GAGASAN TEKNIK SURAH YUSUF
3.4 ANALISIS BUKU PANDUAN MENULIS TEKNIK SURAH YUSUF
Buku Panduan Menulis Teknik Surah Yusuf telah ditulis oleh Puan Ainon Mohd iaitu hasil kajian beliau. Buku ini telah diterbitkan pada tahun 2011 oleh PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. Buku ini mengandungi beberapa subtopik tentang komponen- komponen atau unsur-unsur sastera yang terdapat dalam surah Yusuf serta boleh digunakan sebagai asas penulisan bagi individu yang ingin menjinakkan diri dalam penulisan. Buku ini menawarkan pendekatan yang mudah bagi menghasilkan novel yang bermutu dan menjadi kegemaran pembaca serta dapat dipasarkan dengan baik di pasaran semasa. Teori dan teknik penulisan novel yang dikemukakan dalam buku ini disebut sebagai teknik surah Yusuf kerana ia digali daripada ayat-ayat yang terdapat dalam surah Yusuf. Penulis memerlukan teknik yang mudah digunakan supaya dapat menghasilkan karya yang banyak serta boleh memenuhi kehendak pembaca dan pada masa yang sama karya tersebut mempunyai kualiti yang baik serta boleh tahan lama di pasaran.
Seperti yang telah dinyatakan oleh pengkaji dalam bab yang lepas, buku ini memuatkan beberapa rumus teori surah Yusuf. Dalam teori surah Yusuf terdapat dua aspek penting iaitu aspek halal dan haram dalam karya yang mana informasi yang halal dan haram diceritakan dalam karya. Contohnya, informasi yang berkaitan dengan tubuh badan watak-watak yang terlibat. Aspek kedua ialah faktor dan ciri-ciri keindahan dalam karya. Semakin banyak aspek keindahan dalam karya, semakin indah karya yang dihasilkan. Ciri-ciri keindahan yang terdapat dalam surah inilah yang menjadi rumus teori surah Yusuf. Pertama, kisah benar yakni bukan cerita rekaan semata-mata kerana kisah benar akan sentiasa kekal dihati pembaca. Kedua, bertemakan keluarga kerana hasil karya yang bertemakan keluarga mudah difahami dan boleh dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Ketiga, watak utama adalah lelaki dan sekurang-kurangnya ditimpa malang sebanyak lima kali. Keempat, tempoh cerita yang panjang kerana boleh menimbulkan perasaan ingin tahu kepada pembaca.
Kelima, jumlah watak lebih 20 orang bagi menghidupkan perasaan suasana yang sebenar terhadap pembaca dan jalan cerita akan menjadi lebih kompleks dan mengasyikkan. Keenam, watak jahat juga perlu ada dalam sesebuah karya kerana melalui watak jahat akan tergambarnya peribadi watak yang baik seperti saudara- saudara Nabi Yusuf yang cemburu dengan beliau sehingga ingin dibunuh tetapi Nabi Yusuf tetap bersabar dan tidak menyimpan dendam. Ketujuh, tidak ada babak percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Kelapan, bahasa yang digunakan adalah ragam bahasa yang tinggi kerana Al-Quran disampaikan menggunakan bahasa Arab Tinggi dan tidak bercampur aduk dengan bahasa asing (Ainon Mohd 2011: 11-17).
Buku ini juga mengandungi teknik menulis urutan plot bagi sesebuah cerita dengan mudah. Urutan plot yang betul akan menjadikan jalan cerita lebih menarik. Dalam model novel Islami yang didasarkan pada surah Yusuf, susunan plot mudah iaitu berdasarkan kronologi kejadian. Kejadian yang awal diletakkan di depan dan kejadian terakhir diletakkan di penghujung cerita. Dalam surah Yusuf, urutan peristiwa berkembang selari dengan peningkatan usia Nabi Yusuf. Peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa Nabi Yusuf masih kecil, diikuti peristiwa beliau menjadi pemuda dewasa dan akhirnya peristiwa semasa beliau menjadi menteri di Mesir. Fungsi dialog yang dominan dalam surah Yusuf mengandungi maklumat perkembangan plot cerita. Contohnya, berikut menerangkan jalan cerita mengapa dan bagaimana Nabi Yusuf dicampak ke dalam telaga oleh saudara-saudaranya :
Ayat ke-4: Tatkala Nabi Yusuf berkata kepada bapanya, “Wahai ayahanda, sesungguhnya anakanda bermimipi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan, tunduk memberi hormat kepada anakanda.”
Ayat ke-5: Bapanya berkata, “Wahai anakanda, jangan engkau ceritakan mimpimu kepada abang-abangmu, kerana ayahanda khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat kepada kamu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia
Ayat ke-8 dan 9: Tatkala saudara-saudaranya Nabi Yusuf berkata sesama sendiri, “Sesungguhnya Yusuf dan Bunyamin lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu keturunan. Sesungguhnya ayah kita sangat
tidak adil. Bunuhlah Yusuf ataupun buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang ayah tertumpu kepada kita semata-mata, dan supaya kita sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna kepadanya.”
Ayat ke-10: Salah seorang daripada saudara-saudaranya berkata, “Janganlah kamu bunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam perigi, supaya dipungut oleh musafir, kalau kamu tetap mahu menjalankan rancangan kamu itu.”
Ayat ke-11 dan 12: Mereka pun (pergi berjumpa bapa mereka lalu) berkata, “Wahai ayahanda! Mengapa ayahanda tidak percaya kepada kami tentang Yusuf, padahal kami sentiasa ikhlas mengambil berat ke atasnya? Biarkanlah dia pergi bersama-sama kami esok, supaya dia bersuka ria makan minum dan bermain-main dengan bebasnya, dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya.”
Ayat ke-13: Bapa mereka menjawab, “Pemergian kamu dengan membawanya sangatlah menyedihkanku, dan aku bimbang dia dimakan oleh serigala ketika kamu lalai menjaganya.”
Ayat ke-17: Mereka berkata, “Wahai ayahanda! Percayalah, kami pergi berlumba-lumba berburu dan kami tinggalkan Yusuf menjaga barang kami, lalu dia dimakan serigala, sudah tentu ayah tidak percaya kepada kata-kata kami, sekalipun kami berkata benar.”
Selain daripada itu, buku ini juga turut memuatkan teknik penghasilan dialog dalam sebuah kisah yang indah. Teknik surah Yusuf banyak menggunakan teknik dialog dalam penulisan. Hal ini kerana, salah satu faktor yang menyebabkan karya sastera yang ditulis menggunakan teori konvensional sukar dijual disebabkan ayat- ayat yang digunakan oleh penulis berat dibaca. Faktor sesebuah novel itu perlahan atau cepat dibaca ialah ayat dialog lebih laju dibaca berbanding dengan ayat naratif. Kedua, dialog pendek lebih laju dibaca berbanding dengan dialog yang panjang. Antara kelebihan menggunakan ayat dialog daripada ayat naratif ialah jumlah dialog yang banyak akan memudahkan kerja mengadaptasi sesebuah novel menjadi filem dan lebih mudah, laju dibaca sekiranya dibandingkan dengan novel yang banyak menggunakan ayat naratif (Ainon Mohd 2011: 155-156). Berdasarkan surah Yusuf, watak utama perlu mengucapkan dialog yang mengandungi falsafah ajaran Islam.
Karya tersebut perlu memberi kesan terhadap pemikiran pembaca dan mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang mestilah boleh difahami oleh pembaca. Contohnya dalam surah Yusuf terdapat dua jenis dialog falsafah iaitu ayat ke-90, “Barang siapa yang hatinya sabar, Allah tidak akan mensia-siakan perbuatan baiknya.” Contoh kedua, ayat ke-35, “…saya lebih cintakan penjara daripada cinta yang puan tawarkan kepada saya…”. Dalam buku ini disertakan beberapa teknik penulisan dialog yang boleh membantu penulis menghasilkan dialog yang menarik.
3.5 KESIMPULAN
Pengasas bagi teknik penulisan surah Yusuf adalah Puan Ainon Mohd bersama seorang lagi rakan beliau iaitu Encik Faris Hasbullah setelah melakukan kajian dan analisis terhadap beberapa ayat yang terdapat dalam surah Yusuf. kemudian hasil kajian tersebut dibentuk menjadi satu panduan bagi penulis dan dibukukan serta diterbitkan pada tahun 2011. Surah Yusuf menjadi pilihan kerana mempunyai jalan cerita yang indah dan ditegaskan sendiri oleh Allah berdasarkan ayat “ Kami sampaikan kepadamu sebuah kisah yang paling indah…”. Maka disebabkan inilah Puan Ainon meneruskan kajiannya terhadap surah ini. Kisah yang indah semestinya mempunyai ciri-ciri keindahan yang tersendiri dalam kisah tersebut. Menurut beliau lagi, sebuah cerita yang indah itu menjalankan tiga fungsi sastera iaitu mengajak pembaca berfikir, menyampaikan peringatan Tuhan kepada pembaca dan menyampaikan pelajaran. Hal ini kerana, cerita yang dihasilkan bukan sekadar menjadi bahan bacaan sahaja kepada pembaca, tetapi juga boleh memberi kesan psikologi kepada pembaca.
Teknik surah Yusuf adalah pedekatan yang terdapat dalam Al-Quran bagi teknik pencerekaan yang menarik dan memberi kebaikan kepada masyarakat. Penggunaan istilah “teknik” yang dicetuskan oleh Puan Ainon mungkin boleh ditukar kepada istilah “pendekatan” ataupun teknik penulisan berpandukan atau berinspirasikan surah Yusuf. Sememangnya surah Yusuf itu mempunyai jalan cerita yang sempurna, terdapat pelbagai teknik atau komponen sastera yang mudah untuk dijadikan sebagai panduan kepada penulis, namun begitu terdapat juga surah-surah lain dalam AL-Quran. Al-Quran mempunyai kisah-kisah yang berfungsi menjadi
teladan yang baik kepada seluruh manusia di dunia. Oleh hal yang demikian, Puan Ainon berpendapat konsep ahsan al-Qasas perlu ada dalam sebuah cerita supaya menjadi sastera hasanah yang dapat menghidangkan cerita-cerita yang dapat menjadi teladan yang baik kepada pembaca. Sebagai contoh, dalam Al-Quran tidak ada cerita mengenai kisah-kisah perbuatan maksiat yang dilakukan oleh manusia. Cerita-cerita yang mengandungi unsur-unsur seperti ini tidak sepatutnya ada dalam sesebuah karya kerana akan memberi kesan yang buruk terhadap minda pembaca. Sastera dalam Islam juga adalah sebagai salah satu medium dakwah bagi mendidik pembaca supaya menjadi insan yang berguna serta taat kepada perintah Allah dan menjauhi larangannya.
Komponen sastera yang terdapat dalam surah Yusuf telah dikompilasikan dalam sebuah buku yang ditulis oleh Puan Ainon sendiri. Dalam buku tersebut terdapat pelbagai teknik yang boleh diaplikasikan oleh penulis baru untuk berkarya dalam bidang penulisan. Teknik tersebut boleh memimpin penulis baru supaya keluar daripada ketakutan dan kurang keyakinan berkarya. Ciri-ciri keindahan yang terkandung dalam surah Yusuf tersebut diaplikasikan untuk menjadi sebuah rumus teori dan teknik penulisan yang wajar diikuti oleh para penulis supaya karya menjadi lebih menarik, memberi kesan yang baik terhadap pembaca dan dapat bertahan lama di pasaran. Semakin menarik novel yang dihasilkan, semakin lama novel tersebut bertahan di pasaran. Antara teknik penulisan yang terdapat dalam buku tersebut teknik plot, penentuan tema, gaya bahasa dan teknik dialog yang pelbagai supaya karya lebih ringan, mudah dibaca serta difahami oleh pembaca.
BAB IV