• Tidak ada hasil yang ditemukan

Jadual 3.2: Penggunaan talian tetap di Malaysia mengikut kadar per 100 orang

3.7 Perkembangan Teknologi Komputer di Malaysia

Perkembangan teknologi komputer di Malaysia merupakan aspek yang sentiasa mengalami perubahan setiap tahun samada disebabkan oleh faktor luaran atau dalaman. Perkembangannya sering dikaitkan dengan penggunaan komputer dan internet.

3.7.1 Penggunaan Komputer

Sejarah perkembangan komputer di Malaysia telah bermula pada pertengahan 1960-an di mana penggunaan komputer dilaksanakan di Jabatan Hasil Dalam Negeri, Lembaga Letrik Negara dan Lembaga Pelabuhan Pulau Pinang.

Tugas dan peranan yang dimainkan lebih menjurus kepada bidang pemungutan hasil di Pulau Pinang. Kemudian, di dalam era 1980an, komputer telah digunakan dalam bidang pentadbiran dan pengurusan seperti syarikat kewangan dan pejabat-pejabat kerajaan.

Kemudian, pada tahun 1987, Kerajaan telah menubuhkan Rangkaian Komputer Malaysia (RangKoM) dengan kemudahan sambungan antarabangsa. Pada peringkat awal, pengguna utamanya ialah universiti-universiti tempatan. Kemudian ia terus berkembang dengan sokongan dan perhatian dari pihak swasta. Tumpuan awal penggunaan RangKoM ialah kepada perkhidmatan mel dan forum elektronik. Walaupun ia mempunyai keupayaan komunikasi dan perkongsian sumber, RangKoM telah memberi pengalaman dari segi pembangunan teknologi, dan mendedahkan beberapa kelemahan, kekurangan dan juga potensi penggunaan teknologi rangkaian komunikasi serta isu-isu pengurusan yang berkaitan. Berdasarkan kepada pengalaman pelaksanaan RangKoM, pada tahun 1991, kerajaan telah melaksanakan program JARING bertujuan untuk membangunkan rangkaian komunikasi negara secara bersepadu dan lebih menyeluruh. Secara praktiknya, segala kegiatan dan pengalaman projek RangKoM telah diserapkan ke dalam projek JARING. (Mimos Digital Library, 1999)

MIMOS merupakan syarikat yang mengendalikan projek rangkaian JARING sebagai projek pembangunan utama dalam Rancangan Malaysia Ke-Enam. Matlamat JARING ialah untuk menyokong aktiviti pendidikan, penyelidikan dan komersil di mana sistem ini menghubungkan banyak institusi penyelidikan dan akademik serta agensi kerajaan dan swasta di Malaysia. Selain itu, JARING juga dihubungkan dengan rangkaian internet antarabangsa melalui talian litar suwa antarabangsa berkelajuan 64Kbps ke Amerika Syarikat.

3.7.2 Penggunaan Internet.

Pada permulaan perkembangan internet, definisi perkataan internet merujuk kepada pembahagian inter dan net. Inter bermakna antara manakala net (singkatan NETwork) pula bermaksud jaringan. Maka internet boleh membawa maksud jaringan antara jaringan. Ia merupakan sebuah jaringan komunikasi yang diasaskan oleh sekumpulan penganalisis dalam tahun 1960an. Projek ini merupakan projek di bawah Agensi Projek Penyelidikan Termaju (ARPA) oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat. (Mimos Digital Library, 1999)

Pada peringkat permulaan, ARPA menghubungkan empat komputer sebagai kerangka utama yang terletak di Stanford Research Institute, University of California di Los Angeles, University of California di Santa Barbara dan University of Utah.

Matlamat asalnya ialah menghasilkan satu jaringan bagi membolehkan proses pemindahan data yang selamat di antara komputer tentera yang terletak di tempat-tempat berbeza melalui beberapa laluan komunikasi yang berlainan. Keadaan talian komunikasi yang berulangan dialikasikan supaya proses pemindahan data tidak terganggu sekiranya berlaku peperangan.

Kemudian, fungsi komputer telah direka bentuk dalam keadaan tidak berpusat supaya tidak ada bahagian atau kawasan khusus yang dapat dimusnahkan ketika dalam suasana perang. Dalam tahun berikutnya, jaringan kerajaan lain telah dihubungkan kepada ARPANET dan akhirnya keseluruhan jaringan tersebut membentuk internet. Sehingga pertengahan 1980an, satu agensi kerajaan Amerika Syarikat yang dinamakan National Science Foundation (NSF), dan lain-lain badan kerajaan diberi kuasa untuk mengawal capaian kepada internet. Di dalam perkembangan awalnya, jaringan ini tidak digunakan dan tidak pernah direka bentuk untuk kegunaan komersial kerana pembangunan internet dibiayai sepenuhnya dari NSF dan lain-lain agensi kerajaan dan hanya bertumpu kepada penyelidikan teknikal, akademik dan saintifik. Dalam tahun 1991, pihak NSF mula melonggarkan peraturan dan membenarkan kegunan internet untuk tujuan komersial. Kemudian, pada April 1995, kerajaan Amerika Syarikat menyerahkan kawalan internet kepada badan bebas yang menghapuskan sekatan capaian Internet. (Mimos Digital Library, 1999)

Selepas perkembangan internet, timbul satu lagi teknologi yang diasaskan kepada topologi internet dinamakan intranet. Intranet merupakan rangkaian dalaman bagi sesebuah organisasi termasuk penggunaan rangkaian setempat (LAN) dan rangkaian kawasan luas (WAN). Intranet telah dibangunkan dengan penggunaan sepenuhnya kemudahan yang dibawakan oleh internet dan tetap menggunakan TCP/IP sebagai protokol utama proses komunikasi. Pihak atau pengguna internet luar lingkungan rangkaian intranet tidak boleh mencapai rangkaian dan kandungan di dalamnya. Keselamatan intranet dilindungi oleh penghadang keselamatan yang dinamakan firewall iaitu gabungan perkakasan dan perisian yang menghalang capaian pihak luar atau pihak yang tidak mempunyai kuasa capaian.

Melalui intranet, segala urusan pejabat yang dilaksanakan menggunakan kertas boleh ditukar secara elektronik. Contohnya seperti permohonan cuti tahunan, cuti sakit, penempahan kenderaan pejabat, tempahan peralatan ICT, penempahan bilik mesyuarat dan minuman, tempahan alat tulis dan sebagainya boleh dilakukan secara elektronik. Dengan perkembangan terkini ini akan dapat mengurangkan kos seperti penggunaan kertas dan manual. Selain itu, segala dokumen penting pekerja seperti penilaian prestasi, dasar kenaikan pangkat, bahan di perpustakaan dan sebagainya boleh juga dilaksanakan secara elektronik. (Norsaidatul Akmar Mazelan, 1999)

Selain internet dan intranet, terdapat satu lagi bidang teknologi yang semakin mendapat tempat di kalangan perdagangan hari ini iaitu ekstranet. Bagi kalangan pengguna teknologi maklumat, ekstranet dikatakan mampu meningkatkan nilai pelaburan dalam teknologi berkaitan laman web bagi sesebuah syarikat. Ekstranet merupakan sebuah rangkaian yang menggunakan World Wide Web dan intranet dalam menguruskan rantaian pembekal serta rakan niaga. Rantaian pembekal adalah penting dalam proses perniagaan yang menghubungkan pengeluar, peruncit, pelanggan dan pembekal. (Mimos Digital Library, 1999)

Objektif pelaksanaan ekstranet ialah meningkatkan keuntungan melalui produk yang dihasilkan bermula dari pihak pengeluaran sehingga pelanggan. Kaedah ini akan menyediakan petunjuk awal terhadap turun naik permintaan dan dapat menyediakan koordinasi proses perniagaan merentasi sebilangan organisasi yang saling bekerjasama. Ekstranet juga merupakan elemen terpenting dalam membangunkan konsep perdagangan elektronik (e-dagang). Integrasi e-dagang dan ekstranet mampu mengubah kaedah perniagaan supaya mampu dilaksanakan secara mendalam dan dapat bekerja antara satu sama lain secara efektif. (Norsaidatul Akmar Mazelan, 1999)

Penggunaan internet, intranet dan ekstranet merupakan perkembangan terkini di dalam aplikasi penggunaan sistem talian komunikasi terkini. Berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh NUA Internet Surveys pada tahun 1999, di negara Malaysia hanya mencatatkan sebanyak 0.15% daripada 22 juta penduduk yang menggunakan internet iaitu lebih kurang 330,000 pengguna internet pada tahun 1997. Pada tahun 1998, bilangan ini telah meningkat 0.3% atau 660,00 pengguna iaitu peningkatan satu kali ganda daripada tahun sebelumnya. (Rujuk Jadual 3.3)

Jadual 3.3: Perbandingan Penggunaan Internet antara Negara Asia.