TITIK PERMULAAN ATAU PENGHUJUNG?
DAPATAN AKTIVITI e-NPQEL
Setiap peserta NPQEL dikehendaki mengikuti kursus e-Pembelajaran bagi memenuhi kriteria sebelum menghadiri fasa bersemuka di Institut Aminuddin Baki. Tempoh yang diberi adalah selama tiga (3) minggu bermula dari 9 sehingga 29 Jun 2019. Walaupun sudah log masuk namun tiada sebarang tindakan diambil untuk menjalani aktiviti pembelajaran yang disediakan atas alasan kesibukan kerja di sekolah dan juga mungkin disebabkan adanya kebimbangan terhadap kemampuan diri saya dalam e-Pembelajaran. Hal ini menyebabkan saya menerima panggilan daripada penyelia saya, Dr. Teoh Hong Kean kerana beliau risau saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyempurnakan tugasan yang diberi.
Walau bagaimanapun, saya dapati pengalaman e-Pembelajaran ini amat menyeronokkan dan berharga. Penggunaan tayangan klip video dan pembentangan idea melalui pelbagai peta i-Think amat memberangsangkan dan menyeronokkan. Banyak ilmu pengetahuan baharu yang saya peroleh dan membuka minda saya dalam aspek pengurusan dan kepemimpinan. Saya amat tertarik dengan modul memimpin perubahan khususnya Model Memimpin Perubahan Kotter dan alat pengurusan yang boleh digunakan untuk membuat keputusan seperti Matrix Ranking dan Diamond Nine. Selain itu, pendedahan dalam aspek bimbingan dan pementoran, pengurusan sumber dan kewangan juga dapat dimanfaatkan dalam melaksanakan tugas harian di sekolah.
Ilmu yang diperoleh dapat membantu seseorang pemimpin untuk memimpin perubahan dalam organisasinya. Pemimpin sekolah perlu
mengkaji punca masalah yang dihadapi dan mewujudkan rasa terdesak dan kesegeraan untuk menangani masalah yang dikenal pasti. Pengetua tidak mampu menyelesaikan masalah seorang diri dan perlu membentuk pasukan pemimpin pertengahan yang dapat membantunya membuat keputusan berdasarkan data dan maklumat yang dianalisis. Tindakan susulan perlu diambil untuk menilai keberkesanan program yang dilaksanakan melalui pemantauan dan penilaian. Hal ini dapat memastikan perubahan yang dibawa itu dibudayakan dalam organisasi yang dipimpinnya.
Selaku pemimpin sekolah, saya perlu mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam pengurusan harian di sekolah khususnya dalam aspek membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan menerajui perubahan. Selain itu, saya perlu sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang baharu dalam pelbagai aspek baik melalui pembacaan mahupun dengan menghadiri kursus atau bengkel. Saya juga perlu mengintegrasikan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki dengan tekonologi untuk memastikan kelancaran dalam hal pengoperasian dan pengurusan sekolah. Dengan berbekalkan pengetahuan dan kemahiran ini, barulah saya dapat meyakinkan subordinat untuk menerima perubahan yang dibawa demi kecemerlangan sekolah.
Kesimpulannya, e-Pembelajaran telah membuka mata saya ke alam pengurusan dan kepimpinan sekolah yang berprestasi tinggi. Selain perancangan rapi, hubungan dengan ibu bapa, komuniti dan pihak swasta juga penting untuk membangunkan sekolah. Ilmu yang diperoleh akan saya manfaatkan dalam tugas harian di sekolah.
Perantisan 1
Projek Perantisan 1 telah dijalankan di SMK Convent Butterworth bermula dari 22 hingga 24 Julai 2019. Sekolah ini diipimpin oleh Puan Lim Lean Yolk dengan dibantu oleh empat (4) orang Penolong Kanan. Sekolah ini mempunyai 756 orang murid perempuan dan 67 orang guru. Disebabkan masalah kekurangan tempat, sekolah ini terpaksa beroperasi dalam dua (2) sesi iaitu murid Tingkatan 1 dan 2 berada di sesi petang manakala murid Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5 di sesi pagi.
Hasil daripada pemerhatian dan temu bual dengan barisan pentadbir sekolah, didapati pencapaian murid dalam peperiksaan PT3 dan SPM amat baik dan dari segi pengurusan hal ehwal murid, tiada banyak masalah disiplin yang dihadapi. Masalah utama yang dihadapi oleh sekolah bantuan modal ini ialah kekurangan sumber kewangan untuk menjalankan program pembangunan sekolah. Oleh itu, pengetua bersama-sama barisan pentadbir sekolah telah memimpin warga sekolah untuk mencari dana di semua peringkat. Saya berpeluang melihat bagaimana kelab dan persatuan menjalankan projek jualan Hari Kantin peringkat dalaman untuk mengisi tabung kelab di samping menyalurkan sebahagian daripada hasil jualan kepada pihak sekolah.
Selain itu, saya dapati warga sekolah ini mengamalkan tabiat berjimat khususnya dalam aspek penggunaan sumber. Projek mengumpul air hujan untuk kegunaan membersihkan lantai dan menyiram pokok berjaya menjimatkan penggunaan sumber air sehingga sekolah ini menerima sijil akreditasi (certificate of accreditation) daripada pihak berkuasa air tempatan atas inisiatif tersebut. Pada setiap hari Jumaat, semua suis lampu, kipas dan alat pendingin hawa ditutup selama sejam pada waktu tengah hari. Amalan
Earth Hour ini berjaya menjimatkan penggunaan elektrik di sekolah tersebut. Bahkan bahan kitar semula seperti tayar telah digunakan untuk menceriakan kawasan persekitaran sekolah manakala botol dan beg plastik dikumpul untuk dijadikan bahan bagi membina kerusi dan meja di kawasan rekreasi.
Kompetensi berkepemimpinan amat ketara ditonjolkan oleh Pengetua dalam usaha beliau untuk merealisasikan idea dan mencapai matlamat organisasi. Pengetua bersama Penolong Kanan Kokurikulum bukan sahaja berupaya mempengaruhi semua warga sekolah tetapi juga pekerja kontrak kebersihan untuk sama-sama bergerak ke arah pencapaian matlamat sekolah. Hasil daripada pemantauan projek dibincangkan dengan teliti dalam mesyuarat pengurusan sekolah supaya penambahbaikan dapat dilakukan. Pengetua juga berjaya mempengaruhi pihak PIBG dan Persatuan Bekas Murid untuk turut serta menjayakan projek keusahawanan sekolah. Guru-guru juga menunjukkan komitmen yang tinggi untuk mencapai matlamat yang dihasratkan.
Sebagai pemimpin sekolah, saya perlu berusaha bersama-sama warga sekolah dalam semua aspek kerana tindakan ini dapat memberikan inspirasi dan motivasi kepada subordinat saya untuk sama-sama menggerakkan sekolah ke arah kecemerlangan. Saya perlu menjadi suri teladan kepada warga sekolah kerana kepimpinan melalui teladan jelas dapat meyakinkan warga sekolah untuk mempraktikkan idea yang disampaikan. Selain itu, saya perlu mengekalkan hubungan baik dengan ibu bapa, komuniti dan pihak swasta kerana dengan adanya sokongan PIBK, program pembangunan sekolah dapat berjalan dengan lancar.
Kesimpulannya, aktiviti yang dilaksanakan telah membuka mata saya dalam aspek pengurusan sumber. Seseorang pemimpin bukan sahaja perlu berhemah tetapi juga bijak menggunakan peluang dan sumber sedia ada untuk mewujudkan suasana persekitaran yang kondusif tanpa membazirkan sejumlah wang yang banyak. Penglibatan seluruh warga sekolah dalam apa jua program sekolah pasti dapat memupuk rasa kekitaan yang kuat dan semangat berpasukan yang teguh ke arah kecemerlangan sekolah.
Jalinan Pintar Korporat
Kelas SMUT1 (Kumpulan 1 Sekolah Menengah di IAB Cawangan Utara) telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan projek Jalinan Pintar Korporat (JPK) di SMK Bandar Baru Darulaman pada 7 Ogos 2019. Setelah berbincang dengan Pengetua untuk mengenal pasti isu kritikal yang dihadapi oleh pihak sekolah, semua ahli kelas SMUT1 dengan sebulat suara telah memutuskan untuk menjalankan Karnival Bina Diri yang merangkumi aktiviti senamrobik, pemeriksaan kesihatan, pameran kerjaya oleh Kolej MSU Sungai Petani, ceramah kepenjaraan dan ceramah motivasi dengan matlamat untuk meningkatkan sahsiah diri murid di situ.
Dalam proses merancang dan melaksanakan projek ini, saya dapati kerja sepasukan amatlah penting. Setiap kumpulan kecil memainkan peranan masing-masing untuk mendapatkan bantuan khidmat sumbangan penceramah atau fasilitator dan sumbangan kewangan atau cenderamata. Namun, ketua pasukan haruslah bersikap tegas supaya kerja persediaan dan pelaksanaan dapat dilaksanakan dengan lancar. Hal ini disebabkan dalam sesebuah kumpulan, pastinya ada banyak pandangan yang berbeza malahan ada yang bercanggah. Ahli kumpulan yang terlalu proaktif mungkin tidak akan menghormati kewibawaan ketua pasukan sekiranya ketua pasukan bertindak secara sambil lewa atau tidak terancang. Ada juga ahli kumpulan yang seolah-olah tidak ambil peduli langsung apa yang sedang berlaku dan hanya menunggu arahan ketua untuk bertindak. Situasi sedemikian menimbulkan rasa kegelisahan dan ketegangan sesama ahli kumpulan sehingga ada yang tertanya-tanya dan meragui kemampuan ketua pasukan.
Dalam proses perancangan dan pelaksanaan sesuatu projek, kemahiran berkomunikasi secara berkesan amat diperlukan. Pemimpin bukan sahaja perlu menyampaikan idea dengan jelas dan tersusun kepada subordinatnya tetapi juga perlu mengambil kira pandangan orang lain. Sikap keterbukaan ini membolehkan pemimpin membuat keputusan yang tepat dan bersesuaian dengan matlamat yang dihasratkan. Komunikasi dua (2) hala perlu diwujudkan supaya semua pihak yang terlibat mengetahui apa yang sedang berlaku dan langkah seterusnya yang perlu diambil. Komunikasi berkesan antara pemimpin dengan subordinatnya dapat mengelakkan sebarang keraguan atau salah faham sehingga menjejaskan proses kerja dan mengganggu emosi subordinatnya. Sebaliknya, komunikasi berkesan dapat membentuk sebuah pasukan yang mantap dan seterusnya mewujudkan suasana bekerja yang seronok sesama ahli pasukan.
Selaku pemimpin, saya perlu menyediakan satu (1) senarai semak untuk memastikan semua tindakan telah diambil mengikut masa yang ditetapkan dan senarai semak ini perlu dikongsi dengan subordinat. Sekiranya ada tindakan yang masih belum diambil, saya perlu menghubungi pihak yang berkenaan untuk memahami masalah yang mungkin timbul dan sama-sama berusaha untuk menyelesaikan masalah berkenaan sebelum menjejaskan seluruh proses kerja.
Melalui aktiviti ini, saya memahami kepentingan mewujudkan jaringan dan jalinan dalam pelaksanaan sesuatu projek supaya dapat membawa impak yang mendalam terhadap guru dan murid. Guru dan murid bukan sahaja memperoleh ilmu pengetahuan yang baharu tetapi juga diberi peluang berkenalan dengan agensi luar yang mungkin boleh dimanfaatkan pada masa akan datang. Selain itu, komunikasi sesama ahli pasukan amatlah penting dalam semua aspek kerana kejayaan sesebuah projek bukanlah atas usaha seorang pemimpin semata-mata tetapi merupakan hasil kerja sebuah pasukan yang mantap.
Pembentangan Eksekutif
Sepanjang tempoh bersemuka Fasa 1 dan Fasa 2, setiap peserta NPQEL perlu melaksanakan lima (5) Pembentangan Eksekutif (PE) untuk menguji kebolehan peserta menguasai sembilan kompetensi PE ini bertemakan berwawasan, menerajui perubahan dan mencemerlangkan organisasi.
Antara PE yang memberikan impak kepada saya ialah PE 3 (Memimpin Pembelajaran) dan PE 4 (Membangun Kapasiti). Dalam kedua-dua pembentangan tersebut, saya dikehendaki mempamerkan kebolehan mengenal pasti isu kritikal berdasarkan data yang terkumpul dan melaksanakan intervensi untuk mengatasi isu berkaitan. Dalam proses menyediakan pembentangan, saya dapati bahawa setiap penyelesaian masalah mestilah terancang dan tidak boleh diselesai mengikut kehendak hati.
Dalam proses penyelesaian masalah, seorang pemimpin harus menganalisis punca masalah yang dikenal pasti dengan menggunakan alat pengurusan yang sesuai dan penyelesaian yang logik. Dalam hal ini, pengumpulan data amat diperlukan menentukan tahap keseriusan sesuatu masalah. Proses ini membolehkan pemimpin mencari alternatif yang sesuai untuk menyelesaikan masalah tersebut selaras dengan objektif yang ingin dicapai. Semua alternatif perlu dinilai dari segi kekuatan dan kelemahan untuk menentukan kesesuaiannya. Realitinya, banyak cabaran dan halangan yang timbul. Oleh itu, pemimpin harus menunjukkan kebolehannya untuk melaksanakan intervensi yang dipilih. Penjajaran semula perlu dibuat untuk melihat keberkesanan intervensi yang dilaksanakan dan seterusnya melakukan penambahbaikan secara berterusan.
Selaku pemimpin sekolah, saya mengaplikasikan proses kerja ini untuk menerajui perubahan demi mencemerlangkan organisasi saya. Saya membimbing ahli pasukan di setiap peringkat proses penyelesaian masalah untuk mencari alternatif terbaik. Oleh sebab banyak faktor yang perlu diambil kira, data merupakan eviden yang paling kuat untuk menyokong sebarang keputusan yang diambil baik di peringkat permulaan mahupun selepas sesuatu intervensi dilakukan. Dalam hal ini, pengumpulan data sebelum dan selepas sesuatu intervensi amat diperlukan untuk membantu saya membuat penilaian dan seterusnya mengambil langkah terbaik dalam penyelesaian masalah. Oleh itu, maklum balas daripada ahli pasukan pentadbir amat diperlukan untuk menilai keberkesanan intervensi yang dipilih.
Berdasarkan aktiviti ini, saya dapati bahawa setiap isu perlu dikaji dengan teliti untuk mengenal pasti punca masalahnya supaya dapat ditetapkan langkah intervensi yang sesuai. Banyak data sokongan diperlukan sebagai justifikasi bagi setiap langkah yang diambil. Dengan kata lain, apa sahaja projek yang dilaksanakan dalam sesebuah organisasi perlu berdasarkan tahap keperluannya kepada warga sekolah dan bukan sekadar memenuhi hasrat pemimpin semata-mata. Hal ini dapat memastikan projek yang dilaksanakan dapat diteruskan demi kecemerlangan organisasi.
Perantisan 2
Saya telah menjalankan projek Perantisan 2 di SMK Telok Air Tawar, Seberang Perai Utara mulai dari 19 Ogos hingga 27 September 2019. Sekolah ini dipimpin oleh Puan Hjh. Jusniar binti Ab. Jalil dengan dibantu oleh lima (5) orang Penolong Kanan. Enrolmen sekolah ini ialah 800 orang murid daripada aliran Perdana, aliran Tingkatan 6 dan Program Pendidikan Khas Integrasi di samping 94 orang staf akademik dan 17 orang staf sokongan. Sekolah ini beroperasi dalam satu (1) sesi sahaja.
Berdasarkan data yang dikumpul melalui semakan dokumen, temu bual dengan guru dan murid serta pemerhatian, didapati kekuatan sekolah ini terletak pada mata pelajaran vokasional yang ditawarkan iaitu Kerja Paip Domestik, Grafik Komputer, dan Sains Rumahtangga. Selain itu, sekolah ini juga telah menjuarai pertandingan tinju Muay Thai di peringkat antarabangsa dan mewakili negeri dalam sukan petanque selama lapan (8) tahun berturut-turut. Dari segi akademik, pencapaian murid dalam peperiksaan SPM dan STPM telah merosot manakala dari segi pengurusan hal ehwal murid, purata kadar kehadiran murid setiap bulan adalah di bawah 90 peratus. Kebanyakan kes disiplin yang direkodkan merangkumi kes ringan dan sederhana. Oleh sebab murid lemah dari segi akademik, pengetua dan barisan pentadbir menumpukan perhatian terhadap pembangunan sahsiah diri murid.
Setelah mengkaji punca masalah yang dihadapi, saya telah menjalankan projek untuk membangunkan kapasiti guru di sekolah tersebut dalam bidang akademik. Hasil perbincangan dengan pengetua dan barisan pentadbir sekolah, saya telah menjalankan aktiviti Bengkel Simulasi Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) untuk semua guru aliran perdana pada amnya dan amalan komuniti pembelajaran profesional (PLC) untuk guru-guru Ekonomi khususnya.
Dalam Bengkel Simulasi PAK21, guru mendapat pengalaman secara “hands on” bagaimana aktiviti-aktiviti PAK21 seperti pembelajaran koperatif, persembahan hasil kumpulan melalui aktiviti “Gallery Walk” dan teknik penyoalan ala “Hotseat” dijalankan dalam PdPc. Guru yang mengendalikan simulasi PdPc juga diberi bimbingan untuk membentuk Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang berpusatkan murid. Dua (2) jenis aktiviti Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) telah dijalankan untuk guru Ekonomi iaitu Peer Coaching dan Lesson Study. Setelah memerhatikan teknik pengajaran guru, saya telah membimbing kedua-dua guru ini dalam aspek pedagogi dan teknik penguasaan isi pengajaran. Saya juga menjalankan sesi “pair teaching” bersama guru di dalam kelas untuk meningkatkan motivasi dan keyakinan diri guru berkenaan. Hasil daripada usaha ini, guru Ekonomi dapat menjalankan PdPc dengan lebih bermakna kerana murid bukan sahaja dapat melibatkan diri secara aktif tetapi dapat menguasai isi pengajaran. Selain itu, sesi teknik menjawab soalan juga dijalankan untuk murid kelas Ekonomi berdasarkan analisis item yang dilakukan ke atas jawapan murid dalam ujian pasca. Murid dan guru diberi pendedahan tentang cara mentafsir kehendak soalan dan menjawab soalan berdasarkan kata kunci yang dikenal pasti. Hasilnya, murid dan guru Ekonomi memperoleh input tentang teknik menjawab dan menyemak jawapan esei.
Berdasarkan aktiviti yang dijalankan dalam projek Perantisan 2, saya telah mempelajari proses kerja dalam usaha membangunkan kapasiti guru.
Seorang pemimpin yang berfikiran strategik perlu mengkaji punca masalah dengan mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak dan pemerhatian terhadap sikap dan tingkah laku guru dan murid. Murid yang lemah tidak patut dijadikan alasan untuk guru mengelak diri menjalankan aktiviti PAK21 dalam PdPc. Sebaliknya pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna akan mendorong murid untuk terus belajar. Dalam hal ini, komunikasi dua hala perlu diwujudkan antara guru dengan murid, murid dengan murid dan murid dengan bahan pengajaran supaya pembelajaran aktif dapat dijalankan. Bagi mewujudkan PdPc yang bermakna dan berkesan, guru perlu terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri dari semasa ke semasa mengikut perkembangan semasa dalam dunia pendidikan. Dalam usaha mencemerlangkan sesebuah organisasi, barisan pemimpin sekolah perlulah menyelia dan membangunkan kapasiti stafnya supaya dapat melaksanakan tugas sejajar dengan hala tuju organisasi. Bimbingan dan pementoran amat diperlukan untuk membantu guru mengatasi kelemahan mereka dan memberikan motivasi kepada mereka untuk terus berusaha ke arah kecemerlangan organisasi dan dirinya sendiri.
Selaku pemimpin sekolah, saya perlu menjalankan pemantauan terhadap program pembangunan sekolah yang dijalankan. Pelaksanaan program yang terlalu banyak tidak semestinya mendatangkan impak yang baik kepada penerima akhirnya iaitu murid. Walaupun pelbagai program kecemerlangan akademik telah dijalankan sepanjang tahun untuk murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 5 di sekolah perantisan, namun prestasi pencapaian murid masih berada pada tahap yang rendah. Oleh itu, pemantauan dan penilaian program perlu dijalankan untuk mencari punca masalah dan seterusnya melakukan penambahbaikan untuk program tersebut. Dalam hal ini, saya bersama-sama pemimpin pertengahan perlu sama-sama mengkaji keberkesanan program yang dijalankan dan mengambil tindakan susulan yang wajar berdasarkan hasil dapatan daripada kajian tersebut. Saya perlu mengenal pasti alternatif terbaik untuk menyelesaikan masalah yang dikenal pasti. Kemahiran menyelesaikan masalah amat penting untuk memastikan semua usaha membangunkan sekolah tidak sia-sia dan sebaliknya mendatangkan impak seperti yang dihasratkan selaras dengan hala tuju organisasi.
Melalui projek Perantisan 2 ini, saya banyak memperoleh ilmu pengurusan daripada mentor saya sebagai persediaan untuk memimpin sesebuah organisasi pada masa akan datang. Selain itu, saya juga berpeluang untuk mengaplikasikan semua teori kepimpinan yang telah dipelajari dalam usaha membantu menyelesaikan isu utama sekolah tersebut. Harapan saya agar apa yang telah dilaksanakan dapat diteruskan oleh warga sekolah ini pada masa akan datang. Oleh itu, saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan projek ini secara langsung dan tidak langsung.
PENUTUP
Pada keseluruhannya, Program NPQEL ini telah mendatangkan impak yang besar terhadap diri saya. Banyak ilmu baharu yang saya peroleh dan boleh diaplikasikan dalam kehidupan sebenar. Selain itu, saya juga mempelajari selok-belok dalam pengurusan organisasi dan kepentingan mewujudkan jaringan dan jalinan dengan ibu bapa, komuniti dan pihak swasta demi mencemerlangkan sesebuah organisasi.
Selaku seorang pemimpin, saya harus mempamerkan kompetensi dalam pelbagai aspek supaya meyakinkan orang lain untuk menerima idea saya. Selain mengupayakan pemimpin peringkat tertinggi dan pertengahan untuk melaksanakan tugasan harian yang dipertanggungjawabkan, saya juga perlu memantau dan membimbing mereka dalam proses penyelesaian masalah. Oleh itu, komunikasi dua (2) hala amat diperlukan untuk memastikan semua maklumat dan arahan sampai ke pengetahuan pihak tertentu. Seluruh warga organisasi perlu jelas dengan hala tuju organisasi dan digerakkan bersama-sama untuk mencapai matlamat yang dihasratkan. Akhir sekali, seorang pemimpin mestilah menonjolkan keperibadian yang positif supaya dapat memimpin organisasinya ke arah kecemerlangan.
Selain itu, saya amat bersyukur kerana Program NPQEL telah membekalkan saya pelbagai ilmu dan kemahiran untuk meningkatkan kompetensi saya agar menjadi seorang pemimpin yang berkualiti tinggi. Saya berharap semua ilmu ini dapat membantu saya menerajui perubahan dan membangunkan kapasiti guru secara berterusan. Program pembangunan profesional yang berterusan bukan sahaja dapat meningkatkan kompetensi guru untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang pendidik tetapi juga menyediakan laluan kerjaya ke peringkat yang lebih tinggi. Guru yang berkualiti pasti dapat menghasilkan kemenjadian murid dalam enam (6) aspek seperti yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025 iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.
Akhir kata, semua dapatan dan pengalaman yang dikongsikan dalam karya ini adalah pandangan peribadi saya semata-mata semasa menempuhi pelbagai cabaran dalam tempoh empat (4) bulan menyediakan diri saya sebagai bakal pemimpin sekolah. Aktiviti-aktiviti yang terpilih ini memberikan impak yang mendalam khususnya dalam aspek pengurusan dan teori kepemimpinan. Adalah diharap bahan ini boleh dijadikan sebagai rujukan kepada bakal pemimpin sekolah dengan memberikan sedikit sebanyak pencerahan dalam aspek kepemimpinan ke arah menerajui perubahan demi mencemerlangkan sesebuah organisasi.
RUJUKAN
Institut Aminuddin Baki. (2018). Panduan Pelaksanaan Program Kelayakan
Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) Versi 2018.
Bandar Enstek: Institut Aminuddin Baki.
Wong Kiet Wah, Noriati A. Rashid & Boon Pong Ying. (2018). Asas
kepemimpinan dan pembangunan profesionalisme guru (Edisi Kedua). Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Joana Zambas. The Importance of Effective Communication In The
Workplace, 5 Februari 2019 dari http://www.careeraddict.com.
mHub Ltd. 2018. The Importance of Two Way Communication dari http:// www.mhub.tv/importance-two-way-communication/
ASQ. What is Problem Solving? dari https://asq.org/quality-resources/ Kementerian Pendidikan Malaysia. Pelan Pembangunan Pendidikan 2013 -
NPQEL WADAH MEMBANGUN KOMPETENSI CEMERLANG