• Tidak ada hasil yang ditemukan

Kajian Kualitatif

DAPATAN KAJIAN

4.1 DAPATAN ANALISIS PERANAN GURU DALAM FASAL KE-44: KITAB

4.1.5 Mengekalkan Keserasian

Keserasian sebagaimana tersirat dalam maksud teks fasal ke-44 kitab Qut al-Qulub ini bukan hanya difahami keserasian jiwa sebagai mana biasa bahkan ia menjangkaui batasan itu. Keserasian menurut al-Makki adalah keserasian dari segi mencapai: ilmu (ma‘rifah), kecerdasan (nasyat), adab (adab wa suluk), perangai baik (akhlaq), ketenangan hati (tuma’ninat al-qalb), akidah yang selamat (salamat al-‘aqidah) dan hati yang tenang (waqqarah al-qalb). Buktinya adalah pada kenyataan beliau sebagaimana berikut;

“Dia [yakni:guru] seharusnya menunjuk cara tentang apakah (perlakuan) yang tidak diketahui oleh [murid] yang jahil itu. Membantu dengan tunjuk ajar seolah-olah memberi bantuan kewangan jika dalam kesempitan. [Namun] Kejahilan lebih teruk dari kemiskinan.” (al-Makki, hal. 373).

Contoh pernyataan di atas adalah salah satu penjelasan tersirat peranan guru dalam mengekalkan keserasiannya dengan murid. Mungkin apa yang ingin dinyatakan oleh al-Makki seseorang guru bukan perlu sahaja mengambil berat perihal luaran sahaja namun ia boleh sahaja berlaku lebih dari itu. Contoh “memberi bantuan kewangan jika

dalam kesempitan ini” bukan bermakna seseorang guru perlu berbuat demikian, namun

perkara yang penting ialah nilai empati yang mampu melahirkan keserasian seusai perlakuan tersebut. Antara lain al-Makki juga memetik hadith Nabi Muhammad s.a.w dalam menjelaskan lagi pandangannya berkaitan peranan mengekalkan keserasian. Hadith tersebut terjadi apabila Baginda s.a.w melihat Saidina Umar r.a berpaling kiri dan kanan, lalu ia bertanya, “Duhai Rasulullah, aku suka untuk bersama dengan

seseorang, aku memerlukannya namun aku tidak mengenalinya”. Sabda Rasulullah

s.a.w:

“Wahai Abu Abdullah, jika kamu suka untuk bersama seseorang, maka tanyalah namanya, kemudian nama bapanya, tanyakan dimana rumahnya, jika ia sakit kunjungilah ia jika ia sibuk bantulah dia.” (al-Makki, hal.385).

Demikian hujah yang digunakan oleh al-Makki untuk menjelaskan tentang

amalan dan kaedah bagaimana mewujudkan rasa keserasian diantara guru dan muridnya.

Mehamamkan lagi maksud keserasian ini, al-Makki mengambil kata-kata Abu Hazim yang berbunyi: “Apakah keserasian? Ia adalah kasih sayang”. Sekali lagi di sini al-Makki mengaitkan persoalan kasih sayang berhubung dengan keserasian. Untuk mewujudkan keserasian, seseorang itu perlu juga menyertakan sekali sifat kasih-sayang pada sahabatnya. Hal ini menurut al-Makki merupakan peranan yang perlu dititikberatkan oleh guru dalam mengekal seterusnya mengeratkan tali perhubungan dengan muridnya.

Beliau memetik pesanan Sa‘sa‘ah bin Sawhan sebagaimana berikut:

“Bila kamu bertemu seorang mukmin, maka bergaulah bersamanya dengan sebaik-baik pergaulan (mukhalatah), apabila kamu bersama seorang munafik maka bercanggahlah dengannya seburuk-buruk percanggahan (mukhalafah). Sebaik-baik contoh pergaulan ialah pergaulan para wali Allah. Bila bersama ilmuwan, mereka memberi khidmat, bila bersama dengan si jahil, mereka mengungkapkan kesejahteraan (salaman)”. (al-Makki,

hal. 394).

Disamping memerihalkan sikap mengekalkan keserasian, al-Makki menyarankan juga agar sikap ini digandingkan bersama sifat sabar. Sifat sabar menurut al-Makki bukan sahaja menjaga keterikatan seseorang dengan seorang yang lain bahkan membuka ruang dakwah secara lebih praktikal. Kesabaran dalam mengekalkan keserasian perlu diiringi dengan doa yang ikhlas untuk sahabatnya sebagaimana yang dikatakan oleh Abu Darda’ r.a:

“Demikianlah mereka yang bersahabat pada jalan Allah (al-ikhwan fi Allah ‘azza wa jalla), mereka berusaha pada jalanNya dan saling membantu pada jalanNya. Sekiranya seseorang sahabat mengalami masalah, maka si sahabat akan turut memahami masalahnya. Sesungguhnya aku berdoa untuk kesejahteraan empat puluh orang sahabatku setiap kali ku bersujud (ketika solat), sambil aku menyebut [satu persatu] nama mereka (usammihim bi asma’ihim)”. (al-Makki, hal. 385).

Al-Makki juga berkata darihal mengekalkan mengekalkan keserasian sebagai berikut:

“Jangan jauhi manusia awam dari dirimu. Jangan sesekali menurut mereka dalam sesuatu urusan, kerana tidak semua perkara boleh diteladani dari mereka. Jangan terlalu terikat

dengannya dan pula menghabiskan masa bersamanya.

Tinggalkan ia mengikut kesesuaian dan hampirilah ia menurut

kesesuaian. Jangan bersahabat melainkan bagi yang

berkeinginan (muridan) untuk menjadi baik. Memetik kata hikmah, manusia adalah tumbuh berdasarkan acuannya (syaklihi) manakala haiwan membesar berdasarkan jenisnya (jinsihi)”. (al-Makki, hal. 395).

Dikesempatan yang lain pula al-Makki menyatakan;

“Adakah anda lupa bahawa betapa banyaknya pedoman bahawasanya Rasulullah s.a.w telah mengikat (mengekalkan) tali persaudaraan sesama sahabat. Baginda mempersaudarakan mereka yang berilmu dengan yang berpengalaman seumpama [mempersaudarakan; akha] Abi Bakr dan ‘Umar, ‘Uthman dan ‘Abd al-Rahman [bin ‘Awf]. Demikian juga Salman dan Abi Darda’ (darihal ilmu dan kezuhudan), ‘Ammar dan Sa‘ad, ‘Ali dan dirinya (Rasulullah s.a.w), Rasulullah s.a.w dan keluarganya keseluruhannya”. (al-Makki, hal. 397).

Justeru, inilah peranan guru yang dikesan sebagai peranan yang terakhir dalam bab ke-44 ini. Jelas kelihatan daripada sudut makna, kaedah dan contoh bagaimana al-Makki menyatakan bahawa peranan mengekalkan keserasian antara seorang individu dengan individu yang lain itu adalah satu kewajipan. Seseorang guru amat perlu untuk menghayatai peranan ini seterusnya menjiwainya kerana dengan peranan inilah seseorang itu dikatakan ‘alim yang sejati sebagaimana komentar al-Makki;

“Sesungguhnya ada dari kalangan mereka yang tersangat jahil (juhhal) ingin menyerupai para ‘ulama’. Mereka cuba untuk menipu pengikut ulama’ sejati dengan keaadaannya (hal) yang pelik. Ketahuilah kamu wahai muridku, bahawasanya kamu perlu terlebih mengetahui dengan perjalanan hidup para salaf yang dihiasi dengan akhlak, terikatnya jiwa mereka dengan para muta‘llim. Berusahalah untuk mengenal ciri seorang ‘alim, dan sesuatu yang berkait dengan dirinya untuk kamu memperolehi ilmu yang berguna”. (al-Makki, Bab ke-31, hal.286)

Dalam kesempatan lain beliau juga ada memetik hadis yang berbunyi;

Bahawasanya Rasulullah s.a.w pernah bersabda bagi seorang lelak “Ya Allah tunjukkan daku penglihatan sebenar tentang dunia sebagaimana Kamu melihatnya (kama taraha). Duhai pemuda, sekarang kamu melihat dunia tidak sebagaimana penglihatan Allah terhadap dunia. Mintalah pada Allah agar disingkapkan tabir supaya kamu dapat melihat dunia umpama penglihatan guru yang salih, yang sentiasa mengingatkan sahabatnya tentang tipudaya dunia, menyedarkan mereka ketika lalai, meneguhkan mereka ketika sedar [dengan nasihat], inilah perumpaan keserasian orang baik-baik (uns al-salihin)”.

(al-Makki, Bab ke-34, hal.336).

Peranan ini amat penting diberi perhatian oleh para guru dan begitu berkesan jika dipraktikkan dalam pembentukan akhlak. Kesimpulan darihal mengekalkan keserasian ini ialah seseorang guru perlu mengikat tali persaudaraan dengan kasih-sayang, bersikap empati dan juga berdoa pada Allah s.w.t agar talian persahabatan dikekalkan olehnya. Peranan ini begitu sekali perlu dihayati oleh seseorang guru secara khusus dalam tugasnya mendidik serta membentuk akhlak dan peribadi mulia di kalangan muridnya.

Perbahasan peranan guru dari aspek hubungan guru-murid sebenarnya mampu memberi impak positif terhadap aspek penambahbaikan profesion perguruan (Norzaini Azaman & Mohammed Sani Ibrahim, 2007). Disamping menyumbang kepada usaha penambahbaikan profesion tersebut, ia juga semestinya harus dilihat berfungsi sebagai momentum kearah memperbaiki isu-isu berkaitan profil guru, kekendirian guru, sosialisai guru, perkembangan guru, dan seumpamanya dalam konteks pendidikan di negara ini. Sementelahan pula, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memainkan peranannya yang cukup penting dalam perancangan, pembentukan dan penggubalan kod etika perguruan dalam isu hubungan guru-murid (Norzaini Azaman & Mohammed Sani Ibrahim, 2007). Justeru dapatan-dapatan dari analisis kandungan kitab Qut

al-Qulub fi Mu‘amalat al-Mahbub wa Wasf Tariq al-Murid ila Maqam al-Tawhid dan

Suhbah wa Mahabbah li Ikhwan fih wa Ahkam Mu’akhat wa Awsaf al-Muhibbin ini merupakan satu langkah yang baik ke arah usaha mempertingkat dan

memperkembangkan perbincangan peranan guru.

4.2 RUMUSAN DAPATAN KAJIAN ANALISIS KANDUNGAN

Demikian peranan-peranan yang disarankan oleh Abu Talib al-Makki yang perlu dihayati oleh seseorang yang bergelar al-‘alim dalam membentuk peribadi murid dengan tuntutan akhlak yang terpuji. Seandainya diteliti dan direnung kembali pemikiran al-Makki tersebut dari sudut kependidikannya dalam menyelesaikan persoalan-persoalan akhlak secara tasawuf, tanpa ragu-ragu kita boleh membariskan beliau lebih kehadapan sebaris dengan tokoh-tokoh ulama' selepasnya dan tokoh

pemikir pendidikan semasa. Di bawah adalah gambarajah yang menunjukkan

peranan-peranan guru yang dinajurkan oleh al-Makki dalam kitab Qut al-Qulub:

Rajah 4.1: Dapatan Analisis Kandungan Terhadap Peranan GPI dalam