• Tidak ada hasil yang ditemukan

Prinsip Pengajaran

Dalam dokumen PROGRAM PENSISWAZAHAN GURU (PPG) (Halaman 129-136)

Sinopsis

Tajuk ini akan membolehkan anda mengetahui perkara-perkara asas Kemahiran Mendengar dan Bertutur:

 Peringkat Penguasaan

 Unsur dan Faktor Keberkesanan

 Prinsip Pengajaran

Aspek kemahiran berbahasa meliputi Kemahiran Lisan: mendengar dan bertutur, Membaca dan Menulis. Telah ditegaskan, antara kemahiran berkenaan, aspek kemahiran lisan perlu diajar terlebih dahulu. Hal ini demikian kerana murid-murid terlebih dahulu perlu menguasai kemahiran berbahasa aspek mendengar dan bertutur terlebih dahulu sebelum kemahiran berbahasa membaca dan menulis.

Sebagaimana kebiasaan, seseorang guru perlu menyedari hakikat mengenai prinsip pengajaran dan keperluan mengajar kemahiran berbahasa: mendengar dan bertutur perlu diajar secara berperingkat, selain menyedari terdapat unsur-unsur @ faktor-faktor yang mempengaruhi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

Hasil Pembelajaran

Menghuraikan tentang kemahiran bahasa; pendekatan, kaedah, dan teknik pengajaran kemahiran-kemahiran bahasa.

Kerangka Konsep

Modul untuk membangunkan strategi pengajaran efektif

Menetapkan

Peringkat-Peringkat Penguasaan Kemahiran Lisan - Mendengar dan bertutur

(a) Peringkat Penerimaan (mendengar dan memaham)

Sebelum murid diberi peluang berlatih bertutur, mereka perlu diberi kefahaman mendengar. Pada peringkat ini latihan diberi kepada murid-murid, tidak memerlukan mereka bertindak balas dalam bentuk pertuturan.

Bahan-bahan yang diperdengarkan hendaklah mencerminkan penggunaan bahasa yang baik dan boleh dijadikan model dalam kalangan murid-murid berkenaan.

(b) Penghasilan Semula (bertindak balas)

Pada peringkat ini, latihan yang diberi memerlukan murid bertindak balas secara pertuturan. Semasa bertutur banyak aspek yang terlibat, seperti intonasi frasa dan ayat, aspek sebutan, kelancaran, kefasihan, tatabahasa, gaya dan isi penyampaian.

Peringkat –Peringkat Kemahiran Bertutur

Untuk mencapai objektif pengajaran bertutur, iaitu bertutur dengan fasih dan dapat mengeluarkan buah fikiran dengan menggunakan bahasa yang tepat dan sesuai mengikut situasi perhubungan di sekolah dan dalam kalangan masyarakat. Hal ini menegaskan betapa perlunya kemahiran bertutur itu perlu dikuasai secara berperingkat-peringkat, yakni peringkat awalnya melibatkan pertuturan di antara murid dengan murid dalam bilik darjah sehinggalah murid boleh bertutur dengan ahli masyarakat di luar bilik darjah. Dengan demikian, pengelompokan pengajaran kemahiran bertutur dapat diklasifikasi mengikut peringkat: peringkat awal, pertengahan dan maju.

Peringkat awal

(a) Melafazkan pengucapan bertatasusila;

(b) Mengajuk perkataan dan ayat yang didengar;

(c) Menyoal untuk mendapatkan maklumat;

(d) Membuat teguran atau kenyataan mengenai sesuatu situasi;

(e) Menyoal soalan-soalan mudah berdasarkan situasi-situasi tertentu;

(f) Bertindak terhadap soalan-soalan mudah;

(g) Memberi arahan;

(h) Membuat ayat tentang diri, rakan, ibu dan bapa; dan (i) Membuat ayat-ayat daripada gambar.

Peringkat pertengahan

(a) Membuat deskripsi tentang objek atau gambar;

(b) Bercerita berdasarkan satu siri gambar atau gambar-gambar bersiri;

(c) Mendeskripsi pengalaman atau sesuatu peristiwa;

(d) Memberi satu siri arahan untuk membuat sesuatu;

(e) Menyoal dan menjawab soalan-soalan misalnya, berhubung dengan peribadi seseorang, masa bersekolah, persekitaran dan di rumah;

(f) Membaca iklan, peraturan-peraturan;

(g) Memberi ucapan pendek dan mudah;

(h) Mengambil bahagian dalam perbualan mudah;

(i) Memberi komen secara mudah; dan

(j) Membuat ulasan, memberi pendapat atau pandangan secara mudah.

Peringkat maju

(a) Mendeskripsi sesuatu peristiwa, kejadian, pengalaman, objek, permainan, proses dan sebagainya;

(b) Bercerita dengan menggunakan alat pandang atau tanpa menggunakannya;

(c) Mengambil bahagian dalam perbincangan, perbualan atau dialog;

(d) Bertanya untuk mendapatkan maklumat;

(e) Menerangkan proses, kejadian, prosedur dan peraturan;

(f) Memberitahu arah atau hala sesuatu tempat;

(g) Memberi ceramah, syarahan (yang disediakan);

(h) Mengambil bahagian dalam perbahasan, diskusi, forum, perbincangan, seminar dan lain-lain;

(i) Mengambil bahagian dalam drama dan lakonan;

(j) Mendeklamsi puisi;

(k) Menyampaikan komen, laporan atau ulasan; dan

(l) Mengkritik cerpen, pendapat, puisi, novel dan sebagainya.

Anda telah mengetahui bahawa kemahiran bertutur itu dikuasai secara berperingkat - peringkat. Huraikan faktor-faktor yang boleh mempengaruhi tahap penguasaan kemahiran bertutur dalam kalangan murid-murid.

Unsur-unsur dan faktor keberkesanan pengajaran kemahiran lisan

Terdapat beberapa faktor yang cukup mempengaruhi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran kemahiran lisan. Antara lain, faktor,

(a) Kecerdasan:

Hal ini merujuk kepada tahap kecerdasan otak yang menentukan keupayaan berfikir dalam proses memperoleh, menyampai dan memproses maklumat - aspek penting dalam pertumbuhan dan perkembangan bahasa;

(b) Kesihatan:

Hal ini merujuk kepada tahap kesihatan yang cukup menentukan tahap dan keupayaan berbahasa dalam kalangan murid-murid. Murid yang tidak sihat atau sakit berpanjangan akan mengalami gangguan dalam proses pemerolehan bahasa, bahkan gagal berfikir dan berkomunikasi secara berkesan;

(c) Fizikal:

Hal ini, terutamanya yang berkaitan dengan aspek tubuh badan yang berhubung langsung dengan proses mendengar seperti telinga dan alat artikulasi: lidah, gigi, gusi dan seumpamanya akan menjejaskan proses penglahiran bunyi-bunyi bahasa, makna dan tahap pemahaman maklumat yang hendak disampaikan. Kanak-kanak yang pekak atau menghadapi masalah pendengaran, terencat anggota badan dan seumpamanya akan mengehadkan pergaulan, dan dengan demikian kerap kali menghadapi masalah kosa kata dalam proses pertuturan;

(d) Persekitaran:

Hal ini terutamanya yang melibatkan kalangan ahli keluarga ibu, bapa dan ahli keluarga keseluruhannya, jiran tetangga, tahap pendidikan, lokasi petempatan sama ada di bandar atau di luar bandar, tahap dan status sosioekonomi akan mempengaruhi tahap penguasaan bahasa kanak-kanak. Umumnya, benak fikiran kanak-kanak yang hidup dalam kalangan masyarakat petani dan nelayan mempunyai kosa kata terhad berbanding dengan kanak-kanak yang hidup dan membesar dalam kalangan masyarakat di bandar-bandar;

(e) Jantina:

Faktor yang menentukan tahap pertumbuhan dan perkembangan kanak berbeza-beza. Kajian menunjukkan kadar pertumbuhan kanak-kanak perempuan jauh lebih cepat berbanding dengan kadar pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak lelaki. Hal ini demikian kerana urat saraf pertuturan dalam kalangan kanak-kanak perempuan berkembang jauh lebih cepat berbanding kanak-kanak lelaki; dan

(f) Dwibahasa:

Kajian mendapati kanak-kanak ekabahasa biasanya boleh bertutur jauh lebih baik berbanding dangan kanak-kanak dwibahasa. Ini kerana, dalam proses pertuturan, kanak-kanak dwibahasa kerap kali mengalami gangguan daripada bahasa ibundanya.

Prinsip pengajaran kemahiran mendengar

(a) Kemahiran mendengar perlu diajar bersama-sama kemahiran berbahasa bertutur, membaca dan menulis;

(b) Kemahiran mendengar, seperti kemahiran berbahasa yang lain juga bersifat dinamik dan aktif. Justeru, aktiviti proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan kemahiran mendengar perlu dirancang berteraskan tugasan yang menjurus kepada sesuatu aktiviti tertentu;

(c) Setiap aktiviti dan kemahiran yang hendak diajar hendaklah dirancang dan disampaikan dalam bentuk pelbagai. Dengan demikian murid-murid boleh melibatkan diri secara proaktif, memberi respon yang pelbagai diberi peluang sebaik-baiknya memberi tindak balas terhadapnya secara maksimum. Dengan demikian murid-murid boleh merperlihatkan tahap kemahiran berbahasa masing-masing melalui aksi/lakonan dan aktiviti yang berkaitan;

(d) Aktiviti pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, didahulukan daripada yang konkrit kepada yang abstrak, daripada yang dekat kepada yang lebih jauh, daripada perkara-perkara yang mudah kepada perkara-perkara yang lebih sukar dan seumpamanya.

(e) Guru tidak perlu terlalu gahirah untuk mengajar kemahiran mendengar sehingga begitu membebankan atau menyusahkan dirinya semasa melaksanakan proses berkenaan;

(f) Motivasi guru sangat penting bagi tujuan mengekalkan minat dan kecenderungan mendengar dalam kalangan kanak-kanak;

(g) Paling penting, kanak-kanak perlu diberi peluang sebanyak mungkin untuk berlatih kemahiran mendengar sama ada melalui aktiviti yang ditentukan oleh guru atau melalui daya insiatif murid sendiri.

Tajuk 3

Kemahiran Mendengar dan Bertutur

 Kaedah

Dalam dokumen PROGRAM PENSISWAZAHAN GURU (PPG) (Halaman 129-136)