IBU PEJABAT JPS MALAYSIA
SURAT PEKELILING JPS Bil 4/2008
(Pindaan kepada Perkara 1 dalam SP JPS Bil. 2/2000)
LANGKAH-LANGKAH UNTUK MEMPERCEPATKAN BAYARAN INTERIM
1.0 TUJUAN
Surat pekeliling ini bertujuan untuk meminda Proses Kerja Pengeluaran Bayaran Interim yang telah diperkenalkan melalui Surat Pekeliling JPS Bil. 2/2000 sebagai langkah untuk mempercepatkan Bayaran Interim kepada Kontraktor bagi projek konvensional.
2.0 LATAR BELAKANG
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah mengeluarkan satu surat arahan rujukan NRE 80/03/1/25(55) bertarikh 7 Mei 2007 berkenaan Tempoh Proses Bayaran Bil dan Tuntutan. Para 4 surat arahan tersebut telah memperuntukkan tempoh masa maksimum untuk membuat pembayaran kepada kontraktor bagi Kontrak Kerja. Sehubungan dengan itu, arahan berkaitan dalam SP JPS Bil. 2/2000 perlu dibuat pindaan bagi membolehkan Jabatan mematuhi arahan tersebut.
3.0 TATACARA PELAKSANAAN
3.1. Penyelia Projek hendaklah membuat penilaian kemajuan kerja di tapak bina sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh sebulan tanpa perlu menunggu tuntutan dibuat oleh pihak kontraktor.
3.2 Pindaan yang telah dibuat terhadap Proses Kerja Pengeluaran Bayaran Interim dalam SP JPS 2/2000 adalah seperti berikut :-
i) Proses kerja dibahagikan mengikut di mana waran peruntukan disalurkan seperti berikut:-
a) Bagi kontrak yang waran peruntukannya disalurkan ke negeri, carta aliran proses adalah seperti di Lampiran A.
b) Bagi kontrak yang waran peruntukannya di ibupejabat, carta aliran proses adalah seperti di Lampiran B.
ii) Mengeluarkan proses kerja bilangan 1 (Penilaian di tapak) dari carta aliran proses kerja.
iii) Tempoh aliran kerja bermula dari tarikh akhir penilaian di tapak dilaksanakan. Tarikh akhir penilaian ini hendaklah dinyatakan sebagai tarikh penilaian dalam borang JKR 66.
3.3 Borang Tindakan Kerja yang dinyatakan dalam para 3.1.3 dalam SP JPS Bil 2/2000 telah dipinda seperti berikut:-
a) Bagi kontrak yang waran peruntukannya disalurkan ke negeri, Borang Tindakan Kerja adalah seperti di Lampiran C.
b) Bagi kontrak yang waran peruntukannya di ibupejabat, carta aliran proses adalah seperti di Lampiran D
Borang ini hendaklah dikepilkan bersama dengan Borang JKR 66 bagi memastikan tindakan telah diambil oleh pegawai-pegawai bertanggungjawab dalam tempoh yang ditetapkan.
4.0 KUATKUASA DAN PEMBATALAN
4.1 Surat Pekeliling ini berkuatkuasa dengan serta merta dan terpakai bagi kontrak kerja secara konvensional sahaja.
4.2 Dengan berkuatkuasanya Pekeliling ini, Para 3.1.1 dan 3.1.3 dalam SP JPS Bil 2/2000 adalah dibatalkan.
Sekian. Terima kasih.
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
“CINTAILAH SUNGAI KITA”
(DATO’ IR HJ. AHMAD HUSAINI BIN SULAIMAN ) Ketua Pengarah,
Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia.
Bil. Fail : ( ) dlm PPS. 10/4/2 BUB Jld. 4