KONSEP KHIDMAT MASYARAKAT
SOALAN DALAM TEKS 3.2
1. Bincangkan dengan ringkas perkara utama yang membezakan manusia dengan haiwan lain.
3.3 KONSEP PEMBANGUNAN
Pembangunan merujuk kepada satu proses yang dihubungkaitkan dengan sesuatu persekitaran yang dinamik kerana pembangunan akan membawa persekitaran itu kepada satu suasana yang baru. Oleh itu, pembangunan juga merujuk kepada perubahan bagi sesuatu keadaan kepada keadaan yang baru. Terdapat beberapa pandangan yang boleh diutarakan bagi menjelaskan maksud pembangunan. Antaranya
(i) Encyclopedia Britannica merujuk pembangunan sebagai ‘satu perubahan kepada bentuk yang baru dan ia berlaku dalam apa juga bidang (disiplin) pemikiran’. Contohnya, disiplin biologi merujuk pembangunan sebagai satu perubahan berterusan dalam saiz, bentuk dan fungsi hayat suatu organisma, di mana suatu genetik (asalnya genotype) diubah menjadi satu sistem fungsi yang lebih matang (menjadi phenotype). Bidang pembangunan wilayah melihat pembangunan sebagai `perubahan untuk menggalakan pertumbuhan ekonomi dan perindustrian untuk meningkatkan taraf hidup golongan yang selama ini kurang ‘membangun’. Bidang ekonomi pembangunan pula melihat pembangunan sebagai ‘perubahan daripada negara yang mempunyai sistem ekonomi mudah (simple economy) dan pendapatan yang rendah (low income) kepada satu sistem ekonomi perindustrian moden’.
(ii) Todaro (1977) merujuk pembangunan sebagai ‘satu proses pelbagai dimensi yang mana melibatkan pembentukan serta penyesuaian semula sistem ekonomi dan sosial’.
(iii) Higgins dan Brandis (1968) merujuk pembangunan dari perspektif pembangunan ekonomi sebagai ‘perubahan yang bukan sahaja tertumpu kepada tingkat pendapatan per kapita semata-mata, tetapi juga melibatkan pembangunan sumber tenaga manusia, kecekapan penduduk dalam menghasilkan barangan yang diperlukan, perubahan sikap dan pertalian sosial, diikuti dengan peningkatan taraf hidup dan kebajikan sosial.’
Pengertian-pengertian pembangunan yang diutarakan di atas jelas menunjukan kaitan di antara bidang kokurikulum yang dipilih oleh UUM dengan misi dan visi institusi itu sendiri. Nyata misi dan visi UUM untuk menjadi sebuah pusat kecemerlangan akademik dan pengeluar graduan
yang boleh berbakti kepada masyarakat melalui motonya ‘Ilmu, Budi, Bakti’ boleh dicapai melalui aktiviti kokurikulum ini. Para pelajar dalam kokurikulum ini dilatih sebagai ejen perubahan yang bakal menabur khidmat untuk pembangunan di dalam masyarakat.
3.3.1 Konsep Pembangunan Masyarakat
Perbincangan-perbincangan awal dalam Bab ini telah memberikan pengertian yang jelas tentang konsep pembangunan dan konsep masyarakat. Pembangunan ringkasnya adalah merujuk kepada perubahan daripada satu bentuk kepada bentuk yang baru. Kebiasaannya, perubahan yang dimaksudkan adalaah daripada satu bentuk yang kurang kepada satu bentuk yang lebih baik. Di sini wujud elemen tindakan, contohnya ‘usaha’, bagi membawa perubahan. Sesuatu tindakan pula boleh dilakukan oleh individu, kumpulan individu ataupun wakil (ejen) kepada individu berkenaan.
Masyarakat pula ringkasnya merujuk kepada kumpulan manusia yang hidup secara berkumpulan dan menggunakan interaksi kumpulan untuk sama-sama berusaha menuju ke satu kehidupan yang lebih baik. Masyarakat biasanya menggunakan akal untuk bertindak sekarang, berdasarkan masa lalu, untuk kehidupan yang lebih baik di masa hadapan. Langkah-langkah dalam proses tindakan ini dibuat berdasarkan pertimbangan ‘akal‘, satu perkara yang membezakan manusia dengan haiwan lain.
Secara operasionalnya, konsep pembangunan masyarakat merujuk kepada usaha untuk membawa perubahaan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat. Masyarakat yang diwakili oleh berbagai ideologi mungkin mempunyai perspektif yang berbeza tentang pembangunan masyarakat. Contohnya, ideologi Barat melihat pembangunan masyarakat sebagai peningkatan atau pemaksimum kualiti yang sedia ada untuk tujuan penggunaan masyarakat keseluruhan (al-Faruqi, 1994). Menurut ideologi mereka, peralihan kepada sesuatu keadaan yang baru amat perlu untuk membetulkan kedudukan masyarakat yang sentiasa tidak stabil. Disebabkan kehidupan masyarakat sentiasa tidak stabil, maka pembangunan menjadi sesuatu yang amat perlu dan diletakkan selari dengan kehidupan semula jadi. Pembangunan adalah proses menuju kesempurnaan dan untuk mencapai tujuan itu berbagai teori asas sains telah diperkenalkan oleh Barat untuk menyokong tindakan yang dibuat. Sebaliknya, penganut-penganut agama yang mempercayai kehidupan di dunia dan hidup sesudah mati melihat pembangunan dari perspektif yang berbeza. Ideologi Islam contohnya, menuntut pembangunan menyeluruh
di dalam masyarakat dan umat manusia (al-Faruqi, 1994). Pembangunan menyeluruh adalah merujuk kepada pembangunan fizikal, moral dan psikologikal (merujuk rohaniah, jasmaniah dan ummah). Rasionalnya ialah Tuhan telah menciptakan langit dan bumi untuk faedah dan manfaat kepada manusia. Interpretasi ciptaan ini adalah supaya manusia melakukan kebaikan di dunia dan juga di akhirat. Ini menjadi satu amanah yang besar kepada seluruh umat manusia. Manusia akan dilihat sebagai hidup mementingkan diri sendiri sekiranya menganjurkan pembangunan untuk mencapai keseimbangan dan kesempurnaan hidup di dunia. Sebaliknya, manusia dilihat sebagai golongan yang mengabaikan amanah dan tanggungjawab untuk memakmurkan (membangunkan) dunia jika hanya melaksanakan ibadat untuk kepentingan hidup sesudah mati kelak.
Ini merupakan antara mesej yang ingin dibawa oleh UUM melalui Kokurikulum Khidmat Masyarakat, iaitu terlibat dalam proses melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan membantu membangunkan umat manusia secara keseluruhan. Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, pelajar-pelajar dilantik menjadi ejen yang akan membawa perubahan dalam masyarakat bagi pihak universiti.
3.4 KONSEP KHIDMAT MASYARAKAT
Secara umumnya, khidmat masyarakat (social services) adalah merujuk kepada langkah-langkah kerajaan melalui agensi-agensinya dalam usaha menawarkan perkhidmatan asas bagi memenuhi keperluan golongan teramai untuk meningkatkan taraf hidup mereka (Paiva & Lederina, 1983). Walau bagaimanapun menurut Rowbottom et.al. (1974:38), teras fungsi khidmat masyarakat ialah untuk membantu atau mencegah segala tekanan sosial yang dialami dalam mana-mana individu, keluarga mahupun masyarakat dengan menghubungkannya kepada agensi-agensi awam dan sukarela yang berkaitan.
Definisi di atas jelas meletakkan khidmat masyarakat sebagai satu proses pelaksanaan kerja sosial (social work). Hubungan ini dapat dilihat melalui beberapa definisi kerja sosial yang diutarakan oleh Timms & Timms (1997) seperti berikut:
(i) ‘teras profesion kerja sosial ialah kesediaannya untuk melibatkan diri dalam memenuhi kehendak manusia’ (Meyer, 1968);
(ii) ‘kerja sosial ialah satu kaedah pelaksanaan yang dapat membantu individu perseorangan atau kolektif menyelesaikan masalahnya’ (Goldstein, 1973);
(iii) ‘kerja sosial adalah satu bentuk aktiviti manusia, di mana ahli-ahli dalam sesebuah masyarakat tertentu, sama ada dibayar atau sukarela, membantu dalam kehidupan individu lain untuk menghasilkan perubahan kepadanya’ (Haines, 1975).
Persamaan ini juga dapat dilihat melalui matlamat umum kerja sosial seperti yang didefinisikan oleh Majlis Pendidikan Kerja Sosial, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan Amerika Syarikat yang menggariskan bahawa ‘kerja sosial berusaha meningkatkan fungsi sosial bagi individu, secara perseorangan atau berkumpulan,melalui aktiviti-aktiviti yang difokuskan kepada jalinan hubungan sosial yang melibatkan interaksi antara manusia dan persekitarannya. Aktiviti-aktiviti yang diperkenalkan dapat dibahagikan kepada tiga fungsi; iaitu pemulihan/pengembalian kepada segala kekurangan, pengagihan sumber-sumber individu dan sosial, dan pencegahan terhadap salah laku sosial (Saadon, 2000).
Konsep khidmat masyarakat juga menghubungkaitkan peranan kerajaan dalam membangunkan masyarakat. Kerajaan memperkenalkan berbagai dasar sosial (social policy) untuk meningkatkan kebajikan sosial (social welfare) di kalangan rakyat. Umumnya, pelaksanaan dasar sosial ini dipikul oleh pentadbiran awam dan disempurnakan oleh agensi yang dinamakan perkhidmatan awam. Walau bagaimanapun, badan bukan kerajaan atau orang perseorangan boleh melibatkan diri dalam proses mencapai matlamat dasar sosial kerajaan itu.
3.5 PERBEZAAN DAN PERSAMAAN DI ANTARA KHIDMAT