TRANSFORMASI SEORANG PEMIMPIN
DAPATAN AKTIVITI 1. e-NPQEL
2 Pembentangan Eksekutif
Pembentangan Eksekutif (PE) melibatkan lima (5) sesi pembentangan yang perlu dilakukan dalam masa tujuh (7) minit. Setiap sesi pembentangan ini adalah berpandukan kepada bahan stimulus yang disediakan. Sesi pentaksiran akan dilakukan oleh tiga (3) orang pentaksir dan setiap peserta akan ditaksir berdasarkan rubrik mengikut lima (5) tahap yang empat (4) bagi setiap pembentangan.
Melalui PE ini, saya telah mempelajari asas penyampaian yang berkesan selaras dengan kompetensi berkepemimpinan. Dengan peruntukan had masa tujuh (7) minit yang diberikan kepada peserta, kelihatan sebagai satu (1) tempoh yang agak singkat. Saya kurang berjaya untuk menguruskan masa untuk membuat pembentangan. Ini jelas dapat dilihat pada kali pertama PE dilaksanakan. Pengurusan masa yang kurang efisen ditambah dengan kemahiran penyampaian yang kurang berkesan telah menyebabkan pembentangan itu menjadi serba tidak menjadi. Namun demikian, semua itu saya anggap sebagai cabaran baharu dalam proses membentuk pemimpin yang berkeperibadian tinggi. Keadaan itu dapat diperbaiki dari semasa ke
semasa dengan pengalaman dan bimbingan dari semua pihak. Sehingga ke PE yang terakhir, kematangan dan peningkatan tahap keyakinan lebih jelas dapat dilihat pada semua peserta kursus. Aktiviti PE ini telah berjaya menambah baik tahap kompetensi saya sebagai seorang pemimpin dalam pelbagai aspek seperti berfikiran strategik, membuat keputusan dan menyelesai masalah dalam melihat dan menilai situasi berpandukan stimulus. Dalam konteks yang menyentuh mengenai aspek kurikulum pula, saya telah dapat mempelajari bagaimana memimpin pembelajaran dan membangun kapisiti warga sekolah dapat mewujudkan satu organisasi yang cemerlang dan berkesan. Dalam situasi yang memerlukan penglibatan komuniti dan sokongan daripada pihak luar, kemahiran membina jaringan dan jalinan di samping kemahiran berkomunikasi secara berkesan akan dapat membantu saya dalam mendapatkan kepakaran, sokongan, dana dan lain-lain. Ini telah membawa saya jauh daripada takuk lama saya di mana sebelum ini tidak didedahkan dengan 10 kompetensi ini secara langsung.
PE ini membentuk kemahiran membentang pada setiap peserta disamping bertujuan untuk menerapkan 10 kompetensi kepada saya secara tidak langsung. Dengan berpandukan kepada bahan stimulus, saya telah membuat beberapa perancangan, aktiviti, menilai situasi dan sebagainya dalam usaha dalam memahami dan menyelesaikan stimulus yang telah diberikan. Apabila berada di sekolah, konsep dan idea yang dipelajari melalui PE ini boleh diketengahkan dengan menggalakkan semua warga organisasi untuk berkongsi dapatan dan amalan mereka. Warga sekolah akan digalakkan untuk melibatkan diri dengan lebih aktif lagi di sekolah dengan mengambil peranan dan tanggungjawab di barisan kepimpinan. Ini boleh dilakukan dengan proses empowerment oleh barisan pemimpin sekolah. Ini kemudiannya akan disusuli dengan perkongsian perancangan aktiviti ataupun program mereka bersama pemimpin dan warga sekolah yang lain dalam membantu peningkatan prestasi sekolah. Latihan berbentuk kursus motivasi ataupun jati diri kepada guru-guru akan dirancang dan dilaksanakan agar dapat membentuk guru-guru yang lebih berkeyakinan tinggi. Sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, dialog prestasi bersama ibu bapa, mesyuarat PIBG dan sebagainya boleh ditambah baik kualitinya dengan guru-guru lebih berkeyakinan dalam menyampaikan mesej mereka dan dapat berkomunikasi dengan lebih berkesan. Selain itu, corak penyampaian guru juga boleh ditambah baik dengan menerapkan aspek komunikasi yang berkesan seperti suara yang jelas, pengurusan masa yang lebih baik dan perjalanan pengajaran dan pembelajaran yang lebih terancang dan tersusun di dalam bilik darjah.
PE ini telah berjaya menukar pandangan dan perspektif saya sebagai pemimpin dari pelbagai sudut dan aspek. Kelima-lima pembentangan eksekutif ini telah membawa saya untuk melihat dan mengupas 10 kompetensi ini dengan lebih dekat dan jelas lagi. Dapatan melalui setiap pembentangan eksekutif ini telah dapat meningkatkan penguasaan kompetensi saya dengan lebih baik lagi.
3. Jalinan Pintar Korporat
Jalinan Pintar Korporat (JPK) ialah aktiviti yang menggalakkan peserta kursus untuk mengadakan jaringan dan jalinan dengan pelbagai pihak untuk menjayakan sesuatu program di sekolah. Sekolah pilihan kami dalam aktiviti JPK ini ialah SK. Darau, Menggatal. Program yang telah kami jalankan ialah Kem Bola Sepak bagi murid-murid Tahun Empat dan Lima.
JPK ini merupakan satu aktiviti yang menarik kerana program ini memerlukan kami untuk turun ke lapangan untuk melakukan aktiviti. Dalam menjalankan aktiviti ini, saya dan ahli kumpulan mengaplikasikan kompetensi berfikiran strategik dalam mengenal pasti isu yang kami perlu bantu melalui program tersebut. Setelah mengenal pasti masalah maka kumpulan kami telah merancang dan melaksanakan Kem Bola Sepak bagi melatih dan membimbing pasukan bola sepak sekolah ini untuk memperbaiki tahap pencapaiannya yang agak rendah sebelum ini. Kompetensi utama yang difokuskan semasa aktiviti ini ialah untuk membina jaringan dan jalinan. Ini jelas dapat dilihat melalui usaha saya dan ahli kumpulan untuk berbincang bagi mendekati pihak sekolah dan juga untuk mendapatkan bantuan dana daripada beberapa individu dan badan-badan korporat. Selain itu, saya dan ahli kumpulan perlu membuat keputusan dalam memilih beberapa alternatif yang ada bagi mengatasi isu di sekolah ini. Alternatif terbaik yang telah saya dan ahli kumpulan kami pilih adalah dengan melaksanakan Kem Bola Sepak bagi menyelesai masalah ini.
Syarat pelaksanaan utama bagi aktiviti JPK ini untuk membina jaringan dan jalinan dengan pelbagai pihak untuk tujuan mendapatkan tenaga kepakaran, bahan dana dan sebagainya. Jaringan dengan pihak sekolah telah membawa kepada pemilihan sekolah ini sebagai lokasi program dan jalinan dengan badan koporat seperti Syarikat Sin Aik Bee, Syarikat Apollo dan Bunir Trading telah berjaya mendapatkan sumbangan dana bagi menjayakan Kem Bola Sepak ini. Jalinan dengan Kesatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) pula
telah berjaya memperolehi tenaga kepakaran jurulatih iaitu En. Mohd. Jamlin bin Hj. Basiran sebagai jurulatih dalam Kem Bola Sepak ini. Hasil daripada komunikasi yang berkesan dan membina jaringan dan jalinan dengan semua pihak telah berjaya menjayakan program yang dirancang ini dan secara tidak langsung mencapai objektif yang disasarkan.
Melalui jaringan dan jalinan yang telah dilakukan dalam aktiviti JPK tersebut saya telah melihat keberkesanan peranan dan penglibatan pelbagai pihak di sekolah. Jika dibawa kepada konteks di sekolah saya sebelum ini, maka setiap aktiviti, program dan sebagainya adalah bergantung sepenuhnya kepada PCG sekolah dan juga sumbangan daripada guru, ibu bapa dan PIBG. Dengan status sekolah kurang murid (SKM) dan taraf sosio ekonomi ibu bapa yang rata-ratanya adalah golongan petani maka dana dan sumbangan yang dapat diperolehi adalah tidak mencukupi. Ini telah membuatkan saya untuk menimbang semula beberapa program malahan terpaksa membatalkan aktiviti dan program sekolah kerana kekurangan dana untuk melaksanakannya. Keadaan seumpama ini juga saya alami sewaktu memegang jawatan penolong kanan kokurikulum sebelum ini, di mana penyertaan murid di peringkat daerah, bahagian dan negeri terpaksa dibatalkan kerana kekurangan dana untuk menampung kos pembiayaian perbelanjaan. Ini merupakan satu halangan terbesar bagi sekolah saya yang terletak dipedalaman apabila berkaitan dengan kewangan dan dana.
Jaringan dan jalinan ini akan dapat membantu saya untuk mendapatkan tenaga kepakaran, sumber manusia, bahan, dana dan sebagainya untuk membantu sekolah dari semasa ke semasa. Sebagai contohnya, jalinan dengan badan-badan korporat akan dapat membantu saya mendapatkan sumber kewangan bagi menampung kos aktiviti mahupun program. Jaringan dengan sekolah berdekatan akan dapat membantu saya dari bidang kepakaran, bertukar-tukar fikiran, mencari jalan penyelesaian bersama, menjalankan professional learning community (PLC), inisiatif MOU dan lain-lain. Jalinan dengan PPD pula akan dapat membantu peningkatan prestasi sekolah melalui pemantauan dan penyeliaan yang lebih kerap, bimbingan daripada pegawai SISC+, coaching and mentoring dari SIP Partner dan banyak lagi.
Secara keseluruhannya, aktiviti Jalinan Pintar Korporat ini telah memberikan saya satu perspektif baru sebagai pemimpin. Bagi mengatasi masalah dan kekangan yang timbul di sekolah, jaringan dan jalinan boleh dibuat bagi mendapatan bantuan daripada pelbagai pihak untuk meringkan bebanan sekolah
4. Perantisan 2
Perantisan 2 telah dilakukan selama enam (6) minggu. Semasa menjalankan Perantisan 2 ini peserta akan dinilai dengan 10 kompetensi. Guru besar sekolah perantisan akan menjadi mentor sepanjang tempoh perantisan ini. Peserta melaksanakan job shadowing sepanjang perantisan ini dalam aspek pengurusan dan kepimpinan. Perantisan 2 merupakan aktiviti lapangan yang meletakkan peserta kursus di situasi sebenar. Perantisan 2 ini bukan lagi sebagai satu bahan stimulus tetapi merupakan situasi sebenar di mana menuntut peserta untuk mengguna pakai 10 kompetensi yang telah dipelajari kepada aplikasi di sekolah.
Dalam menghadapi barisan kepimpinan sekolah, guru-guru, staf sokongan dan ibu bapa telah menguji saya untuk mempraktikkan 10 kompetensi yang telah dipelajari sebelum ini. Semasa merancang dan melaksanakan aktiviti di sekolah perantisan ini saya telah menghadapi beberapa halangan dan cabaran antaranya ialah sikap guru, kritikan, ibu bapa dan sebagainya. Dalam mengatasi sikap guru yang tidak dapat menerima aktiviti saya, saya telah mendekati mereka dan berkomunikasi dengan lebih berkesan untuk menyampaikan objektif dan matlamat sebenar aktiviti kepada mereka.
Semasa Perantisan 2 ini juga, saya telah melaksanakan satu program membangun kapsiti guru melalui Program Beyond Frontier bagi membantu guru-guru memantapkan kemahiran pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 mereka. Pelaksanaan program ini perlu melalui setiap langkah proses yang betul bermula dari langkah pertama iaitu analisis persekitaran sehingga ke peringkat akhir iaitu post mortem. Impak program ini kemudiannya dianalisis bagi melihat sejauh mana keberkesanannya pada guru-guru. Ini selaras dengan kompetensi berfikiran strategik dan membuat keputusan yang telah saya pelajari sebelum ini. Selain itu, sepanjang program ini saya telah membuat jaringan dengan dua (2) buah sekolah yang berdekatan dan jalinan dengan beberapa agensi luar untuk mendapatkan dana bagi program ini. Beberapa isu dan masalah juga telah saya hadapi daripada guru mahupun ibu bapa sepanjang menjalankan aktiviti perantisan ini. Dalam menyelesai masalah ini persediaan di Institut Aminuddin Baki Cawangan Sabah dalam beberapa aktiviti sebelum ini telah mempersiapkan saya untuk mengenal pasti isu dan masalah yang timbul ini dengan mengambil kira pandangan dan pendapat
semua pihak. Keadaan sebenar semasa berada di perantisan amat berbeza sekali berbanding keadaan secara teori di stimulus. Saya berhadapan dengan pendapat, pandangan, kritikan dan sikap daripada pelbagai sudut sama ada guru, staf, ibu bapa, masyarakat dan komuniti setempat. Di sini saya cuba tampil sebagai seorang pemimpin yang berkeperibadian tinggi dan berkepimpinan untuk membawa mereka bersama-sama menjayakan program ini
Melalui guru besar sekolah perantisan ini, saya telah dapat belajar untuk lebih memberikan perhatian kepada soal kebajikan guru, di mana ini akan memainkan peranan penting dalam membina dan mengekalkan hubungan yang baik dengan warga sekolah. Selain itu, kepimpinan sekolah ini juga berjaya mewujudkan satu suasana persekitaran yang kondusif bagi murid-murid mereka walaupun dengan kekurangan sumber dan bahan di sekolah. Ini merupakan antara intipati yang akan saya ambil dan laksanakan di sekolah asal saya sendiri kelak. Perancangan program dan aktiviti membangun kapasiti guru akan dilaksanakan bergantung kepada keadaan dan keperluan guru ataupun sekolah. Selepas ini setiap aktiviti dan program di sekolah saya perlu melihat keadaan dan persekitaran sebenar sebelum merancang dan melaksanakan aktivti ataupun program tersebut. Ini bagi memastikan aktiviti tersebut memenuhi keperluan ataupun mampu menyelesaikan sesuatu isu di sekolah. Barisan kepimpinan dan guru-guru akan digalakkan untuk membuat analisis persekitaran terlebih dahulu bagi mendapatkan isu ataupun masalah sebenar di sekolah. Berdasarkan analisis tersebut maka barulah langkah seterusnya dapat diambil untuk merancang dan melaksanakan program atau aktiviti tersebut. Selain daripada itu, setiap aktiviti ataupun program perlu dirancang dengan mengikuti tatacara ataupun standard operating procedure (SOP) yang betul bagi memastikan aktiviti tersebut mampu mengatasi isu yang disasarkan di samping mampu untuk mendatangkan impak yang diharapkan. Guru-guru juga akan didedahkan dengan penggunakan tools ataupun alat-alat yang dapat membantu menyelesai masalah seperti diamond
nine, analisis SWOT, matriks keputusan, tulang ikan ishikawa dan lain-lain. Perantisan 2 ini merupakan satu platform yang cukup tepat untuk menguji saya dalam mengaplikasikan 10 kompetensi kepimpinan. Dalam Perantisan 2 ini, saya dapat melihat tadbir urus sekolah oleh guru besar, pengurusan organisasi secara menyeluruh dan belajar untuk merancang dan melaksanakan sesuatu aktiviti atau program dengan melihat kepada keperluan dan isu sebenar di sekolah. Menurut Alimudin Mohd Dom, (2006) pemimpin berkualiti merupakan faktor penting bagi mewujudkan sesebuah organisasi
sekolah berkesan. Dengan sifat-sifat seperti karisma, keperibadian, bakat, kemahiran dan kebolehan mereka akan dapat memimpin, membimbing dan membawa warga sekolah ke arah satu matlamat iaitu kecemerlangan pendidikan.