• Tidak ada hasil yang ditemukan

Pembentangan Eksekutif (PE)

Dalam dokumen METAMORFOSIS KEPIMPINAN AMBILAN 2/2019 (Halaman 34-38)

DAPATAN AKTIVITI

1. Pembentangan Eksekutif (PE)

Pembentangan Eksekutif merangkumi domain berwawasan, menerajui perubahan, memimpin pembelajaran, membangun kapasiti dan membina jaringan dan jalinan. 10 kompetensi yang diukur dalam kelima-lima PE ini membolehkan saya membuat kajian secara terperinci, menganalisis data dan menginterpretasikan dalam bentuk slaid berdasarkan stimulus yang diberikan.

Kompetensi berfikiran strategik dalam domain berwawasan, memerlukan saya untuk memahami, menyampai dan menterjemah hala tuju sekolah. Hal ini berkait rapat dengan visi, misi dan matlamat sesebuah sekolah. Sekolah yang tidak mempunyai hala tuju adalah ibarat sebuah kapal di lautan tanpa nakhoda. Sememangnya setiap pemimpin perlu ada matlamat untuk diri dan organisasinya. Melalui kompetensi ini juga, saya mampu berfikir secara kreatif, inovatif dan futuristik untuk menentukan hala tuju organisasi ke arah mencapai sekolah yang cemerlang menjelang tahun 2025 selaras dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Aktiviti PE yang dilalui sesungguhnya melatih saya untuk membuat keputusan. Kompetensi ini amat penting dan harus dikuasai oleh seseorang pemimpin. Ini disebabkan bahawa pemimpin sekolah berperanan penting dalam menerajui sesebuah sekolah yang akan membawa kecemerlangan kepada sekolah tersebut. Oleh itu, seorang pemimpin harus berani dan yakin dengan keputusan yang dilakukan serta mampu menyatakan justifikasi keputusan yang jelas.

Selain itu, PE mampu mengupayakan saya untuk menguasai kompetensi memimpin perubahan. Melalui kajian kes atau stimulus yang diberikan saya dapat belajar untuk memahami dan memikirkan perubahan yang harus saya lakukan. Saya berpendapat, seseorang pemimpin harus mempunyai rasa kebertanggungjawaban dalam memimpin perubahan berdasarkan data atau maklumat, membuat perancangan tindakan serta bertindak mengongsikan rasionalisasi terhadap tindakan perubahan tersebut. Hal ini, jika kompetensi ini tidak diambil berat, sudah tentu objektif dan matlamat sesuatu komunikasi tidak akan tercapai. Ini bermakna mesej yang disampaikan itu tidak dapat difahami sebagaimana yang dikehendaki oleh individu berkenaan. Setiap kali PE, peserta ditaksir sebaik sahaja mula membentang. Ini menunjukkan, komunikasi yang berkesan itu sangat penting kerana pembentangan memberikan kesan secara langsung terhadap pendengar. Melalui PE inilah semua peserta dapat dilatih untuk lebih yakin dan berwibawa ketika berkomunikasi serta mampu menyusun idea yang akan disampaikan dengan lebih baik. Pada pendapat saya, komunikasi berkesan adalah salah satu faktor penting yang akan menentukan kemampuan seseorang semasa sesi PE. Tanpa komunikasi yang berkesan ini, sudah tentu para pendengar tidak akan dapat mendengar dengan baik dan tidak dapat memahami apa yang akan disampaikan.

Justeru bagi mencemerlangkan organisasi yang akan saya pimpin kelak, saya akan mengaplikasikan kesemua kompetensi ini agar segala maklumat, perancangan serta tindakan dapat dilaksanakan dengan baik. Saya harus menjana pemikiran yang strategik untuk mengenal pasti kekuatan, kelemahan, cabaran dan peluang yang ada. Selain itu, dalam membangun organisasi pengurusan sumber manusia perlulah mempunyai strategi yang mampan dan berkesan. Saya menyedari bahawa perkara ini sangat penting kerana ia merujuk kepada cara dan pendekatan yang digunakan dalam organisasi agar selari dan mencapai matlamat yang diharapkan. Ini disebabkan, sumber manusia adalah elemen terpenting dalam organisasi yang akan menyumbang idea, kepakaran dan tenaga ke arah pencapaian objektif organisasi. Oleh itu, sebagai pemimpin yang akan menerajui sesebuah sekolah kelak saya akan memastikan hala tuju yang berkaitan dengan visi, misi dan matlamat sekolah dapat dikongsikan dengan semua pemimpin pertengahan dan dapat difahami oleh semua warga.

Saya sedar bahawa hanya melalui komunikasi sahaja kita dapat menyebar luas hala tuju sekolah dan membawa organisasi untuk bergerak dalam satu pasukan. Seseorang individu yang mampu berkomunikasi dengan baik dan berkesan dapat menonjolkan kewibawaan diri dan organisasinya. Dalam kajian oleh Salleh dan Noah (2000) menyokong akan kepentingan kemahiran komunikasi dalam kalangan masyarakat. Mereka menyatakan bahawa, bagi memastikan sesebuah masyarakat itu dapat terus maju kehadapan, kemahiran berkomunikasi itu adalah sangat penting. Oleh itu, bagi menyampaikan sesuatu maklumat itu secara telus dan tepat, komunikasi yang betul amatlah diperlukan. Fakta menunjukkan bahawa kemampuan berkomunikasi merupakan unsur penting di antara berbagai unsur yang diperlukan bagi mengatasi konflik-konflik yang diakibatkan oleh masalah perhubungan. (James G. Bobbins, Barbara S. Jones, 2006)

Aktiviti PE benar-benar melatih dan membimbing saya untuk menjadi pemimpin sekolah yang berprestasi tinggi. Saya mampu melatih minda untuk berfikiran strategik, membuat keputusan, menyelesaikan masalah serta menggerakkan diri untuk berkomunikasi dengan berkesan. Sememangnya aktiviti ini telah dapat menyediakan diri saya untuk memimpin sesebuah sekolah nanti.

2. Perantisan 2

Perantisan 2 (P2) telah saya laksanakan di SK Entabuan, Tenom. Berdasarkan analisis SWOT terhadap sekolah ini, saya mendapati masalah yang dihadapi adalah kurangnya penguasaan murid-murid dalam mata pelajaran Matematik. Atas keperluan ini, projek “Keep Your Eyes To Mate” telah saya laksanakan.

Dalam menjayakan program ini empat (4) domain kompetensi perlu ada dalam diri saya dan pasukan sekolah iaitu berwawasan, menerajui perubahan, mencemerlangkan organisasi dan berketerampilan yang kesemuanya melibatkan 10 kompetensi. Saya perlu membawa pasukan seiring dengan hasrat sekolah untuk mencapai kecemerlangan. Dalam hal ini, beberapa kompetensi akan cuba diterangkan dengan mengaitkannya dengan aktiviti P2. Melalui kompetensi berfikiran strategik, beberapa tindakan telah dilaksanakan iaitu membuat analisis persekitaran luaran dan dalaman serta berkongsi dengan semua guru penolong kanan dan guru-guru dalam sebuah mesyuarat bersama ahli pasukan pelaksana. Dalam mesyuarat ini, harapan, hasrat dan hala tuju organisasi dinyatakan dengan jelas untuk mencapai kemenjadian murid. Keputusan ditentukan bersama setelah meneliti data pencapaian murid dalam UPSR dan peperiksaan dalaman sekolah. Melalui hal ini, ahli pasukan dapat merancang, mengurus dan melaksanakan program yang telah dipersetujui bersama.

Kompetensi menyelesaikan masalah dapat diaplikasikan bersama dengan seluruh ahli pasukan dalam mengenalpasti isu utama dengan menggunakan 5 whys. Melalui kaedah sumbang saran, punca utama daripada isu ini adalah disebabkan murid-murid tidak menguasai fakta asas. Menurut (Alimuddin Mohd. Dom, 2016), proses penyelesaian masalah dimulakan dengan mengenal pasti masalah, menganalisis data dan menggunakan pelbagai kaedah penyelesaian masalah. Ini membantu saya dalam mengenal pasti punca masalah tersebut termasuklah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dalam bilik darjah. Seluruh ahli dalam pasukan juga terlibat dalam membuat penilaian dan membuat keputusan terhadap intervensi yang telah dipilih di samping menilai kekuatan dan kelemahan berdasarkan justifikasi yang telah ditetapkan. Selain itu, perbincangan dan tindakan dilakukan dalam membuat penilaian terhadap faktor-faktor yang menyokong dan menghalang tindakan yang dilaksanakan sama ada yang melibatkan komuniti setempat atau ibu bapa. Penyediaan sumber pembelajaran, penyeliaan, pemantauan dan bimbingan (coaching) secara berterusan serta pengupayaan guru-guru penolong kanan dan ketua panitia telah dilaksanakan dalam mewujudkan iklim pembelajaran kondusif. Di samping itu, tindak kerja dalam mendapatkan sokongan daripada pemegang taruh dan komuniti setempat adalah amalan dalam memimpin pembelajaran sepanjang projek ini dijalankan.

Sepanjang tempoh Perantisan 2, kompetensi berkepemimpinan dapat diaplikasikan sepenuhnya. Warga sekolah mampu memberikan kerjasama serta tindak balas yang amat memberangsangkan. Mereka memberikan kerjasama yang baik dan komitmen yang tinggi. Seluruh warga mempamerkan kesungguhan dalam menjayakan program bermula daripada peringkat perancangan, pelaksanaan dan post mortem. Saya menyedari, tanpa kemampuan ini pastinya saya tidak dapat mempengaruhi mereka akan kepentingan program tersebut. Menurut kajian oleh Alimuddin Mohd Dom (2006), sifat-sifat seperti karisma, keperibadian, bakat, kemahiran dan kebolehan akan dapat memimpin, membimbing dan membawa warga sekolah ke arah satu (1) matlamat iaitu kecemerlangan pendidikan. Selain itu, ternyata kompetensi berkomunikasi berkesan juga amat penting dalam mempengaruhi seluruh ahli pasukan. Ini dapat dilihat melalui penglibatan mereka yang sangat memuaskan sepanjang pelaksanaan program ini.

Perantisan 2 memberikan saya pengalaman baru dalam memimpin sesebuah organisasi. Saya mampu belajar mengendalikan dan menggembleng sumber manusia untuk melaksanakan suatu perubahan dalam mencapai hasrat sekolah. Bagi saya, aktiviti ini memberikan persediaan kepada saya untuk merancang apa yang harus saya lakukan untuk membangun sesebuah

organisasi. Selain itu, aktiviti ini menyedarkan saya bahawa pengurusan yang baik bermula daripada pemimpin yang bijak merancang, melaksana, mengurus dan mengawal atau memantau pengimplementasian sesuatu yang telah dirancang dan sumber-sumber di bawah kawalan. Corak kepemimpinan haruslah menjurus kepada usaha meningkatkan produktiviti agar mencapai sasaran keberhasilan yang cemerlang dari segi akademik dan kemenjadian murid.

Dalam dokumen METAMORFOSIS KEPIMPINAN AMBILAN 2/2019 (Halaman 34-38)