REKABENTUK KURIKULUM PENGAJIAN TINGGI
PRINSIP MEREKA BENTUK KURIKULUM BERLANDASKAN PENDIDIKAN BERASASKAN HASIL
3.4.1 PENGENALAN
Unit ini akan membincangkan prinsip mereka bentuk kurikulum berasaskan Pendidikan Berasaskan Hasil (OBE). Peserta akan diberikan penerangan dan latihan dalam mereka bentuk kurikulum sesuatu program akademik.
3.4.2 HASIL PEMBELAJARAN Pada akhir unit ini, peserta dapat:
Menjelaskan pengertian Pendidikan Berasaskan Hasil
a. (C2).
Mereka bentuk kurikulum berasaskan prinsip-prinsip Pendidikan Berasaskan Hasil b.
(C3, A4)
3.4.3 ISI PEMBELAJARAN
OBE ialah suatu pendekatan tentang cara yang sesuai untuk merancang, menyusun, melaksanakan dan menilai pendidikan (Spady, 1994, 1998). Ringkasnya OBE merupakan suatu pendekatan mereka bentuk sistem pendidikan, termasuk mereka bentuk kurikulum. Dengan itu sesiapa yang menggunakan pendekatan ini dalam usaha mereka bentuk kurikulum ini tidak boleh mengabaikan prinsip-prinsip asas mereka bentuk kurikulum yang dibincangkan dalam Unit 3 untuk menghasilkan kurikulum yang berkualiti.
a. Idea Utama OBE
OBE mempunyai keunikannya yang tersendiri yang juga merupakan sumber utama kekuatannya (atau sumber utama kelemahannya jika dilihat dari perspektif pengkritiknya). Keunikan ini, yang membayangkan OBE melihat kurikulum sebagai produk, terkandung dalam dua idea utamanya, iaitu:
i. Pendidikan yang berkualiti menentukan dan menetapkan dengan jelas apa-apa yang penting yang dapat dilakukan oleh semua pelajar dengan jayanya pada akhir pengalaman pembelajaran mereka.
ii. Susulan itu, pendidikan yang berkualiti memfokuskan dan menyusun segala yang ada dalam sistem pendidikan untuk memastikan semua pelajar dapat melakukan
apa-apa yang penting dengan jayanya pada akhir pengalaman pembelajaran mereka.
b. Implikasi Idea Utama OBE
Dua idea utama OBE mempunyai implikasi yang amat besar kepada para pendidik yang ingin melaksanakan OBE.
i. Implikasi Pertama:
Para pendidik harus jelas tentang apa-apa yang penting yang dapat dilakukan oleh pelajar mereka pada akhir pengalaman pembelajaran. Hal ini mewajibkan para pendidik mengenal pasti dan menyaring hasil pembelajaran yang penting daripada yang tidak penting untuk dikuasai oleh pelajar mereka. Mereka perlu mempunyai gambaran jelas tentang apa-apa yang penting yang dapat dilakukan mereka pada akhir pengalaman pembelajaran yang disediakan. Ini memerlukan mereka memahami disiplin ilmu masing-masing secara mendalam.
ii. Implikasi Kedua:
Susulan daripada implikasi pertama, para pendidik perlu menyusun (organize) kurikulum, pengajaran dan pentaksiran kursus masing-masing untuk memastikan pembelajaran penting yang disasarkan untuk pelajar mereka akan tercapai, iaitu dengan memastikan pelajar mereka dapat mendemonstrasikan pembelajaran penting tersebut. Implikasi ini antara lain menuntut mereka mengambil learning stance terhadap amalan mereka, iaitu berkehendakkan mereka mengkaji secara sistematik dan membuat refleksi terhadap amalan mereka dan kesannya terhadap pembelajaran pelajar. Ringkasnya, implikasi ini memerlukan mereka mengamalkan kesarjanaan pengajaran dan pembelajaran (Scholarship Of Teaching and Learning).
c. Premis
OBE berlandaskan tiga premis, iaitu
i Semua pelajar berupaya belajar dan juga berupaya untuk berjaya tetapi tidak semuanya dapat melakukannya dalam jangka masa yang sama atau mengikut cara yang sama.
ii Pembelajaran yang berjaya menjadi pemangkin kepada kejayaan pembelajaran seterusnya. Dalam erti kata lain, pembelajaran yang berjaya mempromosikan pembelajaran berjaya yang seterusnya.
iii Institusi pendidikan (dan para pendidik) mengawal keadaan-keadaan yang menentukan sama ada pelajar akan berjaya dalam pembelajaran. Premis ini penting kerana implikasinya ialah institusi pendidikan (dan para pendidik) harus mengambil tanggungjawab penuh terhadap kemajuan pembelajaran pelajar.
Prinsip d.
Daripada tiga premis OBE, timbul empat prinsip teras yang mendasari OBE iaitu:
Reka Bentuk Kurikulum Pengajian Tinggi__Modul 3
Kejelasan fokus.
i.
Prinsip ini bermakna semua yang dilakukan para pendidik harus jelas berfokus kepada apa-apa yang diingini untuk dilakukan dengan jayanya oleh pelajar pada akhir proses pembelajaran. Oleh itu, apabila para pendidik merancang pengajaran dan mengajar, mereka harus berfokus kepada usaha membantu pelajar mengembangkan ilmu, kemahiran dan sikap yang akan membolehkan mereka pada akhirnya mencapai hasil pembelajaran penting yang ditetapkan.
Hal ini berkehendakkan para pendidik menerangkan hasrat jangka pendek dan jangka panjang mereka terhadap pembelajaran pelajar. Ini juga berkehendakkan mereka memfokuskan semua pentaksiran yang dirancang dan dilaksana kepada hasil pembelajaran penting yang telah ditetapkan.
ii. Reka bentuk dari atas ke bawah/depan ke belakang (Design down/Backward Design).
Prinsip ini berkait rapat dengan prinsip pertama. Ini bermakna titik permulaan bagi semua reka bentuk kurikulum harus bermula daripada hasil pembelajaran penting yang dinyatakan dengan jelas untuk dicapai oleh semua pelajar di akhir pendidikan mereka. Ini tidak bererti bahawa semua reka bentuk kurikulum menjadi suatu proses linear yang mudah tetapi ini bermakna semua keputusan tentatif perancangan, pengajaran dan pentaksiran mesti dikaitkan dengan hasil pembelajaran penting yang dijangka akan dicapai oleh semua pelajar pada akhir pembelajaran. Dengan perkataan lain, semua keputusan tentang reka bentuk kurikulum mesti dijajarkan dengan hasil pembelajaran yang ditetapkan.
iii. Ekspektasi tinggi.
Prinsip ini menekankan bahawa semua pendidik harus mempunyai ekspektasi yang tinggi dari segi pembelajaran bagi semua pelajar mereka. Dengan ekspektasi yang tinggi, pelajar mereka akan lebih berkemungkinan menikmati kejayaan dalam pembelajaran dan ini akan mempromosikan pembelajaran yang berjaya seterusnya bagi mereka. Ringkasnya, kejayaan dalam pembelajaran memungkinkan kejayaan pembelajaran seterusnya.
iv. Peluasan peluang.
Prinsip ini berlandaskan idea bahawa tidak semua pelajar dapat belajar perkara yang sama mengikut cara yang sama dan dalam tempoh masa yang sama. Namun begitu hampir semua pelajar dapat mencapai standard yang tinggi sekiranya mereka diberi peluang yang sesuai.
Perkara yang mustahak di sini ialah mereka belajar perkara yang penting, bukannya belajar melalui cara yang sama atau dalam tempoh masa yang sama. Oleh itu keluwesan dalam pendekatan pengajaran, pentaksiran, jumlah jam interaksi sesuatu kursus dan sebagainya adalah penting.
e. Pendekatan
Sama seperti konsep pendidikan yang lain, OBE juga tidak terlepas daripada penafsiran yang berbeza. Malah, dalam kalangan interpretasi tersebut, ada juga yang jauh terpesong daripada prinsip teras OBE. Bagi yang konsisten dengan prinsip teras tersebut pula, terdapat pelbagai
pendekatan yang digunakan bergantung pada jenis hasil yang diutamakan. Tiga pendekatan yang lazim adalah seperti yang berikut :
Jadual 3.5: Pendekatan dan huraian OBE