• Tidak ada hasil yang ditemukan

TEKNIK SURAH YUSUF ATAU PENDEKATAN AL-QURAN DALAM PENCEREKAAN

GAGASAN TEKNIK SURAH YUSUF

3.3 TEKNIK SURAH YUSUF ATAU PENDEKATAN AL-QURAN DALAM PENCEREKAAN

Kitab Al-Quran adalah mukjizat Nabi Muhammad saw yang diturunkan oleh Allah swt kepada nabi Muhammad saw melalui perantaraan malaikat Jibril as. Oleh itu, bahasa yang terdapat dalam Al-Quran sangat indah dan kesusasteraan ayat-ayat dalam kitab tersebut tidak dapat ditandingi oleh bahasa lain. Contohnya seperti surah Yusuf. Surah ini mempunyai jalan penceritaan yang cukup menarik dan teratur beserta dengan watak-watak yang terkandung dalam surah ini. Oleh sebab itu, Puan Ainon mengambil langkah untuk mengkaji komponen-komponen sastera yang terdapat dalam surah ini supaya boleh dijadikan sebagai satu panduan kepada para novelis yang mengimpikan untuk menghasilkan karya sastera hasanah. Setelah beliau

membuat analisis tentang surah Yusuf, dan mendapati terdapat beberapa keistimewaan yang terdapat dalam surah tersebut, beliau telah menerbitkan satu buku hasil daripada kajian beliau bersama Encik Faris Abdullah iaitu Panduan Menulis Novel Teknik Surah Yusuf dan menjadikannya sebagai satu teknik rasmi bagi penulis-penulis PTS.

Gaya persembahan penceritaan dalam surah Yusuf memenuhi ciri-ciri plot prosa semasa iaitu novel, novelet dan cerpen. Cerita tersebut mengandungi unsur flashback atau imbas kembali dan dialog di samping gambaran tentang watak dan perwatakan, menguatkan lagi aspek estetikanya sebagai model penceritaan yang unggul. Selain daripada itu, terdapat latar tempat dan masa yang mendasari penceritaan tersebut. Kisah Nabi Yusuf ini dimulakan dengan ayat yang berbentuk dialog iaitu pertanyaan Nabi Yusuf kepada bapanya Nabi Yaakub tentang mimpi beliau. Kemudian dialog diteruskan oleh bapa beliau yang menasihatinya supaya menyembunyikan mimpinya berkaitan dengan sebelas bintang, matahari dan bulan yag sujud kepada Nabi Yusuf daripada pengetahuan saudara-saudaranya. Hal ini disebabkan perasaan bimbang Nabi Yaakub tentang anaknya lantaran perasaan dengki saudara-saudaranya terhadap Nabi Yusuf. beberapa peristiwa atau babak yang menyusuli ayat tentang mimpi tersebut tersusun mengikut kronologi, menggambarkan satu plot cerita yang baik. Ia bermula dengan perancangan saudara-saudara Nabi Yusuf yang ingin membunuhnya, kemudian babak cerita berturutan sehingga kepada klimaks yang mana Nabi Yusuf dipenjarakan kerana tuduhan palsu iaitu percubaan untuk menceroboh maruah isteri pembesar. Plot cerita berakhir dengan kesudahan realisasi mimpinya iaitu sebelas bintang sebagai perlambangan terhadap jumlah saudara Nabi Yusuf, matahari dan bulan adalah perlambangan bagi bapa dan ibunya. Mereka datang ke Mesir untuk berjumpa dengan Nabi Yusuf yang pada ketika itu menjawat jawatan yang hampir setaraf dengan raja (Zulkarnain 2003: 7).

Cerita Nabi Yusuf dalam surah Yusuf wajar dijadikan model prosa kreatif Islam bagi era pasca modenisme. Ia perlu dijadikan rujukan penting bagi sasterawan Islam dari segi estetikanya sebagai plot cerita, imaginasi positif serta latar tempat dan masa yang ideal dan seimbang dengan lakaran watak dan perwatakan. Walaupun plot cerita tersebut pendek lantaran Al-Quran bukan hasil karya kreatif tetapi sebagai mukjizat dan perlembagaan, ia tetap relevan sebagai rujukan sasterawan Islam. Jika

dibanding dengan cerita yang terdapat dalam surah-surah lain, plot atau gambaran daam surah tersebut mengandungi pengulangan dan idea yang bertaburan tentang sesuatu cerita. Kisah Nabi Yusuf dalam surah tersebut lengkap dan menyeluruh, sesuai dengan salah satu sebab penurunannya yang bertolak daripada permintaan sahabat untuk mendengar cerita yang indah daripada Al-Quran. Terdapat banyak latar tempat dalam kisah ini yang boleh menjelaskan kedudukannya sebagai model cerita islami yang ideal. Latar tempat menyeluruh dan mewarnai setiap perkembangan cerita. Contohnya latar tempat pertama di mana Nabi Yusuf dibesarkan. Latar tempat kedua, padang rumput, telaga iaitu tempat Nabi Yusuf dibuang dan dipungut sebelum dijual sebagai hamba. Latar ketiga padang pasir, ketika Nabi Yusuf bersama-sama dengan kafilah sebelum sampai di istana. Seterusnya pejara di istana berjumpa dengan dua orang banduan kemudian Nabi Yusuf dibebaskan selepas diperakui kesuciannya oleh isteri tuannya (Zulkarnain 2003: 8).

Al-Quran tidak menggambarkan perkembangan masa sesuatu peristiwa berlaku dan usia nabi Yusuf ketika berada dalam perkembangan peristiwa ini. Perkembangan latar masa masih dapat diandaikan melalui perkembangan cerita, dialog dan imaginasi. Hal ini dibantu dengan deskripsi watak dan perwatakan. Melalui gabungan yang seimbang bagi semua bagi semua unsur ini latar masa boleh diandaikan. Faktor ini enjadi kelebihan bagi surah Yusuf berbanding dengan cerita- cerita yang terdapat dalam surah-surah yang lain. Aspek pensejarahan dalam cerita ini iaitu dari segi kebenaran berlakunya cerita ini juga boleh membantu mengenal pasti latar masa. Dari aspek pensejarahan walaupun terdapat sedikit perbezaan, umpamanya antara kenyataan Al-Quran tentang cerita Nabi Yusuf dengan kenyataannya dalam Bible, ia tidak menjelaskan kebenaran tentang pokok persoalan atau mana-mana aspek asas cerita tersebut. Latar masa ketika nabi Yusuf bersama keluarga sehingga dibuang dalam telaga diandaikan berkisar dari zaman kanak-kanak sebelum mencecah zaman remaja. Dipercayai daripada perkembangan plot cerita, usia remaja baginda dihabiskan di istana raja Mesir. Hasil kajian perbandingan dengan cerita tersebut dalam Bible dapat dirumuskan beberapa latar masa. Antaranya, Nabi Yusuf mula menyebarkan dakwah Islam semasa berada di dalam penjara dan usia beliau sekitar tiga puluhan dan empat puluhan. Begitulah seterusnya sehingga Nabi Yusuf dilantik sebagai pembesar selepas keluar dari penjara. Mengikut catatan Bible, Nabi Yusuf

wafat ketika menjadi pembesar Mesir ketika berusia 140 tahun. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa latar masa berkisar lima puluh hingga seratus tahun lebih berdasarkan bermimpi dan sehingga sampai ajal (Zulkarnain 2003: 8).

Berdasarkan ciri prosa kreatif, sama ada berbentuk novel, novelet, atau cerpen, sesuatu cerita tersebut berkisar pada satu atau dua watak utama. Begitu halnya dengan cerita Nabi Yusuf dalam surah ini. Walau bagaimanapun, cerita tersebut agak berbeza kerana kebergantungannya terhadap watak utama Nabi Yusuf begitu ketara. Kehadiran watak-watak lain bersifat sampingan, hanya menjelaskan perkembangan setiap babak yang dialami oleh watak utama, Nabi Yusuf. kehadiran mereka menampakkan bahawa Allah ingin mengetengahkan secara tidak langsung sifat-sifat mulia pesuruh-Nya itu. Misalnya pertembungan Nabi Yusuf dengan saudara- saudaranya ketika beliau menjadi pembesar menjelaskan sifat baik dan pemurah beliau. Tuduhan isteri pembesar iaitu Zulaikha terhadap Nabi Yusuf dan tindakan raja memenjarakannya, serta kerelaannya membuktikan sifat sabar dan tabahnya ketika berdepan dengan ujian. Kesanggupan beliau untuk memegang jawatan penting iaitu bendahara Negara ketika musim kemarau tujuh tahun yang melanda Mesir, menunjukkan ketekunan kerja dan kecekapan beliau. Sikap suka memberi kemaafan kepada saudara-saudaranya yang telah mengkhianatinya suatu ketika dahulu atau pada isteri pembesar yang mengakui kesalahan lantaran memfitnah Nabi Yusuf, membuktikan sikap sabar dan rendah diri atau tidak bongkak. Kehadiran watak lain yang bersifat sementara, tidak dipanjangkan, menguatkan lagi keunikan perkisaran cerita pada watak yang satu. Kurniaan Allah kepada Nabi Yusuf dalam kebolehannya mentakwil mimpi serta bersifat tidak menunjuk-nunjuk, menjelaskan lagi perwatakan Nabi Yusuf seorang yang bertakwa (Zulkarnain 2003: 9).

Dalam surah Yusuf juga terdapat banyak mesej dan pengajaran yang dapat diambil daripada cerita Nabi Yusuf. Walau bagaimanapun mesej-mesej yang terkandung dalam surah ini begitu halus untuk ditanggap. Normalnya dalamsebuah cerita rekaan manusia, terdapat unsur baik dan buruk. Namun begitu, cerita Nabi Yusuf bukan menitikberatkan unsur baik dan buruk. Penekanan diberikan dalam cerita ini pada perkembangan cerita ke arah pengrealisasian sebuah mimpi agung iaitu melihat sebelas bintang, matahari dan bulan sujud kepada Nabi Yusuf. Dengan kata

lain, cerita ini berpusat pada seorang watak iaitu Nabi Yusuf. oleh itu, tanggapan mesej dari cerita ini kompleks berbanding dengan cerita-cerita lain dalam Al-Quran, umpamanya cerita Nabi Musa dan Khaidir. Ketiga-tiga peristiwa yang disebutkan dalam cerita Nabi Musa dan Khaidir adalah untuk mengajar Nabi Musa bahawa ada manusia yang lebih baik daripada baginda dari segi ilmu pengetahuan. Merujuk kepada cerita Nabi Yusuf, terdapat dua pihak yang patut dipersalahkan kerana menyebabkan beliau terpaksa berpisah dengan keluarga dan dipenjarakan. Pihak petama, ialah saudara-saudaranya dan pihak kedua ialah Zulaikha isteri pembesar tetapi mereka bukannya antagonis kerana kesalahan mereka tidak disertai dengan hukuman. Mereka tidak diambil tindakan oleh watak utama Nabi Yusuf dan tidak menerima hukum alam. Watak-watak tersebut bertindak ke arah kesempurnaan sifat keperibadian Nabi Yusuf. Oleh hal yang demikian, mesej tertumpu kepada perkembangan watak Nabi Yusuf dan mesej ini dapat dikategorikan kepada dua lapisan. Lapisan pertama, ditujukan kepada Nabi Muhamad dan para sahabat dan ia menjadi salah satu asbab nuzul. Dengan penurunan surah Yusuf ini juga, Allah Taala ingin memberitahu kejayaan dalam menyebarkan agama Islam akan tiba selepas melalui pelbagai ujian di Mekah. Lapisan kedua, untuk semua lapisan pembaca kerana perkembangan watak Nabi Yusuf agak menyeluruh dan menggambarkan semua lapisan masyarakat. Nabi Yusuf melalui pelbagai peringkat kehidupan bermula sebagai seorang biasa, kemudian menjadi suruhan dan anak angkat pembesar, seterusnya menjalani kehidupan sebagai banduan dan kemudian menjadi pembesar yang hampir menyamai taraf raja (Zulkarnain 2003: 12).

Banyak pengajaran yang dapat ditimba daripada cerita ini dan boleh dirumuskan kepada empat bahagian utama iaitu kesabaran baginda dalam menghadapi cabaran, pekertinya yang mulia, sebagai seorang pemimpin yang adil dan sebagai orang yang pintar dalam mengatur perancangan perbendaharaan Negara. Lapisan pembaca sasaran bukan sahaja rakyat biasa malah mencakupi pembesar dan pentadbir Negara, kerana persoalan dalam surah Yusuf merangkumi persoalan yang luas iaitu hubungan kekeluargaan, sosial, ekonomi dan pentadbiran Negara. Pengajaran dalam hubungan kekeluargaan ialah semua anggota keluarga perlu bersatu padu walaupun kadang-kadang timbul perselisihan. Orang biasa perlu mempunyai pekerti mulia seperti Nabi Yusuf dan tidak mudah tertipu dengan kelebihan sama ada dari segi

kedudukan kewangan, pangkat atau rupa paras kerana Nabi Yusuf mengatasi segenap aspek. Pemerintah atau raja perlu bijak merancang dan mentadbir Negara serta memerintah dengan adil (Zulkarnain 2003: 12).

Pengkaji berpendapat, sekiranya dilihat artikel yang ditulis oleh Dr. Zulkarnain Mohammed, surah Yusuf itu mempunyai unsur-unsur atau pun komponen sastera yang boleh dijadikan sebagai panduan kepada penulis sehingga boleh menjadikan satu karya yang menarik dibaca oleh masyarakat umum. Menurut Puan Ainon, antara keistimewaan surah Yusuf ialah kisah Nabi Yusuf adalah kisah paling lengkap berkenaan sejarah hidup seorang Nabi dalam Al-Quran, yang mana bermula semenjak Nabi Yusuf kecil sehinggalah beliau meningkat dewasa. Semua ayat berkenaan kisah Nabi Yusuf terkumpul dalam satu surah khas, yakni surah Yusuf, berbeza dengan ayat-ayat berkenaan kisah nabi-nabi lain yang tidak terkumpul dalam surah yang dinamai nama masing-masing. Selain itu, cerita berkenaan Nabi Yusuf dimulai dengan ayat prolog yang bermaksud, “Kami sampaikan kepadamu, wahai Muhammad, sebuah kisah yang paling indah.” Ayat ini membayangkan sebuah kisah indah itu perlu ada jalan cerita, perwatakan, gaya bahasa dan gaya penceritaan. Ayat ini juga memberi bayangan apa yang ditunjukkan dalam surah Yusuf adalah dibenarkan dalam teori sastera Islami.

Sastera Islami adalah sastera yang berpandukan ciri-ciri karya sastera Islam. Karya yang berunsurkan Islam akan menghasilkan karya yang baik yang boleh membawa kebaikan kepada pembaca dan masyarakat tanpa mengambil kira latar belakang pengarangnya. Dengan menggunakan konsep sastera Islam maka semua jenis kategori karya kreatif yang selaras dengan hukum-hakam agama kita, dan sesuai dengan dengan nilai-nilai murni universal dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat. Definisi sastera Islam perlu berdasarkan unsur-unsur dan ciri-ciri formal yang bersifat eksternal sastera seperti latar belakang penulisnya. Bagi tujuan menetapkan unsur-unsur dan ciri-ciri internal yang membezakan karya sastera Islam dan buka Islam, maka unsur-unsur dan ciri-ciri formal internal itu perlu digali daripada Al-Quran. Hal ini yang cuba dilakukan dengan mengemukakan gagasan awal yang dinamakan teori dan teknik surah Yusuf (Ainon Mohd 2011: 5). Antara ciri-ciri sastera Islami ialah hendaklah mempromosikan idea mengenai kewujudan Allah swt

dalam karya penulis. Selain itu, mempromosi idea-idea yang selaras dengan ajaran Al- Quran dan hadith. Seterusnya, tidak memberi kemenangan kepada watak yang melakukan kesalahan seperti cerita seorang peniaga yang melakukan rasuah dapat hidup dalam keadaan makmur dan kaya raya. Akhir sekali, tidak memberikan status rendah kepada agama Islam.

Dalam teori sastera aliran konvensional, karya sastera berfungsi menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku dalam dunia realiti. Berdasarkan prinsip ini, karya sastera boleh mendedahkan semua bentuk perkara yang baik dan yang tidak baik seadanya. Manakala dalam teori sastera Islami iaitu teori surah Yusuf, segala maklumat yang disampaikan dalam surah itu adalah kisah benar yakni realiti. Oleh itu, surah Yusuf hanya menceritakan tentang kisah benar sahaja, justeru peristiwa abang-abang yang sanggup membunuh adik sendiri disebabkan berebut kasih sayang semata-mata, dan peristiwa perempuan-perempuan Mesir yang terpesona apabila memandang Nabi Yusuf sehingga mereka tidak sedar telah melukai jari (http://sasteraislami.blogspot.com). Surah Yusuf hanya menceritakan apa yang benar, maka di manakah perbezaan antara teori realism konvensional dengan teori realism sastera Islami?

Dalam teori sastera konvensional, segala yang berlaku dalam reality dibenarkan dipaparkan dalam karya, dan pengarang diberi kebebasan mutlak memilih mana realiti yang ingin dipaparkan dan yang mana tidak. Pengarang juga diberikan kebebasan menulis realiti tersebut dengan apa juga teknik yang dipilihnya. Dalam teori konvensional pengarang diberikan kebebasan mutlak dalam 4 perkara (http://sasteraislami.blogspot.com) :

1 kebebasan memilih tema

Dalam teori konvensional, pengarang mempunyai kebebasan mutlak memilih apa sahaja tema bagi karyanya. Pengarang Islami diberikan kebebasan memilih tema sama seperti pengarang konvensional iaitu secara terbuka. Sebagai contoh, jika pengarang konvensional bebas memasukkan unsur-unsur maksiat dalam sastera, maka pengarang Islami juga bebas

melakukannya. Berdasarkan surah Yusuf terdapat juga tema perbuatan mungkar seperti anak derhaka, godaan perempuan, isteri curang, suami dayus dan pembunuhan.

2 kebebasan memilih peristiwa

Pengarang konvensional diberi kebebasan memilih apa sahaja peristiwa bagi dipaparkan dalam karyanya, tetapi bagi sastera Islami perkara tersebut terbatas. Contohnya dalam surah Yusuf, bagi tema pembunuhan, tidak ada papran teknikal bagaimana perbuatan abang-abang Nabi Yusuf cuba membunuh beliau. Hal ini menunjukkan pengarang Islami tidak dibenarkan untuk memberi penerangan terhadap peristiwa tersebut secara terperinci.

3 kebebasan memilih objek

pengarang konvensional diberi juga kebebasan dalam memilih sebarang objek yang mahu digambarkan secara terperinci, tetapi bagi pengarang Islami ia terbatas. Contoh, pengarang konvensional dibenarkan menggambarkan dengan terperinci bentuk tubuh badan semua watak- wataknya apa lagi bentuk tubuh badan perempuan yang cantik-cantik. Perkara ini sangat berbeza dengan pengarang Islammi. Dalam surah Yusuf tidak ada sama sekali maklumat tentang ciri-ciri fizikal ketampanan Nabi Yusuf dan kejelitaan Zulaikha. Hal ini menunjukkan pengarang Islami tidak dibenarkan menerangkan rupa bentuk tubuh badan dan pakaian yang dipakai oleh watak-watak yang terlibat dalam karya mereka.

4 kebebasan memilih kosa kata

pengarang konvensional diberikan kebebasan dalam pemilihan kosa kata tetapi tidak bagi pengarang Islami. Pengarang konvensional bebas menggunakan sebarang perkataan dan frasa sebagaimana yang digunakan dalam alam realiti. Dalam surah Yusuf, tidak terdapat perkataan-perkataan

yang dianggap bahasa kotor, bahasa lucah, bahasa kasar dan nista. Pengarang Islami tidak dibenarkan menggunakan kosa kata sedemikian dalam menghasilkan karya.

Dokumen terkait