam menangani apa juga penyakit.
Berikut merupakan antara beberapa langkah yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mencegah denggi serta menghapuskan Aedes iaitu:
Menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes yang mengandungi takungan air seperti bekas plastik, tin kosong, tayar terbuang, dan seumpamanya dengan menghantarnya ke tapak pelupusan sampah yang sistematik.
Mengitar semula, membakar atau menanam bekas-bekas yang tidak digunakan untuk mengelakkan daripada menakung air yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.
Membersihkan bekas-bekas yang boleh menakung air seperti palung atap, kolam dalam rumah, pasu bunga, akuarium, dan sebagainya dengan kerap sekurang-kurangnya seminggu sekali dengan cara yang betul.
Memelihara ikan yang boleh makan jejentik di dalam akuarium atau kolam hiasan di dalam atau tepi rumah, ataupun membubuh racun jejentik (temephos) dan Bacillus thuringiensis israelensis (Bti) ke dalam air dalam bekas bunga, takungan air, dan sebagainya.
Menyembur nyamuk Aedes dengan jadual berkala atau selepas terdapat kes jangkitan untuk mengelakkan daripada merebak serta menghapuskan nyamuk menggunakan Aerosol atau ‘fogging’ .
Tidur menggunakan kelambu serta menghindari kawasan yang menjadi habitat nyamuk seperti kawasan berpaya serta memakai pakaian penutup badan seperti seluar atau berbaju panjang ketika di luar rumah.
Memasang “mosquito netting” pada jendela serta pintu rumah.
Memasang “repellant” (lingkaran ubat nyamuk dan losyen) untuk menghalau nyamuk.
Kempen kesedaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui media (pameran interaktif, papan iklan, dan sebagainya) bagi mendedahkan orang ramai tentang bahaya Aedes dan denggi.
Apa sahaja cara yang difikirkan sesuai boleh digunakan untuk mengelakkan demam denggi bagi menghapuskan nyamuk Aedes perlu dilakukan dari semasa ke semasa selain daripada memastikan keadaan rumah yang bersih dan kemas di dalam mahupun di luar atau sekeliling rumah bagi mengelakkan daripada menjadi tempat pembiakan atau persembunyian nyamuk.
Tindakan tidak bertanggungjawab serta mengabaikan aspek kebersihan boleh membawa kepada akibat yang mungkin menyebabkan seseorang menyesal seumur hidup. Kebersihan kawasan di dalam serta di luar rumah merupakan tanggung jawab bersama setiap anggota keluarga. Aktiviti bergotong-royong dalam kalangan masyarakat setempat untuk membersihkan kawasan sekitar kediaman, pusat