• Tidak ada hasil yang ditemukan

Penyakit Berjangkit dan Berbahaya

Umum beranggapan bahawa badan yang sihat akan menjamin kesihatan yang berpanjangan. Kesihatan diri sebenarnya bukanlah satu aspek dalam diri yang boleh dipandang ringan oleh seseorang. Kesihatan yang berpanjangan amat penting dalam memastikan segala aktiviti harian dapat berjalan dengan lancar. Keluarga yang sihat akan hidup lebih sejahtera. Negara juga sudah pastinya memerlukan rakyat yang sihat dalam segala aspek fizikal, mental, emosi, rohani, intelek, dan sosial.

Di negara Malaysia, ramai rakyatnya yang telah menjadi mangsa penyakit berbahaya ekoran kurangnya pengetahuan tentang penyakit atau berpunca daripada sikap lalai serta tidak mengendahkan kesihatan diri. Malahan ada juga segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan berlakunya sesuatu wabak penyakit yang akhirnya menjangkiti individu yang tidak bernasib baik hinggakan meragut nyawa yang tidak berdosa sedangkan penyakit berkenaan boleh dan dapat dielakkan terutamanya denggi, malaria, dan sebagainya.

Penyakit secara umumnya boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu penyakit yang berjangkit (infectious disease) dan yang tidak berjangkit (Non Communicable Disease [NCD]) Penyakit merupakan satu gejala ketidaknormalan pada fungsi sistem badan manusia. Sekarang ini, terdapat penyakit berjangkit yang melanda rakyat Malaysia dilihat berada pada tahap yang agak membimbangkan kerana beberapa penyakit yang baru muncul masih ketiadaan vaksin atau ubat bagi merawatnya.

Apa yang biasa dilakukan adalah tindakan pencegahan oleh Kementerian Kesihatan. Namun Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan dapat bertindak bersendirian tanpa ada usaha sama daripada pelbagai pihak terutamanya agensi kerajaan yang lain termasuklah pertubuhan bukan kerajaan dalam usaha pencegahan dalam bentuk kesedaran kepada orang ramai sama ada dalam bentuk kempen kesedaran, usaha sukarela, dan sebagainya.

Namun yang lebih penting adalah usaha individu atau orang perseorangan bagi mengelakkan diri daripada terkena sebarang jangkitan penyakit dengan mengambil apa sahaja langkah sewajarnya kerana dalam konteks dunia tanpa sempadan, penyakit pun mudah merebak daripada rakyat sesebuah negara kepada rakyat sesebuah negara yang lain. Wabak selesema burung yang dilaporkan telah berlaku di negara China disebabkan ‘H7N9 influenza avian’ merupakan bukti bahawa betapa virus-virus baru yang lebih berbahaya kepada kesihatan manusia boleh muncul pada bila-bila masa dan di mana-mana juga tanpa mengira mangsa.

Justeru, Modul ini cuba menyentuh beberapa jenis penyakit berjangkit yang umum di Malaysia, punca penularannya, langkah pengawalannya dan arah perkembangannya. Penyakit yang akan dibincangkan pada bahagian ini dikategorikan sebagai penyakit berjangkit yang berbahaya kepada kesihatan yang disebarkan oleh agen jangkitan atau vektor seperti bakteria, fungus, parasit, atau virus. Seterusnya ada yang disebarkan oleh protozoa dan cacing. Antaranya ialah Taun, cirit-birit, batuk kering (TB), demam denggi, Chikungunya, HMFD, AIDS, dan sebagainya. Namun demikian, tidak bermakna penyakit yang biasa dihidapi seperti demam selesema, campak, dan sebagainya tidak berbahaya walaupun tidak dibincangkan di sini. Ini kerana semua penyakit adalah berbahaya kepada kesihatan kita jika diabaikan, tidak dirawat, dan dipandang enteng.

Bagaimanakah Penyakit Boleh Berjangkit?

Secara umumnya, penyakit boleh berjangkit secara langsung ataupun secara tidak langsung.

Jangkitan Secara Langsung

Jangkitan penyakit secara langsung secara amnya dipindahkan dari orang ke orang melalui cecair badan seperti air liur, darah, peluh, air kencing, atau muntah. Terdapat juga kes-kes jangkitan penyakit secara langsung akibat daripada pembedahan, pemindahan

darah, ataupun prosedur perubatan yang lain. Berikut adalah cara-cara jangkitan penyakit secara langsung yang biasanya berlaku dengan cadangan-cadangan untuk mengurangkan risiko jangkitan.

i. Dari orang ke orang melalui sentuhan fizikal

Penyakit berjangkit boleh dipindahkan melalui sentuhan fizikal (termasuk hubungan intim) melalui tabiat seperti menyentuh, mencium atau menggigit seorang yang sakit. Selain itu, hubungan secara langsung boleh berlaku jika kita menyentuh cecair badan seseorang yang sakit seperti bila seseorang ibu-bapa membersihkan muntah anak yang sakit tanpa memakai sarung tangan.

 Cara-cara mencegahnya

Hadkan sentuhan secara langsung dengan orang yang anda tahu atau mengesyaki sakit.

Cuba untuk mengelakkan menyentuh muka anda jika anda telah bersentuh dengan seseorang yang anda tahu atau mengesyaki sakit. Pakai sarung tangan dan peralatan perlindungan lain apabila bersentuhan

dengan cecair badan seseorang yang anda tahu atau mengesyaki sakit. Selalu basuh tangan anda.

ii. Melalui titisan cecair badan ataupun bahan buangan kumuh yang lain

Apabila anda batuk atau bersin, anda menyebar titisan air liur dan mukus yang boleh mengandungi apa sahaja yang anda dijangkiti dan dalam dos yang besar. Jika titisan ini dikenakan kepada mata, mulut atau hidung individu lain, individu itu mungkin akan dijangkiti juga.

Penyakit juga boleh berjangkit melalui bahan kumuh badan. Jika seseorang tidak mencuci dengan bersih selepas ke tandas, bahan kumuh mungkin boleh disentuh oleh orang lain melalui sentuhan tangan, dengan menggunakan sinki atau tandas, ataupun melalui perkongsian benda seperti pensel atau alat komputer.

 Cara-cara mencegahnya

Tutup mulut dan hidung anda apabila anda batuk atau bersin. Pakaikan topeng muka jika anda sakit.

Cuba untuk mengelakkan menyentuh muka anda jika anda telah bersentuh dengan seseorang yang anda tahu atau mengesyaki sakit. Cuba untuk mengelakkan berkongsi benda-benda dengan seseorang yang anda tahu atau mengesyaki sakit.

Basuh tangan anda.

iii. Jangkitan secara menegak

Jangkitan penyakit secara menegak merujuk kepada jangkitan penyakit daripada ibu kepada anak sama ada semasa kehamilan, semasa kelahiran atau selepas kelahiran. Pencegahan biasanya melibatkan rawatan ibu semasa mengandung dan mengambil langkah-langkah untuk mengehadkan risiko jangkitan pada masa anak dilahirkan.

Jangkitan Secara Tidak Langsung

Jangkitan penyakit secara tidak langsung secara amnya dipindahkan dari orang ke orang melalui benda-benda yang telah disentuh atau digunakan oleh seseorang yang sakit. Contohnya di tempat awam, terdapat banyak benda-benda yang digunakan oleh ramai orang seperti tombol pintu. Jika seseorang sakit yang baru bersin di tangannya, dan selepas itu menggunakan tombol pintu, sentuhan tombol oleh orang yang lain boleh menyebabkan dia dijangkiti penyakit yang sama. Jangkitan secara tidak langsung boleh berlaku melalui:

i. Objek-objek atau benda-benda yang digunakan oleh ramai orang atau yang boleh dikongsi guna seperti tombol pintu, telefon, kunci, alat mainan, dan sinki tandas. ii. Makanan yang telah disediakan oleh seseorang yang sakit dan tidak memakai alat

perlindungan seperti mask dan sarung tangan ataupun makanan yang terbiar di luar dan disentuh oleh ramai orang, dan juga makanan yang tidak dimasak dengan betul.

iii. Udara kerana terdapat penyakit-penyakit berjangkit yang boleh hidup lama di udara disebabkan saiznya yang kecil dan ringan.

iv. Air terutamanya air yang kotor, tidak dimasak, atau tidak dirawat. Secara amnya, air untuk minum perlu dimasak atau ditapis menggunakan sistem penapisan yang berkualiti.

 Cara-cara mencegahnya

Bersihkan objek yang biasa digunakan, seperti tombol pintu dan telefon, dengan sabun ataupun dengan bahan antiseptik.

Jangan berkongsi objek seperti cawan atau gelas, perkakas, atau alat solek (terutamanya berus dan maskara) dengan orang lain.

Pastikan permukaan dan alat-alat yang digunakan dalam penyediaan makanan bersih sebelum digunakan.

Pastikan makanan yang akan dimasak (seperti daging mentah) berasingan daripada makanan yang dimakan mentah (seperti ulam). Pastikan daging mentah dimasak dengan sepenuhnya.

Cuci sayur-sayuran mentah dan buah-buahan dengan air yang bersih dan yang boleh diminum.

Elakkan meminum daripada sumber air yang tidak ditapis.

Jangan meminum air dari tasik, taman air dan lain-lain aktiviti rekreasi berasaskan air.

Amalkan tabiat membasuh tangan dengan kerap.