• Tidak ada hasil yang ditemukan

PEMBANGUNAN PENDIDIKAN DI UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

PEMBANGUNAN PENDIDIKAN OBJEKTIF BAB

UNIVERSITI DAN PELAJAR SEKOLAH

3. Aktiviti atau tugasan yang diberikan

5.14 PEMBANGUNAN PENDIDIKAN DI UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

Pembangunan pendidikan di UUM memberi tumpuan kepada pembangunan pelajar pelajar di sekolah-sekolah rendah dan menengah. Pembangunan pendidikan memberi tumpuan kepada aspek-aspek pengajaran dan penasihatan serta perundingan dalam matapelajaran atau subjek seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains pada peringkat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia.

Untuk memastikan program yang dirancangkan mendapat persetujuan dari pihak sekolah dan pusat tertentu, anda mestilah melakukan projek yang berkaitan dengan pembangunan pelajar dalam mencapai kecemerlangan diri dan pendidikan.

Program atau projek pembangunan pendidikan mestilah dijalankan dengan baik dan melalui empat tahap berikut: Perancangan, Pengurusan, Pelaksanaan dan Penilaian.

5.14.1 Perancangan

Di dalam tahap ini, mahasiswa merancang program atau aktiviti yang bersesuaian dengan pelajar-pelajar di sekolah rendah atau menengah. Semasa tahap ini, anda perlu menghubungi pihak sekolah terutamanya

pihak guru besar atau pengetua untuk mendapat persetujuan untuk mengadakan program pembangunan pendidikan. Anda boleh juga berhubung dengan kaunselor di sekolah sebelum mengambil tindakan susulan. Anda perlu memastikan kumpulan mahasiswa yang terlibat dalam program pembangunan supaya menyediakan jadual dan juga modul supaya program yang dirancangkan oleh kumpulan anda nampak lebih mantap dan mendapat perhatian pihak sekolah. Pihak sekolah amat berhati-hati dalam membenarkan program-program dijalankan. Anda perlu menggunakan minda dan berkomunikasi dengan bijak dengan pihak sekolah supaya menerima program anda.

5.14.2 Pengurusan

Pada tahap ini, anda perlu memastikan bahawa ahli jawatankuasa yang terlibat memainkan peranan mereka dalam memastikan kejayaan program yang dirancangkan itu. Anda perlu memastikan tidak ada percanggahan atau konflik semasa membuat perhubungan melalui surat menyurat. Anda perlu berhati-hati supaya semua yang dirancang untuk dihubungi telah bersetuju untuk melibatkan diri mereka. Anda perlu memastikan setiap jawatankuasa yang bertanggungjawab membuat laporan supaya program yang hendak dilaksanakan dapat berjalan dengan licin tanpa sebarang masalah.

5.14.3 Pelaksanaan

Tahap ini merupakan tahap yang penting iaitu pelaksanaan program yang dirancangkan dari awal lagi. Anda perlu memastikan kelicinan perjalanan program. Anda perlu bijak supaya sebarang masalah diatasi dengan cepat. Anda memerlukan setiap ahli jawatankuasa yang terlibat menjalankan tugas-tugas mereka. Pada tahap ini, anda tidak boleh menuduh atau menunding jari meletakkan kesalahan pada orang lain. Sebaliknya, anda mesti cuba sedaya upaya agar program yang dirancangkan berjalan dengan licin dan berkesan.

5.14.4 Penilaian

Sebarang program tidak dapat diketahui kelemahan atau kekuatannya selagi penilaian tidak dibuat. Penilaian adalah penting kerana kita perlu melihat apakah kelemahan atau kekuatan yang ada supaya program yang dirancang pada masa akan datang dapat dijalankan dengan lebih berjaya. Penilaian dapat dibuat pada dua peringkat: formatif dan sumatif.

5.14.4.1 Penilaian formatif dan sumatif

Penilaian formatif ialah penilaian yang dibuat dari satu masa ke satu masa secara berkala. Penilaian formatif bertujuan membuat penyesuaian ke atas mana-mana tahap dari masa ke masa sekiranya dikenal pasti kelemahan semasa membuat penilaian. Penilaian sumatif dibuat hanya pada penghujung program di mana mesyuarat post-mortem dipanggil untuk mendengar laporan dari setiap ahli jawatankuasa yang dilantik. Kesemua tahap memerlukan komitmen dan semangat kerja berkumpulan yang tinggi. Program yang dilaksanakan mesti dibuat dan dinilai pda setiap tahap untuk mengurangkan masalah yang menghalang kelancaran program. Anda mesti mengambil kira faktor-faktor atau elemen yang dapat membantu membangunkan pendidikan pelajar-pelajar sekolah. Perubahan atau penstrukturan mesti dibuat agar anda dapat membawa manfaat kepada seluruh masyarakat dan bukannya tertumpu kepada satu kaum sahaja.

Perubahan-perubahan yang hendak dibawa mestilah membantu meningkatkan martabat mahasiswa sebagai agen perubahan. Dalam era globalisasi atau dunia tanpa sempadan ini, kita mesti berfikiran terbuka, berani mencuba dan sangup menghadapi risiko. Kita perlu juga memupuk sikap kreatif dan inovatif agar pelajar yang terlibat dalam program anda dapat terus menggilap bakat mereka (Robiah Sidin, 1998). 5.15 MEMPELAJARI TENTANG GURU

Dalam segenap masyarakat, daripada yang paling terbelakang sehingga yang termaju, guru merupakan salah seorang daripada pembentuk utama calon warga masyarakat yang berfaedah dan berdaya maju. Oleh yang demikian, peranan guru adalah amat penting semasa pelajar di bangku sekolah. Guru mestilah mempunyai tanggungjawab menjaga murid dan memberi panduan serta bimbingan sehingga pelajar mampu berdiri sendiri dan membuat sesuatu tanpa bantuan guru lagi. Guru mestilah mahir dalam menggunakan pelbagai pendekatan untuk mengajar pelajar dalam pelbagai ilmu yang bersangkutan dengan dunia dan akhirat. Pengetahuan tentang guru dan pendekatan yang digunakan oleh mereka dapat menjadikan program anda lebih mendapat pehatian daripada pelajar-pelajar. Anda dapat memainkan peranan yang penting apabila anda mengetahui sedikit perkara tentang guru dan pendekatan yang boleh digunakan semasa menjalankan program yang dirancangkan itu.

5.15.1 Pendekatan Guru

Anda mestilah mempelajari cara seseorang guru dapat membantu para pelajarnya dengan berkesan. Anda yang terlibat dalam membantu pelajar boleh menggunakan pelbagai pendekatan untuk menolong para pelajar memahami pelajaran semasa mengikuti program di sekolah. Anda mestilah cuba sedaya upaya memberi bimbingan serta tunjuk ajar sebagai pelajar yang sudah melepasi peringkat sekolah rendah dan menengah. Pelajar yang dibimbing sudah tentu akan mendapat panduan yang boleh membantu mereka menjadi seorang yang independen atau berkeupayaan melakukan pembelajaran dengan sendiri.

5.15.2 Dua Pendekatan: Koperatif dan Penyelesaian Masalah Pendekatan yang digunakan bergantung kepada kesesuaian pelajaran atau matapelajaran yang diajar. Pendekatan yang boleh digunakan adalah

(i) Koperatif, yang menggalakkan pelajar membuat aktiviti secara berkumpulan dan bekerjasama untuk menyelesaikan masalah.

(ii) Penyelesaian masalah, yang memberikan sesuatu masalah kepada pelajar untuk diselesaikan secara bersama dengan rakan-rakan lain.

Pendekatan-pendekatan ini akan memberi peluang kepada para pelajar yang terlibat agar menggunakan masa yang ada untuk mendapat manafaat yang sepenuhnya daripada program yang dijalankan itu. Pendekatan akan mendekatkan para pelajar kepada pelajaran atau sesuatu perkara yang berfaedah.

5.15.3 Menjadi Guru untuk Melatih Pelajar

Pendedahan kepada sifat, kaedah latihan dan teori yang dipelajari bukanlah menjadikan anda sebagai guru tetapi menjadikan anda seorang yang pandai dalam menyampaikan ilmu pengetahuan. Pengetahuan ini penting supaya orang yang mendengar dapat menerima dengan baik sekali. Pelajar-pelajar yang mengambil bahagian dalam program pembangunan pendidikan akan mendapat banyak faedah sambil mendapat pendidikan dari guru di sekolah.

5.15.4 Menghampiri Diri Pelajar

Guru yang mengajar pelajar mestilah mempunyai sifat sebagai seorang ibu atau bapa kepada para pelajar. Mereka (guru) mendapat bimbingan dan dilatih semasa di maktab atau di universiti supaya terlatih dalam

pelbagai hal yang bersangkutan dengan pendidikan. Guru merupakan ibu bapa pelajar yang kedua setelah ibu bapa mereka menghantar anak mereka ke sekolah. Mereka berhendakan anak mereka diajar dengan penuh kasih sayang. Guru seharusnya mempelajari cara dan mencari jalan untuk mendekati pelajar mereka seberapa dekat yang boleh. Anda yang terlibat dengan pelajar seharusnya mencari jalan untuk mendekati pelajar supaya mereka tahu yang anda mempunyai niat yang baik untuk membantu mereka yang memerlukan khidmat atau nasihat untuk maju dalam pelajaran.

5.15.5 Ragam Guru Berhadapan dengan Pelajar

Tidak dapat dinafikan bahawa pelajar sentiasa berhadapan dengan pelbagai ragam guru. Terdapat guru yang bersifat penyayang dan terdapat juga guru yang garang yang kadangkala tidak dapat mengawal perasaan mereka apabila pelajar tidak memahami apa yang telah diajar. Terdapat juga pelajar yang mengalami perubahan sikap dari yang tidak baik kepada sikap baik. Apabila pelajar berubah sikap setelah mendapat tunjuk ajar daripada guru, pendidikan dikatakan telah berlaku.

Perubahan sikap inilah yang akan menjadikan mereka seorang yang dapat melakukan tugas atau kerja yang diberikan dengan sendiri. Pelajar yang berdikari atau “independent” akan menjadi seorang yang berjaya dalam kehidupan.