• Tidak ada hasil yang ditemukan

PERJUANGAN WANITA DITERUSKAN DALAM PROGRAM PEMBANGUNAN WANITA

PEMBANGUNAN PENDIDIKAN OBJEKTIF BAB

DI TANAH AIR DAN DI LUAR NEGARA

2. Sokongan dan perubahan sikap lelaki

6.17 PERJUANGAN WANITA DITERUSKAN DALAM PROGRAM PEMBANGUNAN WANITA

Perjuangan anda dalam isu-isu yang berkaitan dengan wanita bukanlah perjuangan yang sia-sia tetapi merupakan usaha yang murni dan diharapkan oleh golongan wanita terutamanya yang ditindas. Program yang dirancang mestilah bertujuan mengurangkan masalah yang mereka hadapi. Wanita terutamanya mereka yang ditindas perlu diberi sokongan dan khidmat serta nasihat agar mereka dapat berdikari setelah bebas daripada sebarang belenggu yang menyakitkan. Perjuangan hak bukanlah tanda bahawa hak wanita moden sudah dicapai tetapi membawa makna yang lebih mendalam daripada itu. Perjuangan yang anda usahakan merupakan pembaharuan perjuangan wanita yang telah dimulakan sejak berdekad-dekad dahulu.

Kita tahu bahawa golongan wanita wujud sama dengan golongan lelaki. Tidak ada kaum yang lebih utama daripada kaum yang lain. Jadi, perjuangan yang dibuat semata-mata menyedarkan manusia agar hidup dengan keadaan saling bergantungan dan saling menghormati. Perjuangan yang bermakna merupakan perjuangan mendapat hak yang saksama dengan kaum lelaki dalam menghadapi cabaran alaf baru ini. Tahukah anda apakah perkara-perkara yang diperjuangkan oleh golongan wanita? 6.17.1 Perjuangan: Apakah yang Diperjuangkan oleh Wanita? Anda perlu sedar bahawa ramai golongan wanita yang masih ditindas dan ramai juga yang masih dibelenggu kemiskinan serta masalah-masalah lain yang telah kita nyatakan di awal perbincangan awal tadi.

Golongan wanita telah menuntut hak yang sama dengan kaum lelaki sejak tahun 1950-an lagi. Wanita memperjuangkan hak mereka agar mereka dilindungi bukan dieksploitasikan dengan sewenang-wenangnya. Mereka menentang persepsi dan pandangan kolot bahawa tempat wanita hanya di rumah. Mereka tidak boleh dianiaya kerana mereka dikatakan golongan yang lemah.

6.17.2 Mengelak Diri daripada Menjadi Mangsa

Kesedaran tentang hak mereka memberi peluang kepada mereka agar tidak terus menjadi mangsa sesiapa. Masalah keluarga yang diakibatkan oleh suami atau teman hidup yang tidak bertanggungjawab dapat dibawa kepada badan yang berkuasa agar masalah-masalah mereka dapat diselesaikan dengan berkesan.

Wanita juga memperjuangkan hak untuk dilindungi apabila berlaku masalah seperti penceraian dan penderaan. Apabila penceraian berlaku, wanita berhak mendapat hak ke atas harta suami walaupun isteri tidak menyumbang apa-apa modal perniagaan dan tidak terlibat dalam perniagaan suami mereka. Mereka tidak boleh menjadi alat untuk memuaskan nafsu semata-mata tetapi peranan dan sumbangan mereka sepanjang perkahwinan adalah dimartabatkan oleh suami mereka (Wan Abdul Hamid Wan Teh, 1996).

6.17.3 Memperjuangkan Hak Wanita dalam Dunia yang Mencabar

Hanya melalui pendidikan yang ditanamkan sahajalah maka hak wanita dapat diterapkan. Tambahan lagi, golongan wanita dapat mengambil bahagian dengan aktif di samping menjalankan hak sebagai isteri atau ibu. Pendidikan merupakan satu daripada bentuk yang efektif untuk

menyedarkan wanita tentang hak-hak wanita dan kesedaran. Timbalan Menteri Kebudayaan, Datuk Dr. Ng Yen Yen, menyatakan bahawa peranan wanita tidak berubah tetapi ilmu pengetahuan perlu ditimba untuk menghadapi zaman moden yang mencabar ini (Dewan Budaya, 2000). Menurutnya lagi, peranan mereka tetap sama tetapi mereka perlu menjadi isteri atau wanita yang berilmu.

6.17.4 Memenuhi Tanggungjawab Sosial di Luar

Kesedaran perlu diwujudkan dalam program pembangunan wanita. Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk menyedarkan kaum wanita. Dr Ng Yen Yen (2000) menyatakan bahawa tiga cara yang boleh dilakukan ialah

(i) Mereka melibatkan diri dengan pertubuhan sukarela demi menyedarkan wanita akan peranan yang boleh dimainkannya.

(ii) Mereka perlu belajar menjadi seorang pemimpin.

(iii) Mereka menjadi warganegara yang baik dan bertanggungjawab.

Melalui program pembangunan wanita, golongan wanita dapat dilengkapi dengan ilmu pengetahuan agar mereka tidak terus ditindas oleh sesiapa yang mengambil kesempatan dari kejahilan mereka. Setelah dilengkapi dengan ilmu yang cukup, barulah golongan wanita dapat menikmati hidup yang selesa.

Sebagai mahasiswa wanita yang terlibat dengan program pembangunan wanita, anda perlu mengetahui perkembangan dan peranan Kerajaan Malaysia di tanah air.

6.17.3.1 Peranan kerajaan Malaysia dalam memperjuangkan hak wanita

Selain pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak-hak wanita, kerajaan Malaysia juga ada menubuhkan agensi-agensi dan menyokong penganjuran persidangan serta seminar tentang isu-isu wanita.

Penubuhan Majlis Penasihatan Mengenai Integrasi Wanita dalam Pembangunan (NACIWID) pada tahun 1976 merupakan badan tertinggi yang membawa isu-isu wanita hasil daripada Persidangan Wanita Sedunia Pertama di Bandar Mexico. Unit Hal-Ehwal Wanita di bawah Kementerian Perpaduan dan Kebajikan Masyarakat ditubuhkan pada tahun 1983 selepas Persidangan Wanita Sedunia Kedua di Copenhagen telah dinaikkan taraf sebagai jabatan dan menjadi sekretariat NACIWID.

Kerajaan juga telah menggunakan tujuh daripada lapan Strategi “Memandang Ke Hadapan” yang dikemukakan dalam Persidangan Wanita Sedunia di Nairobi, Kenya pada tahun 1985.

Kerjasama yang diberikan oleh kerajaan telah membawa kepada pertambahan bilangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita di Malaysia. Mengikut Makmor (1998), bilangan NGO wanita telah meningkat selepas Persidangan Wanita Sedunia Keempat di Beijing, China dan membawa kepada penubuhan NGO-NGO yang aktif seperti Persatuan Pergerakan Wanita Kuala Lumpur dan Selangor (AWAM), Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI), Sahabat Wanita, Sabah Women Action Resource Group, Sarawak Women for Women, Young Women Christian Association (YWCA), Institut Pengurusan Wanita (WIM), Women’s Aid Organisation (WAO), Women’s Institute (WI), Pusat Krisis Wanita (WCC) dan Association of Women Lawyers (AWL). 6.17.3.2 Kementerian dan badan bukan kerajaan yang

memperjuangkan hak wanita

Program yang anda jalankan boleh dimantapkan lagi dengan bantuan dan khidmat nasihat daripada dua kementerian. Tahukah anda kementerian-kementerian yang terlibat dalam memperjuangkan hak wanita?

Kementeriaan Hal-Ehwal Wanita dan Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat merupakan dua kementerian yang dapat membantu anda merancang program pembangunan wanita.

Program yang dirancangkan sepatutnya ke arah memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap golongan wanita dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan. Program pembangunan wanita memerlukan perancangan yang lebih teliti supaya impak yang lebih dapat dihasilkan ke atas mereka.

Perkembangan pertubuhan wanita telah membuahkan hasil yang menguntungkan golongan wanita. Hasil daripada perkembangan yang positif tersebut telah membawa banyak perubahan terhadap martabat dan tempat golongan wanita di tanah air.

Program pembangunan wanita yang anda rancangkan mestilah membentuk peluang untuk mendidik golongan wanita tentang aspek-aspek seperti kerjaya, perkahwinan, kekeluargaan dan lain-lain lagi.