DAPATAN AKTIVITI
5. Jalinan Pintar Koporat (JPK)
Dalam aktiviti JPK, kumpulan kami telah memilih Sekolah Kebangsaan Rugading sebagai fokus utama. Melalui pelaksanaan program ini, saya dapat mengaitkan dengan beberapa kompetensi seperti membuat keputusan, berkomunikasi berkesan dan membina jaringan dan jalinan. Kompetensi membuat keputusan dapat ditonjolkan melalui pemilihan sekolah atas beberapa sebab. Berdasarkan data serta idea yang relevan daripada setiap ahli melalui perbincangan maka sekolah ini kami pilih.
Kompetensi ini juga dapat dilihat melalui pertemuan kali pertama dan perbincangan dengan guru besar tentang pelaksanaan program. Melalui maklumat yang disampaikan dengan lengkap dan mudah difahami, maka pemimpin sekolah ini bersetuju untuk membenarkan pihak kami mengadakan JPK. Bukan itu sahaja tetapi, kemampuan ahli kumpulan dalam menyampaikan idea dengan lancar serta mampu mempamerkan keterbukaan dalam berkomunikasi dan menyakinkan pendengar maka kumpulan kami berjaya mengumpul dana yang mencukupi untuk pelaksanaan JPK ini. Dalam membina jaringan dan jalinan, kumpulan kami berjaya mendapatkan khidmat pakar dalam memberikan ceramah motivasi daripada IPG Kampus Tuaran serta seorang jururawat daripada Klinik Dr. Siti Tuaran. Ini menunjukkan, ahli kumpulan mampu menonjolkan kompetensi ini walaupun dalam tempoh pelaksanaan yang amat singkat. Melalui dana yang telah disumbangkan juga, kumpulan ini mampu mendapatkan jenis tanah yang baik, 30 buah pasu yang berkualiti serta 30 jenis pokok bunga.
Sebagai seorang pemimpin sekolah, kompetensi membina jaringan dan jalinan perlulah digunakan untuk kemajuan sekolah sama ada dari segi akademik, kokurikulum ataupun dalam mewujudkan sekolah yang bersih dan ceria. Hal ini penting dalam mendapatkan khidmat pakar dan dalam memperolehi dana untuk sesebuah projek. Hubungan baik dengan mana-mana pihak berkepentingan perlulah dibina dan diteruskan agar kecemerlangan sekolah dapat dipertingkatkan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa melalui hal ini, kompetensi berkomunikasi berkesan sangat penting bagi seseorang pemimpin untuk mempengaruhi pihak lain. Melalui aktiviti JPK ini, penglibatan ibu bapa dan komuniti setempat amatlah diperlukan. Aktiviti ini sesuai diteruskan di sekolah untuk mengeratkan hubungan dengan masyarakat dan dalam membina kerjasama yang baik.
Jika saya ditempatkan di sesebuah sekolah nanti, saya ingin menggunakan kepakaran dalam kompetensi berkomunikasi berkesan serta membina jaringan dan jalinan untuk sesi perkongsian inovasi daripada fasilitator luar yang berpengalaman. Hubungan dan kerjasama dengan sekolah lain sama ada di dalam atau di luar negara perlu dilakukan untuk mendapatkan teknik atau kaedah yang berkesan dalam PdPc guru melalui
Professional Learning Community (PLC). Lawatan penandaarasan ke sekolah-sekolah yang berprestasi tinggi atau Sekolah Kluster Kecemerlangan harus dilakukan bagi mendapatkan infomasi serta amalan terbaik yang terdapat di sekolah tersebut. Saya menyedari bahawa sebagai pemimpin haruslah berani membuat perubahan dan keluar dari kotak pemikiran lama. Dalam kompetensi membangun kapasiti saya harus menggalakkan pengembangan idea dan inovasi melalui pembelajaran berterusan.
PENUTUP
Pengalaman mengikuti Program NPQEL di IAB merupakan suatu kenangan yang tidak akan dapat saya lupakan. Kenangan itu, akan saya jadikan suatu epilog dalam mengharungi kehidupan sebagai pemimpin kelak. Walaupun terdapat suka dan duka, namun semuanya mengajar saya untuk mengejar ilmu kepimpinan yang amat berguna untuk sekolah dan generasi akan datang. Suatu memori itu, tidak akan berguna tanpa dihiasi dengan kesungguhan dan nekad dalam menimba ilmu pengetahuan. Pada mulanya, berada di IAB suatu hal yang menyeksa kerana minda, tenaga serta keselesaan direnggut daripada terus dinikmati. Keinginan untuk berhenti atau putus asa kerap kali bertandang kerana tidak sanggup dengan pelbagai tugasan yang datang silih berganti. Namun berkat kesungguhan dan bimbingan daripada para pensyarah mendorong semangat untuk terus utuh.
Kini, semuanya telah selesai. Untuk mengulanginya kembali pasti tidak akan sama. Saya harus akur bahawa tugasan ini adalah yang terakhir untuk dimuat naik sebagai pelengkap kepada kursus tersebut. Sememangnya tidak ada satu pun kerja yang mudah. Sesuatu perkara memerlukan komitmen dan kesungguhan dalam melaksanakannya dengan cemerlang. Usaha yang telah saya tunjukkan semasa berkursus, diharap menjadi satu bekalan dalam memimpin sesebuah sekolah nanti. Segala ilmu yang saya perolehi di IAB diaplikasikan sepenuhnya dalam memimpin perubahan di sekolah. 10 kompetensi yang dipelajari semasa di IAB akan dipraktikkan dalam menerajui perubahan dan mencemerlangkan organisasi.
Fokus utama adalah kemenjadian murid. Disebabkan merekalah, semua sekolah wujud dan kerana kewujudan sekolah, pemimpin itu diperlukan. Oleh itu, kepentingan mereka sangat utama. Sesungguhnya kaedah penyampaian latihan 70:20:10 berupaya membangun diri saya dalam mengurus organisasi dengan cemerlang. Ini dapat dilihat melalui pelaksanaan lima (5) aktiviti yang berbeza iaitu Pembentangan Eksekutif, Perantisan 2, Lawatan Penandaarasan ke Institusi Swasta (LPIS), Bicara Kepimpinan Melalui Buku dan Jalinan Pintar Korporat (JPK). Saya amat teruja dengan kecekapan pihak IAB dalam mengadun kesemua kompetensi sehingga dapat diterapkan dalam aktiviti-aktiviti berbeza yang telah dijalankan. Semua kompetensi ini saling berkaitan antara satu dengan yang lain dalam sesebuah aktiviti. Di samping itu, semua aktiviti ini juga mampu mencungkil dan memahirkan diri saya terhadap kompetensi yang diperlukan. Hasrat dan harapan saya adalah menjadi seorang pemimpin yang berprestasi tinggi dan mampu melonjakkan nama sekolah di mata dunia.
RUJUKAN
Abdullah, H. & Ainon, M. (2000). Kemahiran Interpesonal untuk Guru. PTS Publication & Distributor Sdn Bhd.
Ahmad, A. G. (2016). Rencana Umum Memimpin Perubahan Negara. Majalah Pendidik, 6-7.
Alimuddin Mohd.Dom. (2016). Mengurus Modul Pemikiran Komputasional. Majalah Pendidik, 12-13.
Alimuddin Mohd.Dom. (2006). Kepimpinan instruksional: Peranan
Pengetua dan guru besar dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Putrajaya: Sektor Penaziran Kepimpinan Institusi Pendidikan.
James G. Bobbins, Barbara S.Jones, 2006, Komunikasi yang Efektif, untuk
Pemimpin, Pejabat dan Usahawan, Jakarta: CV Pedoman Ilmu Jaya Salleh, L.M & Noah, S.M (2000), The Importance of Oral Communication