Rajah 2.2; Model Konseptual Pendidikan Guru (Sumber: Bahagian Pendidikan Guru, 1996)
2.4.2 Metodologi Penulisan Kitab Qut al-Qulub Fi Mu‘amalat al-Mahbub wa Wasf
Tariq al-Murid ila Maqam al-Tawhid
Kitab Qut al-Qulub Fi Mu‘amalat al-Mahbub adalah antara kitab yang terkemuka yang dikarang oleh tokoh tasawuf-Sunni sekitar kurun ke-4 Hijrah. Antara ciri yang menjadikan kitab ini tergolong dalam kitab tasawuf terkemuka adalah disebabkan kandungan dan penyampaiannya yang ringkas serta terfokus. Disamping itu, kitab ini merupakan rujukan utama pada zamannya yang mengumpul sebanyak mungkin hujah-hujah ilmiah seperti nas al-Qur’an, al-Hadith, pandangan Sahabat, tabi‘in, tabi‘ al-
tabi‘in r.a dan salaf al-salih khususnya tokoh-tokoh tasawuf-Sunni (M.Shakir, 1997). Ia
pula berkebetulan dengan penegasan al-Makki di beberapa tempat dalam kitab ini bahawa beliau memang inginkan pendekatan ini digunakan dalam kitab karangannya itu. Berkenaan dengan hal ini beliau menyatakan sendiri dalam kitab Qut al-Qulub sebagaimana berikut:
“[Memang] Terdapat banyak pandangan (al-akhbar) dalam menjelaskan hal-hal berkaitan yang boleh mendorong kepada memahami dan beramal dengannya. Kita tidaklah berhajat untuk mengumpul kesemua [pandangan] mengenai satu-satu isu namun berpadalah untuk kami ringkaskan (ijaz) dalam setiap perbahasan (fann). Akan tetapi kami memilih pandangan terbaik yang berkaitan dengannya yang mana tidak boleh diabaikan”.
(al-Makki, hal. 361).
“Kami juga [kadang-kadang] mengabaikan perbincangan yang mungkin berpanjangan namun daritu kami [terpaksa] menerangakan riwayat-riwayat [secara] ringkas (ijazan)”. (al-Makki, hal.27)
Dalam membincangkan sesuatu isu, al-Makki terlebih dahulu mengemukakan petikan-petikan dari ayat al-Qur’an (dinyatakan bilangan dan surah) kemudiannya hadith Rasulullah s.a.w (beliau tidak menyatakan tempat rujuk-takhrij-di setiap hujung hadith yang dijadikan hujah) sebagai pembuka bicara di bawah tajuk-tajuk yang dibincangkan. Seterusnya beliau akan mengutip mana-mana pandangan yang selalu didahului oleh perkataan-perkataan sahabat, kemudian al-tabi‘in, tabi‘ al-tabi‘in dan
tokoh-tokoh sufi terkemuka untuk dijadikan rujukan sebelum diulas sendiri secara ringkas sebagai komentar atas apa yang dibincangkan. Antara tokoh-tokoh sufi yang sering diambil pandangan mereka oleh Makki adalah nama-nama seperti Bisyr bin al-Harith al-Hafi (w.767M), Sufyan al-Thawri (w.778M), Ibrahim bin Adham (w.165H/782M), Dawud al-Ta’i (w.), al-Fudayl bin ‘Iyad (w.187H/803M), dan Sulaiman al-Khawas (w.768).
Mungkin ada yang beranggapan, karya ini adalah sebuah karya yang bersifat rujukan (references) kerana menghimpunkan sejumlah ayat-ayat al-Qur’an, hadis-hadis Nabi s.a.w, perkataan-perkataan Sahabat, tabi’in dan para tokoh sufi. Namun secara seninya terdapat dicelah-celah pembentangan tersebut terdapatnya pandangan ringkas al-Makki mengenai isu yang dibincangkan. Ini juga bermaksud, al-Makki ingin menyatakan mazhab tasawufnya adalah mazhab yang terhampir dengan roh syariah.
Menurut Basil ‘Uyun al-Sud (1997) ketika memberi komentar terhadap kitab
Qut al-Qulub ini, beliau menyatakan usaha al-Makki dalam kitab ini tidak lain tidak
bukan sekadar menyatakan, tasawuf adalah intipati dan rumusan daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Dan tasawuf Islam itu berdiri teguh dengan dalil yang kukuh serta tidak bergantung pada falsafah asing. Antara kebarangkalian lain, dengan wujudnya sokongan berautoriti ini, kitab Qut al-Qulub dianggap lebih tertonjol berbanding karya-karya yang sekategori dengannya pada zaman beliau.
W. Mohd Azam W. Amin (1991), menyatakan keprihatinan al-Makki dalam sesuatu isu-isu terpencil (nawadir)24 amat terserlah. Isu-isu tersebut diolah dengan bahasa ringkas namun padat dengan rujukan-rujukan yang meletakkan karya ini di tangga-tangga atas karya tasawuf terbaik dunia Islam sepanjang abad. Pada beberapa
24 Contohnya topik seumpama al-Suhbah wa al-Mu’asyarah, Muqarabat wa Muraqabat al-Muqarrabin,
Ahl al-Maqamat, al-Tabsirah wa al-Tidhkar dan Hal al-‘Ari masih lagi belum mendapat tempat
perbicaraannya dalam karya-karya sufi awal sezaman dengannnya seperti Muqaddimah oleh Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami. Lazimnya karya sufi seawal kurun ke-3 atau ke-4 Hijrah kebanyakannya membicarakan kelebihan hidip zuhud dan warak disamping mengupas secata lateral apa yang difahami dari hadis-hadis yang menjadi sandarannya. Rujuk al-Makki (1991) Qut al-Qulub. hal 475-479.
ketika yang lain beliau juga menumpukan perhatian kepada persoalan lazim namun corak olahannya beliau tetap bermakna walaupun sudah ramai karya sezamannya membicara zuhud dan warak.
Penyelidik pula merasakan, pendekatan seumpama ini selalunya wujud dalam penulisan tasawuf Islam. Kadangkala sesuatu konsep terpencil sengaja ditonjol dan diberikan penerangan dengan lebih mendalam berbanding isu-isu besar. Kadang kala isu yang sudah umum dimaklumi, juga diberikan lagi penjelasan yang panjang untuk menambahkan kefahaman yang jitu hasil penjelasan itu. Dari hal itu sebilangan tokoh sufi lain mengambil kesempatan yang ada pada kitab Qut al-Qulub ini untuk disyarahkan lagi dengan memanjangkan perbahasannya seumpama yang diusahakan oleh Hujjat Islam Imam Ghazali (1998) dalam Ihya’ ‘Ulum Din. Imam al-Ghazali (1989) menyatakan dalam mukadimah al-Munqidh min al-Dalal sebagaimana menerangkan penulisan Ihya’ ‘Ulum al-Din sebagaimana berikut:
“Saya memulakan [penulisan] ini setelah mendapat maklumat-maklumat dari mereka- ilmu kaum sufi (al-sufiyyah)- dari karya mereka. Seumpama Qut al-Qulub oleh Abu Talib al-Makki” (al-Ghazali, Ihya’, hal. 3).
Antara lain Muhammad bin al-Isnawi al-Syafi’i (764H/1363M) mensyarahkan karya ini dengan kitabnya Hayat al-Qulub fi Kayfiyyat al-Wusul ila al-Mahbub dan Sayyid Muhammad Gesudaraz (1398M) dengan Syarh Qut al-Qulub (M.Shakir, 1997). Terdapat juga beberapa karya ringkasan yang menonjolkan ciri utama tanpa mengabaikan persoalan terpencil sebagaimana dibahaskan sebelum ini, karya itu seumpama ringkasan Qut al-Qulub oleh Muhammad bin Khalaf al-Andalusi (w.485H/1009M) berjudul Wusul ila Ghard al-Matlub min Jawahir Qut al-Qulub. Manakala seorang sufi yang cuba menonjolkan persoalan-persoalan penting dalam pemikiran tasawuf al-Makki ialah Ibn ‘Abbad al-Randi (w.792H/1300M) yang menghasilkan kitab Bayan al-Safi.
Sikap amanah terhadap ilmu begitu sekali tertonjol melalui kitab ini, walaupun al-Makki (1997) mengatakan beliau menyedari kekurangan serta keterbatasan ilmu dan dirinya dalam penulisan kitab ini. Hal ini dikesan sekiranya pendalilan beliau dalam sesuatu isu dikhuatiri tidak mencapai tahap sumber berautoriti, beliau langsung menyatakan kelemahannya yang ada pada dirinya sendiri seumpama menggunakan pernyataan; “hadha min qillat wa da‘fi ‘ilmi” yang bermaksud “ini adalah dari kekurangan dan kelemahan ilmuku”. Dengan sebab itulah, al-Makki sedaya mungkin berusaha menggunakan sumber-sumber primer sebagai hujah tanpa mengambil kira sumber sekunder sepanjang perbincangan dalam karya ini.