PEMBANGUNAN PENDIDIKAN OBJEKTIF BAB
PEMBANGUNAN PENDIDIKAN
4. Membuat raptai/latihan
Sebarang perkara tidak dapat disampaikan dengan baik sekiranya perkara itu tidak dilatih berulangkali. Latihan atau raptai perlu dibuat agar persembahan seseorang menjadi lebih mantap. Latihan atau raptai dapat memberi keyakinan kepada pelajar atau peserta yang mengikuti program yang dijalankan.
(i) Gunakan nota ringkas – elakkan penggunaan ayat yang panjang – catatkan/cetakkan di atas kepingan kad untuk memudahkan individu semasa membuat persembahan di dalam kelas. Ini kerana persembahan yang dibuat melalui pembacaan daripada skrip adalah berbeza dengan bahasa pertuturan.
(ii) Buat persembahan secara menyeluruh. Pastikan bahawa setiap idea mengikut turutan/teratur.
(iii) Buat latihan secara konsisten. Cuba buat latihan tersebut di dalam kelas/bilik yang digunakan untuk persembahan tersebut atau mana-mana bilik yang berkenaan.
(iv) Kreatif dalam membuat persembahan. Gunakan idea yang pelbagai dengan mengaplikasikan peralatan media yang ada.
(v) Cuba buat soal jawab.
(vi) Rakamkan cara persembahan anda sendiri dan kemudian perbaiki kelemahan yang ada. Beri tindak balas di atas kelemahan itu.
5. Suara
Latihan atau raptai yang dibuat berulangkali akan menjadikan program anda lebih meyakinkan. Tetapi, sekiranya suara yang digunakan kurang jelas atau tidak didengari, latihan atau raptai yang dilakukan tidak berfaedah kerana perkara yang hendak disampaikan tidak diterima dengan jelas. Oleh yang demikian, anda perlu mengetahui beberap perkara tentang suara.
(i) Gunakan suara secara natural.
(ii) Jangan membaca penyampaian. Jangan membaca dari overhed atau nota yang diberi (handout). Jika sebahagian daripada penyampaian adalah untuk memberi maklumat, berikan salinan kepada pelajar dan biarkan pelajar membaca.
(iii) Gunakan pelbagai jenis vokal. Nada yang tidak seimbang (bergetar) selalunya disebabkan oleh kebimbangan (latihan dapat mengatasi masalah ini). Bertenang dengan menggerakkan badan ke atas dan ke bawah.
(iv) Gunakan langkah yang selesa. Apabila anda bimbang, kadar percakapan anda selalunya bertambah. Bertenang dan bercakap dalam nada biasa.
(v) Bercakap dengan kuat supaya suara anda dapat didengar di belakang kelas. Jika anda bercakap kuat ia dapat menyelesaikan dua masalah. Tanyakan orang yang berada di belakang sama ada suara anda jelas kedengaran atau tidak.
(vi) Berhenti sejenak (diam) selepas kata kunci adalah cara yang terbaik untuk menekankan kata kunci. Lebih penting sesuatu idea, lebih penting bagi anda untuk berhenti sejenak dan biarkan perkataan itu difahami sebelum mengarah kepada idea seterusnya.
6. Persediaan
Suara yang jelas dan persediaan yang mencukupi akan menjadikan program anda lebih mendapat perhatian. Anda perlu memberi perhatian kepada persediaan kerana persediaan yang kurang mencukupi akan mempengaruhi persembahan atau perjalanan program anda.
Berikut adalah di antara persediaan yang perlu anda lakukan:
(i) Semak kelengkapan agar bersesuaian dengan penyampaian anda.
(ii) Tukar peralatan jika perlu. Jika peralatan telah disusun, pastikan ia beroperasi dengan baik.
(iii) Untuk filem, slaid dan video, letakkan skrin di hadapan dan di tengah.
(iv) Letakkan skrin alat pandang dengar atau carta singkap di sudut 45 darjah dan berdekatan dengan penjuru bilik. Letakkan skrin alat pandang dengar di kanan anda sekiranya anda menggunakan tangan kanan. Letakkan carta singkap di kiri anda sekiranya anda menggunakan tangan kanan. Sekiranya anda menggunakan tangan kiri, letakkan di kedudukan yang sebaliknya.
(v) Posisi objek adalah seperti dirancangkan iaitu di hadapan dan di tengah. Alihkan barang tersebut apabila ia dilihat kurang sesuai.
7. Perancangan
Sebelum anda menjalankan sebarang perogram, anda perlu merancang agar keperluan utama dipenuhi sebelum anda memulakan sesuatu program. Perancangan yang baik adalah asas untuk kejayaan persembahan atau program yang akan dijalankan.
Keberkesanan penyampaian bermula dengan perancangan yang teliti dan berhati-hati. Petunjuk berikut boleh digunakan dalam pengajaran di kelas dan juga dalam penyampaian formal yang lain.
(i) Analisis pendengar anda. Apakah keperluannya, nilai-nilai, latar belakang, tahap pengetahuan, dan salah tanggapan yang mereka ada.
(ii) Tentukan objektif. Apakah yang perlu dilakukan oleh pelajar? Berapakah masa yang diperlukan untuk penyampaian? Hadkan objektif dan kandungan mengikut masa yang ada.
(iii) Tentukan faedah dan rasional kepada pendengar. Mengapa mesej penting kepada mereka? Jika anda tidak dapat menjawab soalan ini, mungkin anda tidak perlu membuat penyampaian.
(iv) Kenal pasti kata kunci. Fikirkan idea utama (brainstorm). Tuliskan di atas kad nota atau nota berpelekat (stick-on notes). Kebanyakan penyampaian akan mengandungi antara lima hingga sembilan kata kunci utama.
(v) Kenal pasti isi-isi kecil (subpoints) dan maklumat sokongan (supporting details). Gunakan kad nota atau nota berpelekat. Hadkan kepada lima hingga sembilan isi kecil bagi setiap butiran utama.
(vi) Susun keseluruhan penyampaian dalam bentuk teratur dan logik. Strategi penyusunan adalah seperti:
Pengenalan/gambaran
umum (preview/overview): Beritahu mereka apa yang anda hendak beritahu mereka
Penyampaian: Beritahu mereka
Ringkasan (Review) : Beritahu mereka apa yang anda telah beritahu mereka
8. Visual
Persembahan akan menjadi lebih menarik sekiranya anda mahir menggunakan visual semasa menjalankan program anda. Berikut adalah di antara panduan untuk memahirkan anda dalam penggunaan visual.
(i) Visual atau gambaran menolong menarik perhatian pendengar. Setiap orang lebih suka melihat kata kunci, gambarajah dan gambar.
(ii) Visual juga dapat meneguhkan dan menjelaskan sesuatu konsep dengan lebih detir lagi. Gambar lebih baik daripada seribu perkataan dalam menjelaskan sesuatu konsep.
(iii) Jadikan perkataan-perkataan penting mudah diingat dan ini dapat menolong pendengar mengingat tentang isi pengajaran yang telah disampaikan.
(iv) Keberkesanan penggunaan visual akan hilang sekiranya ia digunakan terlampau banyak. Sepatutnya satu visual hanya boleh digunakan untuk satu minit sahaja.
(v) Untuk mereka bentuk visual, beberapa panduan hendaklah diikuti:
• Gunakan ‘headline’ sahaja.
• Hadkan perkataan yang perlu sahaja .
• Tulisan hendaklah bersaiz besar dan boleh dibaca oleh pendengar yang berada di belakang kelas.
• Gunakan lukisan dan gambarajah apabila diperlukan.
• Hadkan 36 perkataan untuk satu-satu helaian transparensi (6 baris 6 perkataan).
ix) Hubungan mata
Adalah penting untuk anda melihat peserta semasa membuat persembahan. Persembahan atau program yang hendak dijalankan akan menjadikan peserta lebih yakin apabila mereka dilihat dan dihubungkan melalui “eye contact”. Berikut adalah panduan untuk menjalinkan hubungan mata di antara penyampai dan peserta.
(i) Jangan mulakan percakapan sehingga anda wujudkan hubungan mata dengan audien. Hubungan mata akan menjadikan perbentangan kita mirip dengan perbualan antara dua individu.
(ii) Jalan terbaik untuk menarik perhatian audien adalah dengan menyasarkan mata kepada setiap audien dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga saat. Jangan melihat secara sepintas lalu terlalu cepat atau merenung dinding, skrin atau nota dalam tempoh yang lama.
(iii) Kekalkan hubungan mata dengan audien. Berhentikan percakapan anda ketika anda perlu menulis sesuatu di atas petikan carta, ‘overhead’, atau papan tulis.
Di zaman perkembangan teknologi ini, anda mungkin mahu mendedahkan pelajar tentang teknologi. Jordan and Follman (1993) menyatakan bahawa program teknologi yang baik mesti:
(i) menekankan pembelajaran koperatif di mana menggalakkan kumpulan heterogenous bekerjasama;
(ii) menekankan penyelesaian masalah dan menekankan kemahiran asas;
(iii) menyokong interaksi antara pelajar dan guru daripada menggunakan komputer sebagai mesin pengajar yang membantu guru membina persekitaran pembelajaran interaktif di sekitar masalah yang berkaitan dengan dunia; (iv) menyesuaikan dengan pelbagai stail pembelajaran.
Kesemua panduan di atas akan membantu menjadikan program anda lebih menarik dan mendapat perhatian. Oleh itu, gunakanlah peluang yang ada untuk membuat atau melaksanakan program yang meyakinkan peserta yang mengikuti program pembangunan anda.
5.28 RUMUSAN
Kejayaan sesebuah program atau aktiviti yang dirancang bergantung kepada keseriusan mahasiswa menjayakannya. Pendidikan merupakan lambang keutuhan intelektual dan rohani. Oleh yang demikian, pengetahuan asas dan psikologi pendidikan dan lain-lain yang berkenaan dengan pendidikan adalah penting dalam proses anda merencana dan melaksanakan sesebuah program pendidikan. Cabaran dan halangan semasa merancang sesebuah program perlu dijadikan dorongan dan pengalaman. Halangan yang mengganggu kelicinan program mestilah dijadikan kekuatan agar anda terus dapat berbakti kepada universiti, masyarakat dan negara. Apa yang penting ialah hasilnya iaitu seorang pelajar sekolah rendah atau menengah akan menjadi seorang pelajar yang mampu menghadapi rintangan demi sebuah kejayaan.
Helbert Nolker dan Eberhard Schoenfeldt (1983) menyatakan bahawa pendidikan merupakan sesuatu yang serius. Tujuan pendidikan pula adalah untuk membimbing pelajar menjadi orang yang mampu berfikir dan membuat keputusan di samping menjadi seorang yang berbudi pekerti, mempunyai harga diri yang tinggi dan mencintai kerjaya, berjiwa sosial serta memiliki pandangan bebas dan demokratik mengenai negara serta menjunjung tinggi nilai moral.
Walaupun kita tahu tugas mengajar adalah merupakan tugas guru di sekolah, mesej penting yang ingin disampaikan kepada bakal generasi akan datang adalah lebih berkesan sekiranya anda yang menyampaikannya kerana anda pernah menjadi pelajar di sekolah rendah dan menengah. Perkara yang perlu anda fahami ialah anda perlu membuat perancangan yang baik dan melaksanakannya dengan teratur dan teliti. Ingatlah bahawa jika anda gagal merancang, ini bermakna anda sedang merancang untuk gagal. Oleh itu, berhati-hatilah semasa anda menjalankan tugas sebagai pelaksana program pembangunan pendidikan. Adalah diharapkan agar segala program pembangunan pendidikan yang dirancang dan yang hendak anda jalankan mendapat tempat di hati masyarakat dan penduduk keseluruhannya. Selamat belajar.
SOALAN PENILAIAN KENDIRI