• Tidak ada hasil yang ditemukan

RUMUSAN KAJIAN

APLIKASI TEKNIK SURAH YUSUF

5.1 RUMUSAN KAJIAN

Tidak dapat dinafikan lagi penulisan novel fiksyen sejarah Islam semakin berkembang di Malaysia dan setanding dengan novel-novel lain. Sejurus itu, kemunculan novelis- novelis fikssyen sejarah Islam juga semakin mendapat tempat di hati pembaca sama seperti novelis yang menghasilkan novel yang bergenre romantik mahupun thriller. Antara novelis fiksyen sejarah yang terkenal ialah Abdul Latip Talib, Zahiruddin Zabidi, Al-Ghazali dan ramai lagi. Seperti yang pengkaji ketahui, novel sejarah adalah novel yang mempunyai ketetapan tempoh sejarah dan memperkenalkan beberapa tokoh sejarah yang terkenal dan peristiwa penting yang berlaku. Penghasilan novel sejarah bukan mudah untuk dihasilkan kerana ia melibatkan tarikh, tokoh dan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah. Oleh itu, bagi menghasilkan sebuah novel fiksyen sejarah yang baik, pemilihan teknik penulisan yang sesuai amat penting bagi menghidupkan kisah tersebut.

Dalam bab satu, pengkaji telah menyatakan sedikit sebanyak tentang latar belakang kajian, permasalahan kajian, objektif kajian dan metode kajian yang digunakan oleh pengkaji. Permasalahan kajian yang cuba diutarakan oleh pengkaji ialah bagaimana para novelis berjaya menghasilkan novel fiksyen sejarah Islam dan menjadi kegemaran kepada pembaca. Pengkaji berpendapat para novelis memilih teknik penulisan yang betul sehingga berjaya menghasilkan sebuah novel fiksyen sejarah yang mendapat perhatian daripada pembaca. terdapat dua objektif kajian yang ditetapkan oleh pengkaji iaitu memperihalkan serta menilai metode aplikasi teknik surah Yusuf dalam penulisan beberapa karya novel fiksyen sejarah Islam yang

terpilih. Pengkaji juga telah menggunakan beberapa sumber rujukan utama seperti yang telah dinyatakan dalam kajian literature dalam bab satu bagi membantu pengkaji menjawab permasalahan yang ditimbulkan.

Dalam bab dua, pengkaji membincang tentang novel fiksyen sejarah Islam secara ringkas. Konsep novel fiksyen sejarah Islam adalah berdasarkan usaha penulis dalam melakukan penyelidikan tentang sesuatu fakta yang ingin mereka novelkan sebelum mereka membuat penulisan. Penulis hendaklah menganalisis terlebih dahulu fakta yang diperolehi dan disusun dengan teliti sebelum diolah menjadi sebuah kisah. Seorang penulis juga hendaklah berkemahiran dalam berimaginasi tetapi bagi penulisan novel fiksyen sejarah penggunaan daya imaginasi adalah terhad kerana ia melibatkan fakta sejarah. Perkembangan novel sejarah secara umumnya telah wujud sejak tahun 1920-an lagi, contohnya novel Faridah Hanum (1925) karya Syeikh al- Hadi, Salina (1961) karya A. Samad Said dan novel Lingkaran (1965) karya Arena Wati. Dapat dilihat di sini, perkembangan novel hanya berlaku sekitar dari tahun 1920-an sehingga tahun 1960-an, dan hanya kembali popular pada tahun 2007 iaitu dengan kemunculan novelis sejarah Islam nombor satu Malaysia iaitu Abdul Latip Talib. Mungkin novel sejarah ada dihasilkan selepas daripada tahun 1960-an, tetapi tidak mendapat perhatian daripada pembaca kerana mereka lebih berminat novel yang bukan bergenre sejarah. Oleh sebab itulah novel sejarah hanya muncul kembali pada tahun 2007.

Antara karya-karya yang telah dihasilkan ialah Salahudin Penakluk Jerusalem (2007) hasil karya Abdul Latip Talib, Rabiatul Adawiyah : Perindu Cinta Abadi (2010) hasil karya Zahiruddin Zabidi dan Abu Zhar al-Ghifari : Pembela Golongan Miskin (2011) karya Al-Ghazali dan banyak lagi. Seperti yang pengkaji nyatakan sebelum ini, bagi menghasilkan novel yang baik, pemilihan teknik penulisan hendaklah dilakukan dengan tepat supaya karya yang dihasilkan dapat memberi kesan terhadap diri dan minda pembaca. Seorang penulis hendaklah meletakkan diri mereka sebagai tukang cerita atau pakar cerita. Perkara utama yang perlu dilakukan ialah mencari cara bagaimana penulis hendak menurunkan idea, ilham mereka dalam penulisan yang ingin dihasilkan. Lazimnya, sesebuah kisah yang lengkap mestilah mempunyai tema cerita, watak dan perwatakan, latar masa, tempat dan masyarakat,

serta gaya bahasa yang menarik. Oleh itu, PTS (Professional Training Centre) telah membina satu gagasan baru iaitu teknik penulisan surah Yusuf. Teknik ini diambil daripada tafsiran ayat surah Yusuf dan telah dipelopori oleh Puan Ainon Mohd sendiri iaitu pemilik PTS. Beliau berpendapat surah Yusuf menjadi suatu keperluan kepada sastera Islam. Hal ini demikian kerana, ciri-ciri keindahan yang terdapat dalam surah Yusuf wajar dijadikan contoh bagi penghasilan karya-karya yang berbentuk Islami.

Seterusnya dalam bab ketiga pengkaji cuba menjawab objektif kajian yang kedua iaitu memperihalkan gagasan konsep teknik surah Yusuf dalam penulisan novel fiksyen sejarah Islam di Malaysia. Pengkaji cuba menjawab objektif ini dengan mewujudkan lagi beberapa subtopik dalam bab tiga. Pertama, berkaitan tentang pelopor bagi teknik penulisan surah Yusuf. tersebut iaitu Puan Ainon Mohd. Beliau mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang linguistik dari Universiti Malaya. Beliau juga mempunyai diploma Penterjemahan dan Interpretasi dari Universiti Malaya. Beliau memulakan kerjaya di Dewan Bahasa dan Pustaka dari tahun 1973 hingga tahun 1988. Sepanjang beliau bekerja, beliau berpengalaman memegang dalam pelbagai portfolio di Dewan Bahasa dan Pustaka dan pernah menjadi pensyarah sambilan di Universiti Malaya. Beliau telah menubuhkan PTS Consultans Sdn. Bhd pada tahun 1988. Beliau juga pernah menghasilkan beberapa buah buku bersama dengan suaminya.

Berkaitan tentang teknik surah Yusuf, apabila beliau ditanya dalam blog beliau, mengapa surah Yusuf menjadi pilihan beliau mengatakan surah Yusuf adalah fokus kajian beliau dan beliau tidak berupaya untuk merungkai seluruh Al-Quran kerana pegetahuan yang terbatas. Surah Yusuf mempunyai rentetan plot cerita yang menarik bermula daripada Nabi Yusuf dari kecil sehinggalah beliau meningkat dewasa. Puan Ainon telah mengaplikasikan ciri-ciri keindahan yang terdapat dalam surah Yusuf menjadi satu teknik penulisan. Teknik penulisan yang dihasilkan bertujuan untuk menghasilkan sebuah karya yang indah dan menarik serta boleh bertahan lama di pasaran. Cerita Nabi Yusuf dijadikan model bagi karya sastera Islami. Jika sesebuah karya dihasilkan mengikut model sastera Islami, karya tersebut tidak akan mengalami sebarang masalah sama ada penerimaan daripada pembaca, daripada pihak penerbitan dan sebagainya. Maksud sastera Islami di sini ialah, karya

tersebut tidak mempunyai unsur-unsur yang meragukan dan tidak mempunyai perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran agama serta apabila dibaca akan mendatangkan kesan yang baik terhadap diri dan minda pembaca. Dalam Al-Quran pun, ayat-ayat yang disampaikan kepada Nabi Muhammad daripada Allah swt melalui perantaraan malaikat Jibril menggunakan gaya bahasa yang indah dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh Puan Ainon, terhadap keindahan surah Yusuf, terdapat tiga fungsi sastera dalam surah tersebut iaitu mengajak pembaca berfikir, menyampaikan perintah Allah swt kepada pembaca dan menyampaikan pelajaran. Sememangnya Al-Quran mempunyai pelbagai cerita ibarat dan analogi yang digunakan sebagai teladan kepada kehidupan masa kini.

Justeru itu, dengan berpandukan hasil kajian yang diperolehi oleh Puan Ainon, beliau telah menulis satu buku iaitu teknik penulisan surah Yusuf. Teknik penulisan yang terdapat dalam buku ini diambil daripada ciri-ciri keindahan yang terdapat dalam surah Yusuf. Timbulnya pelbagai teknik dalam buku ini setelah dihurai satu per satu ciri-ciri keindahan surah Yusuf. Antara rumus teori teknik surah Yusuf ialah kisah benar, tempoh cerita yang panjang. Kisah-kisah yang terdapat dalam Al-Quran semuanya kisah benar tidak ada cerita rekaan dan kebanyakannya memakan tempoh masa yang agak lama. Daripada rumus teori kisah benar dan tempoh penceritaan yang agak panjang, Puan Ainon telah membina satu teknik plot yang mudah berdasarkan urutan plot yang terdapat dalam surah Yusuf supaya mudah digunakan oleh penulis baru yang ingin memulakan kerjaya dalam alam penulisan. Selain itu, bagi menghasilkan sebuah karya yang mempunyai tempoh masa yang agak panjang, memerlukan penelitian terhadap pemilihan latar tempat dan masa. Oleh itu, Puan Ainon mengambil contoh daripada surah Yusuf yang menggunakan latar tempat yang banyak dan latar masa yang begitu lama bermula dari kehidupan Nabi Yusuf semenjak kecil lagi sehingga menjadi pembesar di Mesir, dengan adanya ciri seperti ini, maka karya yang dihasilkan oleh penulis akan menjadi lebih menarik dan lebih kompleks. Di samping itu, teknik penulisan surah Yusuf lebih banyak menggunakan teknik dialog. Hal ini kerana, dialog lebih mudah dibaca dan difahami oleh pembaca. Penggunaan dialog dalam karya akan membuatkan karya tersebut menjadi lebih hidup. Lebih-lebih lagi jika penulis menggunakan ayat-ayat dialog yang pendek yang

cepat dibaca oleh pembaca. Membaca ayat dialog seolah-olah pembaca akan berasa diri mereka berada di tempat watak yang dipilih oleh penulis.

Namun, setiap kebaikan pasti ada keburukan, setiap kekuatan pasti ada kelemahan. Pengkaji berpendapat mungkin ada sedikit kelemahan pada teknik penulisan surah Yusuf. Pengkaji tidak bermaksud untuk mengkritik secara berlebih- lebihan tentang teknik penulisan surah Yusuf, kerana pengkaji sendiri tahu surah Yusuf itu adalah antara surah yang terdapat dalam Al-Quran. Cuma, ciri keindahan yang telah diaplikasi menjadi rumus teori dan teknik surah Yusuf oleh Puan Ainon dalam buku beliau, pengkaji berpendapat ada sedikit kelemahan di situ. Terutamanya dari segi penggunaan teknik dialog. Pengkaji sedia maklum, teknik penulisan surah Yusuf lebih banyak menggunakan pendekatan dalam dialog dalam karya. Memang tidak salah menggunakan ayat dialog dalam sesuatu karya, akan tetapi bagi pendapat pengkaji, teknik penggunaan dialog perlu dikurangkan penggunaannya terutamanya dalam penghasilan novel fiksyen sejarah Islam. Hal ini demikian kerana, dialog-dialog yang digunakan oleh para penulis dalam novel fiksyen sejarah Islam akan mendatangkan kekeliruan bagi pembaca. Kekeliruan yang dimaksudkan pengkaji di sini ialah pembaca pasti akan tertanya-tanya sama ada dialog yang disampaikan oleh penulis dalam novel fiksyen sejarah Islam itu dialog yang benar atau pun rekaan semata-mata. Bagi novel yang bukan bergenre sejarah mungkin tidak ada masalah menggunakan teknik dialog yang banyak dalam karya tersebut, kerana bagi novel sedemikian lebih banyak dialog yang digunakan lebih menarik jalan cerita tersebut dan lebih mudah diadaptasi menjadi sebuah filem atau drama berbanding dengan novel fiksyen sejarah. Mungkin bagi golongan pembaca yang mempunyai pengetahuan yang lebih mendalam berkaitan dengan sejarah Islam, mereka tidak akan menganggap novel fiksyen sejarah Islam itu sebagai satu peristiwa yang benar-benar berlaku, ia cuma sebagai satu gambaran sahaja terhadap latar belakang peristiwa tersebut, berbeza dengan golongan yang tidak mempunyai ilmu yang mendalam terhadap sejarah Islam, mereka akan menganggap novel yang dihasilkan itu adalah kisah yang benar seperti yang berlaku dalam peristiwa sejarah. Tetapi, kenyataannya pencairan terhadap fakta sejarah telah berlaku dalam novel fiksyen sejarah Islam sehingga menyebabkan fakta yang terdapat dalam novel tersebut diragukan

kebenarannya kerana telah ditokok tambah dengan pelbagai teknik penulisan bagi menjadikan cerita dalam novel tersebut menarik perhatian pembaca.

Dari aspek lain, bagi pendapat pengkaji, penggunaan frasa “teknik penulisan surah Yusuf” perlu ditukar kepada nama lain seperti “teknik penulisan bersumberkan surah Yusuf”, ataupun “teknik penulisan berinspirasikan surah Yusuf”. Hal ini demikian kerana, bukan surah Yusuf sahaja yang terdapat dalam Al-Quran, terdapat jua surah lain di dalamnya, dan pengkaji juga mengetahui Al-Quran sebagai mukjizat Nabi Allah iaitu Nabi Muhamad saw mempunyai gaya bahasa yang menarik yang tidak mungkin ditandingi oleh mana-mana sastera sekalipun. Bahasa Al-Quran merupakan rangkaian kata-kata yang sangat indah dan hebat. Al-Quran memiliki gaya bahasa yang tinggi, ungkapan kata yang jelas yang dapat mempengaruhi jiwa pembaca dan pendengar kerana citarasa bahasanya yang menarik. Pengkaji berpendapat, kemungkinan Puan Ainon boleh menukar frasa “teknik penulisan surah Yusuf” seperti yang telah dinyatakan. Surah Yusuf sememangnya sudah sedia ada dalam Al-Quran dan Allah swt telah memberi satu panduan umum kepada manusia yang ingin menghasilkan sastera hasanah iaitu sastera yang baik yang boleh memberi manfaat kepada manusia. Allah swt hanya memberi satu panduan umum sahaja kepada para penulis dalam surah Yusuf ini, ia bukanlah sesuatu yang khusus yang ditetapkan dalam Al-Quran berkaitan tentang pendekatan sastera. Panduan menulis teknik surah Yusuf ini hanyalah pendekatan PTS dalam menghasilkan novel fiksyen sejarah Islam dan teknik ini adalah sebagai satu gagasan bagi menghasilkan sebuah novel yang baik, menarik serta boleh bertahan lama di pasaran. Di samping itu, seperti yang telah dinyatakan oleh pengkaji,, teknik penulisan surah Yusuf ini dicipta dan dihasilkan berdasarkan hasil kajian Puan Ainon terhadap surah ini dan menjadikan dapatan kajian beliau itu sebagai teknik penulisan surah Yusuf.

Walaupun begitu, pengaplikasian teknik surah Yusuf dalam novel fiksyen sejarah Islam di Malaysia ada kebaikannya. Sekiranya teknik ini diaplikasi oleh penulis dalam karya mereka, karya tersebut tidak akan menimbulkan masalah dan boleh sahaja dibaca oleh pembaca dan diterbitkan oleh pihak penerbit kerana karya yang berunsurkan sastera Islami terjaga keterbatasannya dalam segala aspek. Contohnya novel-novel fiksyen sejarah Islam yang semakin berkembang mutakhir ini.

Semua orang pun tahu karya tersebut baik, menceritakan berkaitan tokoh-tokoh pejuang Islam, peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam dan sebagainya. Ibu bapa tidak akan teragak-agak untuk membeli bahan-bahan bacaan seperti itu untuk anak-anak mereka kerana mereka tahu karya yang dihasilkan itu adalah baik dan boleh memberi contoh kepada anak mereka setelah membaca tentang kehidupan tokoh-tokoh tersebut. Sastera yang hasanah mestilah dapat meberikan contoh yang terbaik kepada para pembaca kerana melalui pembacaan juga akan mendatangkan kesan yang baik terhadap diri pembaca itu sendiri. Contohnya, ibu bapa membelikan anak mereka novel fiksyen sejarah Islam tentang seorang tokoh. Apabila anak tersebut membaca novel tersebut, menghayati perwatakan yang cuba disampaikan oleh penulis dalam novel tersebut, timbul kesedaran dalam dirinya untuk berubah menjadi seperti perwatakan yang cuba digambarkan oleh penulis dalam novel itu. Oleh itu, sekiranya dilihat kembali kepada teknik penulisan surah Yusuf, tidak menggalakkan penulis untuk memasukkan unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran agama Islam kerana dikhuatiri akan memberi kesan kepada minda pembaca juga. Selain daripada itu, apabila teknik penulisan surah Yusuf dimasukkan ke dalam novel fiksyen sejarah Islam, karya tersebut menjadi menarik dibaca. Tidak lagi seperti sebuah karya yang kaku dan apabila dibaca oleh pembaca mereka akan berasa bosan. Secara tidak langsung, apabila penceritaan dalam novel fiksyen sejarah Islam menjadi menarik, ia bukan sahaja menarik minat pembaca terhadap genre fiksyen sejarah tetapi juga sekaligus akan mendatangkan minat pembaca terhadap sejarah Islam itu sendiri.

Teknik penulisan surah Yusuf juga boleh memberi kemudahan kepada penulis novel terutamanya kepada penulis baru yang ingin mengorak langkah ke dalam bidang penulisan novel. Hal ini kerana, panduan daripada surah Yusuf itu mudah digunakan dan lebih mudah difahami setelah disusun kembali oleh Puan Ainon dalam buku beliau. Bermula daripada teknik penentuan tema, teknik plot, sehingga kepada gaya bahasa mudah difahami dan diaplikasi oleh para penulis baru. Dengan adanya teknik ini, para penulis terutama penulis baru, tidak akan berasa takut dan teragak-agak untuk menghasilkan karya mereka tersendiri mengikut teknik penulisan surah Yusuf. Contohnya, penulis tidak perlu berasa gusar bagaimana ingin menggambarkan watak yang dipilih kerana menurut teknik penulisan surah Yusuf watak utama semestinya seorang lelaki walau bagaimanapun watak perempuan bukanlah haram untuk dipilih,

watak perempuan akan dianggap sebagai keindahan dalam sebuah karya. Cuma penulis tidak boleh menggambarkan secara terperinci bentuk fizikal, pakaian, wajah dan sebagainya berkaitan dengan watak tersebut sama ada ia watak lelaki mahupun perempuan kerana dalam teknik penulisan surah Yusuf perkara sedemikian tidak boleh dilakukan dikhuatiri boleh menimbulkan perasaan kepada pembaca. Lagipun, dalam surah Yusuf sendiri tidak diterangkan secara terperinci tentang ciri-ciri fizikal Nabi Yusuf mahupun Zulaikha. Dapat dilihat di sini, Allah swt juga meletakkan batas- batas tertentu dalam sastera Islami walaupun ia sebagai pandangan umum sahaja. Contoh lain dari aspek penentuan tema, dalam teknik penulisan surah Yusuf, penentuan tema lebih kepada tema kekeluargaan. Tema kekeluargaan lebih mudah dan lebih sesuai dibaca oleh seluruh masyarakat masyarakat dari generasi muda sampai ke tua. Cerita yang bertemakan kekeluargaan lebih kukuh dan stabil seperti cerita Nabi Yusuf dan keluarga beliau sudah berusia lebih seribu tahun tapi masih kekal dibaca sehingga ke hari ini. Justeru, cerita-cerita perjalanan hidup sesebuah keluarga dapat dinikmati oleh semua bangsa, dalam apa jua bahasa, justeru karya itu dapat diterjemahkan dan diterjemah ke bahasa lain.

Dalam bab 4, pengkaji telah mengutarakan lima buah novel fiksyen sejarah Islam daripada penulis yang berlainan dalam kajian ini iatu novel Tok Kenali karya Haryati Ridhwan, Rabiatul Adawiyah karya Zahiruddin Zabidi, Hamzah Bin Abdul Muttalib karya Al-Ghazali, Hijrah karya Abdul Latip Talib dan Perang Uhud juga karya Abdul Latip Talib. Lima buah novel fiksyen sejarah Islam ini digunakan bagi menganalisis sejauh mana pengaplikasian teknik penulisan surah Yusuf dalam novel- novel tersebut. Pengkaji mendapati kebanyakannya semua novel ini mempunyai ciri- ciri seperti yang terdapat dalam rumus teori teknik penulisan surah Yusuf. Hampir kesemua rumus teori yang terdapat dalam teknik penulisan surah Yusuf iaitu kisah benar, watak utama adalah lelaki, tema kekeluargaan, tempoh penceritaan yang panjang, watak melebihi daripada 20 orang dan ragam bahasa yang digunakan hendaklah tinggi terdapat dalam kelima-lima novel yang dipilih oleh pengkaji. Contohnya novel Hijrah dan Perang Uhud karya Abdul Latip Talib melibatkan tempoh penceritaan yang agak panjang dan melibatkan lebih daripada 20 orang watak dalam novel tersebut bagi menampakkan cerita tersebut lebih nyata dan sedap dibaca

oleh pembaca. Selain itu, kelima-lima novel ini juga menggunakan lebih banyak ayat dialog berbanding dengan ayat naratif supaya mudah dan cepat dibaca oleh pembaca.

Oleh hal yang demikian, pengkaji berpendapat supaya akan ada lagi kajian lanjutan selepas ini berkaitan dengan teknik surah Yusuf dalam penulisan novel fiksyen sejarah Islam di Malaysia. Hal ini kerana, tidak banyak yang mengkaji berkaitan dengan permasalahan ini sama juga berkaitan dengan panduan penulisan yang terdapat dalam surah Yusuf. Memang ada juga penulisan berkaitan tentang surah Yusuf tapi tidak banyak dan mungkin selepas ini boleh diperbanyakkan lagi supaya boleh dikongsi bersama dengan generasi pada masa akan datang. Di samping itu, sekali lagi pengkaji ingin menyatakan di sini, mungkin frasa yang digunakan oleh Puan Ainon iaitu Teknik penulisan Surah Yusuf ditukar kepada nama yang lebih khusus supaya tidak menimbulkan salah faham pihak-pihak tertentu, kerana teknik penulisan surah Yusuf itu adalah salah satu pendekatan yang dipakai oleh PTS dalam penulisan novel fiksyen sejarah Islam yang berdasarkan kepada surah Yusuf.

Dokumen terkait