memudahkan kita menelaah dan mengkajinya. Oleh itu, topik ini akan membincangkan metodologi pengarang kitab hadis secara umum, metodologi kitab syarah hadis, kaedah yang digunakan apabila bertemu dengan hadis yang kelihatan secara zahirnya bercanggah antara satu sama lain. Metodologi fuqaha dan muhaddithin dalam memahami hadis serta metodologi ilmu takhrij al-hadith dalam membantu memahami hadis Nabi SAW.
METODE PENGARANG KITAB HADIS
Rajah 3.1: Kitab Hadis yang Besar
3.1.1 Sahih al-Bukhari
Kitab yang amat masyhur dan terkenal ini ditulis oleh Imam Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah al-JuÊfi al-Bukhari (194ă256 H).
Nama sebenar kitab ini ialah Al-JamiÊ al-Sahih al-Musnad min Hadith Rasulullah wa Sunanihi wa Ayyamihi dan lebih dikenal dengan nama Sahih al-Bukhari. Imam al-Bukhari mengambil masa selama lebih kurang 16 tahun menjelajah dan mencari dengan penuh kesulitan dan kesusahan ke serata pelosok dunia.
Ia juga kitab yang pertama mengasingkan antara hadis sahih daripada hadis daif.
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-ÂAsqalani, bilangan hadis yang berulang dalam kitab ini adalah sebanyak 7,397 nas hadis tanpa hadis muÊallaqat, mutabaÊat dan mawqufat, dan tanpa pengulangan adalah sebanyak 2,602 buah hadis (Faisal Ahmad Shah et al., 2010).
Karya ini dianggap sebagai karya yang pertama yang menghimpunkan hadis sahih sahaja. Walaupun Imam al-Bukhari tidak menyatakan secara langsung metodologi serta syarat yang digunakan oleh beliau, para ulama berjaya mengesannya. Antara syarat dan metodologi yang dimaksudkan ialah:
(a) Pemilihan Kualiti Perawi Hadis yang Tinggi
Dasar penentuan sahihnya adalah perkaitan rapat antara hadis dan keadilan para perawi serta asalnya, iaitu guru yang Âadil dan thiqah. Menurut al-Hafiz Abu Bakar al-Hazimi, syarat al-Sahih adalah perawinya mesti terdiri daripada orang Muslim, berakal, benar, tiada keaiban yang tersembunyi dan tidak terganggu fikirannya serta mempunyai sifat adil, teguh ingatannya serta tepat, tiada angan-angan dan betul pegangan akidahnya (Faisal Ahmad Shah, 2010).
Murid Imam al-Zuhri terdiri daripada lima generasi dan setiap satunya mempunyai kelebihan yang tertentu berbanding dengan generasi selepas mereka.
Golongan pertama adalah yang mengambil hadis daripada tabiin dan mereka dinamakan tabi al-tabiin. Kumpulan daripada golongan inilah dianggap riwayat yang paling sahih dan merekalah yang dimaksudkan oleh Imam al-Bukhari dalam memilih hadis untuk kitab Sahihnya. Antara tokoh yang menjadi pilihan Imam al-Bukhari ialah Yunus bin Yazid, Aqli bin Khalid al-ÂIliyyun, Malik bin Anas dan sebagainya.
Golongan kedua adalah sama dengan golongan pertama dari sudut kekuatan. Cuma dalam golongan pertama terhimpun sifat hafalan dan keteguhannya serta lama bergaul dengan Imam al-Zuhri sehingga ada dalam kalangan mereka yang bersama dengannya sama ada di rumah atau ketika bermusafir. Golongan ini adalah yang hidup sezaman dengan tabiin tetapi tidak berpeluang untuk mengambil hadis daripada tabiin yang besar. Tokoh yang termasuk dalam golongan ini ialah al-AuzaÊi, al-Layth bin SaÊad, ÂAbd al-Rahman bin Khalid bin Musafir dan Ibn Abu ZuÊaib. Walaupun demikian, yang paling utama bagi Imam al-Bukhari ialah golongan yang pertama tetapi ada kalanya beliau memasukkan juga periwayatan daripada golongan ini.
Manakala golongan ketiga dan keempat menjadi pilihan kepada Imam al-Tirmizi. Golongan akhir pula adalah diterima oleh Imam Abu Daud dan muhaddithin lain untuk maksud Âiktibar dan istisyhad (Faisal Ahmad Shah, 2010).
Imam al-Bukhari juga mensyaratkan setiap perawi dipastikan bahawa beliau telah bertemu dengan gurunya dan meriwayatkan daripada gurunya walaupun hanya sekali. Imam al-Bukhari tidak cukup hanya pernyataan bahawa perawi dan gurunya hidup pada zaman yang sama, sepertimana yang menjadi syarat bersambungnya sanad di sisi Imam Muslim yang hanya memastikan perawi dan gurunya berada pada zaman yang sama (Ibn Hajar al-ÂAsqalani, t.t.).
(b) Memilih Hadis yang Sahih Sahaja
Perkara ini jelas melalui nama kitabnya. Imam al-Bukhari mengkaji dan menyelidik semua hadis yang sampai kepadanya daripada guru ataupun para perawi lain. Beliau memilih antara hadis yang berjumlah ratusan ribu dan dikumpulkan hadis yang terkuat di sisinya dalam kitabnya al-JamiÊ al-Sahih. Setiap hadis yang ingin diletakkan dalam kitabnya, beliau akan memohon kepada Allah SWT petunjuk serta bantuan-Nya dengan melakukan solat dua rakaat serta menyiapkannya, di samping jasad Rasulullah SAW di Masjid Nabawi di Madinah Munawwarah.
(c) Mengulang-ulang, Menjuzukkan dan Meringkaskan Hadis
Apabila kita membaca atau mengkaji kitab Sahih al-Bukhari, kita akan dapati beberapa hadis di sebut berulang-ulang dalam beberapa bab yang tertentu. Begitu juga terdapat hadis yang disebut secara ringkas oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Sahihnya. Semua ini dilakukan berdasarkan tujuan atau objektif yang tertentu. Antara tujuannya adalah:
memperbanyakkan turuq al-hadith;
sebagai maklumat tambahan kepada perselisihan makna lafaz tertentu dalam matan; dan
sebahagian riwayat adalah dalam bentuk ÂanÊan, iaitu hadis yang diriwayatkan secara lafaz Âan (
ﻦﻋ
) (daripada). Maka, ia memerlukan pembuktian melalui riwayat lain yang jelas menunjukkan berlakunya al-simaÊ (mendengar dengan sebenarnya) sebagai ganti kepada lafaz Êan (Faisal Ahmad Shah, 2010).3.1.2 Sahih Muslim
Kitab Sahih Muslim ini ditulis oleh ulama terkenal dan hebat bernama Muslim bin al-Hajjaj bin Muslim al-Qusyairi al-Naysaburi (204ă261 H). Imam Muslim mendapat didikan daripada ulama tersohor pada zamannya termasuklah Imam al-Bukhari sendiri. Kitab yang menjadi karyanya dinamakan dengan al-JamiÊ al-Sahih al-Musnad min Hadith Rasulillah SAW dan lebih terkenal dengan nama Sahih Muslim.
Kitab Sahih Muslim memiliki sebanyak 4,000 hadis yang tidak berulang dan 7,275 bilangan hadis termasuk yang berulang-ulang (Al-Zahrani, 1996).
Metodologi penulisan bagi kitab ini adalah seperti yang berikut:
(a) Mempunyai Mukadimah
Imam Muslim memulakan kitabnya dengan memberikan mukadimah yang amat bernilai. Beliau mengupas dalam mukadimahnya ini segala perkara yang dianggap sebagai syarat atau prinsip dalam berinteraksi dengan hadis Rasulullah SAW. Antara aspek yang dihuraikan dalam mukadimah kitabnya ialah kewajipan mengambil riwayat hadis daripada perawi yang thiqah dan meninggalkan periwayatan daripada perawi yang dusta, amaran daripada berdusta terhadap Baginda SAW, larangan daripada memperdengarkan setiap yang didengari, larangan daripada mengambil riwayat daripada perawi yang daif, keterangan berkaitan isnad adalah daripada agama, menyingkap keaiban perawi hadis dan para pembawa riwayat, perkara berkaitan dengan riwayat yang sahih dalam kalangan para perawi dan kesahihan mengambil riwayat yang bersifat muÊanÊan (Muslim, t.t.).
(b) Menghimpunkan Semua Matan Berserta Turuqnya dalam Satu Tempat Sahih Muslim agak berbeza dan unik daripada kitab hadis yang lain disebabkan oleh beberapa perkara, iaitu:
keelokan dan kekemasan susunannya. Imam Muslim mempunyai kecenderungan untuk menghimpunkan semua matan yang sama berserta sanadnya sekali pada satu tempat;
beliau tidak akan mengasingkan atau memisahkannya dalam bab-bab yang lain; dan
beliau juga tidak banyak mengulang hadis kecuali sedikit, iaitu apabila terdapat keperluan untuk menguatkan matan atau sanad.
Perkara ini jelas kerana Imam Muslim tidak memfokuskan usahanya untuk menerangkan fiqah, atau mengeluarkan hukum dan adab daripadanya.
Hal ini adalah berbeza dengan Imam al-Bukhari yang lebih menumpukan pada pengeluaran hukum dan fiqah daripada hadis riwayatnya (Faisal Ahmad Shah, 2010).
(c) Hanya Memilih Hadis daripada Perawi yang Thiqah dan Dabt
Sepertimana gurunya Imam al-Bukhari, Imam Muslim tidak akan mengambil hadis daripada seseorang perawi kecuali menepati syarat sahih yang telah ditentukannya. Seseorang perawi itu mestilah Âadil dan dabit, dipercayai, mempunyai daya ingatan yang kuat dan tidak lupa.
Beliau juga tidak mengambil hadis yang tidak bersambung sanadnya dan tidak disandarkan kepada Rasulullah SAW (Faisal Ahmad Shah, 2010).
(d) Melazimkan Dirinya dengan Syarat Tertentu Sebagaimana Imam al-Bukhari Seperti yang dinyatakan bahawa murid Imam al-Zuhri dibahagikan kepada lima generasi dan Imam al-Bukhari hanya mengambil daripada para perawi generasi pertama dan sedikit daripada generasi kedua. Manakala Imam Muslim meliputi generasi pertama, kedua dan sedikit generasi ketiga tetapi ini hanya melibatkan hadis mutabaÊat dan syawahid sahaja.
Begitu juga dengan syarat al-liqaÊ dan al-muÊasarah antara perawi. Bagi Imam al-Bukhari, kedua-dua syarat tersebut wajib ditepati untuk memenuhi syaratnya. Namun, bagi Imam Muslim, menepati syarat al-liqaÊ sahaja sudah memadai. Pegangan Imam Muslim kelihatan lebih longgar berbanding dengan gurunya. Walau bagaimanapun, ia tidak menjejaskan kualiti dan kredibiliti kitabnya (Faisal Ahmad Shah, 2010).
3.1.3 Sunan Abi Dawud
Sunan Abi Dawud ialah hasil karya pengarangnya Imam Abu Dawud Sulayman bin al-AsyÊath bin Ishaq bin Basyir bin Syadad bin ÂAmr bin ÂImran al-Azdi al-Sajistani (220ă275 H). Seorang ulama masyhur yang menghasilkan banyak karya terutamanya yang berkaitan dengan hadis dan syariah. Terdapat dalam kalangan ulama yang menganggarkan karyanya sebanyak 12 buah dan yang paling masyhur ialah kitab sunannya.
Sunan Abi Dawud ialah kitab yang telah diletakkan oleh ulama pada tangga ketiga selepas Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Setelah beliau menyelesaikan penulisan kitab ini, beliau membentangkannya di hadapan Imam Ahmad dan diperakui oleh Imam Ahmad. Kitab ini tidak hanya mengumpulkan hadis sahih, malah di dalamnya terdapat hadis hasan dan daif.
Sunan Abi Dawud mempunyai 5,274 hadis yang berulang-ulang, sebanyak 35 buah kitab dan 1,871 bab (Faisal Ahmad Shah, 2010).
Metodologi penulisannya adalah seperti yang berikut:
(a) Menyusun Kitab Berdasarkan Bab Fiqah dan Membatasinya untuk Sunah dan Hukum Ahkam Sahaja
Metodologinya adalah jelas, iaitu mengehadkan pemilihan pada hadis fiqah sahaja dan tidak berkaitan dengan kisah, peringatan, zuhud, adab, tafsir, kelebihan amalan dan sebagainya. Ia telah dianggap sebagai karya pertama yang disusun berdasarkan bab fiqh.
(b) Memilih Hadis Sahih, Hasan dan Selain daripadanya dengan Disertakan Penjelasan
Kitab ini lebih dianggap sebagai sebuah karya hadis hasan. Imam Abu Dawud menjelaskan metodologinya dalam artikel yang dihantarkan kepada penduduk Mekah dengan katanya: „Saya menyebut hadis sahih dan yang menghampirinya (hasan) dalam kitab saya ini. Jika hadisnya terlalu daif, saya akan jelaskan. Dalam kitab ini juga, tidak ada suatu hadis pun yang berasal daripada perawi yang matruk, jika terdapat hadis yang munkar, saya akan jelaskan‰ (Faisal Ahmad Shah, 2010).
3.1.4 Jami’ al-Tirmizi
JamiÊ al-Tirmizi merupakan hasil karya pengarangnya Imam Abu ÂIsa Muhammad bin ÂIsa bin Sawrah bin Musa bin Dahhak al-Salmi al-Tirmizi (209ă279 H).
Imam al-Tirmizi berpeluang berguru dengan ramai dalam kalangan ulama hebat pada zamannya dalam pelbagai disiplin ilmu. Antara gurunya ialah Imam al-Bukhari, Imam Muslim dan Imam Abu Daud. Beliau juga mahir dalam bidang fiqah dan ia jelas melalui susunan bab dan hadis dalam kitab JamiÊ beliau.
Kitab ini juga dikenal dengan nama Sunan al-Tirmizi dan ia mendapat pengiktirafan daripada ulama sezaman dengannya sehingga mereka berkata:
Sesiapa yang menyimpan kitab ini, seolah-olah Nabi sedang bersabda di dalam rumahnya.
Secara umumnya, hadis yang terdapat dalam JamiÊ al-Tirmizi dibahagikan kepada empat bahagian (Faisal Ahmad Shah, 2010):
(a) Hadis yang dipersetujui oleh al-Bukhari dan Muslim;
(b) Hadis yang kurang sedikit martabat sahihnya daripada hadis yang pertama, iaitu mengikut syarat Imam Abu Dawud an Imam al-NasaiÊ;
(c) Hadis yang diriwayatkan kerana ia menjadi dalil dalam masalah khilaf.
Imam al-Tirmizi akan mendatangkan hadis bagi mazhab yang rajih dan yang tidak rajih. Bagi yang tidak rajih, Imam al-Tirmizi akan membuat penilaian terhadap hadis tersebut dan menerangkan Âillah di dalamnya; dan (d) Hadis yang diamalkan oleh para fuqaha sama ada ia sahih ataupun tidak.
Metodologi penulisan bagi kitab ini pula adalah seperti yang berikut:
(a) Tidak Hanya Mengkhususkan pada Hadis Sahih
Imam al-Tirmizi tidak bermaksud untuk mengumpulkan hadis sahih sahaja dalam kitab JamiÊ beliau, bahkan beliau turut meletakkan hadis yang sahih, hasan, daif, gharib, muÊallal yang dinyatakan Âillahnya. Beliau banyak memuatkan hadis yang hasan dan hasan di sisinya bermaksud:
Hadis yang tiada pada sanadnya perawi yang dituduh berdusta, tidak shaz dan diriwayatkan melalui tariq atau sanad lain yang menyokongnya (Ibn Hajar al-ÂAsqalani, t.t.).
(b) Memilih Hadis yang Boleh Diamalkan dan Dijadikan Hujah
Beliau meletakkan syarat untuk meletakkan hadis yang boleh diamalkan sahaja dan dijadikan hujah. Dapat difahami bahawa semua hadis dalam kitab ini boleh diamalkan dan dipersetujui oleh kebanyakan ulama kecuali dua buah hadis sahaja.
(c) Menerangkan Darjat Hadis dan Pembahagian Hadis dalam Bentuk Baharu Ai antara keistimewaan kitab JamiÊ ini ialah ulasan darjat hadis yang dinyatakan oleh Imam al-Tirmizi, iaitu sama ada sahih, hasan, daif dan gharib. Manakala pada akhir kitab ini pula dimasukkan kitab al-ÂIlal. Paling menarik ia adalah kitab yang pertama yang membahagikan hadis kepada sahih, hasan dan daif, berbeza dengan karya sebelumnya. Beliau juga telah membahagikan daif kepada dua bahagian:
daif yang boleh dijadikan amalan; dan
daif yang ditolak, iaitu al-wahi.
Beliau juga menggunakan istilah yang baru dalam menerangkan darjat hadisnya, antaranya (Faisal Ahmad Shah, 2010):
hadis hasan sahih;
hadis hasan gharib; dan
hadis hasan sahih gharib.
3.1.5 Sunan al-Nasai’
Sunan al-NasaiÊ alah hasil karya ulama besar yang bernama Abu ÂAbd al-Rahman Ahmad bin ÂAli bin SyuÊaib bin ÂAli in Sinan al-Khurasani. Beliau dilahirkan di bandar NasaÊ pada tahun 215 H dan meninggal dunia pada tahun 303 H.
Seorang ulama yang memiliki kesungguhan dalam ilmu dan ibadah, berguru dengan ramai tokoh ulama yang besar pada zamannya seperti Abu Daud al-Sajistani dan al-Tirmizi. Imam al-NasaiÊ mempunyai fizikal yang elok rupawan, rajin beribadah dan berjihad pada jalan Allah SWT.
Al-NasaiÊ merupakan seorang tokoh hadis yang ketat syaratnya terutamanya yang melibatkan para perawi hadis. Kitab Sunan al-NasaiÊ pada asalnya ialah hadis yang dipilih dan diringkaskan daripada kitabnya yang lebih besar, iaitu al-Sunan al-Kubra dan kitab Sunannya yang baru dikenali dengan al-Sunan al-Sughra atau al-Mujtaba. Sesetengah ulama meletakkan kedudukan Sunan al-Nasai selepas al-Sahihayan kerana ia karya sunan yang mempunyai bilangan hadis daif yang paling sedikit. Para perawinya juga yang paling sedikit menerima kritikan al-jarh.
Metodologi penulisan bagi kitab ini adalah seperti yang berikut:
(a) Penyusunan Berdasarkan Bab Fiqah
Sebagaimana kitab Sunan yang lain, Sunan al-NasaiÊ juga disusun berdasarkan pecahan bab fiqah.
(b) Kedudukan Hadis dalam al-Sunan al-Sughra
Walaupun al-NasaiÊ mengasingkan hadis sahih dalam al-Sunan al-Sughra, namun di dalamnya terdapat juga hadis hasan dan daif tetapi dalam bilangan yang sedikit. Pandangan yang mengatakan bahawa dalam al-Sunan al-Sughra kesemua hadisnya adalah sahih merupakan pandangan yang tidak tepat.
(c) Riwayat yang Baru dalam al-Sunan al-Sughra
Walaupun al-Sunan al-Sughra merupakan ringkasan daripada al-Sunan al-Kubra, Imam al-NasaiÊ juga meletakkan riwayat yang baru di dalamnya.
Hal ini bermakna semua hadis dalam al-Sunan al-Kubra terdapat dalam al-Sunan al-Sughra dan tidak semua hadis dalam al-Sunan al-Sughra boleh didapati dalam al-Sunan al-Kubra.
(d) Syarat
Al-NasaiÊ terkenal dengan syaratnya yang ketat, para perawi yang diterima olah Imam al-NasaiÊ hanyalah daripada peringkat ketiga, iaitu guru-gurunya sendiri. Manakala peringkat keempat hanya diambil sebagai tujuan mutabaÊat dan syawahid sahaja (Faisal Ahmad Shah, 2010).
3.1.6 Sunan Ibn Majah
Kitab Sunan ini disusun oleh Imam Abu ÂAbdullah bin Yazid bin Majah al-Qazwini yang dilahirkan pada tahun 209 H dan meninggal dunia pada tahun 273 H.
Imam Ibn Majah dilahirkan di Kota Qazwin yang menyaksikan kemunculan banyak ulama yang tersohor. Imam Ibn Majah merupakan seorang yang thiqah dan al-Zahabi menyifatkannya sebagai al-Huffaz al-Kabir, al-Mufassir, pengarang kitab al-Sunan dan al-Tafsir.
Kitab Sunan Ibn Majah mengandungi 4,341 buah hadis yang disusun berdasarkan pecahan bab fiqah, mempunyai 32 buah kitab dan 1,105 buah bab.
Metodologi penulisannya adalah seperti yang berikut:
(a) Permulaan Bab yang Tersendiri
Imam Ibn Majah melakukan kelainan dengan memulakan babnya dengan tajuk Bab IttibaÊ Sunnah Rasulillah SAW dan diikuti dengan hadis yang menjadi dalil al-Sunnah sebagai hujah serta kewajipan mengikuti dan beramal dengannya.
(b) Syarat
Ibn Majah tidak mensyaratkan hanya hadis sahih sahaja malah meliputi juga hadis lain. Beliau dikatakan memilih juga para perawi dalam kalangan peringkat kelima, iaitu daripada golongan para duÊafaÊ.
(c) Kedudukan Sunan Ibn Majah
Ulama berselisih pendapat terhadap kitab Sunan Ibn Majah. Bagi ulama yang mewujudkan istilah Usul Kutub al-Hadith, mereka tidak memasukkan Sunan Ibn Majah. Namun, bagi ulama yang mewujudkan istilah Usul al-Sittah, maka Sunan Ibn Majah ialah karya keenam daripadanya, juga terdapat dalam kalangan ulama yang menggantikannya dengan MuwattaÊ al-Imam Malik.
(d) Hadis dalam Sunan Ibn Majah
Hadisnya meliputi sahih, hasan, daif dan sedikit munkar dan maudhuÊ. Disebabkan perkara inilah ia diletakkan sebagai karya terakhir daripada al-Sunan al-Sittah.
Karya al-Sunan al-Sittah telah pun disyarahkan hadisnya sama ada secara terperinci atau ringkas dalam kitab-kitab syarah yang telah dihasilkan.
Kita boleh merujuk karya tersebut untuk mengetahui dengan lebih mendalam maksud sesebuah hadis Rasulullah SAW.