• Tidak ada hasil yang ditemukan

Kajian Kualitatif

DAPATAN KAJIAN

4.1 DAPATAN ANALISIS PERANAN GURU DALAM FASAL KE-44: KITAB

4.1.1 Menjadi Teman Yang Prihatin

Kesediaan guru untuk menghayati dunia pendidikan dari segi pembangunan kendiri telah dibincangkan oleh sebahagian tokoh pendidikan Islam dalam sejarah pendidikan Islam. Penyediaan tenaga guru sebagaimana diistilahkan al-Syaibani (t.t) dengan penyediaan guru pengislah perlu diasaskan atas profil peribadi seseorang. Menurut beliau, hal yang demikian dilihat terhasil dari jenis hubungan terkait (silat) antara guru dengan murid (Sebagaimana yang dibincang dalam bab terdahulu (Rujuk Bab 2 Hubungan Guru-Murid dalam Tradisi Pendidikan Islam), suhbah dapat difahami dari dua sudut. Pertama, dari sudut perdampingan murid terhadap guru dan yang keduanya ialah perdampingan melibatkan guru dengan murid. Kedua-dua perbincangan ini perlu diamati secara cermat dari segi amalinya kerana masing-masing mempunyai ciri-ciri

tersendiri dan memerlukan penjelasan jelas tentang peranan masing-masing. Bahagian ini hanya melihat sudut pandang al-Makki terhadap peranan yang perlu dimainkan oleh guru atau dengan kata lain penelitian tugas guru terhadap murid.

Dalam menanggapi peranan guru terhadap murid sebagai isu analisis ini, maka pandangan al-Makki di bawah telah dikenalpasti sebagai salah satu dari peranan tersebut. Al-Makki mengatakan:

“Allah Ta’ala telah mengkhabarkan tentang [keadaan] seseorang yang tidak [mempunyai] teman yang prihatin melalui firmanNya: ”tidaklah kami orang yang memberi syafaat, bukan juga teman yang prihatin (sadiq hamim). (al-Syu‘ara’: 100-101). Makna hamim ialah hamim yang diambil dari perkataan prihatin (ihtimam) ataupun seorang teman yang prihatin terhadap urusannya (al-muhtamm bih). Padanya dia ambil dalil [bahawa] seorang teman (sadiq) ialah orang yang prihatin tentang kamu (al-muhtamm bik). Sesungguhnya keprihatinan (ihtimam) itu adalah hakikat persahabatan (al-sadaqah) sebagaimana kami meriwayatkannya daripada Nabi s.a.w: ”Seorang mukmin itu lebih banyak [mengambil berat] terhadap saudaranya” dan daripada ‘Umar bin al-Khattab: ”Tidak akan diberikan kepada seseorang (perkara yang terlebih baik) selepas Islam melainkan seorang saudara yang baik (akh salih)”. Demikian juga katanya: ”Apabila salah seorang kamu melihat adanya kasih-sayang (wuddan) dari saudaramu, maka peganglah ia, kerana jarang sekali kamu mampu mendapatkan hal yang demikian”.

(al-Makki, hal. 362).

Berdasarkan kenyataan di atas, perkara pertama dapat difahami dalam pemikiran

suhbah al-Makki ini ialah seseorang yang bersahabat harus berperanan untuk

menjadikan dirinya sebagai sahabat atau teman yang prihatin terhadap teman yang lain dalam sesuatu hubungan yang terjalin sesama mereka. Sikap prihatin (ihtimam) menurut al-Makki adalah perkara utama yang perlu wujud dalam diri mereka yang bersahabat.

Dalam menerangkan keperluan wujudnya sifat prihatin ini al-Makki menggunakan kenyataan ini di awal-awal penerangannya; ”Allah Ta’ala telah

mengkhabarkan tentang [keadaan] seseorang yang tidak [mempunyai] teman yang prihatin...”. Apa yang difahami dari kenyataan ini, keburukan akan terserlah dan

seolah-olah wujudnya kecelaan bagi mereka yang tidak mempunyai sahabat yang baik dan prihatin, sehingga Allah Ta’ala memahatkan perihal tersebut sendiri dalam al-Qur’an. Penggunaan ayat ini menunjukkan al-Makki mempunyai pemahaman dan juga pengamatan yang serius lagi mendalam dalam isu ini yang secara langsung membentuk pemikiran yang jitu dan tepat. Perkaitan langsung antara wujudnya sahabat yang baik dengan amaran Allah Ta’ala ini membuatkan perbincangan suhbah dilihat sebagai isu penting dalam perjalanan kerohanian dan pembentukan akhlak mengikut al-Makki. Bahkan, bukan setakat beliau sahaja, ramai dari kalangan ulama’ silam baik dalam bidang akhlak dan pendidikan memerihalkan perkara ini antara mereka ialah Hujjat al-Islam Abu Hamid al-Ghazali, Ibn Jama‘ah, Ibn Furak, Ibn Qayyim, al-Sulami, al-Sarraj dan sebagainya. Ulama’-ulama’ ini telah memasukkan bab suhbah bila mana memperkenalkan aliran pemikiran sufistik mereka dalam karya masing-masing.

Menjelaskan pendiriannya tentang keprihatinan ini lagi, al-Makki telah merujuk surah al-Syu‘ara’ ayat 100 dan 101. Tumpuan atau istinbat beliau dalam soal persahabatan ini dengan menekankan kalimah hamim. Menurutnya hamim ialah hamim yang diambil dari perkataan prihatin (ihtimam) ataupun seorang teman yang prihatin terhadap urusannya (al-muhtamm bih).

Menurut pengamatan al-Makki kehampiran sebutan hamim dan hamim menunjukkan wujudnya kehampiran makna. Perbezaan jenis huruf kadangkala tidak sesekali merubah makna sebagaimana yang berlaku perkataan hamim dan hamim. Setelah diibdalkan ha’ (ح) menjadi ha’ (ه) dalam kalimah hamim ia memberi maksud seorang teman yang prihatin sedangkan sebelumnya perkataan hamim hanya memberi makna kawan biasa sahaja.

Hamim ialah karakter pelaku (sifat al-fa’il) yang berasal dari perkataan hamma-yuhimmu-hamim (Louis Ma’luf, 1986). Menurut Mu‘jam al-Wasit, perkataan hamma

bermaksud menganggap penting dalam sesuatu pekerjaan mendatang. Namun, dalam konteks perbincangan ini, al-Makki menerima untuk memakai maksud prihatin melalui

perkataan hamim yang asalnya dari kata terbitan ihtimam (asalnya:

ihtamma-yahtammu-ihtimam) yang memberi maksud secara tepat untuk menerangkan prihatin kerana

perkataan ihtimam dibina dari kerangka ayat ifti‘al yang secara retorik bahasanya menunjukkan kesungguhan dalam perbuatan mengambil berat. Tidak keterlaluan jika dikatakan di sini, al-Makki begitu cermat menentukan padanan kalimah yang tepat bagi menyokong seterusnya membentuk pemikiran beliau itu. Sikap ini juga menandakan bahawa al-Makki telah mempraktik dan memahami sendiri apa yang dimaksudkan prihatin sehingga terkesan pada penulisan beliau ini.

Menjelaskan lagi pendiriannya tentang prihatin (ihtimam), al-Makki menyatakan bahawa sikap keprihatinan dan persahabatan itu adalah suatu perkara yang tidak boleh diceraikan kerana ia adalah tujuan (haqiqat) dalam satu-satu persahabatan yang terjalin sebagaimana tercatat dalam pernyataan ini;

Sesungguhnya keprihatinan (ihtimam) itu adalah hakikat persahabatan (al-sadaqah) sebagaimana kami meriwayatkannya daripada Nabi s.a.w: “Seorang mukmin itu lebih banyak [mengambil berat] terhadap saudaranya” dan daripada ‘Umar bin al-Khattab: “Tidak akan diberikan kepada seseorang (perkara yang terlebih baik) selepas Islam melainkan seorang saudara yang baik (akh salih)”. (al-Makki, hal. 362).

Persahabatan yang terjalin menurut al-Makki mesti melahirkan sikap mengambil berat di antara satu sama lain. Sebelum sesuatu hubungan yang terjalin, al-Makki seakan-akan meletakkan syarat bagi orang yang ingin berkawan supaya mencari sahabat yang prihatin sebagaimana disebut dalam kenyataannya dengan ungkapan sadiq hamim atau akh salih.

Dari pengamatan ini, secara langsung kita dapat memahami bahawa al-Makki berpendirian yang mana seseorang yang bersahabat tidak akan mengecapi nikmat atau saling memahami hakikat persahabatan tanpa wujudnya perasaan prihatin antara satu sama lain. Demikianlah jika diandaikan sekiranya pertalian yang terjalin tidak disematkan dengan sikap prihatin maka secara langsung ia tidak layak dinamakan

persahabatan mengikut pemikiran suhbah al-Makki ini. Hal ini terjadi kerana bila dikaitkan perkataan prihatin dengan persahabatan sebagai hakikat, samalah ertinya jika dikatakan prihatin itu sifat bagi persahabatan yang diandaikan sebagai zatnya. Mustahil untuk diterima akal jika tercerainya sifat dari zat, ataupun tercerai zat dari sifat yang mana kedua-duanya itu lazim-melazimi antara satu sama lain dalam membentuk persepsi. Dalam hal ini juga boleh dikatakan bahawa prihatin dan persahabatan amat terlazim di antara satu sama lain. Rentetan perbincangan ini, andaian lain juga diperolehi iaitu kedudukan sikap prihatin menurut al-Makki adalah pra-syarat kepada wujudnya persahabatan bahkan ia juga objektif persahabatan itu sendiri.

Kenyataan-kenyataan yang boleh dikaitkan dengan seorang yang prihatin (muhtamm bi amrihi), teman yang baik (akh salih), rakan yang prihatian (waliyy hamim) didapati dalam potongan-potongan kenyataan lain dalam kitab Qut al-Qulub ialah seperti kisah wasiat Nabi Musa a.s kepada ‘Imran:

“Wahai ‘Imran, sedarlah kamu, berpalinglah dari dirimu [carilah]

teman (ikhwan)”. (al-Makki, hal. 365).

Demikian pula dikutip wasiat Nabi Dawud a.s yang telah mewahyukan pada Baginda a.s:

“Wahai Dawud, aku melihat engkau berseorangan. Kata Dawud:

Manusia makin berundur kerana [agama]mu. Firman Allah: Wahai Dawud, sedarlah kamu, berpalinglah dari dirimu [carilah] teman (ikhwan, setiap perkara yang tidak sehaluan dengan jalanku (masrati) maka jangan engkau turuti, kerana ia adalah seterumu yang akan mengeraskan hatimu dan menjauhkan kamu dariku)”.

(al-Makki, hal. 365).

Dalam meneguhkan pendirian itu, al-Makki juga memetik sabda Rasulullah s.a.w yang berbunyi: “Jadilah sekalian kamu orang yang berjiwa pengasih

(al-mutahabbin), jangan jadi pemecah belah (wa la takhtalifu)”. Petikan-petikan hadis di

atas menunjukkan keperluan untuk mendapat seorang sahabat yang baik dan prihatin. Penafsiran terhadap keprihatinan (ihtimam) yang dimaksudkan oleh al-Makki di sini perlu difahami sebagaimana ketersusunan ayatnya yang memfokuskan aspek

akhlak. Seorang rakan yang prihatin (muhtamm bi amrihi) dijelaskan oleh al-Makki dalam perbincangan ini ialah seorang teman yang baik (akh salih).

Merujuk para-8 muka surat ke-362 naskhah Halabi-Mesir, al-Makki secara langsung mengaitkan pula keprihatinan ini dengan akhlak terpuji. Ini memberi maksud sampingan yang lain iaitu seorang rakan yang prihatin itu adalah seorang rakan yang berakhlak dengan akhlak mulia. Beliau memetik akhbar Nabi Dawud a.s: “Tunjuklah

akhlak kamu setimpal dengan akhlak sesama kamu, kamu berakhlak dunia dengan ahli dunia dan berakhlak akhirat dengan ahli akhirat” yang seterusnya dikaitkan sekali lagi

dengan rakan yang baik (waliyy hamim) melalui ayat yang bermaksud: Apabila di

antara kamu dan dia berseteru, maka dialah rakan yang prihatin (waliyy hamim)”.

(Rujuk para ke-8, hal. 366).

Hadis-hadis yang dikumpul oleh al-Makki itu menguatkan hujah dan seterusnya menafsirkan apa yang dikemukakan oleh beliau menerusi perkataan ihtimam dalam kenyataan di atas. Dari itu, keprihatinan atau ihtimam yang dimaksudkan oleh al-Makki ialah keperihatian akhlak yang mempunyai ciri semangat setia kawan (ukhuwwah), kesantunan (ulfah), dan kepatuhan pada perintah agama. Keterangkuman ciri-ciri prihatin ini diperhatikan bila mana al-Makki mengupaskan konsep sahabat yang baik sebagaimana dibincangkan dalam perenggan-perenggan terdahulu.

Menerusi kenyataan hadis yang terkumpul dapatlah kita fahami bahawa al-Makki ingin menjelaskan tentang keperluan wujudnya sikap prihatin seorang rakan kepada seorang rakannya yang lain. Hal ini seharusnya berlaku untuk mencapai kebaikan kepada kedua-dua pihak. Ia mungkin tak akan dapat dikecapi oleh orang lain melainkan mereka yang berada dalam persahabatan tersebut. Sebagaimana dijelaskan al-Makki dalam pernyataan di atas ini merupakan hakikat atau tujuan persahabatan yang seharusnya berlaku. Dalam mengukuhkan kenyataan ini al-Makki memetik syair yang bermaksud: “Nafsu tak akan mampu mengecap hidangan yang terlebih enak daripada

kasih yang terjalin dari seorang teman yang amanah, sesiapa yang kehilangan seorang rakan yang baik maka seolah-olah dia telah terlerai dari ikatan yang kukuh”.

Syair tersebut menggambarkan pendirian al-Makki terhadap apa yang semestinya berlaku dalam satu-satu perhubungan. Perkara yang perlu berlaku ialah, di antara individu-invidu yang bersahabat harus wujud rakan yang mempunyai akhlak yang baik, berpekerti mulia dan mempunyai akhlak terpuji. Menurut al-Makki, rakan yang baik mampu memberi kesan yang mendalam dalam kehidupan sekaligus mengawal hasutan nafsu. Nafsu sebagaimana yang dijbincangkan Fakhr al-Din al-Razi (w.606H/1209M) dalam bukunya al-Ruh wa al-Nafs mempunyai kepelbagaian makna dan juga berbagai-bagai persepsi. Nafs disebutkan secara nyata dalam al-Qur’an melalui surah al-Syams ayat 7 dan 8 sebagaimana berikut:

















Maksudnya; “Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan

kejadiannya (dengan kelengkapan Yang sesuai Dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan Yang membawanya kepada kejahatan, dan Yang membawanya kepada bertaqwa”.

Nafs menurut al-Razi adalah gambaran hubungan langsung yang wujud dengan

perkara yang buruk (fujur). Fujur menurut al-Razi pula adalah sikap buruk semata-mata untuk memuaskan nafsu dengan melakukan perkara yang salah menurut agama. Islam melihatnya satu perkara yang buruk sedangkan norma manusia tidak mustahil mengiakan apa yang berlaku tersebut bersetentang dengan agama (al-Razi, 2006). Menurut al-Makki, berbanding keselesaan hidangan nafs ini, persahabatan yang berlaku di antara ahli suhbah yang bertujuan untuk mendapatkan kebaikan adalah jauh lebih baik dan bermanfaat. Inilah yang digagaskan oleh al-Makki dalam penerangannya berkenaan suhbah.

Dalam pada itu, bagi menerangkan kebaikan suhbah, al-Makki mengutip perkataan Nabi Musa a.s dalam menerangkan keadaan perhubungan yang berlaku

diantara seorang yang baik lagi prihatin itu adalah satu perkara yang boleh dikatakan sebagai sesuatu perkaitan dengan keyakinan sebenar (haqq al-yaqin). Pernyataan Nabi Musa a.s itu adalah sebuah pesanan kepada saudaranya ’Imran: ”Duhai Imran,

sedarlah. Berpalinglah dari dirimu dan carilah teman untukmu. Setiap perjalanan semestinya perlu berteman kerana ia tidak terlepas daripada diganggu musuh”.

Menjelaskan makna prihatian dengan lebih mendalam, al-Makki mengatakan:

“Dengan kata lain [keprihatinan] ini jelas [terpampang] dalam pengawasan perilaku dan ia [mampu] menjaga [sahabatnya] supaya tidak terjerumus kepada perkara yang keji (syarr)”.

(al-Makki, hal. 367).

demikian juga dalam tafsiran al-Makki terhadap surah al-Baqarah: 251, iaitu:

“Motivasi (daf‘) dari Allah itu [boleh jadi] menanamkan sikap suka terhadap sesuatu yang baik (al-raghbah), menahan daripada perlakuan buruk (al-rahbah), mempunyai sifat malu (al-haya’) dan menghalang orang lain daripada berbuat keburukan (madarrat)”. (al-Makki, hal. 367).

Didapati dalam teks pasal yang ke-44 ini, al-Makki pernah menggunakan beberapa istilah lain dalam menerangkan cara untuk bagaimana memastikan seseorang yang berdampingan mampu bersikap prihatin terhadap sahabatnya. Beliau menggunakan istilah mukhalasah untuk perihal prihatin kepada orang yang lebih baik dan mukhalafah untuk menunjukkan keprihatinan kepada orang awam yang mungkin tahap keimanan tidak begitu bermutu.

Menurutnya mukhalasah ialah sikap yang menunjukkan keprihatinan hakiki. Ia lahir dari perasaan ikhlas bagi mereka yang lebih mulia dari seseorang berbanding seorang yang lain. Ia juga mampu membuahkan kasih sayang secara kejiwaan

(al-mukhalasat bi al-qulub min al-mawaddah) dengan tujuan mengukuhkan persaudaraan

Manakala penggunaan mukhalafah pula menunjukkan keprihatinan atas perkara yang melibat manusia yang lebih rendah martabatnya namun yang demikian tidaklah ia memberi makna prihatin bertujuan untuk celaan. Untuk menerangkan keadaan ini al-Makki berpesan:

“Jika kamu ingin menyamatarafkan (wasaita) diri kamu dengan manusia ramai, [dahulukanlah] dengan [perasaan] belas kasihan terhadap mereka dan serahkan jiwa ragamu pada mereka (sebagai tanda prihatin antara satu sama lain)”.

(al-Makki, hal.363)

Dengan adanya rasa kasih, menurut al-Makki baharulah pendekatan mukhalasah dan mukhalafah dapat difahami seterusnya dipraktikkan dalam seni pergaulan (mu‘asyarah). al-Makki menjadikan pandangan Muhammad al-Hanafiyyah r.a:

“Tidaklah dianggap seseorang sebagai orang yang bijak (hakim) jika ia tidak mampu bergaul dengan cara baik (mu‘asyarah) bersama orang ramai” sebagai sandaran dalam

membincangkan aplikasi terhadap pendekatan mukhalasah dan mukhalafah dalam sesebuah ikatan persaudaraan.

Antara lain al-Makki mengutip hadis Nabi s.a.w dalam perenggan terakhir bab ke-44 ini untuk menegaskan pendiriannya tentang peri penting sikap prihatin dalam perhubungan yang terjalin antara seorang alim dan murid.

Sabda Nabi s.a.w:

“Tidaklah seseorang yang bersahabat dengan seorang lelaki walaupun hanya sejam terlepas dari dipersoalkan dan ditanya akan perihal sahabatnya itu. Pertanyaan ialah adakah ia menunaikan tuntutan Allah dalam persahabatan atau sebaliknya,” (al-Makki,

hal. 397).

Al-Makki darihal ini menegaskan;

“Ketahuilah persahabatan dalam jalan Allah, dan berkasih-sayang padanya adalah merupakan [akhlak] para salaf. Anda telah

mempelajari semuanya, [pesanku] barangsiapa yang

menghayatinya sesungguhnya dia telah menghidupkan sebuah persahabatan mulia, dan dikurniakan pahala padanya. Sesiapa yang betul-betul beramal pasti Allah akan kurnikannya seorang saudara yang budiman (akhan salihan), jika ia memperolehinya

maka tenanglah jiwanya dan ia adalah sebuah nikmat dari Allah s.w.t dan ia sebaik-baik nikmat (mahasin al-ni‘mah)”. (al-Makki,

hal. 397).

Berdasarkan perbincangan di atas, secara langsung kita dapat memahami bahawa al-Makki menggagaskan sifat prihatin (ihtimam) yang mana ia merupakan peranan atau tugas yang perlu bahkan wajib dimiliki oleh seorang guru. Peranan ini kemudian dikaitkan oleh al-Makki dengan akhlak mulia sekaligus menjadikan seorang guru yang prihatin itu sebagai guru yang berakhlak mulia dan berhak dijadikan ikutan.