• Tidak ada hasil yang ditemukan

Pedoman Transliterasi

2.7 Faktor Luaran

2.7.1.1 Strategi Pembelajaran Kognitif

Kognitif merujuk kepada aktiviti mental yang berkaitan dengan pemikiran, pemahaman atau ingatan. Strategi pembelajaran kognitif merupakan faktor penting dalam pencapaian akademik (Pintrich & De Groot, 1990). Aliran kognitif menjelaskan bahawa kognitif melibatkan proses mental dan emosi seseorang. Perbincangan mengenai kognitif memberikan inspirasi kepada tokoh pemikir kognitif untuk mengetengahkan teori matlamat pembelajaran (learning goal) dan teori pencapaian prestasi (performance goal). Bagi mencapai matlamat-matlamat tersebut, satu kesimpulan yang dapat dibuat ialah keperluan menspesifikasikan seluruh usaha ke atas diri pelajar tahfiz itu sendiri sebagaimana yang diterangkan oleh Murihah, et al. (2015) sebagai aplikasi „student centred‘ adalah berasas.

Al-121

Masyāʿīlah (2010) juga telah memperkatakan perkara ini sebagai pendirian kognitif pelajar yang mempunyai dua kecenderungan, iaitu positif dan negatif.

Dapatan kajian Javed dan Amina (2014) membuktikan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan di antara kumpulan pelajar perubatan yang mempunyai pengalaman menghafaz al-Qur‟an dengan pelajar perubatan yang tidak mempunyai pengalaman menghafaz al-Qur‟an dalam aspek pembelajaran fisiologi. Kajian mereka menjelaskan bahawa pengalaman menghafaz al-Qur‟an pada masa lalu mempunyai manfaat terhadap kognitif mereka, contohnya dalam bidang fisiologi yang memerlukan proses mengingati fakta dan pembinaan konsep (Javed & Amina, 2014). Walau bagaimanapun, kajian Javed dan Amina (2014) memfokuskan kepada kelebihan kognitif yang dialami oleh pelajar tahfiz dan tidak bersangkut-paut dengan pencapaian subjek Ḥifẓ al-Qur‘an. Begitu juga dalam kajian yang telah dilakukan oleh Fathima (2013). Menurut beliau, pengalaman menghafaz al-Qur‟an akan dapat memudahkan tugasan pelajar menerima bahasa Arab sebagai pembelajaran bahasa kedua. Situasi ini menunjukkan wujudnya penggunaan kognitif yang lebih baik dengan aplikasi menghafaz al-Qur‟an. Pembelajaran kognitif dibahagikan kepada beberapa elemen dalam aspek pembelajaran, iaitu latihan (rehearsal), penghuraian, penyusunan dan pemikiran kritis (Pintrich, et al., 1991).

Strategi kognitif yang melibatkan elemen latihan dapat dicapai oleh para pelajar dengan teknik tertentu. Misalnya teknik latih tubi yang menekankan konsep pengulangan adalah merupakan salah satu bentuk strategi kognitif paling asas, iaitu latihan (rehearsal) (Pintrich, et al., 1991). Selain itu, mengulang semula secara alami setiap apa yang telah dipelajari dari guru setelah mendengar dan melihat pengajaran

122

guru juga merupakan komponen latihan (rehearsal) (Weinstein, Claire, Mayer & Richard, 1983). Dalam penghafazan al-Qur‟an, kajian Tengku Radziatan (2013) menekankan bahawa kaedah murājaʿaṯ (mengulang-ngulang kembali apa yang dihafal) sebagai suatu bentuk latihan (rehearsal) dapat meningkatkan gred pelajar. Di samping itu, hafazan akan menjadi kukuh dan terlekat di mata hati (Azmil & Abd Halim, 2012). Oleh yang demikian, sebelum memasuki bidang ini secara serius, antara kriteria yang harus dipenuhi sebelum menghafaz lebih lanjut ialah mempunyai kemahiran membaca dan menghafaz (Norlizah, Fathiyah, Ahmad Fauzi, Lukman & Wan Marzuki, 2015). Situasi ini telah dinyatakan oleh Aoman (2008) yang mengaitkan proses menghafaz al-Qur‟an dengan kemahiran ataupun bakat yang diasah.

Kemahiran menghafaz juga mempunyai kaitan dengan latihan menghafaz. Dalam kajian Sedek, Mustaffa dan Khader (2015) menjelaskan bahawa 1/3 daripada proses menghafaz merupakan keperluan untuk menghafaz ayat-ayat baru, manakala selebihnya adalah keperluan untuk mengulang semula ayat-ayat yang telah dihafaz. Kajian ini menjelaskan bahawa seseorang penghafaz yang mempunyai ingatan kuat dan sentiasa membuat latihan menghafaz selama 30 minit setiap hari akan dapat menyelesaikan hafazan 30 juz setelah mencapai lima tahun. Manakala bagi ingatan yang lemah dengan kadar 23 tahun 10 bulan dan lima hari. Hubungan dapatan kajian Sedek, et al. (2015) dengan kajian ini menjelaskan bahawa latihan yang tetap dan berterusan menunjukkan satu aspek yang sangat penting dalam merealisasikan matlamat menyelesaikan keseluruhan hafazan 30 juz.

123

Terdapat pelbagai metod dalam usaha menghafaz al-Qur‟an yang antara lainnya ialah mengingat kata kunci. Kajian Abdul Hafiz dan Hasimah (2004) menjelaskan antara teknik mengingat kata kunci tersebut ialah teknik mengulang, teknik memisahkan (chunking), memahami maksud, gambaran imej, teknik mendengar, berpasangan dengan kawan, rakaman suara, menulis semula, menghafaz sebelum tidur, peta minda, teknik imbasan dan gundalan. Di samping itu, kemampuan menyenaraikan perkara penting dalam menghafaz al-Qur‟an juga merupakan satu strategi kognitif: latihan. Antara perkara penting tersebut misalnya dapat membahagikan masa menghafaz dan mengulang al-Qur‟an dengan teratur. Menurut Mohd Nazri (2010) pembahagian masa mengulang al-Qur‟an harus melebihi waktu menghafaz ayat-ayat baru. Hal ini turut dinyatakan dalam kajian-kajian lepas yang lain seperti Abdul Hafiz dan Hasimah (2004), Muhammad Saleem (2012), Fifi Lutfiah (2013), Sedek, Zulkifli, Fauzi, Ishak, Khader, Munirah, Faizal dan Norhidayah (2014).

Selain itu, strategi latihan juga dapat diterangkan sebagai wujudnya elemen penghuraian dalam diri seseorang pelajar. Strategi penghuraian (elaboration) memerlukan teknik pemahaman secara teliti. Pintrich, et al. (1991) mengulas strategi penghuraian dengan kemampuan pelajar menghubungkan pengetahuan-pengetahuan yang dipelajari kepada bidang-bidang lain. Antara contoh konsep penghuraian dalam penghafazan al-Qur‟an ialah memahami secara mendalam dari ayat-ayat yang dihafaz. Selain itu, sikap tidak bergantung kepada pembelajaran yang diberikan guru juga merupakan salah satu aspek penghuraian. Menurut Nūr Nājihaṯ (2008), pembinaan intelek dapat disuburkan melalui penggunaan sumber kedua yang digunakan oleh pelajar dalam memahami sesuatu pembelajaran. Salman (2015) menjelaskan situasi ini dikenali sebagai proses tafḥīm (kefahaman). Dalam kajian

124

Abdul Salām (2008) mendapati bahawa kefahaman yang jitu dapat menyemaikan nilai-nilai murni dan kesedaran Islamiah di kalangan para penghafaz al-Qur‟an di Palestin. Walau bagaimanapun kenyataan tersebut mewakili pengkajiannya ke atas para penghafaz al-Qur‟an yang berada di negara tersebut. Mereka menggunakan bahasa Arab sebagai komunikasi bahasa penghantar sehari-hari (ʿAbdul Salām, 2008).

Bagi penghafaz al-Qur‟an yang tidak menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa utama mereka, dalam kajian Fathima (2013) telah membahagikannya kepada empat jenis penutur. Kategori pertama ialah penutur yang berasal daripada keluarga yang tidak berkomunikasi dengan bahasa Arab dan tidak mengikuti kelas bahasa Arab. Kategori kedua ialah penutur yang berasal daripada keluarga yang tidak berkomunikasi dengan bahasa Arab, tetapi mengambil kelas-kelas bahasa Arab sebagai pengetahuan mereka. Kategori yang ketiga pula ialah mereka yang tidak menghafaz al-Qur‟an tetapi mengikuti kelas-kelas bahasa Arab dan yang keempat terdiri daripada mereka yang tidak menghafaz dan tidak mengikuti kelas bahasa Arab di sepanjang hidup mereka. Kajian Fathima (2013) menjelaskan bahawa kesemua kategori tersebut merupakan penghafaz al-Qur‟an dalam kalangan ʿAjam (selain bangsa Arab). Selari dengan kenyataan berkenaan para penghafaz al-Qur‟an dalam kalangan ʿAjam, menurut Mohd Zulkifli, Harun dan Siti Fatimah (2015) bahawa hakikatnya, dorongan menguasai makna-makna bahasa Arab boleh dikuasai dengan baik sekiranya para penghafaz al-Qur‟an ingin mendalami makna al-Qur‟an. Malah, Mohd Zulkifli, et al. (2015) menyatakan penghafazan al-Qur‟an merupakan medium terbaik untuk memahirkan diri dalam bidang bahasa Arab. Situasi ini selari dengan Pintrich, et al. (1991) yang menjelaskan penghuraian sebagai kemampuan pelajar menghubungkan subjek dipelajari dengan bidang-bidang lain.

125

Selain itu, terdapat juga kenyataan yang menjelaskan kelemahan para pelajar tahfiz dalam menterjemah ayat-ayat al-Qur‟an yang ingin dihafaz. Walau bagaimanapun, kajian ini dilakukan ke atas para pelajar tahfiz yang baru sahaja menamatkan Sijil Peperiksaan Menengah (SPM) dan diterima masuk ke Darul Quran (Mohamad Marzuqi, Muhammad Akramin, Muhammad Toriq & Sukhairu, 2015). Malah dalam kajian beliau membuktikan bahawa tidak terdapat hubungan yang signifikan di antara pengetahuan bahasa Arab peringkat menengah dalam ujian bahasa arab SPM dengan ujian pemahaman ayat-ayat al-Qur‟an di Darul Quran (Mohamad Marzuki, et al., 2015). Kajian beliau mencadangkan penyediaan subjek khusus berkenaan kemahiran menterjemah ayat-ayat al-Qur‟an dapat diwujudkan. Hal ini kerana, pemahaman terhadap ayat-ayat al-Qur‟an yang dihafaz akan dapat meningkatkan keupayaan menghafaz al-Qur‟an. Sebagai contoh, menurut Farhana dan Munirah (2015), modul bahasa arab per kata wajar diterapkan kepada para pelajar sejak dari peringkat rendah lagi serta pemahaman ayat-ayat al-Qur‟an peringkat menengah harus diperhalusi tanpa membataskan aliran atau bidang pelajar. Dengan itu, para pelajar dapat menghafaz al-Qur‟an dengan lebih mudah pada peringkat yang seterusnya. Situasi ini difahami sebagai kewujudan proses mengaitkan maklumat masa lalu dengan aspek pembelajaran akan datang (elaboration).

Selain itu, bagi para penghafaz Qur‟an yang sedang mengikuti pengajian, al-Masyāʿīlah (2010) menyarankan pembacaan tafsir-tafsir muktabar secara rinci dapat dilakukan sewajarnya. Aktiviti tersebut merupakan sesuatu yang sangat bernilai kerana melibatkan konsep tadabbur dalam menghafaz. Dalam kajian yang dibuat oleh Moh. Khoeron (2012), pola pembelajaran ḥuffaẓ di Pulau Jawa diselang-selikan dengan usaha menelaah kitab kuning. Penggabungan maklumat dari sumber

126

berlainan ketika menghafaz al-Qur‟an ini juga difahami sebagai proses penghuraian (elaboration).

Dalam komponen yang lain, penggunaan strategi penyusunan dalam hafazan al-Qur‟an dapat menjadikan pelajar tahfiz lebih bersistematik. Penggunaan strategi penyusunan (organization) akan dapat merangsang pelajar mengesan maklumat dengan berkesan, misalnya penggunaaan strategi peta minta (mindmapping) (Pintrich, et al., 1991). Aplikasi ini akan dapat membantu meningkatkan pencapaian hafazan al-Qur‟an (Abdul Hafiz & Hasimah, 2003). Hal ini diakui oleh al-Mosallam (2013) yang menjelaskan penggunaan peta minda secara topikal, misalnya mengikut penceritaan secara tematik atau subjek akan dapat membantu proses menghafaz menjadi lebih mudah. Aplikasi pemetaan minda terbahagi kepada empat ciri, iaitu idea utama berada di tengah, bentuk cabang, kata kunci di setiap cabang dan kesemua kata kunci mempunyai perkaitan di antara satu sama lain (Mohd Ali, Ismail, Eidee & Mohd Noor, 2010).

Sebagai satu kreativiti yang lebih menarik, bentuk pembelajaran secara pemetaan minda juga boleh diaplikasi melalui penggunaan media seperti yang dinyatakan oleh M. Sofwan, Udin dan Saepul (2014) berkenaan power point dan video. Aplikasi pemetaan minda juga boleh ditunjukkan dalam bentuk poster-poster. Antara isu-isu yang sesuai dalam mengaplikasikan teknik ini ialah fakta-fakta penting dalam al-Qur‟an yang merangkumi pelbagai bidang, iaitu akhlak, akidah, fiqh, tarikh dan kebudayaan Islam (M. Sofwan, et al., 2014). Selain itu, pembentukan carta yang mewakili juz-juz yang dihafaz dapat mengorganisasikan pelajar dalam menentukan penetapan matlamat setiap hari (Mohd Nazri, 2010). Situasi ini sering dipraktikkan

127

oleh kebanyakan institusi tahfiz yang mengamalkan sistem buku rekod pelajar yang mempunyai catatan kemajuan secara harian, bulanan dan tahunan.

Dalam memperkatakan tentang penentuan matlamat, ia juga boleh dikaitkan dengan pola pembelajaran tahfiz. Seperti kajian yang ditunjukkan oleh Moh. Khoeron (2012), beliau membahagikan pola pembelajaran ḥuffaẓ kepada tiga bahagian, iaitu sesi pembelajaran kitab kuning dan kemudian diteruskan dengan sesi menghafaz al-Qur‟an. Pola yang ke-dua pula dimulai dengan penghafazan al-Qur‟an dan disudahi dengan pembelajaran kitab kuning. Manakala pola yang ketiga ialah dimulai dengan sesi pembelajaran kitab kuning, sesi menghafaz al-Qur‟an dan berakhir dengan pembelajaran kitab kuning kembali. Penetapan pola pembelajaran yang disusun secara sistematik ini menunjukkan adanya elemen penyusunan dalam proses menghafaz al-Qur‟an.

Menurut Mohd Nazri (2010) dan kajian yang dilakukan oleh Sedek (2012), kebanyakan teknik menghafaz menekankan kekerapan membaca ayat tersebut secara berulang kali. Teknik-teknik ini juga penting dikuasai oleh para pelajar tahfiz kerana matlamat mereka ialah mengingati keseluruhan ayat yang dihafaz. Situasi ini menunjukkan strategi penyusunan pelajar tahfiz dalam memastikan hafazan yang cuba diingati dapat diperolehi dengan jayanya. Dalam memastikan matlamat menghafaz tercapai, selain melakukan pengulangan dengan kerap, kajian Abdul Hafiz, et al. (2005) menjelaskan keperluan pelajar tahfiz untuk lebih peka dengan ayat-ayat yang dihafaz adalah berasas kerana sebanyak 40.2% pelajar tahfiz bersetuju bahawa mereka sukar membezakan ayat-ayat mutasyābih. Justeru, disebabkan kesukaran membezakan ayat-ayat tersebut juga menyebabkan proses menghafaz

128

tidak dapat berjalan dengan baik. Hal ini penting untuk dikuasai kerana dalam bidang tahfiz, aspek kelancaran dan penguasaan merupakan isu yang sering dibincangkan oleh para pengkaji, lingkungan pelajar tahfiz itu sendiri bahkan pelbagai lapisan masyarakat.

Berdasarkan perkembangan yang lain, antara strategi penyusunan yang dipraktikkan di salah sebuah institusi tahfiz di Indonesia ialah penerapan metode murājaʿaṯ yang dibahagikan kepada empat bentuk (Anisa Ida, 2014). Kajian Anisa Ida (2014) mendapati bahawa bentuk yang pertama ialah murājaʿaṯ hafalan baru kepada guru, bentuk kedua pula ialah murājaʿaṯ hafalan lama di hadapan kawan, bentuk ketiga, iaitu murājaʿaṯ hafalan lama di hadapan guru dan bentuk yang keempat ialah ujian peperiksaan yang khusus kepada aktiviti murājaʿaṯ. Bentuk-bentuk penyusunan dalam menghafaz al-Qur‟an ini mempunyai persamaan dan perbezaan antara satu sama lain, iaitu berdasarkan kelolaan institusi tahfiz itu sendiri. Setiap institusi tahfiz mempunyai budaya yang diterapkan dalam tradisi pembelajaran serta metod yang digunapakai. Walhal, kesemua matlamat institusi tahfiz mempunyai arah tuju yang sama, iaitu menghafaz al-Qur‟an. Dalam kajian Fithriani (2014) menjelaskan situasi ini sebagai menerima kesan-kesan, menyimpan kesan-kesan serta memperoleh kesan-kesan. Kesan-kesan yang dimaksudkan di sini ialah hafalan al-Qur‟an (Fithriani, 2014).

Selain itu, pemikiran kritis juga merupakan salah satu strategi yang menumpukan kepada tindakan kognitif. Misalnya seseorang pelajar yang dapat menilai sesuatu tugasan yang dilakukan sendiri akan mampu menguji kebolehan diri dalam menjayakan sesuatu subjek (Pintrich, et al., 1991). Sehubungan dengan itu,

129

berdasarkan kajian Sedek (2012), para penghafaz al-Qur‟an seharusnya mempunyai pemikiran kritis dalam menilai kekuatan hafazan masing-masing dengan mempraktikkan pengulangan secara kerap sehingga mencapai matlamat.

Berdasarkan perkembangan yang lain, dalam kajian Al-ʿUnūd (2008) menjelaskan bahawa penerapan ayat-ayat al-Qur‟an ke dalam jiwa mampu meningkatkan daya pemikiran kritis. Satu eksperimen ke atas 100 pelajar Quranic Schools dan 120 pelajar dari sekolah umum di Makkaṯ al-Mukarramaṯ dipilih sebagai responden. Pertanyaan diaju kepada para pelajar secara soal selidik berdasarkan beberapa penyataan ayat al-Qur‟an. Dapatan kajian membuktikan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan 0.05 di antara para pelajar Quranic Schools dengan pelajar sekolah umum. Apa yang menarik dalam kajian ini ialah berkenaan dengan kewujudan elemen pemikiran kritis yang diutarakan oleh para pelajar tahfiz berhubung ayat-ayat al-Qur‟an yang telah dihafaz.

Hal ini turut dinyatakan dalam kajian Javed dan Amina (2014) yang menguji pengaruh hafazan al-Qur‟an terhadap perkembangan kognitif pelajar. Mereka mendapati bahawa pengalaman lalu seperti pernah menghafaz al-Qur‟an menjadikan fungsi kognitif bertambah baik. Hasil kajian membuktikan bahawa pelajar yang pernah menghafaz al-Qur‟an mempunyai fungsi kognitif yang lebih baik daripada pelajar yang tidak menghafaz al-Qur‟an. Dalam kajian ini disebutkan bahawa di antara fungsi kognitif yang dimaksudkan ialah daya pemikiran yang kritis.

Berdasarkan kajian Farah (2015), aliran pemikiran kritis mampu dibangunkan secara langsung atau tidak langsung kerana secara tradisinya, pengaplikasian halaqaṯ dalam

130

mempelajari al-Qur‟an dan ilmu-ilmu berkenaan al-Dīn telah diamalkan dalam dunia Islam sejak zaman berzaman. Pengaplikasian halaqaṯ bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain, tetapi juga dapat meningkatkan keupayaan lisan dan kemahiran berfikir (Farah, 2015). Situasi ini mempunyai kaitan dengan proses menghafaz al-Qur‟an yang dipraktikkan dalam bentuk halaqaṯ. Suasana membaca dan menghafaz dalam bentuk halaqaṯ bukan sahaja dapat meningkatkan semangat untuk terus menghafaz, tetapi juga mewujudkan daya persaingan yang sihat dalam mengekalkan momentum menghafaz al-Qur‟an.

Selain itu, mencari bahan sokongan dalam membantu proses menghafaz juga wajar dipraktikkan. Hal ini selari dengan kajian Abdul Hafiz dan Hasimah (2004) yang menggariskan beberapa teknik menghafaz yang menggunakan bahan sokongan seperti rakaman suara, pita kaset, cd dan seumpamanya. Bahan sokongan lain yang menjadi topik perbincangan kajian-kajian lepas juga disebutkan tentang penggunaan al-Qur‟an digital dan media-media terkini yang dapat memudahkan proses menghafaz (Zameer dan Abdul Ahad, 2013; Atefeh, Akram, Nasser, Gharamaleki & Bahar, 2014; M. Sofyan, 2015). Pintrich, et al. (1991) menjelaskan situasi mencari bahan sokongan untuk pembelajaran adalah sebagai salah satu elemen pemikiran kritis.

Selain itu, pemikiran kritis juga dapat dijelaskan apabila pelajar mampu memfokuskan idea mereka untuk menggunakan satu kaedah menghafaz yang dirasakan sesuai dengan ingatan mereka. Menurut kajian Sedek (2009), kaedah menghafaz merupakan perkara pokok yang paling utama dalam menghasilkan penghafaz al-Qur‟an yang berjaya. Misalnya hasil kajian Sedek (2009)

131

membandingkan kaedah al-Huffaz dan kaedah yang digunakan di Darul Quran. Hasil kajian membuktikan bahawa pelajar tahfiz yang menggunakan kaedah al-Huffaz mempunyai ingatan yang lebih baik. Apa yang dimaksudkan di sini ialah pemilihan metod yang sesuai oleh para pelajar tahfiz. Kajian-kajian yang menganalisis metod hafazan hanya menunjukkan satu idea yang bersifat sugestif berdasarkan pembuktian dan eksperimen yang dijalankan ke atas pelajar yang menggunakan metod tersebut. Namun, hanya pelajar yang mampu membuat keputusan sama ada mahu menggunakan metod tersebut ataupun sebaliknya.

Intan Zakiah dan Munif (2015) menambah bahawa selain daripada kaedah menghafaz yang digunakan secara spesifik, penggunaan lahjaṯ ḥurf dan lahjaṯ

al-tarannum juga memainkan peranan yang penting. Berdasarkan kenyataan Mohd

Lukman, Mohd Yakub@Zulkifli (2012) danIsmarulyusda, Nor Malia, Farah Wahida, Siti Nur Rasyidah & Sabri (2016), pembacaan al-Qur‟an yang dialunkan secara tartil dan berlagu akan menjadikan bacaan al-Qur‟an tersebut dapat dihayati dengan lebih baik. Bahkan aktiviti menghafaz al-Qur‟an akan menjadi lebih variasi dengan penerapan-penerapan lagu yang sesuai dengan bacaan serta makna yang dilantunkan. Hal ini bukan sahaja dapat meningkatkan semangat para penghafaz al-Qur‟an untuk terus tetap menghafaz al-Qur‟an pada setiap hari, tetapi juga dapat menguatkan akal dengan satu teknik yang bersesuaian (Intan Zakiah & Munif, 2015). Keadaan ini selari dengan Pintrich, et al. (1991) tentang pandangannya berkenaan pemilihan kaedah dalam pembelajaran sebagai satu aliran pemikiran yang kritis.

Secara keseluruhannya, strategi kognitif yang melibatkan elemen latihan yang diterangkan dalam kajian ini melibatkan teknik latih tubi, mengingat kata kunci dan

132

menyenaraikan perkara penting dalam menghafaz. Sementara strategi kognitif yang melibatkan elemen penghuraian dalam kajian-kajian lepas diterangkan sebagai menggabungkan maklumat dari sumber-sumber lain ketika menghafaz serta mengaitkan subjek Ḥifẓ al-Qur‘an dengan subjek-subjek lain. Bagi atribut strategi kognitif yang melibatkan elemen penyusunan pula diterangkan dalam kajian-kajian lepas sebagai teknik pemetaan minda, menguasai teknik-teknik menghafaz dan juga jadual atau organisasi yang memandu pelajar dalam menghafaz al-Qur‟an. Strategi kognitif yang melibatkan elemen pemikiran kritis diterangkan dalam kajian-kajian lepas sebagai tiga ciri, iaitu terhadap diri sendiri, bahan sokongan untuk pembelajaran dan menggunakan teknik menghafaz bersesuaian. Fokus tinjauan kajian-kajian lepas berkenaan atribut ini juga menggambarkan bahawa kesemua elemen-elemen yang ditunjukkan merupakan projeksi peringkat semasa menghafaz al-Qur‟an.