• Tidak ada hasil yang ditemukan

Melaksanakan program yang selari dengan falsafah dan misi universiti

PEMBANGUNAN PENDIDIKAN OBJEKTIF BAB

12. Melaksanakan program yang selari dengan falsafah dan misi universiti

5.1 PENGENALAN

Adalah mudah untuk musuh di dalam dan di luar negara menimbulkan huru-hara sekiranya negara mempunyai rakyat yang mudah dipengaruhi dan diperdayakan oleh musuh. Rakyat yang tidak berpendidikan akan mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir atau musuh-musuh negara. Negara yang merdeka seperti Malaysia akan hancur sekiranya rakyatnya tidak mempunyai pendidikan.

Pendidikan merupakan alat penting dalam membentuk benteng pertahanan sesebuah negara yang aman dan damai serta maju seperti Malaysia. Rakyat jelata akan menghadapi pelbagai kesusahan dan masalah apabila negara menjadi mundur dan serba kekurangan. Tambahan lagi, pendidikan merupakan satu-satunya perkara penting dalam memartabatkan sesebuah negara dan dalam memantapkan aspek budaya,

sosial, ekonomi dan politik. Negara Malaysia yang merdeka sejak tahun 1957 lagi akan mudah jatuh ke tangan kuasa lain sekiranya rakyatnya tidak diberi pendidikan yang sewajarnya. Pendek kata, kemunduran dan kemajuan sesebuah negara bergantung kepada betapa mundur atau majunya rakyat dari segi pendidikan yang diperolehinya.

Adakah anda mahu negara Malaysia jatuh ke tangan musuh?

Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai sebuah agensi kerajaan mempunyai peranan dalam mendidik mahasiswa-mahasiswanya supaya menjadi rakyat yang sanggup berjasa kepada negara walaupun telah berjaya dalam pendidikan. Masyarakat Universiti dan negara boleh berbangga sekiranya mahasiswanya dapat kembali berjasa kepada sekolah setelah tamat pengajian di universiti. Mereka yang mempunyai rasa tanggungjawab akan tetap menjalankan kebajikan membantu pelajar di sekolah rendah dan menengah. Disebabkan oleh peranan yang dimainkan oleh universiti dalam membantu masyarakat, para mahasiswa dididik dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam program pembangunan pendidikan agar mereka dapat membuat kebajikan melalui kegiatan kokurikulum pembangunan pendidikan yang dirancangkan. Universiti, melalui program kokurikulumnya, akan mendidik mahasiswa-mahasiswanya agar menjadi seorang yang dapat membawa kemajuan pendidikan di sekolah-sekolah rendah atau menengah sebelum mereka menamatkan pengajian di universiti. Sebagai mahasiswa, anda akan belajar untuk merancang, mengurus, melaksana dan menilai program-program yang dapat meningkatkan kesedaran dan ilmu pengetahuan agar para pelajar sekolah rendah atau menengah dapat mencapai kecemerlangan diri dan pendidikan. Semua pelajar sekolah akan mendapat manfaat tambahan melalui program-program yang dijalankan oleh mahasiswa-mahasiwa universiti yang mungkin akan bertindak sebagai model atau mentor mereka selain daripada guru yang mengajar mereka.

5.2 MEMBENTUK MAHASISWA YANG PRIHATIN TERHADAP KEPENTINGAN PENDIDIKAN

Program kokurikulum bukanlah diwujudkan untuk membuang masa pelajar seperti anda, tetapi program ini diwujudkan untuk mengasuh bakat dan kemahiran para mahasiswanya untuk mencurah bakti semasa berada di universiti dan menjadikan sifat-sifat murni seperti bantu-membantu, berkorban, berjasa dan berbakti sebagai sifat yang automatik dalam diri mahasiswa setelah tamat pengajian mereka. Mereka diasuh dari awal sebelum bekerja lagi agar menjadi insan yang amat mementingkan

ilmu pengetahuan dan sanggup berkorban untuk menjalankan program kemasyarakatan seperti program pembangunan pendidian yang ditujukan khas untuk membantu pihak sekolah dalam menyedarkan murid atau pelajar tentang peri pentingnya pendidikan pada zaman sains dan teknologi ini. Seterusnya, mahasiswa dibentuk supaya menjadi seorang yang faham tentang peranannya dalam mendidik para pelajar supaya menjadi seorang yang berilmu pengetahuan.

Tidak dapat dinafikan bahawa rakyat yang tidak berpengetahuan akan terus ditindas dan tinggal dalam keadaan daif sekiranya mereka tidak berilmu pengetahuan dan berpendidikan. Seorang yang berpendidikan tahu akan nilai pendidikan dan akan cuba sedaya upaya memajukan dirinya dalam apa jua keadaan sekalipun. Pendidikan awal di sekolah rendah dan menengah adalah penting kerana asas pendidikan bermula dari situ. Rakyat yang berpendidikan tinggi dan berilmu pengetahuan mampu membawa perubahan yang besar kepada sesebuah negara dan membawa kesejahteraan kepada rakyat jelata. Namun, pendidikan yang tinggi tanpa nilai moral yang tinggi juga tidak dapat menjamin kehidupan manusia sejagat. Pendidikan dan nilai murni mestilah diseimbangkan. Di samping membawa perubahan yang baik dalam meninggikan taraf sesebuah masyarakat, pendidikan manusia mestilah diseimbangkan. Falsafah Pendidikan Negara mempunyai pernyataan yang jelas tentang kepentingan mengujudkan insan yang seimbang.

5.2.1 Falsafah Pendidikan Negara

Pendidikan yang seimbang jelas termaktub dalam pernyataan Falsafah Pendidikan Negara (FPN). Falsafah Pendidikan Negara mempunyai arah panduan dan matlamat untuk menghasilkan masyarakat yang terdidik, berfikiran waras dan matang, berperibadian mulia dan mempunyai komitmen yang tinggi.

Pernyataaan Falsafah Pendidikan Negara (FPN) berbunyi:

Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmoni dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

(Sumber: Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia, Falsafah Pendidikan Guru di Malaysia, Kuala Lumpur, 1982)

Pendidikan yang berasaskan Falsafah Pendidikan Negara dapat memastikan proses pendidikan dapat berjalan dengan licin. Sebagai mahasiswa, anda mempunyai peranan sebagai bakal pemimpin untuk membantu membawa kecemerlangan akademik di sekolah-sekolah. Sebelum meneruskan pembacaan anda, marilah kita memahami makna istilah-istilah yang berkaitan dengan pendidikan. Anda perlu memahami beberapa istilah yang penting mengenai pendidikan supaya anda mempunyai sedikit pengetahuan apabila berkomunikasi atau berbincang dengan pihak sekolah yang akan memantau perjalanan program yang dirancangkan anda dan kumpulan anda.

5.3 DEFINISI

Sebagai mahasiswa di dalam sebuah universiti yang mementingkan keseimbangan akademik dan sosial, anda perlu mengetahui beberapa istilah di bawah ini supaya penerangan yang diberikan nanti akan menjadi lebih jelas.

Kefahaman mengenai istilah-istilah ini dapat memantapkan diri anda apabila berhadapan dengan guru-guru besar di sekolah rendah atau pengetua-pengetua di sekolah menengah. Istilah-istilah di bawah dipetik dari Almanak Pendidikan (Yaakub Isa, 1996).

5.3.1 Pendidikan

Pendidikan (Yaakub Isa, 1996) ialah perkembangan individu yang termasuk pendedahan kepada pelbagai pengalaman penting. Pendidikan merupakan proses pemerolehan dan pemindahan pengetahuan, nilai-nilai-nilai murni dan kemahiran-kemahiran yang berlaku secara berterusan sejak kecil sehingga akhir hayat.

5.3.2 Pengajaran

Pengajaran ialah perubahan baru yang berlaku dalam pengetahuan, sikap dan kemahiran. Pengajaran juga merupakan aktiviti atau proses yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan dan kemahiran tertentu yang melitupi perkara-perkara seperti aktiviti-aktiviti perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan dan penilaian untuk menyebarkan ilmu pengetahuan atau kemahiran kepada pelajar-pelajar secara berkesan. 5.3.3 Pembelajaran

Yang dimaksudkan dengan pembelajaran ialah gabungan dua aspek, iaitu pengajaran bagi guru dan pemelajaran bagi pelajar. Apabila seseorang

itu bercakap tentang pembelajaran, dia menyentuh tentang pengajaran dan pemelajaran. Ia juga merupakan perubahan tingkah laku atau kebolehan seseorang yang dapat dikekalkan, tidak termasuk perubahan yang disebabkan oleh proses pembesaran.

5.3.4 Pemelajaran

Yang dimaksudkan dengan istilah ini ialah aktiviti yang dilakukan oleh pelajar semasa mempelajari pelajaran yang diajar oleh guru. Pemelajaran juga merujuk kepada aktiviti yang dilakukan oleh pelajar semasa belajar atau mendengar guru mengajar.

5.3.5 Instruksi

Instruksi dapat didefinisikan sebagai penyusunan persekitaran dan maklumat dalam membantu pembelajaran pelajar.

5.3.6 Akademik

Akademik ialah aktiviti yang berkaitan dengan aspek pendidikan seperti guru dan pelajar.

5.3.7 Disiplin

Disiplin (Yaakub Isa, 1996) ialah peraturan-peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik. Ia juga satu cabang ilmu pengetahuan yang ditetapkan strukturnya, dibezakan melalui konsep, bahan dan metodologi.

5.3.8 Pedagogi

Pedagogi (Yaakub Isa, 1996) ialah satu sains pengajaran yang merangkumi aspek kurikulum dan pengkaedahan pada peringkat kanak-kanak.

5.3.9 Perkembangan Afektif

Perkembangan afektif (Yaakub Isa, 1996) ialah perkembangan yang berkaitan dengan emosi, perasaan dan sikap dan mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan sikap, pembawaan, motivasi, keutamaan-keutamaan, citarasa dan nilai.

5.3.10 Pengajaran & Pembelajaran (P&P)

P&P (Yaakub Isa, 1996) ialah singkatan bagi pengajaran dan pembelajaran; iaitu satu proses menerap dan menitiskan ilmu dan

kemahiran yang mengakibatkan wujudnya interaksi di antara guru (yang melaksanakan pengajaran) dan pelajar (yang mengalami pembelajaran). 5.3.11 Intelek

Intelek (Yaakub Isa, 1996) mempunyai aspek-aspek berikut:

(i) Keupayaan pelajar untuk menguasai kemahiran asas dalam pendidikan iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira;

(ii) Menyanjung ilmu dan orang-orang yang berilmu, di samping menjunjung konsep pendidikan sepanjang hayat, baik dalam mendapatkan ilmu mahupun menyebarkan ilmu kepada orang lain;

(iii) Mampu berfikir secara kritis dan berani serta mampu melaksanakan sesuatu yang inovatif dan kreatif; dan (iv) Berupaya memanfaatkan ilmu kepada dirinya sendiri dan

masyarakat di sekelilingnya. 5.3.12 Kurikulum

Kurikulum (Yaakub Isa, 1996) ialah perkataan yang berasal dari perkataan Latin curere yang bermaksud jejak, denai atau laluan dapat diertikan sebagai:

(i) Jurusan pendidikan yang diikuti di sekolah;

(ii) Sebagai suatu pemilihan daripada budaya sesebuah masyarakat yang dirancang mengikut proses penganalisisan budaya yang tersebut;

(iii) Sebagai satu set hasrat yang terancang bagi kegunaan latihan dan/atau pengajaran secara formal;

(iv) Satu ‘program untuk pengajaran’, meskipun secara lebih lanjut meliputi semua pembelajaran yang berlaku di sekolah atau di institusi lainnya, baik yang dirancang mahupun tanpa dirancang.

Terdapat dua buah kurikulum yang digunakan di sekolah rendah dan menengah. Berikut adalah dua buah kurikulum yang masih digunakan di sekolah-sekolah, iaitu