• Tidak ada hasil yang ditemukan

PERINGKAT PENGAJARAN BACAAN Peringkat Kesediaan Membaca

Dalam dokumen PROGRAM PENSISWAZAHAN GURU (PPG) (Halaman 184-189)

Teknik Bacaan – Intensif, Ekstensif, Skimming dan Scanning

PERINGKAT PENGAJARAN BACAAN Peringkat Kesediaan Membaca

Menurut Juriah Long et.al (1994), kesediaan membaca ialah satu peringkat perkembangan sama ada faktor-faktor alam sekitar ataupun faktor tersedia yang menyediakan seseorang kanak-kanak itu untuk membaca. Peringkat ini dikatakan sebagai satu peringkat yang menyediakan kanak-kanak dengan bacaan awal atau bacaan asas. Konsep kesediaan membaca bukan sahaja meliputi pengajaran kemahiran-kemahiran sebelum bacaan, tetapi juga merangkumi setiap kemahiran sebelum kemahiran membaca secara khusus dan berterusan.

Faktor-faktor yang mempengaruhi kesediaan membaca seseorang kanak-kanak ialah keadaan fizikal, pengalaman dan persekitaran, emosi dan motivasi serta kecerdasan dan perkembangan kognitif. Dari segi fizikal, kemampuan kanak-kanak dilihat dari sudut keupayaan alat-alat sebutannya menghasilkan bunyi-bunyi yang diajarkan, keupayaan matanya mengecam bentuk, dan keupayaan pendengarannya mengecam bunyi-bunyi. Dari segi emosi, kemampuan

kanak-kanak dilihat dari segi minatnya terhadap bahan-bahan bacaan dan minatnya untuk mendengar bacaan terutamanya bahan cerita. Dari segi mental pula, kemampuan kanak-kanak dilihat dari segi keupayaannya mengingat apa yang telah diberitahu dan kebolehannya menyatakan semula apa-apa yang telah diketahuinya.

Kesimpulannya, untuk membolehkan kanak-kanak menguasai peringkat kesediaan membaca ini, anda sebagai guru hendaklah membimbing kanak-kanak menguasai pelbagai kemahiran lain yang akan membantu mereka mencapai kemahiran membaca dengan lebih mudah.

Sediakan latihan yang dapat mengukuhkan kemahiran peringkat kesediaan dalam kalangan murid-murid yang anda ajar.

Prabacaan

Prabacaan merupakan kesediaan murid untuk membaca. Peringkat prabacaan meliputi kemahiran pengamatan pendengaran, kemahiran pengamatan penglihatan, aktiviti koordinasi psikomotor, latihan menajamkan daya ingatan, dan latihan bahasa pertuturan. Peringkat bacaan pula meliputi kemahiran mengenal abjad hingga membaca ayat. Pada tahap ini, murid didedahkan kepada aktiviti-aktiviti yang boleh mendorong mereka mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran .

Untuk mencapai kemahiran-kemahiran tersebut, aktiviti prabacaan boleh dilakukan dengan menggunakan permainan huruf, suku kata dan perkataan untuk mengukuhkan lagi kemahiran tersebut.

Bacaan Mekanis

Pada tahap ini murid sudah boleh menyebut huruf, suku kata, perkataan, frasa dan ayat-ayat mudah. Mereka juga boleh membatangkan perkataan yang mengandungi suku kata terbuka dan tertutup yang bermula dengan konsonan.

Kaedah-kaedah membaca yang sistematik yang boleh digunakan ialah pandang dan sebut, kaedah terus, bunyi kata dan abjad atau mengeja.

Bacaan dan Kefahaman

Kefahaman merupakan pelengkap kepada keperluan bacaan. Tanpa kefahaman terhadap apa yang dibaca perlakuan bacaan itu tidak bermakna. Pada tahap bacaan dan kefahaman ini murid sepatutnya mempunyai keupayaan untuk mengumpul maklumat dan makna daripada apa yang dibaca dan mentafsir dan menilai sesuatu dengan sepenuhnya tentang apa yang dibaca.

Anda telah pun mempelajari peringkat-peringkat pengajaran bacaan. Cuba laksanakan peringkar-peringkat tersebut secara kontekstual mengikut tahap kesesuaian pelajar anda.

Teknik Bacaan

Bacaan Intensif

Membaca intensif ialah kegiatan membaca yang menuntut ketelitian dan dilakukan secara saksama. Ia melibatkan telaah isi dan pandangan terperinci

Banyak bahan yang perlu kita baca !

Kita boleh

gunakan pelbagai teknik yang telah diajar oleh guru kita. Teknik bacaan ini akan meningkatkan pemahaman kita.

sesuatu bahan bacaan. Biasanya ia dilakukan berdasarkan petikan yang pendek-pendek untuk mengkaji pola-pola kalimat, latihan kosa kata, diskusi umum dan sebagainya. Teks bacaan yang benar-benar sesuai sahaja yang digunakan, iaitu bacaan yang dipilih secara berhati-hati dengan mengambil kira bentuk dan isinya. Dua perkara yang dilibatkan dengan bacaan intensif ini adalah membaca telaah isi dan membaca telaah bahasa. Dalam membaca telaah isi, membaca teliti, membaca pemahaman, membaca kritis dan membaca idea sangat dititikberatkan. Sementara membaca telaah bahasa, aspek-aspek yang berkaitan dengan bahasa, ditegaskan.

Bacaan intensif adalah bacaan yang pada asasnya bertujuan memperkembang kebolehan dalam meneliti, memahami dan mentafsir apa sahaja yang dibaca dengan tepat. Ia juga memberi penekanan kajian terhadap ciri-ciri tatabahasa, meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan, serta pemakaian bahasa itu dalam konteks dan situasi yang berlainan. Latihan-latihan bacaan intensif biasanya memerlukan bimbingan dan bantuan penuh daripada guru-guru.

Konsep-konsep bacaan intensif

(a) Kegiatan membaca yang dikaitkan dengan usaha melanjutkan lagi perkembangan pembelajaran bahasa pelajar bawah pimpinan guru;

(b) Asas kepada pengajar memberi penjelasan atau keterangan tentang struktur yang sukar dan memperkembang perbendaharaan kata;

(c) Berkaitan dengan aktiviti mengkaji ciri-ciri tatabahasa, iaitu susunan kata dalam ayat dan pengertian menurut kamus yang ditemui oleh pelajar dalam bacaannya;

(d) Memperkembang usaha mengawal penggunaan bahasa dalam pertuturan dan tulisan; dan

(e) Gerak laju dan kelainan latihan adalah dianggap penting.

Tujuan:

(a) Untuk membolehkan kanak-kanak membaca dengan baik, betul dari segi sebutan, intonasi, lancar dan tahu menggunakan tanda-tanda bacaan dengan baik;

(b) Untuk mengembangkan kebolehan mentafsir apa yang tertulis dalam bacaan dengan mengkaji susunan kata dalam ayat dan pengertian dalam kamus;

(c) Membaca secara senyap dengan kepantasan yang sewajarnya;

(d) Menilai atau mengulas isi yang diperoleh daripada bahan-bahan yang dibaca;

(e) Mengesan, memahami dan menikmati unsur-unsur estetik dalam bahasa;

(f) Mengenal pasti laras-laras bahasa yang pelbagai; dan (g) Membuat rumusan atau kesimpulan daripada bahan bacaan.

Bacaan Ekstensif

Membaca ekstensif ialah kegiatan membaca secara luas. Objeknya meliputi sebanyak mungkin teks dalam jangka waktu yang singkat. Tujuannya adalah untuk memahami isi-isi penting dengan cepat dan menganjurkan aktiviti membaca yang berkesan. Membaca ekstensif biasanya melibatkan perkara-perkara berikut:

(a) membaca tinjauan (b) membaca sekilas (c) membaca dangkal

Membaca tinjauan dilakukan sebelum memulakan sesuatu bacaan. Pembaca akan meneliti apa yang akan dibaca terlebih dahulu dengan cara memeriksa, meneliti indeks, daftar kata yang terdapat dalam buku, atau melihat judul, bab, rangka kasar, kandungan dan sebagainya. Latar belakang pengetahuan

seseorang akan menentukan tepat atau tidaknya, cepat atau lambatnya tinjauan dapat dilakukan.

Membaca sekilas adalah sejenis kegiatan membaca yang melibatkan pergerakan mata yang cepat untuk melihat, memerhati bahan-bahan bertulis bagi mencari dan mendapatkan maklumat dan penerangan. Ada tiga tujuan utama dalam membaca kilas. Pertama, untuk memperoleh suatu kesan umum daripada sesuatu isi bacaan. Kedua, untuk mendapat hal-hal tertentu daripada sesuatu bacaan. Ketiga, untuk mendapat bahan-bahan bacaan daripada perpustakaan.

Membaca dangkal adalah untuk mendapat pemahaman yang dangkal yang bersifat luaran atau tidak mendalam daripada sesuatu bahan yang dibaca.

Membaca begini tidak memerlukan pemikiran yang mendalam seperti keadaan membaca karya-karya ilmiah.

Bacaan ekstensif ialah bacaan meluas yang menekankan aktiviti-aktiviti membaca yang dilakukan di luar kelas. Bacaan bentuk ini menekankan aspek pengukuhan asas bacaan, menambah kemahiran memahami, dan menaakul isi bacaan, meningkatkan kepantasan membaca, membina dan mengukuh minat membaca dan kebolehan memetik isi-isi penting. Melalui bacaan ini, pelajar-pelajar akan mendapat kepuasan dan keseronokan di samping berpeluang menimba ilmu pengetahuan.

Dalam dokumen PROGRAM PENSISWAZAHAN GURU (PPG) (Halaman 184-189)