• Tidak ada hasil yang ditemukan

Jadual 4.5 : Senarai Analisis Cabaran

4.4.1 Analisis Cabaran (Peringkat Tender)

Cabaran yang dihadapi dalam peringkat ini terdiri daripada empat cabaran iaitu perancangan program kerja kontraktor, pengisian tender, penyelarasan dan pengawalan kualiti kerja.

4.4.1.1 Perancangan Program Kerja Kontraktor [01]

Program kerja merupakan suatu perancangan turutan kerja yang perlu dijalankan dalam suatu jangka masa di dalam projek pembinaan. Responden R1 dan R2 menghadapi masalah ini dalam peringkat tender. Cabaran ini mempunyai konteks yang berbeza bagi responden R1 dan R2. Bagi responden R1, cabaran ini berbentuk dari segi pengurusan dan penilaian kerana R1 merupakan pihak PDP yang bertanggungjawab untuk menilai dan memilih kontraktor untuk melaksanakan projek.

Responden R1 menyatakan bahawa kebanyakan kontraktor kerja yang memasuki tender dalam projek lebuhraya Pan Borneo gagal untuk menyediakan program kerja yang komprehensif. Hal ini telah menyebabkan responden R1 sukar untuk membuat penilaian tender yang baik kerana program kerja dapat menunjukkan perancangan kontraktor untuk menjalankan sesuatu projek.

Di samping itu, responden R1 menyatakan kontraktor tidak mempunyai perancang yang bagus kerana program kerja yang dibuat adalah sangat mudah dan tidak mengambil kira faktor “Critial Path Method”. Kontraktor membuat program kerja menunjukkan bar chart sahaja, iaitu menunjukkan tempoh “start to finish”. Kontraktor kerja juga hanya menggunakan perisian “Microsoft Excel” untuk membuat program kerja. Kesimpulannya, projek yang menelan kos berjuta-juta ini perlulah mempunyai perancangan program kerja yang baik agar pelaksanaan kerja-kerja yang kritikal dapat dikenal pasti dan kerja-kerja-kerja-kerja inilah yang perlu diberikan perhatian dan keutamaan sewaktu kerja pembinaan dijalankan.

Responden R2 pula mengatakan projek ini memerlukan program kerja yang sangat komprehensif yang mana responden R2 tidak mempunyai staf atau pekerja yang boleh membuat program kerja seperti yang diperlukan. Akhirnya responden R2 hanya menghantar program kerja yang mudah sahaja dengan menggunakan perisian “Microsoft Excel”. Program kerja yang dihantar telah ditolak oleh pihak PDP dan memberikan masalah kepada responden R2.

4.4.1.2 Pengisian Tender [02]

Berdasarkan jadual analisis cabaran (rujuk lampiran), cabaran pengisian tender hanya dihadapi oleh responden R2. Responden R2 mengatakan pengisian tender merupakan cabaran kerana dokumen tender PDP adalah suatu perkara yang baru bagi syarikat pada masa itu. Responden R2 menghadapi masalah untuk mengisi tender bagi projek LPB kerana dokumen tender untuk projek yang menggunakan kaedah PDP mempunyai spesifikasi dan syarat-syarat yang berbeza daripada apa yang pernah dilalui sebelum ini.

Dokumen tender PDP menggunakan kontrak JKR 203A yang telah diubahsuai, kandungan dalam kontrak mengandungi klausa yang lebih banyak dan ketat. Selain daripada itu, terdapat banyak borang yang perlu diisi dalam dokumen tender PDP.

Dokumen tender yang standard mempunyai borang yang perlu di-isi, borang ini dinamakan borang A, B, C dan lain-lain lagi bergantung kepada saiz projek itu. Pendek kata, terdapat lebih kurang sepuluh (10) bahagian borang yang perlu di-isi dalam dokumen tender yang biasa. Namun begitu, borang yang perlu diisi dalam dokumen tender PDP adalah sangat banyak, terdapat tiga puluh (30) bahagian borang yang perlu di-isi. Responden R2 juga mengatakan kontraktor perlu menambah staf kerana tender dokumen memerlukan maklumat jawatan profesional yang pada ketika itu kontraktor kekurangan pekerja profesional yang menyandang jawatan yang diperlukan dalam projek tersebut. Hal ini menyebabkan responden R2 sukar untuk mengisi borang kerana kekurangan maklumat yang perlu di-isi dalam borang-borang yang tertentu. Kesimpulannya, responden R2 bersetuju bahawa pengisian tender merupakan cabaran kerana ini adalah pertama kali responden R2 mengambil bahagian dalam projek yang menggunakan kaedah PDP.

4.4.1.3 Penyelarasan Keseragaman [03]

Cabaran ini dihadapi oleh responden R1 sahaja. Responden R1 mengalami masalah dalam menyelaraskan kesemua 35 pakej projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah. Maksud penyelarasan dalam konteks ini ialah merujuk kepada tindakan pihak pengurusan untuk menyeragamkan prosedur dan rekabentuk atau menguruskan kerja yang berlainan dengan baik, saling berkait dan seragam dalam kesemua pakej projek LPB.

Penyelarasan 35 pakej lebuhraya Pan Borneo Sabah bukanlah perkara yang boleh diambil ringan kerana ketidaksamaan atau ketidakseragaman prosedur pengurusan, kertas kerja, proses pembinaan dan rekabentuk lebuhraya boleh merumitkan lagi keadaan pada masa yang akan datang. Responden R1 berpendapat untuk mengurus 35 pakej projek yang merangkumi lebih dari 700 kilometer bukanlah perkara yang mudah jika dibandingkan dengan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, hanya 11 pakej sahaja yang ditawarkan oleh Syarikat Lebuhraya Utara Borneo Sdn Bhd selaku pihak PDP untuk projek itu. Responden R1 juga mengatakan

titik pertemuan (interfacing point) jajaran diantara pakej juga sebahagian daripada peyelarasan, kesukaran menentukan titik pertemuan menjadi cabaran kerana bukan semua kawasan boleh dijadikan sebagai laluan lebuhraya dan ini menyukarkan untuk menentukan titik pertemuan yang sesuai.

Selain daripada itu, responden R1 bertambah bahawa mereka cuba sedaya upaya untuk menyelaraskan kesemua rekabentuk lebuhraya pan borneo Sabah iaitu mengikuti piawaian R5. Responden R1 berpendapat bahawa rekabentuk lebuhraya perlu direka mengikut kesesuaian atau keadaan sesuatu tempat itu dan dipengarui oleh faktor “traffic count”. “Traffic count” merujuk kepada bilangan penggunaan jalan oleh pengguna jalan raya disesuatu tempat itu. Rekabentuk lebuhraya yang tebal tidak sesuai di tempat yang mempunyai “traffic count” yang sedikit dan pada masa yang sama juga meningkatkan kos pembinaan. Selain daripada rekabentuk lebuhraya, rekabentuk jambatan juga ada masalah penyeragaman rekabentuk. Responden R1 mengatakan bahawa tidak semua jambatan sama panjang, maka perkara itulah yang mempengaruhi jenis rekabentuk yang sesuai. Secara kesimpulannya, apa yang disampaikan oleh responden R1 adalah terdapat kesukaran untuk mewujudkan penyelarasan keseragaman dalam kesemua pakej projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.

4.4.1.4 Pengawalan Kualiti Kerja [04]

Berdasarkan jadual Analisis Cabaran (rujuk lampiran), hanya responden R1 sahaja yang mengalami cabaran ini. Responden R1 mengatakan salah satu cabaran mereka ialah untuk memastikan kontraktor kerja mematuhi keperluan kerja. Tambahnya lagi, kontraktor tempatan di Sabah jarang membuat projek besar seperti lebuhraya dan kurang pendedahan kepada keperluan kerja yang perlu dipatuhi dalam pembinaan lebuhraya. Oleh itu, kekurangan pendedahan atau pematuhan kepada keperluan kerja dalam projek pembinaan dapat menjejaskan kualiti kerja.