• Tidak ada hasil yang ditemukan

KEMAHIRAN LISAN: KEMAHIRAN BERTUTUR DAN MENDENGAR Definisi Konsep

Dalam dokumen PROGRAM PENSISWAZAHAN GURU (PPG) (Halaman 118-129)

Proses dan Bentuk

KEMAHIRAN LISAN: KEMAHIRAN BERTUTUR DAN MENDENGAR Definisi Konsep

Kemahiran lisan secara umum dirujuk kepada keupayaan seseorang atau beberapa orang bertutur, berkomunikasi / berinteraksi menyampaikan idea, pandangan, mahupun pendapat dalam percakapan dan perbualan. Dalam apa-apapun keadaan, di mana atau bagaimana proses ini berlaku, orang yang terlibat akan saling menghantar dan menerima, yakni memberi gerak balas @ respon tertentu. Ini bermakna dalam proses lisan itu, komponan kemahiran mendengar dan bertutur yang tidak kurang pentingnya. Dalam konteks ini, kemahiran mendengar ialah proses yang melibatkan aktiviti pemerolehan mesej atau maklumat; manakala kemahiran bertutur pula melibatkan proses menjana dan menghasilkan penghasilan maklumat.

Kebolehan untuk mendengar dan bertutur dengan baik dan berkesan sangat penting dalam kehidupan seharian. Ini bermakna, seorang pendengar yang baik dapat memahami dan memperoses maklumat yang didengarinya dalam sesuatu interaksi. Begitu juga, seorang penutur yang baik dapat menyampaikan perasaan dan pemikirannya dengan tepat dan berkesan dalam interaksi tersebut.

Kemahiran Mendengar dan Bertutur Dalam Sukatan Pelajaran

Dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah KBSR (1983:3) menegaskan pengajaran dan pembelajaran kemahiran lisan bahasa Melayu bertujuan:

(a) mendengar dan memahami pertuturan dan siaran yang terdapat dalam kehidupan sehari-hari sama ada di dalam atau di luar rumah;

(b) bertutur dan mengeluarkan buah fikiran dengan menggunakan bahasa yang sesuai dalam perbagai keadaan perhubungan seperti perbualan dengan rakan-rakan, guru, ibu bapa dan sebagainya, serta dalam majlis bahas, syarahan dan lain-lain.

Bagi tujuan mencapai objektif yang dinyatakan, Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah KBSR (1983:3) turut mencadangkan beberapa cadangan subkemahiran kecil kemahiran lisan (mendengar dan bertutur) yang perlu dikuasai oleh murid, antara lain menguasai kemahiran:

(a) mendengar dan menyebut bunyi. Antara lain, meliputi aspek perlakuan bahasa melibatkan kemahiran mengenal, membeza dan mengajuk bunyi yang diperdengarkan; mengecam dan menunjukkan sumber arah datangnya bunyi berkenaan.

(b) memberi dan menerima arahan dan permintaan. Perlakuan bahasa, antara lain mencadangkan kemahiran menyampaikan arahan dan pesanan tertentu secara berurutan supaya mudah difahami, menghasilkan permintaan yang mudah – untuk diri sendiri dan orang lain;

(c) menyampaikan ucapan bertatasusila – meliputi kemahiran melafazkan ucapan bertatasusila, secara beradab dengan menggunakan kata sapaan;

(d) bersoal jawab – kemahiran membina dan mengemukakan soalan bagi tujuan memperoleh maklumat tertentu;

(e) bercerita – kebolehan menyampaikan cerita dengan menggunakan daya kreativiti – ayat, gaya, sama ada menggunakan berbantukan gambar atau tidak;

(f) menyampaikan berita dan laporan – kebolehan menyampai dan melaporkan sama ada yang dilihat, didengar atau dialaminya sendiri dengan ringkas dan padat;

(g) menyampaikan ucapan dan syarahan – kebolehan menyampaikan ucapan dan syarahan secara bertatasusila dengan penuh yakin menggunakan gaya tersendiri, nada dan intonasi, dan suara secara berkesan;

(h) berlakon dan melafazkan puisi – memperlihatkan murid mempersembahkan keupayaan berlakon, melafazkan dialog dan puisi (pantun, syair, sajak mengikut nada, intonasi, sebutan, rima dan nada yang sesuai) secara lisan sama ada secara hafalan atau bebas dengan penuh perasaan; dan

(i) berbincang dan berbahas – menegaskan kebolehan menyampaikan idea dengan menggunakan kemahiran berbahasa secara tepat dan berkesan, menggunakan nada, intonasi, sebutan, rima dan nada yang sesuai.

Kemahiran Bertutur

Kemahiran bertutur merupakan proses komunikasi yang amat kompleks.

Semasa bertutur, seseorang itu akan menghasilkan bunyi bahasa dengan menggunakan unsur-unsur prosodi (intonasi, tekanan sebutan dan jeda) dan para linguistik (bagi bahasa isyarat dan pergerakan badan). Walau bagaimanapun, selain menggerakkan alat pertuturan untuk mengeluarkan bunyi bahasa yang bermakna, proses bertutur juga melibatkan proses mental:

memahami, menaakul, memadan, menyesuaikan dan memberi gerak balas tertentu mengikut situasi sesuatu komunikasi. Penutur yang baik akan

mengkoordinasi keupayaan mendengar dan memperoleh maklumat bagi tujuan menghasilkan bunyi-bunyi bahasa dengan menggunakan unsur-unsur prosidi dan melaksanakan proses mental – mendengar dan membaca secara berkesan.

Konsep Pertuturan

(a) Pertuturan merupakan gabungan daripada bunyi-bunyi bahasa yang dilafazkan. Misalkan bunyi-bunyi, /b/, /a/, /t/, /u/ digabungkan menghasilkan bunyi [batu];

(b) Pertuturan berlaku di peringkat produksi, yakni setelah penutur dapat mendengar dan memahami dengan baik apa-apa yang didengarinya;

(c) Individu banyak belajar kemahiran bertutur daripada pengalaman kecerdasan otaknya;

(d) Aspek fizikal, kesihatan, kecerdasan otak, persekitaran, jantina dan tahap sosioekonomi boleh mempengaruhi tahap pertuturan kanak-kanak; dan (e) Kemahiran bertutur yang baik boleh dikuasai dengan memberi perhatian

kepada aspek fonologi, struktur, intonasi dan penguasan aspek bunyi yang lain.

Aspek-Aspek Pertuturan

(a) Sebutan: Dalam aspek sebutan murid-murid diajar mengenal dan membunyikan setiap huruf, suku kata, perkataan, frasa kata dan ayat.

Dalam hal ini, murid-murid diajar menyebut dan membunyikan suku kata dan perkataan dengan jelas dan tepat mengikut kaedah bunyi, sebutan dan maknanya. Aspek ini penting, terutamanya melibatkan perkataan yang mempunyai ejaan yang sama tetapi kaedah sebutan dan makna yang berlainan seperti semak, boleh dibunyikan sebagai /semak/ dan /sǝmak/ dan seumpamanya;

(b) Tekanan: Tekanan merujuk kepada cara dan bagaimana penutur menyebut dan memberi tekanan kepada sama ada suku kata, perkataan

atau rangkai kata tertentu bagi tujuan menegaskan sama ada keras atau lembutnya sesuatu pengucapan;

(c) Mora (panjang-pendek): Mora atau panjang-pendek merupakan kadar (dalam bahasa Arab disebut „harakat‟), tidak begitu membezakan makna dalam bahasa Melayu;

(d) Jeda (persendian): Unsur ini merujuk kepada aspek persendian – memisahkan elemen-elemen linguistik dalam perkataan, rangkai kata atau ayat. Dalam ayat, jeda digunakan sebagai hentian sementara yang boleh membezakan makna jika unsur ini digunakan. Misalnya ungkapan, „jangan tembak,‟ jika tidak menggunakan jeda bermaksud larangan melepaskan tembakkan, sebaliknya jika jeda digunakan, „jangan/tembak,‟ bermaksud menangguhkan seketika dan kemudiannya melepaskan tembakkan!

(e) Intonasi: Intonasi merujuk kepada kedaan sama ada dilafazkan secara menurun atau menaik sesuatu. Intonasi dalam ayat sama ada menaik, menurun atau mendatar berbeza-beza mengikut jenis ayat. Misalnya, ayat tanya biasanya mempunyai intonasi menaik, manakala ayat penyata mempunyai intonasi menurun di hujung ayat.

(f) Nada: Nada merujuk kepada keadaan bunyi sama ada menaik atau menurun ketika sesuatu perkataan itu disebut. Dalam muzik misalnya terdapat lapan nada: Do, Re, Mi, Fa, So, La, Ti dan Do – setiap nada mewakili satu suku kata. Pun demikian dalam bahasa Melayu, nada tidak bersifat fonemik berbanding dengan bahasa Cina, kewujudannya lebih jelas.

(g) Tatabahasa: Aspek tatabahasa merujuk kepada aturan, formula, kaedah dan tatacara menentukan hukum dalam berbahasa – meliputi bidang fonologi, sintaksis dan semantik. Aspek tatabahasa dalam pertuturan kerap kali tidak diberatkan berbanding dalam aktiviti penulisan. Walau bagaimanapun untuk memperoleh kebiasaan yang baik dan kesan yang mendalam dalam pengucapan, aspek tatabahasa perlu diguna pakai sebaik-baiknya;

(h) Kelancaran: Aspek kelancaran menegaskan perihal dan keupayaan murid bertutur dengan baik, teratur dan kemas tanpa gangguan/tersekat. Ini banyak dipengaruhi dan ditentukan oleh tahap penguasaan dan kecekapan berbahasa dalam kalangan murid-murid.

(i) Kefasihan: Aspek kefasihan menentukan bukan sahaja murid boleh bertutur dengan baik, lancar dan berkesan, sebaliknya boleh membunyikan kata atau menyebut perkataan dalam ayat dengan jelas, betul dan betul;

(j) Laras bahasa: Aspek laras bahasa dalam konteks ini menegaskan kemahiran murid-murid menggunakan bahasa dalam konteks yang situasi, keadaan dan disiplin ilmu berlainan. Ini penting bagi tujuan mempastikan murid-murid boleh berkomunikasi secara berkesan.

Objektif Kemahiran Bertutur

Kemahiran bertutur, antara lain membolehkan seseorang murid:

(a) menyebut dengan jelas;

(b) menyampai atau melahirkan pendapat peribadi;

(c) melaporkan peristiwa dan memberi sesuatu huraian dengan tepat;

(d) memberi penerangan dan alasan;

(e) menunjuk arah;

(f) membina soalan untuk mencari maklumat;

(g) bertemu ramah;

(h) bertukar-tukar pendapat dan maklumat;

(i) bertutur secara bertatasusila; dan

(j) bertutur menggunakan bahasa yang tepat dan sesuai dengan pendengar dan situasi.

Proses dan Bentukya:

Aktiviti dalam Kemahiran Bertutur:

(a) Mengaitkan aksi dengan pertuturan;

(b) Menjawab soalan-soalan rakan dan guru;

(c) Membina soalan berdasarkan bahan;

(d) Memberi arahan kepada rakan;

(e) Menerangkan gambar dan bahan grafik;

(f) Berbual melalui telefon;

(g) Bercerita berdasarkan cerita yang diketahui atau pengalaman sendiri;

(h) Membuat laporan lisan berdasarkan tajuk yang telah disediakan dan menjawab soalan yang diajukan;

(i) Permainan komunikatif;

(j) Mengadakan perbahasan;

(k) Perbincangan forum;

(l) Memberi taklimat dan ceramah;

(m) Main peranan;

Mengapa kemahiran mendengar? Mengapa kemahiran mendengar penting? Apa masalahnya, sekiranya seseorang itu menghadapi masalah pendengaran yang serius? Hakikatnya kemahiran mendengar merupakan kemahiran utama dan pertama yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak sebelum ia boleh mengujarkan perkataan atau bunyi awal tertentu dalam proses belajar berkomunikasi atau bercakap. Tentu sekali sebelum kanak-kanak ini boleh berkomunikasi atau bercakap, ia telah terlebih dahulu terdedah kepada berbagai-bagai bunyi bahasa dan bukan bahasa. Sebenarnya, kanak-kanak sentiasa berkomunikasi dengan alam sekelilingnya, mengusai bahasa – memperoleh, mempelajari, mengajuk dan meniru daripada apa yang didengar dan dialaminya daripada orang-orang yang berada di sekelilingnya. Mereka meniru, mengajuk, mencuba dan mengungkapkan perkataan tertentu secara berulang kali sebelum sesuatu perkataan itu tekal dalam ingatan dan dapat digunakan dalam konteks maknanya yang sebenar. Justeru, alam persekitaran merupakan model penting pembelajaran bahasa dalam kalangan kanak ini. Ini bermakna,

kanak-kanak yang hidup dalam kerangka model alam persekitaran yang baik, cenderung untuk menguasai kemahiran berbahasa: bertutur dan mendengar yang baik mengikut standard tertentu.

Mengapa kemahiran mendengar perlu?

Kemahiran mendengar merupakan kemahiran menerima menaakul dan memproses maklumat dalam komunikasi secara lisan. Di sekolah, murid-murid perlu mendengar untuk menerima dan memahami idea yang disampaikan dalam perbualan, perbincangan, dialog, mesyuarat dan penjelasan dalam proses pengajaran guru. Manakala dalam kehidupan harian pula, aktiviti mendengar sentiasa wujud dalam interaksi sosial (perbualan, perbincangan dan mesyuarat);

untuk mendapat hiburan (radio, televisyen, filem), memperoleh maklumat (pengajaran guru, berita di radio dan televisyen) serta pernyataan perasaan dan apresiasi seni (drama, lakonan, dialog dan kesusasteraan).

Proses Mendengar

Umumnya, komunikasi lisan melibatkan dua proses, iaitu penghasilan dan penerimaan mesej. Proses pertama terlaksana melalui pertuturan sementara proses yang kedua berlaku melalui pendengaran. Terdapat pernyataan bahawa dalam pengajaran bahasa, aspek pendengaran amat kurang diberi perhatian oleh guru. Proses mendengar biasanya berlaku secara berperingkat. Empat peringkat proses mendengar:

(a) mendengar deretan bunyi-bunyi bahasa;

(b) memahami bunyi-bunyi bahasa tersebut;

(c) menilai bunyi-bunyi yang diperdengarkan; dan (d) bertindak balas terhadap bunyi-bunyi tersebut.

Dalam erti kata lain ketika mendengar, seseorang itu akan membuat tanggapan terhadap gabungan bunyi-bunyi bahasa yang didengarinya itu. Kemudian pendengar itu akan menghubungkan bunyi-bunyi bahasa itu dengan makna berasaskan pengetahuan dan pengalamannya. Proses menanggap bunyi dan mentafsir makna sesuatu sebutan berlaku secara serentak berdasarkan pengalaman dan pengetahuan pendengar berkenaan. Akhirnya, bunyi bermakna sebagaimana yang ditanggapi oleh pendengar itu tadi akan digunakan sebagai asas bagi membuat tindakan, huraian atau menyatakan pengalamannya kepada orang yang menghasilkan bunyi bahasa tersebut.

Penjelasan ini menegaskan bahawa dalam proses mendengar, seseorang pendengar yang baik menggunakan alat pendengaran dan keupayaan akalnya secara bijaksana. Justeru, anggapan bahawa mendengar merupakan kemahiran bahasa yang pasif tidak boleh diterima. Ini kerana mendengar merupakan proses yang kompleks melibatkan proses mendengar, memahami, menghurai dan menilai apa yang didengarinya itu sebelum sesuatu gerak balas yang sewajarnya dapat dilakukan.

Objektif mengajar kemahiran mendengar

Melalui kemahiran mendengar, seseorang itu boleh:

(a) memperoleh idea;

(b) mencari isi-isi penting;

(c) melakukan arahan/ tindak balas;

(d) mengenal pasti perkara yang berhubungan dan tidak berhubungan;

(e) mengenal pasti isi-isi yang tersirat;

(f) mentafsir makna-makna yang tersirat,

(g) mengenal pasti „mood‟ penutur, suasana, dan keadaan/ konteks, dan

(h) mengesan „pengaruh‟ penutur sama ada menggunakan logik atau propaganda, iaitu seperti memberi yang baik sahaja, menggunakan nama orang-orang terkemuka atau mengulang sebut apa yang diperkatakan.

Konsep-konsep asas dalam kemahiran Mendengar:

Justeru sebenarnya, kemahiran mendengar merupakan kemahiran yang paling asas dalam kemahiran lisan dan ini berlaku pada peringkat penerimaan.

Seseorang kanak-kanak @ murid yang telah menguasai kemahiran mendengar, dia seharusnya dapat mendengar dengan baik apa sahaja yang dituturkan oleh orang lain kepadanya dan boleh pula memahami @ maksud; boleh mentafsir apa sahaja yang didengarnya itu dengan tepat.

Sehubungan dengannya, untuk memungkinkan seseorang murid itu fasih berkomunikasi dalam bahasa yang dipelajarinya, kemahiran mendengar ini tidak sahaja perlu diajar, bahkan perlu dikuasai sebaik-baiknya di peringkat awal pengajaran bahasa sebelum kemahiran-kemahiran lain diajar kepada mereka.

Dalam usaha merealisasikan hasrat ini, aspek-aspek pendengaran itu boleh dikonsepsikan dengan pelbagai cara, antara lain:

(a) gabungan bunyi-bunyi bahasa yang didengar, difahami dan diingat;

(b) proses yang berlaku dipengaruhi aspek fizikal, psikologi, dan neurologi;

(c) berlaku melalui latihan-latihan khas secara berperingkat-peringkat; dan (d) berpusatkan idea utama, hujah, bukti dan estetika.

Apakah bentuk kemahiran mendengar itu?

Dengan itu, kemahiran mendengar boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, antara lain proses mendengar:

(a) secara pasif;

(b) secara bertelau-telau;

(c) tanpa tindak balas;

(d) secara menebuk-nebuk;

(e) dengan beremosi;

(f) secara berhati-hati dengan pengamatan; dan

(g) secara kritikal.

Prinsip penting dalam proses mengajar kemahiran mendengar

(a) mendengar merupakan gabungan daripada segala yang pernah dilihat, didengar dan dingati;

(b) proses mendengar berlaku melalui latihan secara khusus yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat;

(c) individu lebih banyak belajar mendengar melalui pengalamannya berbanding daripada kecerdasan otaknya;

(d) aspek fizikal, psikologi dan neorologi mempengaruhi proses pendengaran seseorang;

(e) pendengaran yang cekap menyatukan idea secara logik dan berkesan;

(f) mendengar berlaku melalui proses akal bukan perasaan;

(g) mendengar untuk mengkritik perlu berasaskan idea utama, hujah dan bukti tertentu;

(h) mendengar untuk hiburan memerlukan tindak balas terhadap muzik, aspek kesusasteraan dan aspek seni serta estatika; dan

(i) mendengar untuk apresiasi memerlukan perlakuan bahasa menganalisis secara kritis terhadap bentuk dan isi.

Kesimpulannya:

Pengajaran dan pembelajaran kemahiran mendengar membolehkan murid-murid, pertamanya menguasai kemahiran mendengar dengan teliti terhadap bunyi-bunyi bahasa; dan keduanya, memahami mesej yang dibawa oleh bunyi-bunyi-bunyi-bunyi bahasa tersebut, supaya mereka boleh bertindak dengan betul dan tepat, bersesuaian dengan mesej yang diterima itu.

Latihan

1. Kenapakah dikatakan bahawa mendengar sebagai asas pembelajaran bahasa lisan?

2. Huraikan maksud kemahiran mendengar dalam situasi formal dan tidak formalbeserta dengan contohnya.

Tajuk 2 Kemahiran Mendengar dan Bertutur

Dalam dokumen PROGRAM PENSISWAZAHAN GURU (PPG) (Halaman 118-129)