• Tidak ada hasil yang ditemukan

RUMUS TEORI SURAH YUSUF

APLIKASI TEKNIK SURAH YUSUF

4.2 RUMUS TEORI SURAH YUSUF

Mengapa teknik penulisan surah Yusuf hanya menggariskan satu panduan umum bagi para penulis? Teknik surah Yusuf menggariskan satu teori atau rumus yang umum supaya teori ini boleh diaplikasikan oleh semua penulis novel tidak kiralah mereka itu golongan penulis yang bergenre sejarah, horror (seram), romantik, thriller, dan sebagainya. Teknik penulisan surah Yusuf juga satu teknik yang mudah difahami dan diaplikasi oleh penulis kerana ia adalah satu rumus yang senang dan mudah digunakan oleh penulis umum.

Dalam buku Panduan Menulis Novel : Teknik Surah Yusuf, dinyatakan berkaitan dengan isi kandungan teori surah Yusuf hasil daripada dapatan kajian yang dijalankan ke atas data teks surah Yusuf. Dapatan kajian dan analisis tersebut dijadikan ciri-ciri yang perlu diwujudkan dalam novel bagi menghasilkan karya indah dan tahan lama. Rumus penting dalam teori dan teknik penulisan surah Yusuf adalah seperti berikut :

1 Kisah benar

Kisah nabi Yusuf adalah kisah yang benar-benar pernah berlaku yakni bukan cerita rekaan. Justeru, cerita yang indah dan dapat kekal evergreen adalah cerita yang berdasarkan kisah benar. Dalam dunia sebenar, sukar bagi menghasilkan novel berdasarkan kisah benar semata-mata, tetapi sekiranya sebahagiannya adalah berdasarkan kisah benar sudah mencukupi. Contoh cerita dalam sastera Melayu klasik yang mengandungi kisah benar adalah Hikayat Hang Tuah. Dalam hikayat tersebut, bukan semua yang diceritakan adalah kisah benar, tetapi sebahagiannya adalah benar. Novel Lasykar Pelangi karya Andrea Hinata mengandungi banyak maklumat dan kisah benar. Dalam teori surah Yusuf, aspek kisah benar adalah aspek keindahan pada karya, yakni apabila novel itu mengandungi kisah benar dan maklumat yang benar, maka karya tersebut bepeluang menjadi sebuah kisah yang indah (Ainon Mohd. 2011:13).

2 Tema utama dalam cerita adalah tema keluarga atau bersifat ringan

Kisah nabi Yusuf berkenaan dengan keluarga beliau. Tema keluarga menjadikan cerita itu sesuai dibaca oleh semua anggota keluarga bermula dari ibu bapa sehingga anak-anak. Tema agama adalah tema yang sentiasa relevan sepanjang zaman dan tidak akan basi sampai bila-bila. Ia dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat baik yang kaya, miskon, berpelajaran tinggi, lelaki mahupun perempuan. Justeru, pasaran bagi tema keluarga adalah besar berbanding dengan tema yang lain. Aspek tema keluarga adalah aspek keindahan pada karya, yakni apabila novel itu mengemukakan tema keluarga akan berpeluang menjadi karya yang indah serta bertahan di pasaran.

Dalam novel Abu Ubaidah Penakluk Parsi karya Abdul Latip Talib telah menggambarkan Abu Ubaidah al-Jarrah, Abu Bakar as-Siddiq, Sumarah (hamba perempuan kepada Abu Ubaidah) adalah watak-watak yang mewakili tema ketuhanan yang sanggup syahid di jalan Allah dan kebaikan. Contohnya, dalam novel tersebut pengarang menulis :

“Saya tidak takut sesiapa selain Allah. Saya sanggup mati demi mempertahankan keyakinan ini,” balas Abu Ubaidah al- Jarrah. Kata-kata Abu Ubaidah itu ibarat mencurahkan minyak ke dalam api. Kemarahan ayahnya tidak dapat dibendung lagi. Pedang dihunus dan mengacukan ke leher Abu Ubaidah. “Saya merayu jangan bunuh dia. Dia sudah terkena sihir Muhammad. Lebih baik halau sahaja dia dari rumah ini,” kata isteri abu Ubaidah dan disokong oleh ibunya (Abdul Latip 2009:47).

3 Watak utama adalah lelaki

Watak utama yang terdapat dalam kisah nabi Yusuf adalah nabi Yusuf sendiri dan beliau adalah seorang lelaki. Sebagai watak utama, beliau adalah lelaki yang mempunyai sifat-sifat ideal, seorang yang tampan dan baik akhlaknya. Watak utama ditimpa malang sekurang-kurangnya lima kali. Beliau berkonflik dengan sekurang-kurangnya lima pihak. Pada akhir cerita, watak utama berjaya. Cerita yang mengetengahkan lelaki sebagai watak utama dapat dinikmati baik oleh lelaki mahupun perempuan. Pola seperti ini berlaku dalam semua karya sastera dunia, filem dan komik. Dalam teori surah Yusuf, aspek perempuan adalah sebagai watak pembantu dan dianggap sebagai aspek keindahan pada karya bukan halal haram (Ainon Mohd 2011:14).

Contohnya, penulis Hayati Ridhwan telah menampilkan watak lelaki dalam karya beliau yang bertajuk Tok Kenali. Beliau adalah antara ulama yang membangunkan pemikiran umat Islam selain menjadi pencetus ilmu pengajian Islam di nusantara pada awal abad ke-20. Penulis menerangkan dalam karya beliau :

Kepulangan Awang Kenali dari Mekah dianggap sebagai satu titik permulaan ke arah perubahan pemikiran rakyat Kelantan. Penduduk negeri Kelantan seolah-olah sedang menunggu

kepulangannya, dan mengharapkan semoga ilmu pengetahuan yang dipelajari di Mekah dapat dikongsi bersama (Hayati Ridhwan 2011:97).

Akan tetapi, berbanding dengan penulis novel sejarah iaitu Zahiruddin Zabidi telah menampilkan watak utama dalam karya beliau adalah perempuan, iaitu Rabiatul Adawiyah Perindu Cinta Abadi. Hal ini tidak menjadi satu masalah sebenarnya kerana watak perempuan dianggap sebagai sesuatu yang indah dalam karya. Lebih-lebih lagi penulis mengambil seorang tokoh perempuan yang diangkat tarafnya menjadi wali Allah. Rabiatul Adawiyah kekal dengan kecintaannya terhadap Allah. Penulis menggambarkan perwatakan Rabiatul Adawiyah yang sentiasa mengingati Allah seperti berikut :

Walaupun dalam serba kekurangan dan kedaifan, Rabiah tetap jua membesar bertunjangkan kecintaan dan pengabdian diri kepada Allah dengan zikir dan munajat serta ibadah yang berterusan itu ia memberi Rabiah cas-cas tenaga yang sangat kuat. Pada siangnya diperhambakan oleh sepasang suami isteri yang zalim, tetapi malamnya dihiasi dengan perhambaan kepada tuan segala tua, raja segala raja dan kekasih segala kekasih (Zahiruddin 2010: 80).

4 Tempoh cerita yang panjang

Dalam kisah nabi Yusuf, tempoh cerita adalah panjang iaitu sejak watak masih kanak-kanak sehingga beliau meningkat dewasa. Pada masa kini, banyak penulis novel yang menulis novel berdasarkan yang berlaku dalam waktu yang singkat. Ada cerita novel yang berlaku dalam masa sehari semalam sahaja ataupun dalam tempoh masa sebulan mahupun setahun. Dalam Hikayat Hang Tuah tempoh masa ceritanya adalah sepanjan kehidupan watak utama tersebut.

Di sini disertakan contoh novel sejarah Islam yang mempunyai tempoh penceritaan yang panjang. Contohnya, novel sejarah srikandi Islam iaitu

Rabiatul Adawiyah yang dimulakan penceritaannya dengan perbualan ayah Rabiatul Adawiyah iaitu Ismail al-Adawiy bercerita dengan isterinya :

Ismail al-Adawiy, suami kepada isteri yang bakal melahirkan itu bersuara, “Isteriku, bersabar dan tabahlah. Tuhan sentiasa bersama orang yang sabar.” Ismail menyedari keperitan hidup yang dialami oleh mereka itu. “Saya faham, tetapi semakin hari kita semakin susah. Tidakkah ada ikhtiar bagi kita mengatasinya? Saya sangat kasihankan anak-anak kita. Lagipun tidak lama lagi kita bakal menyambut kelahiran anak keempat.” Isterinya yang setia tidak mengeluh tetapi sekadar berkongsi bersama suami tersayang (Zahiruddin 2010 : 1-2).

Manakala contoh lain boleh dilihat dalam novel sejarah Islam Hijrah Permulaan sebuah Kegemilangan iaitu hasil karya Abdul Latip Talib. Penulis memulakan penceritaan dengan watak Abrahah bin Asram bersama pasukan tenteranya meredah padang pasir Yaman menuju ke kota Sana’a dan kepulangan beliau disambut gembira oleh pengikutnya (Abdul Latip 2011: 1- 2).

“Aku baru pulang dari menghadap Najashi. Ada dua perkara penting yang ingin aku maklumkan kepada kamu semua. Pertama, aku dilantik menjadi gabenor Yaman. Kedua, aku menganut agama Nasrani, kerana itu aku mahu kamu juga turut menganutnya. Jangan ada sesiapa yang berani menyanggah perintah aku,” beritahu Abrahah bin Asram kepada orang ramai yang berkumpul di hadapan istananya di tengah kota Sana’a.

“Abrahah pemimpin kami!”

5 Jumlah watak lebih 20 orang

Jumlah watak dalam kisah nabi Yusuf adalah banyak sekurang-kurangnya 20 orang. Jumlah watak yang banyak membolehkan cerita itu menjadi kompleks atau sangat kompleks. Jalan cerita yang kompleks akan lebih mengasyikkan apabila dibaca dibandingkan dengan cerita yang mudah dengan watak yang hanya dua atau tiga orang sahaja. Dalam cerita nabi Yusuf watak baik tidak banyak. Watak yang baik adalah nabi Yusuf, ayahnya nabi Yaakub dan saudaranya nabi Bunyamin dan Raja Mesir. Dalam Hikayat Hang Tuah, jumlah watak jahat lebih banyak daripada watak baik.

Sekiranya melihat hasil karya al-Ghazali yang berjudul Talhah bin Ubaidillah Syahid yang Hidup, terdapat banyak watak dalam novel tersebut supaya dapat menarik dibaca oleh para pembaca dan bagi menghidupkan suasana yang berlaku pada ketika itu. Antara watak yang terlibat dalam karya tersebut Talhah bin Ubaidillah. Utbah bin Abdul Asad, Sya’bah binti Hadrami iaitu ibu kepada Talhah, Naufal bin Khuwailid, Abdullah bin Zubair, pembesar-pembesar Quraisy, Umaimah iaitu hamba kepada keluarga Talhah. Kewujudan watak yang banyak dalam sesebuah novel akan mengindahkan lagi karya tersebut dan pembaca akan berasa seolah-olah diri mereka berada pada zaman tersebut.

6 Watak jahat

Terdapat aspek penting berkenaan nasib watak-watak jahat dalam surah Yusuf, yang mana dalam kisah anbi Yusuf watak jahat tidak dihukum sebaliknya pada penghujung cerita, mereka semua insaf. Watak jahat yang paling menonjol ialah Siti Zulaikha dan abang-abang tiri nabi Yusuf sendiri. Tidak seorang pun watak jahat tersebut dimatikan ataupun ditimpa malang akibat daripada perbuatan jahat mereka. Aspek ini berbeza dengan cerita konvensional, setiap watak jahat dibalas dengan kejahatan. Dalam karya yang indah, watak jahat perlu ada, tetapi tidak boleh terlalu jahat. Sekiranya terlalu jahat akan menjatuhkan nilai keindahan sesebuah karya. Dalam kisah nabi Yusuf, watak

jahat juga mempunyai perwatakan yang baik. Siti Zulaikha melayan hambanya dengan begitu baik. Begitu juga dengan abang-abang tiri nabi Yusuf yang menjaga ayah dan ibu tiri mereka dengan baik (Ainon Mohd. 2011: 166).

Dalam novel Abu Ubaidah Penakluk Parsi, antara watak jahat yang diketengahkan oleh Abdul Latip Talib ialah Abu Jahal, Umaiyah bin Khalaf, Raja Kaisar Hercules dan panglima Theodorus. Contohnya, dapat dilihat melalui perwatakan Abu Jahal dan Umaiyah bin Khalaf :

“Beritahu Abu Sufian yang kami tidak berpatah balik ke Mekah sebelum sampai Badar. Kami akan tinggal di sana selama tiga hari tiga malam. Kami mahu menunjukkan kepada para pengikut Muhammad yang kami bersedia untuk berperang,” kata Abu Jahal dengan angkuh.

“Benar kata Abu Jahal. Kami mahu perangi Muhammad dan kesemua pengikutnya sehingga mereka binasa!” sahut Umaiyah bin Khalaf (Abdul Latip 2009:133).

7 Tidak mempunyai babak percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim

Meskipun dalam kisah nabi Yusuf hadir watak Siti Zulaikha, tetapi tidak terdapat babak yang menggambarkan pergaulan lelaki dan perempuan yang melaggar hukum syariah. Tidak ada babak lelaki dan perempuan berdua-duaan ataupun babak-babak berasmara, ataupun majlis-majlis di mana lelaki dan perempuan bergaul secara bebas, yang digambarkan secara terperinci.

Dapat dibuktikan dalam karya Zahiruddin Zabidi yang berjudul Rabiatul Adawiyah Perindu Cinta Abadi, penulis menggambarkan keadaan apabila Rabiatul Adawiyah ditemui oleh seorang lelaki yang bernama Abdullah untuk memikat hati beliau dan utusan Raja Basrah untuk meminang beliau. Penulis mengetengahkan perwatakan Rabiatul Adawiyah yang sentiasa

menjaga tatatertibnya sebagai seorang yang solehah sekiranya beliau bertemu dengan lelaki.

Selepas beberapa lama menunggu terdengar suatu suara yang bertanya kepada Abdullah yang sedang bersila di ruang tamu dengan pandangan ke bawah. “Apakah hajatmu wahai saudaraku?”. Abdullah mendongak dan terkejut dengan apa yang dilihatnya. Gentar sanubarinya saat matanya bertembung dengan mata Rabiah. Timbul perasaan yang sukar digambarkan. Dia segera menginsafi kata-kata takburnya sebelum ini (Zahiruddin 2010:145)

Selepas beberapa lama menunggu, Rabiah pun keluar. Sekalian yang ada terpaku pada lembaga manusia yang berbungkus serba putih tanpa mendedahkan wajahnya itu. Namun mereka semua berbisik, “Ini adalah secantik-cantik dan seindah-indah akhlak manusia yang ada di muka bumi. “Khabarnya ada perutusan daripada Raja Basrah kepada saya?” Tanya Rabiah lembut. Suaranya hanya dengar dalam linkunga terdekat sahaja (Zahiruddin 2010 : 160).

8 Bahasa yang digunakan adalah ragam bahasa tinggi

Seluruh ayat Al-Quran disampaikan menggunakan bahasa Arab Tinggi. Tidak ada sepotong ayat pun yang tidak menggunakan bahasa tinggi. Begitu juga dalam surah Yusuf. tidak ada bahasa campur aduk dengan bahasa yang asing. Tidak ada gaya bahasa yang manja, gaya bahasa bayi dan gaya bahasa yang mesra. Tidak mempunyai dialog yang menggunakan bahasa yang kesat. Tidak juga mempunyai bunyi-bunyi anomotapia, contohnya, “Oh! Hai! Hmm! Ha!”

Oleh hal yang demikian, dalam teknik penulisan surah Yusuf, lebih menitikberatkan penggunaan bahasa formal daripada bahasa tidak formal. Sekiranya menggunakan laras bahasa yang tinggi akan mengindahkan lagi

sebuah cerita tersebut dan akan difahami sampai bila-bila. Contoh laras bahasa yang tinggi yang digunakan dalam novel Tok Kenali :

Dari jauh matanya melihat asap nipis yang keluar dari jendela dapur, menandakan hidangan tengah hari sedang disiapkan. Separu bahagian dapur agak tersorok daripada pandangan kerana dahan pohon rambutan yang merimbun, sedikit condong ke arah kanan dapur. Di bawahnya terdapat sebuah kerusi panjang yang sudah uzur kayunya. Cuaca terik pada ketika itu. Matahari sedang berdiri tegak di atas kepala dan kulitnya tampak kemerah-merahan akibat panas pancaran matahari (Hayati Ridhwan 2011:1).

Dokumen terkait