• Tidak ada hasil yang ditemukan

Teknik Bacaan

Dalam dokumen PROGRAM PENSISWAZAHAN GURU (PPG) (Halaman 83-90)

KEMAHIRAN MENDENGAR DAN BERTUTUR

Tajuk 6 KEMAHIRAN MEMBACA

1. Peringkat Kesediaan Membaca

6.4 Teknik Bacaan

Banyak bahan yang perlu kita baca !

Kita boleh

gunakan pelbagai teknik yang telah diajar oleh guru kita. Teknik bacaan ini akan meningkatkan pemahaman kita.

i. Bacaan Intensif

Membaca intensif ialah kegiatan membaca yang menuntut ketelitian dan dilakukan secara saksama. Ia melibatkan telaah isi dan pandangan terperinci sesuatu bahan bacaan. Biasanya ia dilakukan berdasarkan petikan yang pendek-pendek untuk mengkaji pola-pola kalimat, latihan kosa kata, diskusi umum dan sebagainya. Teks bacaan yang benar-benar sesuai sahaja yang digunakan, iaitu bacaan yang dipilih secara berhati-hati dengan mengambil kira bentuk dan isinya. Dua perkara yang dilibatkan dengan bacaan intensif ini adalah membaca telaah isi dan membaca telaah bahasa. Dalam membaca telaah isi, membaca teliti, membaca pemahaman, membaca kritis dan membaca idea sangat dititikberatkan. Sementara membaca telaah bahasa, aspek-aspek yang berkaitan dengan bahasa, ditegaskan.

Bacaan intensif ialah bacaan yang pada asasnya bertujuan memperkembang kebolehan dalam meneliti, memahami dan mentafsir apa sahaja yang dibaca dengan tepat. Ia juga memberi penekanan kajian terhadap ciri-ciri tatabahasa, meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan, serta pemakaian bahasa itu dalam konteks dan situasi yang berlainan. Latihan-latihan bacaan intensif biasanya memerlukan bimbingan dan bantuan penuh daripada guru-guru.

Tujuan:

(a) Untuk membolehkan kanak-kanak membaca dengan baik, betul dari segi sebutan, intonasi, lancar dan tahu menggunakan tanda-tanda bacaan dengan baik;

(b) Untuk mengembangkan kebolehan mentafsir apa yang tertulis dalam bacaan dengan mengkaji susunan kata dalam ayat dan pengertian dalam kamus;

(c) Membaca secara senyap dengan kepantasan yang sewajarnya;

(d) Menilai atau mengulas isi yang diperoleh daripada bahan-bahan yang dibaca;

(e) Mengesan, memahami dan menikmati unsur-unsur estetik dalam bahasa;

(f) Mengenal pasti laras-laras bahasa yang pelbagai; dan (g) Membuat rumusan atau kesimpulan daripada bahan bacaan.

ii. Bacaan Ekstensif

Bacaan ekstensif ialah kegiatan membaca secara luas. Objeknya meliputi sebanyak mungkin teks dalam jangka waktu yang singkat.

Tujuannya untuk memahami isi-isi penting dengan cepat dan menganjurkan aktiviti membaca yang berkesan. Membaca ekstensif biasanya melibatkan perkara-perkara berikut:

(a) membaca tinjauan (b) membaca sekilas (c) membaca dangkal

Membaca tinjauan dilakukan sebelum memulakan sesuatu bacaan.

Pembaca akan meneliti apa yang akan dibaca terlebih dahulu dengan cara memeriksa, meneliti indeks, daftar kata yang terdapat dalam buku, atau melihat judul, bab, rangka kasar, kandungan dan sebagainya. Latar belakang pengetahuan seseorang akan menentukan tepat atau tidaknya, cepat atau lambatnya tinjauan dapat dilakukan.

Membaca sekilas adalah sejenis kegiatan membaca yang melibatkan pergerakan mata yang cepat untuk melihat, memerhati bahan-bahan bertulis bagi mencari dan mendapatkan maklumat dan penerangan. Ada tiga tujuan utama dalam membaca kilas.

Pertama, untuk memperoleh suatu kesan umum daripada sesuatu isi bacaan. Kedua, untuk mendapat hal-hal tertentu daripada sesuatu bacaan. Ketiga, untuk mendapat bahan-bahan bacaan daripada perpustakaan.

Membaca dangkal adalah untuk mendapat pemahaman yang dangkal yang bersifat luaran atau tidak mendalam daripada sesuatu bahan yang dibaca. Membaca begini tidak memerlukan pemikiran yang mendalam seperti keadaan membaca karya-karya ilmiah.

Bacaan ekstensif ialah bacaan meluas yang menekankan aktiviti-aktiviti membaca yang dilakukan di luar kelas. Bacaan bentuk ini menekankan aspek pengukuhan asas bacaan, menambah kemahiran memahami, dan menaakul isi bacaan, meningkatkan kepantasan membaca, membina dan mengukuh minat membaca dan kebolehan memetik isi-isi penting. Melalui bacaan ini, pelajar-pelajar akan mendapat kepuasan dan keseronokan di samping berpeluang menimba ilmu pengetahuan.

Prinsip Bacaan Ekstensif

(a) Dilakukan di luar kelas secara sendiri tanpa bimbingan guru;

(b) Pelajar membaca tanpa menghadapi kesukaran dan seronok;

(c) Bahan bacaan adalah luas dari segi perbendaharaan kata, sesuai dengan minat, umur, jantina, pengalaman, sikap dan cita-cita pelajar; dan

(d) Bahan-bahan yang berbeza.

Tujuan Bacaan Ekstensif

Bacaan ekstensif membolehkan pelajar-pelajar:

(a) Membaca dengan cara tersendiri tanpa bimbingan secara langsung daripada orang lain;

(b) Membaca dengan fasih dalam bahasa yang dipelajari;

(c) Mendapat pengetahuan sambil berhibur;

(d) Memperkaya bahasa - perbendaharaan kata, ungkapan, struktur ayat dan sebagainya;

(e) Memberi peluang murid-murid terutama yang cerdas untuk meluaskan bacaan dan membina daya kreatif;

(f) Menambah minat membaca;

(g) Membina daya berfikir dan membentuk sikap yang baik;

(h) Mempertingkat mutu dan kepantasan membaca;

(i) Memperluas dan mempertingkat tahap penguasaan bahasa;

(j) Membentuk tabiat gemar membaca, membuat rujukan dan menggunakan perpustakaan;

(k) Mendedahkan murid kepada pelbagai laras bahasa;

iii. Bacaan Skimming

Skimming ialah satu kaedah membaca cepat dengan cara mengutip maklumat secara sepintas lalu bagi mendapatkan idea penting. Strategi skimming ini penting kepada pembaca yang hendak membaca banyak bahan dalam jangka masa yang singkat dan hanya memerlukan maklumat penting sahaja. Skimming merupakan proses melihat sepintas lalu atas sesuatu perenggan untuk mendapatkan idea utama.

Langkah-langkah Skimming:

(a) Mulakan dengan menyelidiki secara keseluruhan tentang petikan. Carilah maklumat tentang pengarang, tajuk dan maksud keseluruhan tajuk;

(b) Tentukan sumber pilihan supaya anda bersedia dengan sesuatu jenis penulisan seperti hujah, teknikal dan sebagainya;

(c) Bacalah perenggan pertama, walaupun tidak penting tetapi perenggan ini menjadi asas untuk ‘skim’;

(d) Semasa membaca perenggan pertama, cuba cakupkan isu utama dan konteks petikan tersebut. ‘Konteks’ ini bermakna bukan sahaja idea dan perkataan tetapi latar kepada petikan tersebut, seperti bila dan mengapa teks itu ditulis; apakah sikap pengarang dan perkara-perkara yang boleh membantu anda untuk memahami tajuk secara umum dan signifikannya;

(e) Baca ayat pertama dan ayat akhir bagi setiap perenggan – anda akan dapati idea yang penting dan fakta; dan

(f) Baca perenggan akhir dn teliti – di sini biasanya terdapat unsur-unsur penyimpulan dan rumusan.

Perkara penting ialah memahami perhubungan antara idea yang dikemukakan dan selepas itu cuba mengecam maklumat sokongan. Kecepatan membuat skiming ini, berbeza-beza antara seorang dengan seorang yang lain.

iv. Bacaan Scanning

Scanning ialah kemahiran atau keupayaan untuk mendapatkan maklumat secara cepat dan untuk mencari jawapan kepada sesuatu soalan atau maklumat secara khusus. Tujuan scanning untuk menentukan sejauh mana kecekapan kita mencari sesuatu maklumat tertentu (bukan menghabiskan bacaan dengan cepat).

Kecekapan scanning bergantung kepada penumpuan mental.

Langkah-langkah bacaan scanning:

(a) Perkara paling penting ialah menentukan maklumat 'apa' yang hendak dicari.

(b) Perhatikan sepintas lalu ke atas bahan dan tumpukan perhatian kepada maklumat yang di cari tanpa mempedulikan perkataan atau angka yang lain.

(c) Untuk mempercepatkan proses scanning, gunakan jari anda dan gerakkan secara cepat ke atas barisan perkataan ketika membaca.

(d) Anda boleh gunakan panduan-panduan yang ada seperti tajuk kecil, perkataan yang dihitamkan atau 'italic' yang mudah dilihat.

(e) Jika anda scan daripada bahan seperti surat khabar, fokus perhatian anda di tengah-tengah kolum dan gerakkan mata anda terus ke bawah.

Syabas! Anda telah pun mahir dengan teknik membaca yang terdapat dalam modul ini. Terdapat banyak lagi teknik bacaan yang boleh anda pelajari. Sila lakukan bacaan ekstensif untuk mengatahui dan mempelajari teknik-teknik bacaan lain dan aplikasikan dalam pembacaan anda untuk meningkatkan kemahiran membaca anda.

Tajuk 7

PENDEKATAN DAN KAEDAH PENGAJARAN

Dalam dokumen PROGRAM PENSISWAZAHAN GURU (PPG) (Halaman 83-90)