MEMAHAMI PELAJAR
Jadual 2.1: Statistik pelajar luar negara yang masih aktif pada 31 Disember 2008
BIL WARGANEGARA IPTA IPTS JUMLAH
1. China 2,385 7,970 10,355
2. Indonesia 3,828 6,192 10,020
3. Iran 2,998 3,247 6,245
4. Nigeria 538 5,516 6,054
5. Bangladesh 418 3,168 3,586
6. Yemen 1,212 1,846 3,058
7. Botswana 4 2,358 2,362
8. Sudan 632 1,407 2,039
9. Iraq 1,186 467 1,653
10. Pakistan 175 1,475 1,650
Sumber: Kementerian Pengajian Tinggi, 2008
Kepelbagaian komposisi pelajar ini juga disokong oleh pasaran global sehingga pendidikan tinggi negara berupaya untuk menarik minat ramai pelajar antarabangsa. Kehadiran pelajar antarabangsa telah mengubah lanskap pendidikan tinggi negara. Pensyarah hari ini berhadapan dengan kepelbagaian pelajar dari segi kebolehan, ras, agama, dan budaya. Ini selari dengan hasrat kementerian untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan di rantau ini.
b. Memahami Keperluan Pelajar
Pensyarah di institusi pendidikan tinggi (IPT) harus bersedia untuk menjadi fasilitator yang lebih berkesan dalam mengharungi kepelbagaian pelajar dalam kelasnya. Antara isu yang harus diberi perhatian ialah :
- keperluan kepelbagaian dari segi pengadaptasian sosiobudaya, - bahasa dan latar belakang pelajar,
- psikososio-emosi,
- pemahaman pelbagai budaya.
c. Pengadaptasian Sosio-Budaya
Interaksi pelajar antarabangsa dengan pelajar tempatan merupakan satu isu yang dibangkitkan oleh setiap institusi pengajian tinggi yang mempunyai pelajar berbilang etnik dan budaya. Kajian di negara barat mendapati pada kebiasaannya pelajar antarabangsa mempunyai keinginan untuk bergaul mesra dengan pelajar tempatan agar mereka mendapat sokongan dari aspek psikologi, sosial dan akademik (Klineberg & Hull, 1979; Ward et al., 2000). Namun hasrat ini tidak akan tercapai sekiranya interaksi antara budaya adalah pada tahap yang rendah. Walaupun pelajar tempatan mempunyai persepsi yang positif terhadap rakan antarabangsa mereka tetapi pada hakikatnya pelajar tempatan kurang berminat untuk memulakan persahabatan (Bochner et al.,1985; Nowak & Weiland, 1998; Smart et al.,2000).
Keadaan sosial yang berkurangan antara pelajar ini akan menjurus kepada pengasingan sosial (James & Watt, 1996) dan kesukaran untuk pelajar antarabangsa bertemu dan menjalin persahabatan dengan pelajar tempatan. Sekiranya wujud hubungan yang lebih mesra dan interaksi yang lebih kerap dengan pelajar tempatan, maka kemungkinan pelajar antarabangsa akan mudah mengadaptasikan diri mereka secara psikologi, sosial, dan akademik (Freudenberger, 1984; Smith et al., 2000) dan sekali gus memanfaatkan interaksi budaya berbilang.
d. Isu Pengajaran dan Pembelajaran dan Budaya
Pelajar yang memasuki IPT mengambil masa untuk mengadaptasikan diri dengan tekanan pembelajaran di IPT. Mereka mendapati bahawa peralihan dari sekolah menengah tinggi ke universiti berbeza dari aspek bebanan tugasan dan jadual harian mereka (Transition Program, 2002). Walaupun kebanyakan pelajar antarabangsa telah mempunyai pengalaman belajar di institusi tinggi di negara masing-masing namun begitu keadaan di IPT Malaysia mungkin berbeza. Hubungan antara pensyarah-pelajar di Malaysia; termasuk cara mendekati pensyarah dan panggilan yang sesuai yang digunakan semasa bertutur dengan pensyarah mungkin berbeza dengan amalan di negara mereka. Begitu juga dengan gaya pengajaran dan pembelajaran di dalam kuliah, tutorial, dan kerja kumpulan. Sebagai contoh, pelajar dari negara barat (UK, US, Eropah) lebih kerap berjumpa dengan pensyarah untuk berbincang berbanding dengan pelajar dari negara timur (Malaysia, Singapore, Hong Kong). Manakala pelajar timur pula melihat hubungan pensyarah-pelajar tidak perlu rapat, kelas dikendalikan secara lebih formal, dan pengajaran bersifat penghafalan. Tahap tunjuk ajar dan nasihat yang diberikan oleh pensyarah untuk pelajar menyiapkan tugasan mungkin juga berbeza. Pelajar dari barat mungkin beranggapan pensyarah harus membaca draf tugasan sebelum dihantar atau turut memberi bahan rujukan untuk menyiapkan tugasan mereka (Becker, 1990).
e. Memahami Perbezaan Pelajar
Peningkatan bilangan pelajar sama ada tempatan atau antarabangsa di IPT akan menimbulkan kesedaran pensyarah bahawa mereka perlu memikirkan pendekatan yang akan digunakan untuk mengajar, perkara yang diajar, dan cara menggunakan pengalaman lepas pembelajaran pelajar.
Kehadiran pelajar antarabangsa akan menggalakkan pensyarah untuk memikir pendekatan yang lebih sesuai dengan pengalaman dan cara pembelajaran pelajarnya. Sebagai contoh, pelajar yang berlatar belakang budaya individualistik (negara barat) berkemungkinan lebih menonjol di dalam kelas, menyoal, menjawab, dan melibatkan diri dalam perbincangan (Hofstede, 1980;
Memahami Pelajar__Modul 2
Triandis, 1990) dan kelihatan lebih bersifat bersaing. Manakala pelajar dari budaya kolektivis (negara-negara Asia seperti Malaysia, China, Taiwan) kurang berminat untuk menarik perhatian pelajar lain di dalam kelas. Memandangkan peningkatan pelajar yang berbilang etnik, kohort dan kebebasan memilih kursus pada setiap semester maka jangkaan pensyarah terhadap pelajar-pelajar ini juga akan berbeza. Justeru, pensyarah harus bersedia untuk menerima kepelbagaian pelajar hari ini dari aspek pengalaman, persediaan dan kesediaan.
f. Strategi Semasa Berdepan dengan Pelajar
Justeru, strategi intervensi diperlukan untuk mempromosikan aktiviti serta pengajaran dan pembelajaran yang bersifat pelbagai budaya di dalam kelas/kuliah.
Setiap pensyarah harus mengadakan satu senarai jangkaan tentang tugasan dan
•
tingkah laku pelajarnya. Jangkaan ini perlu disampaikan di dalam kuliah dan dinyatakan kepada pelajar secara jelas, berulang dan dalam pelbagai cara.
Pensyarah menjelaskan tentang jangkaannya semasa membincangkan soalan
•
tugasan. Sediakan garis panduan, bahan, contoh antarabangsa semasa kuliah.
Pensyarah mengenali latar belakang pelajar. Menyoal pelajar tentang pengalaman
•
mereka dalam menulis atau menyiapkan tugasan.
Dapatkan disiplin yang bercirikan antarabangsa dan boleh dipraktikkan dalam konteks
•
yang sama di negara lain.
Adakan kolaborasi antara pelajar antarabangsa dan tempatan yang berterusan di luar
•
waktu kuliah. Pendekatan ini akan meningkatkan kesedaran interaksi budaya silang dan menambah kesedaran budaya asing dalam kalangan pelajar tempatan.
Menyediakan kesempatan untuk pelajar mengambil bahagian dalam penglibatan kelas
•
agar mereka merasa lebih selesa. Ini dapat dilakukan melalui strategi berikut:
Perbincangan dalam kumpulan kecil. Adakan kelas tutorial dan meminta pelajar
• menyediakan respon kepada bahan bacaan. Sediakan beberapa soalan yang akan digunakan dalam perbincangan tutorial kelak. Ini akan memberi pelajar masa untuk menyediakan jawapan sebelum kelas dan juga menyumbang kepada keyakinan diri untuk terlibat dalam perbincangan kelak.
Anda harus menyatakan jangkaan anda terhadap penglibatan pelajar dalam kelas tutorial
• dengan jelas. Ini penting kerana ada kemungkinan pelajar tidak memahami maksud penglibatan di dalam kelas tutorial. Menyatakan jangkaan akademik dengan jelas kepada pelajar boleh mengurangkan sikap pasif mereka.
Wujudkan iklim berinteraksi antara pelajar tempatan dan antarabangsa pada awal
•
semester lagi dan dengan itu anda telah menyediakan iklim kelas yang dikehendaki.
Justeru, pelajar sedar dari awal tentang gaya pengajaran dan pembelajaran kelas anda.
Ini akan memberi peluang untuk pelajar berinteraksi dan berkenalan.
Diskriminasi akan berlaku apabila pensyarah meletakkan sesuatu keperluan kursus yang lebih mencabar kepada satu kumpulan pelajar berbanding dengan pelajar lain. Justeru, pensyarah harus mengambil kira isu-isu yang telah dibangkitkan dalam modul ini semasa merancang pengajaran dan pembelajaran.
2.2.4 AKTIVITI a. Refleksi
Anda diberi satu kursus yang mengandungi pelajar tempatan dan antarabangsa. Bagaimanakah anda akan mewujudkan suasana interaksi antara pelajar tempatan dan antarabangsa? Apakah strategi yang akan anda gunakan agar suasana yang anda ingini dapat dikekalkan sehingga akhir semester?
b. Tugasan
Anda dikehendaki mengarang panduan jangkaan untuk satu tugasan yang akan anda berikan dalam kursus yang anda ajar. Sediakan
• Soalan tugasan
• Arahan tugasan
• Jangkaan dalam menyediakan tugasan
• Panduan menyediakan tugasan
2.2.5 PENUTUP
Pada akhir unit ini, peserta dapat mengenalpasti isu-isu pengajaran dan pembelajaran yang membabitkan pelajar tempatan dan antarabangsa. Dengan terdapatnya kepelbagaian budaya di antara pelajar maka pensyarah harus peka kepada kelainan ini. Justeru itu disarankan beberapa cara dan pendekatan yang boleh diaplikasikan oleh pensyarah agar pengajarannya dan pembelajaran menjadi lebih berkesan dan mampu mencapai hasil pembelajaran yang diingini.
Berdasarkan latihan/penerangan yang diberi, sila pastikan anda telah mencapai hasil pembelajaran yang telah dirancang iaitu:
a. mengenal pasti isu pengajaran dan pembelajaran yang membabitkan pelajar tempatan dan antarabangsa. (C4, A4)
b. mengarang panduan jangkaan tugasan untuk kursus atau program. (C5, A4) c. merancang satu aktiviti yang bercirikan kepelbagaian budaya. (C5, A3)
Sila berbincang dengan fasilitator anda jika terdapat sebarang permasalahan dalam menyelesaikan unit ini.
Memahami Pelajar__Modul 2
UNIT 3
PENDEKATAN PEMBELAJARAN