TITIK MULA PEMIMPIN BERWAWASAN
3.5 Protokol dan Etiket Sosial
Tugasan ini merupakan tugasan yang diberikan kepada kumpulan tetapi penilaian dilaksanakan secara individu. Tiada pembentangan yang harus saya lakukan untuk tugasan ini tetapi saya harus bekerjasama dengan pasukan untuk memainkan peranan masing-masing dalam pengurusan majlis rasmi yang diadakan di Dewan Auditoriam IABU. Tugasan ini dilaksanakan pada minggu pertama fasa 2 dan dibuat penilaian berasaskan tiga (3) kompetensi iaitu berkeperibadian tinggi, berkepimpinan dan berkomunikasi berkesan.
Pengalaman menguruskan majlis rasmi dan menjalani etiket di meja makan adalah salah satu pengalaman manis yang tidak mungkin saya lupakan. Inilah kali pertama saya menguruskan majlis rasmi di dewan yang besar dan tetamu yang hebat-hebat belaka. Sudah tentu banyak peraturan, protokol dan etiket yang perlu saya ambil tahu sebelum bermulanya majlis. Saya perlu membuat ‘homework’ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan. Perkara yang penting adalah mengetahui latar belakang penceramah, status atau jawatan tetamu yang hadir, keadaan dewan tempat majlis berlangsung
dan protokol yang perlu dipatuhi semasa mengurus. Kesalahan atau kelalaian kecil sudah pasti akan mencacatkan majlis dan memberi impak kepada kelancaran program yang akan diadakan. Pengurusan masa merupakan satu perkara yang perlu diberi penekanan. Bukan sahaja pada ahli kumpulan tetapi juga kepada tetamu. Oleh itu, arahan yang tepat pada para jemputan adalah perkara utama yang perlu diperhatikan. Jika berlaku kelewatan atau salah etiket pemakaian, sudah tentu akan memberi kesan kepada suasana majlis rasmi tersebut.
Mok Soon Sang (2009) mendefinisikan guru sebagai seorang profesional. Selain menyebar ilmu, segala tingkah laku guru akan menjadi contoh teladan kepada murid-muridnya. Oleh yang demikian, guru seharusnya mempunyai sifat dan kualiti peribadi, profesional dan sosial yang baik dan murni. Hanya guru yang bertatasusila tinggi akan berjaya menjalankan tugas sebagi pendidik yang sempurna. Pengajaran yang boleh saya kongsi adalah sebagai pemimpin kita perlulah menunjukkan contoh dan etiket yang cemerlang kepada orang bawahan. Kita mestilah menjadi suri teladan dan boleh menjadi contoh kepada mereka. Bermula dengan cara berjalan, bercakap, duduk, berhubung malah cara makan juga diambil kira dan diperhatikan. Sebagai pemimpin kita harus bijak membawa diri dalam sesuatu majlis dan tidak kekok semasa berhadapan dan berkomunikasi dengan pihak luar. Perhubungan dengan pelanggan atau pihak berpentingan haruslah dijaga kerana hubungan baik ini boleh menjadi peluang dalam persekitaran sekolah yang dipimpin. Berjaya atau sebaliknya sesebuah institusi itu bergantung kepada kebolehan dan kewibawaan seseorang pemimpin.
4. PENUTUP
Saya amat bersyukur kerana saya telah berjaya menamatkan Program NPQEL bagi Ambilan 2 Sesi 2019 ini. Berada di IABCU sebagai peserta benar-benar mencabar diri saya sebagai seorang guru dan juga pentadbir. Cabaran ini bukanlah penamat bagi seorang pemimpin baharu seperti saya. Ini merupakan titik permulaan bagi untuk saya meneruskan kerjaya sebagai seorang pemimpin. Bagi saya, guru sentiasa akan menjadi seorang pemimpin walaupun tanpa jawatan dan pangkat khas yang diberikan. Mok Soon Sang (2009) telah menggariskan tentang ciri-ciri yang perlu ada pada setiap guru untuk menghadapi cabaran pendidikan dalam alaf baru. Guru hendaklah mempunyai ciri-ciri beriltizam, berwawasan, berpandangan
global, berpandangan positif, fleksibel, mahir dalam teknologi maklumat dan berpengetahuan luas. Sehubungan dengan itu, saya berasa sangat bertuah dan beruntung kerana diberi peluang untuk menambah ilmu dan kemahiran dalam bidang ini. Sesungguhnya pengalaman ini tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.
Segala dapatan ilmu, maklumat dan pengalaman yang saya peroleh di sini bersama rakan-rakan sejawat akan menjadi harta yang tidak ternilai bagi saya. Secara jujurnya saya mengharapkan program ini akan memberi lebih lagi pengalaman, cabaran dan ilmu pengetahuan. Cabaran besar yang ada hanyalah faktor masa kerana masa yang diperuntukan dalam program ini amat terhad. Jika tempoh program dipanjangkan sudah tentu setiap kompetensi yang saya pelajari dapat diterokai dengan lebih mendalam lagi. Masih terdapat beberapa kemahiran dan topik yang ingin saya pelajari. Antaranya adalah kaedah berkesan membimbing dan memantau (coaching and mentoring), perundangan dalam pengurusan pentadbiran, pengurusan pejabat dan kewangan serta pengurusan sumber manusia. Saya berhasrat untuk mengikuti kursus-kursus anjuran IAB untuk mendalami ilmu pengetahuan dan kemahiran ini di masa akan datang.
Saya akan terus cuba mengambil peluang-peluang yang ada untuk menambah ilmu pengetahuan dan memantapkan kemahiran dalam pengurusan pendidikan. Saya akan menerapkan ciri-ciri pemimpin pembelajaran dan instruksional dalam pengurusan dan kepemimpinan saya. Saya yakin dengan daya kepimpinan yang cemerlang, saya akan meningkatkan prestasi sekolah saya. Guru-guru dan murid-murid adalah sebahagian daripada sumber manusia yang perlu dibangunkan untuk mencapai kualiti dalam pengajaran dam pembelajaran berkesan. Kejayaan sesebuah organisasi adalah hasil daripada kepimpinan pemimpin yang berwawasan, berwibawa, berfikiran strategik, berkeperibadian tinggi dan bijak.
Tiada ungkapan yang sesuai untuk menyatakan betapa saya bersyukur terpilih mengikuti kursus kepimpinan ini. Mendapat ilmu dan perkongsian idea daripada pensyarah-pensyarah yang hebat merupakan satu anjakan paradigma kepada saya dan rakan-rakan untuk terus kreatif dan berinovatif dalam mempraktiskan kepimpinan yang cemerlang.
5. RUJUKAN
Abdullah Hassan & Ainon Mohd. 2002. Komunikasi di Tempat Kerja. KL. PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Kementerian Pendidikan Malaysia. 2013. Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013-2025. KPM. Putrajaya.
Kementerian Pelajaran Malaysia. 2007. Memperkasa Kepimpinan
Instruksional di Sekolah. Bahagian Sekolah. Kementerian Pelajaran Malaysia.
Mohd Ismail Othman .2008. Undang-undang untuk Pengetua dan Guru
Besar. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang. 2009. Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Puchong, Selangor. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang. 2010 . Pengurusan & Pentadbiran Pendidikan III: Kompetensi
Fungsional (Khusus untuk Pentadbiran) Pengetua dan Guru Besar dan Pegawai Perkhidmatan Pelajaran. Puchong. Selangor.Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd.
Zafir Mohd Makhbul & Fazilah. 2003 . Mengurus Sumber Manusia. Kuala Lumpur. Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.