Rajah 4.5 : Tiang elektrik yang perlu dipindahkan
4.4.3 Analisis Cabaran (Peringkat Pembinaan)
Cabaran yang dihadapi dalam peringkat ini terdiri daripada lapan (8) cabaran iaitu kelewatan peruntukan dan kewangan, perobohan stuktur sedia ada, keadaan fizikal tanah, keadaan cuaca yang tidak menentu, kekurangan tenaga kerja, kesukaran mencari lubok pinjaman, perubahan kerja dan akhir sekali komunikasi.
4.4.3.1 Kelewatan Peruntukan dan Kewangan [09]
Kelewatan peruntukan dan kewangan dalam projek pembinaan adalah suatu perkara yang amat serius kerana aktiviti pembinaan bergantung sepenuhnya kepada keupayaan aliran tunai pihak kontraktor. Dalam hal ini, isu yang selalu timbul dalam kalangan kontraktor ialah kelambatan pembayaran kemajuan kerja. Isu ini adalah isu yang kronik dan dilemma dalam industri pembinaan di Malaysia. Berdasarkan jadual Analisis Cabaran (rujuk lampiran), penyelidik mendapati bahawa semua responden menghadapi masalah ini. Responden R1 berpendapat bahawa terdapat kelewatan pembayaran oleh pihak kerajaan kepada pihak BHP. Responden R1 berpendapat bahawa tuntutan yang dibuat oleh pihak BHP adalah dibuat melalui Jabatan Kerja Raya dan akan melalui beberapa pihak yang lain untuk proses kelulusan. Kelewatan bayaran adalah perkara yang sinonim dalam projek kerajaan kerana proses kelulusan bayaran perlu melalui banyak pihak. Namun, perkara ini tidak mendatangkan kebaikan kepada pihak BHP kerana kelambatan pembayaran oleh pihak kerajaan turut akan melambatkan pembayaran bayaran kemajuan kerja kepada kontraktor kerja.
Responden R2 mengatakan kontraktor tidak dibayar selama satu (1) tahun sejak bermulanya projek itu. Kontraktor telah menuntut pembayaran pendahuluan, bayaran kemajuan kerja satu (1) dan dua (2) tetapi hanya dibayar selepsas satu (1) tahun telah berlalu. Perkara ini menunjukkan pihak BHP telah melakukan perlanggaran kontrak (breach of contract) kerana gagal membayar dalam jangka masa yang diperuntukkan seperti yang dinyatakan dalam kontrak. Responden R3 turut menghadapi masalah kelewatan pembayaran kemajuan kerja. Kontraktor telah menuntut bayaran pendahuluan terlebih dahulu sebelum kerja pembinaan dimulakan dan bayaran kemajuan kerja yang pertama dituntut kemudian setelah adanya progress kerja. Namun, bayaran kemajuan kerja yang pertama dibayar dahulu tetapi lewat selama 3 bulan manakala bayaran pendahuluan disusuli kemudian tetapi lewat selama 6 bulan. Daripada itu kita dapat lihat bahawa bayaran kemajuan kerja yang pertama dibayar lebih awal daripada bayaran pendahuluan. Bayaran pendahuluan sepatutnya dibayar terlebih dahulu kepada kontraktor kerana bayaran ini merupakan bantuan kewangan kepada kontraktor untuk memulakan kerja pembinaan. Responden R4 turut mengatakan kontraktor lambat dibayar bayaran kemajuan kerja selama 2 bulan. Secara
kesimpulannya, responden R1, R2, R3 dan R4 menghadapi cabaran kelewatan peruntukan dan kewangan dan hal ini boleh menyebabkan kerja pembinaan tertangguh.
4.4.3.2 Keadaaan Cuaca Yang Tidak Menentu [10]
Berdasarkan jadual Analisis Cabaran (rujuk lampiran), responden R2, R3 dan R4 mengalami masalah keadaan cuaca iaitu hujan lebat. Keadaan cuaca yang tidak baik ialah perkara yang tidak dapat dielakkan dan hanya boleh diramal. Dalam pembinaan sesuatu projek, cuaca adalah perkara yang tidak boleh dikawal oleh mana-mana parti yang terlibat dalam projek pembinaan. Cuaca yang tidak baik boleh menyebabkan penangguhan kerja pembinaan. Kontraktor boleh menuntut lanjutan masa jikalau penangguhan disebabkan keadaan cuaca dengan menyediakan bukti seperti laporan ramalan daripada Jabatan Meteorologi serta gambar. Namun begitu, walaupun kontraktor boleh mendapatkan lanjutan masa, kontraktor terpaksa menanggung kos pembinaan yang lebih dari segi aspek kos “overhead” dan gaji pekerja kerana hari bekerja bertambah.
4.4.3.3 Perobohan Struktur Sedia Ada [11]
Berdasarkan jadual analisis cabaran (rujuk lampiran), Responden R2 dan R3 menghadapi cabaran ini. Struktur seperti rumah, kedai, pondok bas dan yang lain-lain lagi yang dibina diatas tanah yang terkena dalam jajaran lebuhraya haruslah dirobohkan bagi membagi laluan kepada kerja pembinaan. Dalam projek Lebuhraya Pan Borneo, responden R2 dan R3 berpendapat bahawa seetengah penduduk kampung berkeras dan melarang kontraktor menggunakan jentera untuk merobohkan rumah dan kedai penduduk kampung. Penduduk kampung menyuruh kontraktor untuk menggunakan kaedah perobohan secara manual iaitu menggunakan tenaga buruh dan alat sahaja. Responden R2 dan R3 berpendapat penggunaaan kaedah perobohan secara
manual melambatkan lagi kerja pembinaan dan perkara ini tidak tersenarai dalam senarai kuantiti (Bills of Quantities).
Berbalik kepada isu pengambilan tanah, sekiranya kerajaan ingin mengambil balik tanah daripada pemilik tanah, sejumlah nilai pampasan akan dibayar kepada pemilik tanah. Nilai pampasan ini merangkumi nilai sebuah tanah, struktur dan tanaman yang ada di atas tanah tersebut. Responden R2 dan R3 mengatakan nilai pampasan yang diberikan kepada pemilik tanah adalah tidak merangkumi nilai struktur kerana pemilik tanah memohon untuk menggunakan semula bahan-bahan yang dicabut oleh kontraktor untuk membina semula rumah mereka dibahagian tanah yang lain. Secara kesimpulannya, kontraktor terpaksa menggunakan kaedah perobohan secara manual untuk merobohkan struktur sedia ada seperti rumah dan kedai dan ini menyebabkan kelambatan kerja pembinaan yang sebenar.
4.4.3.4 Keadaan Fizikal Tanah [12]
Berdasarkan jadual analisis cabaran (rujuk lampiran), responden R2 dan R3 menghadapi cabaran ini. Keadaan fizikal tanah merupakan perkara yang sangat penting untuk projek lebuhraya. Penyiasatan tanah hendaklah dilakukan sebelum projek bermula supaya sekiranya terdapat tanah yang bermasalah atau lembut, konsultan dapat menentukan kaedah pembaikan tanah yang perlu dilakukan. Responden R2 dan R3 berpendapat bahawa tanah lembut dijumpai semasa kerja pembinaan sedang dilaksanakan. Lebuhraya tidak boleh dibina atas tanah lembut kerana mendapan tanah akan berlaku dan boleh merosakkan permukaan jalan. Selain itu, responden R2 berpendapat bahawa item tanah lembut tidak termasuk dalam senarai kuantiti (bills of quantities), oleh itu tiada kaedah pembaikan tanah yang dinyatakan dalam spesifikasi kerja. Kontraktor tidak boleh memulakan kerja di kawasan tanah yang lembut dan hendaklah melakukan kaedah pembaikan tanah yang bersesuaian terlebih dahulu baru dapat meneruskan kerja pembinaan. Hal ini menyebabkan penangguhan kerja dan merupakan masalah kepada kontraktor. Secara kesimpulannya, responden R2 dan R3 menjumpai tanah lembut yang tidak dinyatakan dalam spesifikasi kerja, hal ini membawa masalah kepada kontraktor yang mana
kontraktor perlu menangguhkan kerja pembinaan dikawasan tanah lembut untuk sementara waktu sehingga konsultan memberi arahan mengenai kaedah pembaikan tanah.
4.4.3.5 Kekurangan Tenaga Kerja [13]
Berdasarkan jadual analisis cabaran (rujuk lampiran), responden R1 dan R3 menghadapi cabaran ini. Tenaga kerja adalah amat penting dalam industri pembinaan. Tenaga kerja yang banyak boleh membantu dalam mempercepatkan proses pembinaan. Bagi responden R1, kekurangan tenaga kerja dihadapi apabila projek lebuhraya Pan Borneo dilaksanakan. Responden R1 juga berpendapat pihak BHP yang merupakan pihak PDP memerlukan sejumlah besar tenaga kerja profesional dari berbagai bidang untuk melaksanakan 35 pakej projek Lebuhraya Pan Borneo. Pihak BHP kekurangan staf seperti jurutera, pengurus kualiti, pegawai keselamatan dan kesihatan, perancang bandar dan “Land Affairs Manager” untuk menjalankan projek.
Responden R3 pula berpendapat kontraktor mengalami masalah kekurangan tenaga kerja buruh tempatan seperti pemandu jentera dan lori yang kompeten. Tambahannya lagi, jumlah orang tempatan diambil bekerja dalam bentuk peratusan adalah 60% sehaja, manakal 40% lagi ada pekerja asing. Pekerja asing inilah yang kebanyakanya bekerja sebagai pemandu jentera dan lori. Masalah ini berlaku kerana orang tempatan tidak berminat untuk bekerja dalam industri pembinaan sebagai buruh binaan kerana kebanyakan mentaliti orang tempatan memandang serong terhadap pekerjaan sebagai buruh binaan. Ini merupakan perkara yang amat membimbangkan kerana ia meningkatkan kadar pengganguran bukan sahaja di Sabah, malah di seluruh negara Malaysia. Secara kesimpulannya, kekurangan tenaga kerja profesional dan buruh tempatan ialah salah satu cabaran yang dihadapi dalam projek leburaya pan borneo di Sabah.
4.4.3.6 Perubahan Kerja [14]
Perubahan kerja ataupun “variation order” (VO) merupakan sebarang pertambahan, pengurangan, penggantian atau perubahan yang berlaku dalam projek pembinaan dari segi spesifikasi kerja, lukisan atau kuantiti. Perubahan kerja hanya boleh dijalankan oleh kontraktor kerja setelah mendapat kelulusan daripada pihak klien dan juga Pegawai Penguasa (S.O). Berdasarkan jadual 4.5, responden R2 dan R4 menghadapi masalah ini.
Responden R2 berpendapat bahawa terdapat “missing item” dalam senarai kuantiti. Selain itu, responden R2 juga mengatakan terdapat spesifikasi yang tidak jelas dalam lukisan pembinaan sehingga menimbulkan masalah semasa kerja pembinaan sedang dijalankan secara tidak langsung telah menganggu kelancaran kerja dalam pembinaan. Responden R3 pula berpendapat lukisan pembinaan tidak menepati dengan kerja-kerja di tapak. Responden R3 mengatakan jurutera merekabentuk jambatan di kawasan itu namun kontraktor merasakan pembinaan jambatan adalah tidak sesuai kerana ia boleh digantikan dengan pembentung sahaja untuk mengalirkan aliran sungai. Dengan berbuat demikian dipercayai dapat mengurangkan masa dan kos pembinaan.
Secara kesimpulannya, masalah yang dinyatakan di atas didapati kebanyakan perubahan kerja berlaku berpunca dalam peringkat penyediaan pelan dan senarai kuantiti. Perubahan kerja boleh berlaku berdasarkan beberapa punca kemungkinan seperti kurangnya ketelitian semasa penyediaan pelan tapak, beban kerja yang banyak dan penyediaan pelan tanpa melakukan lawatan tapak dan tidak membuat semakan semula di tapak bina.
4.4.3.7 Kesukaran Mencari Lubok Pinjaman Bagi Kerja Tanah [15]
Lubok pinjaman ataupun “borrow pit” merupakan suatu kawasan tanah yang digunakan sebagai tempat kontraktor mengambil tanah untuk dijadikan sebagai bahan isi untuk kerja-kerja penambakan tanah. Tanah, batu-batuan dan pasir sebagai bahan isi di lubok pinjaman perlulah merangkumi daripada bahan yang sesuai dan tidak toksi. Lubok pinjaman yang ideal adalah yang berdekatan dengan tapak pembinaan kerana ia boleh mengurangkan jarak perjalanan lori yang memuat isi tanah dan pada masa yang sama mengurangkan penggunaan minyak diesel.
Berdasarkan jadual analisis cabaran (rujuk lampiran), hanya responden R3 sahaja menghadapi cabaran kesukaran untuk mencari lubok pinjaman. Jajaran lebuhraya sangat panjang dan penambakan tanah yang perlu dilakukan adalah sangat banyak. Responden R3 mengatakan lubok pinjaman yang sedang digunakan adalah tidak mencukupi dan kontraktor perlu mencari lubok pinjaman yang lebih banyak lagi supaya kerja penambakan tanah boleh terus berjalan dengan lancar tanpa perlu diberhentikan disebabkan tidak mempunyai tanah untuk kerja penambakan. Responden R3 berpendapat lubok pinjaman yang berdekatan dengan tapak bina adalah tidak sesuai kerana terdiri daripada tanah lembut seperti tanah paya. gambut dan berlurah. Selain daripada itu, responden R3 juga berpendapat terdapat lubuk pinjaman yang sesuai tetapi jaraknya amat jauh daripada tapak pembinaan dan akan meningkatkan masa dan kos untuk perjalanan lori yang memuatkan tanah. Di samping itu, responden R3 berpendapat tanah yang berhampiran pula milik pihak estet dan juga penduduk kampung, dan mereka tidak berfikiran sewenang-wenangnya bersetuju untuk menjadikan tanah mereka sebagai lubok pinjaman.
Secara kesimpulannya, kontraktor mengalami cabaran untuk mencari lubok pinjaman kerana masalah-masalah yang seperti berikut iaitu tanah yang tidak sesuai, keengganan pihak estet dan penduduk kampung untuk menyewa atau menjual tanah kepada pihak kontraktor.
4.4.3.8 Komunikasi [16]
Komunikasi merupakan salah satu faktor yang amat penting untuk mejayakan pelaksanaan projek pembinaan. Komunikasi membolehkan penghantaran dan pertukaran maklumat antara parti yang terlibat dalam projek pembinaan. Komunikasi mempunyai beberapa kaedah untuk penyampaian antaranya adalah penyampaian maklumat secara digital, lisan dan bertulis.
Berdasarkan jadual analisis cabaran (rujuk lampiran), responden R4 menghadapi masalah komunikasi. Responden R4 berpendapat bahawa sukar untuk berkomunikasi dengan pihak BHP kerana BHP ialah sebuah organisasi yang sangat besar. Orang yang bertanggungjawab sukar untuk dihubungi kerana tidak hadir dalam mesyuarat. Selain itu, orang yang bertanggungjawab dalam projek itu juga sering bertukar dan ini menyebabkan masalah komunikasi seperti penyampaian maklumat dalam projek pembinaan.