Kajian Kualitatif
PENDIDIKAN ISLAM (GPI) DALAM PROSES PEMBENTUKAN AKHLAK DARI ASPEK HUBUNGAN GURU-MURID BERASASKAN
4.4.1 Profil Guru
4.4.1.4 GPI04 Ustaz Mohamad
Ustaz Mohamad senang disapa sebagai “abah” di kalangan murid sekolah ini hinggakan panggilan tersebut terbawa-bawa oleh sahabat sejawatan beliau. Walaupun membahasakan diri beliau dengan panggilan tersebut dan umurnya telah berusia pertengan 30-an tahun namun beliau belum lagi mendirikan rumah tangga. Beliau sentiasa mengukirkan senyuman, ini yang menyebabkan beliau amat disenangi oleh sebahagian besar komuniti sekolah ini sama ada guru, murid, kakitangan sokongan dan ibubapa. Apa yang mengejutkan disebalik wajah tenang tersebut beliau telah diamanah menjadi pemangku Guru Disiplin (ketika penyelidikan dijalankan).
Sebenarnya, satu ketika pada masa Ustaz Mohamad kecil beliau tidak pernah menaruh cita-cita untuk menjadi seorang guru apatah lagi seorang GPI. Akan tetapi pendedahan agama yang bermula dari bapa beliau sedikit sebanyak telah merubah hala tuju kehidupan beliau. Beliau mula merasakan perubahan telah berlaku dalam dirinya dengan selalu bergaul dengan “kaki ceramah agama” dan “kaki surau”. Dari situ beliau secara senyap-senyap menaruh cita-cita menjadi seorang “ustaz” bermula dengan menghafal Quran disamping selalu ke masjid, selalu menghadiri kenduri, berpuasa sunat bahkan beliau mampu menguruskan jenazah. Hal yang demikian telah diperhati oleh ayahanda beliau yang mana kemudiannya setelah menghabiskan pengajian sekolah rendah, beliau di hantar oleh bapa sekolah menengah agama tinggi tersohor di semenanjung Malaysia. Beliau mula menempa nama di sekolah tersebut hingga berjaya menamatkan pelajarannya dengan cemerlang di sekolah tersebut.
Ustaz Mohamad adalah graduan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam salah sebuah IPTA tempatan. Pada ketika kajian ini dijalankan beliau dalam rangka meneruskan pengajiannya ke peringkat ijazah sarjana di universiti yang sama. Beliau adalah guru yang berdedikasi sehinggakan beliau telah mendapat penghargaan GC DG44. Ini berkemungkinan disebabkan kenyataan yang menyatakan bahawa beliau dilahirkan di bumi ini memang untuk menjadi seorang guru. Ia terbukti bahawa beliau sanggup mengorbankan kepentingan diri semata-mata untuk menumpukan sepenuh perhatiannya dalam kerjaya beliau yang dianggap kerjaya yang mulia ini. Pengalaman mengajar beliau walaupun hanya baru mencecah 9 tahun namun, terserlah keseriusan beliau memikul beban seorang pendidik. Apabila diminta untuk dicalonkan sebagai peserta kajian, beliau beberapa kali menolak akan tetapi dengan kepercayaan pihak pentadbir beliau telah memberikan komitmen dan partisipasi yang terbaik sepanjang kajian ini dijalankan. Di peringkat sekolah beliau memegang beberapa jawatan penting seperti pemegang amanah koperasi sekolah, guru Imam masjid sekolah merangkap warden asrama, penasihat rumah sukan dan penasihat bagi sebuah pergerakan seni
mempertahankan diri yang mana beliau adalah jurulatihnya.Sepanjang perkhidmatan, beliau hanya mengajar 2 buah sekolah menengah kebangsaan dan diberikan kepercayaan untuk mengendalikan subjek teras KBSM Pendidikan Islam dan beberapa subjek elektif dalam bidang seumpama Tasawwur Islam dan Pendidikan Syariah Islamiah. Beliau adalah seorang yang ceria, banyak berkongsi idea serta sangat merendah diri tika bersama-sama dalam penyelidikan ini. Namun sifat merendah diri itu tidak membantutkan proses temu bual yang diadakan lebih dari sekali bahkan ia adalah motivasi intrinsik bagi penyelidik untuk lebih meneroka pengalaman-pengalaman beliau sepanjang menceburkan diri dalam dunia perguruan ini.
4.5 PEMAHAMAN AKHLAK DALAM KALANGAN GURU
Bahagian ini, akan memfokuskan soalan sisipan utama yang akan membentuk gambaran sebenar kajian ini. Soalan sisipan utama yang diutarakan ialah berkaitan pemahaman akhlak dalam kalangan guru. Soalan sisipan utama ini juga dikenali sebagai soalan perangkap atau trap skill dalam kajian kualitatif menggunakan kaedah temu bual. Soalan sebegini penting untuk diajukan terlebih dahulu berbanding soalan utama atau soalan-soalan lain. Ini kerana ia mampu untuk mengaitkan soalan-soalan lain seperti peranan guru dan proses serta amalan yang berlaku dalam akhlak. Ia boleh diumpamakan sebagai sesi ice breaking mengikut pakar kajian kualitatif kaedah temu bual (Othman Lebar, 2009).
Bahagian ini mengemukakan dapatan-dapatan temu bual GPI yang terpilih di sebuah sekolah berkaitan dengan pemahaman akhlak dan isu-isu yang berkaitan dengannya. Dalam petikan ini (P) menunjukkan pengkaji dan (G1) pula menandakan guru Pendidikan Islam pertama yang ditemu bual.
4.5.1 GPI01 Ustazah Normah
Pada permulaan Ustazah Normah diminta untuk menerangkan makna akhlak menurut pemahamannya. Kemudian beliau diminta untuk memberikan contoh akhlak terpuji dan diikuti dengan kepentingan akhlak dalam pendidikan serta kehidupan guru. Ustazah Normah diminta menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan akhlak.
Berdasarkan soalan-soalan yang diatur dan dirancang oleh penyelidik sebagaimana yang dinyatakan di atas, peserta kajian pertama ini cukup optimis dan mampu memberikan respon terbaik sepanjang sei temu bual diadakan.
Kebanyakan respon yang diberikan oleh Ustazah Normah terutamanya dalam perihal akhlak ini berbentuk pentakrifan beserta contoh-contoh yang mudah difahamai. Keyakinan menjawab soalan jelas kelihatan di riak wajah beliau, ketika mana belum lagi selesai soalan diajukan. Beliau memerhati sesi “ice-breaking” yang dikemukakan oleh penyelidikan dengan serius seolah-olah menujukkan beliau bangga ketika ingin ditemubual.
Petikan 1G1 memaparkan respon-respon beliau berkenaan makna istilah akhlak, petikan ini dikutip daripada temu bual pertama pengkaji bersama beliau dan ia sengaja dipaparkan untuk memberi gambaran konsepsi awal beliau terhadap persoalan akhlak:
Petikan 1AG1: Pemahaman Akhlak
P: Pada pandangan ustazah, apa itu akhlak? G1: Akhlak terpuji…(diam seketika)…
P: (Memerhati jika terdapat jawapan tambahan)…..Baik Ustazah, pada hemat ustazah.. Sebagai seorang guru, membentuk akhlak adalah satu perkara penting disamping mengajar… dalam proses membentuk akhlak, apa.. apa yang perlu ada pada seorang guru? Cukupkah dengan akhlak terpuji saja yang ada diri ustaz-ustazah?
G1: Pada saya, maknanya kita kena jadi contoh teladan yang baik dulu untuk pelajar, apa yang kita kata tu kita buat dulu, ataupun apa kita buat sama-sama kita buat dengan pelajar. Bukannya kita suruh budak buat sesuatu, kita tak buat, ataupun kita biar je dia buat. Kadang-kadang kalau kita biar je, lagilah pelajar tak buat. Contohnyalah, begitulah teladan.