IBU PEJABAT JPS MALAYSIA
SURAT PEKELILING JPS BIL. 2/2000
1. LANGKAH-LANGKAH UNTUK MEMPERCEPATKAN BAYARAN INTERIM.
2. PINDAAN KE ATAS BORANG JKR 66, PERAKUAN PELARASAN JUMLAH HARGA KONTRAK (PPJHK) DAN PERAKUAN MUKTAMAD.
3. PINDAAN KEPADA SYARAT-SYARAT KONTRAK BERKAITAN BAYARAN.
1.0 TUJUAN
1.1 Surat Pekeliling ini bertujuan untuk memperkenalkan langkah-langkah untuk mempercepatkan bayaran interim, penutupan akaun projek dan mengurangkan beban kewangan kontraktor iaitu:
i. Memperkenalkan Proses Kerja Pengeluaran Bayaran Interim yang seragam.
ii. Memperkenalkan Borang Perakuan Bayaran Interim JKR 66 (Pin. 3/1999), Perakuan Pelarasan Jumlah Harga Kontrak (JKR 203V-Pin. 6/99) dan Perakuan Akaun dan Bayaran Muktamad
2.0 LATAR BELAKANG
2.1 Pihak Kerajaan memandang serius terhadap kelewatan yang seringkali berlaku dalam membuat pembayaran kepada kontraktor.
Perkara ini boleh menjejaskan aliran wang tunai kontraktor yang mana seterusnya menjejaskan kelancaran pelaksanaan sesuatu projek. Sehubungan dengan ini, pihak Kementerian Kewangan telah mengeluarkan satu Surat Pekeliling Perbendaharaan yang bertujuan untuk mempercepatkan pengeluaran Bayaran Interim.
2.2 Lanjutan dari itu, Jawatankuasa Khas Mengkaji Masalah Pengurusan Kontrak JPS Malaysia telah mengkaji dan membincang isu ini dan seterusnya telah mengenalpasti langkah-langkah yang dapat mengatasi masalah ini.
2.3 Di samping itu juga, adalah wajar beberapa prosedur baru diperkenalkan dan borang-borang dan peruntukan sediada dipinda untuk mempercepat dan melicinkan proses bayaran interim dan penutupan akaun projek, disamping meringankan beban kewangan kontraktor.
3.0 TATACARA PELAKSANAAN
3.1 Proses Kerja Pengeluaran Bayaran Interim
3.1.1 Bagi menyeragamkan prosedur dan melicinkan urusan pembayaran, Carta Aliran Proses Kerja Pengeluaran Bayaran Interim telah disediakan mengikut kategori-kategori seperti berikut:-
i. Nilai kontrak tidak melebihi RM 10.0 juta - Rujuk Lampiran A/1
ii. Nilai kontrak melebihi RM 10.0 juta sehingga RM 25.0 juta - Rujuk Lampiran A/2
iii. Nilai kontrak melebihi RM 25.0 juta - Rujuk Lampiran A/3
3.1.2 Di antara perkara-perkara yang ditekankan adalah:
i. Menjelaskan proses-proses kerja dan pegawai-pegawai yang bertanggungjawab.
ii. Mengurangkan proses semakan yang tidak diperlukan.
iii. Menggariskan tempoh wajar bagi setiap proses kerja.
iv. Menguatkuasakan kuasa yang diturunkan kepada Wakil Pegawai Penguasa untuk memperakukan Bayaran Interim yang mana sebelum ini tidak dipraktikkan sepenuhnya. Walau bagaimanapun, sekiranya atas sebab-sebab tertentu, kuasa untuk memperakukan bayaran interim tidak diturunkan, pindaan yang sewajarnya hendaklah dibuat ke atas Surat Perwakilan Kuasa.
v. Memastikan perhatian dan tindakan-tindakan susulan diambil sebagaimana dicatitkan.
3.1.3 Sebagai langkah untuk memantau pematuhan proses kerja ini, Borang Tindakan Kerja seperti di Lampiran B hendaklah dikepilkan oleh Pegawai Penilai bersama Borang JKR 66 untuk memastikan tindakan telah diambil oleh pegawai- pegawai bertanggungjawab di dalam tempoh yang ditetapkan.
Dengan ini, sekiranya berlaku kelewatan, sebab-sebab kelewatan akan dapat dikesan dan seterusnya langkah pembetulan dapat diambil.
3.2 Borang JKR 66 (Pin. 3/1999)
3.2.1 Format Perakuan Bayaran Interim (Borang JKR 66) sediada telah dikemaskini dan dipinda bagi memudahkan urusan memproses pembayaran di Pejabat Pembayar dengan mengurangkan butiran-butiran yang perlu diisi. Borang baru JKR 66 (Pin.3/1999) adalah seperti di Lampiran C.
3.2.3 Butiran pengiraan hendaklah disemak dan disahkan oleh
‘Pegawai Pengesyor’.
3.2.4 Untuk tujuan pembayaran, butiran pengiraan tidak perlu dilampirkan bersama Borang JKR 66 yang dikemukakan kepada Bahagian Kewangan dan Pejabat Pembayar.
3.3 Pindaan Kepada Perakuan Pelarasan Jumlah Harga Kontrak (PPJHK) Dan Perakuan Akaun Dan Bayaran Muktamad.
3.3.1 Amalan mendapatkan tandatangan Kontraktor sebelum Perakuan-perakuan di atas diluluskan bukanlah merupakan satu syarat yang ditetapkan di bawah Kontrak. Oleh yang demikian, bagi mengatasi masalah kelewatan bayaran daripada amalan ini, tempoh masa untuk Kontraktor mengembalikan Perakuan-perakuan berkenaan hendaklah dihadkan seperti berikut:
i. Perakuan Pelarasan Jumlah Harga Kontrak Dalam tempoh dua (2) minggu dari tarikh penerimaan.
ii. Perakuan Akaun dan Bayaran Muktamad
Dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh penerimaan.
3.3.2 Sekiranya Kontraktor gagal mengembalikan Perakuan- perakuan tersebut di dalam tempoh yang ditetapkan, tindakan meluluskan Perakuan-perakuan tersebut hendaklah diteruskan tanpa tandatangan Kontraktor.
3.3.3 Sehubungan dengan itu, pindaan telah dibuat untuk mengambil kira kehendak ini dalam borang PPJHK dan Perakuan Akaun dan Bayaran Muktamad sebagaimana Lampiran D dan E.
3.4 Sebagai langkah untuk meringankan masalah kewangan Kontraktor, peraturan-peraturan berikut telah dikaji semula:
3.4.1 Pindaan Peratusan Pembayaran Bahan Dan Barang- Barang Tak Pasang Di Tapak Bina.
Peratusan pembayaran bagi Bahan dan Barang-barang Tak Pasang di Tapak Bina seperti yang terkandung di dalam klausa 47(c) Syarat-syarat Kontrak adalah dinaikkan daripada 75%
kepada 90%.
Bagi melaksanakan perkara ini, pindaan-pindaan perlu dibuat seperti berikut:
i) Syarat-syarat Kontrak – Fasal 47 ( c ), baris 3.
Pinda “seventy-five (75) percent” kepada “ninety (90) percent”
ii) Amendments to Forms PWD 203/203A Rev. 10/83 - Perkara mengenai ‘Clause 47( a ), lines 3 and 9’
Pinda “seventy-five (75) percent” kepada “ninety (90) percent”
3.4.2 Pindaan Nilai-Nilai Minimum Bagi Bayaran Interim
Nilai minimum bagi Bayaran Interim Pertama dan yang seterusnya sebagaimana dinyatakan di dalam Lampiran kepada Syarat-syarat Kontrak hendaklah dipinda mengikut jadual seperti di bawah :
BIL BAYARAN INTERIM
NILAI MINIMUM SEMASA
NILAI MINIMUM PINDAAN
1. Bayaran Interim Pertama
10% daripada Kerja Pembina termasuk Bahan dan Barang-barang Tak Pasang atau
RM 200,000 yang mana lebih rendah.
5% daripada Kerja Pembina termasuk Bahan dan Barang-barang Tak Pasang atau
RM 100,000 yang mana lebih rendah.
2. Bayaran Interim seterusnya
25% daripada nilai purata bulanan kerja yang patut
15% daripada nilai purata bulanan kerja yang patut
4.0 PENGAGIHAN PERUNTUKAN
4.1 Untuk mempercepatkan lagi pengeluaran pembayaran, adalah digalakkan supaya peruntukan diagih-agihkan kepada JPS Negeri dan juga seterusnya kepada JPS Daerah (khususnya untuk pembayaran bagi projek-projek yang kecil). Dengan ini pembayaran boleh dibuat di pejabat di mana peruntukan diagihkan.
5.0 KUATKUASA DAN PEMBATALAN
5.1 Surat Pekeliling ini berkuatkuasa dari tarikh ianya dikeluarkan dan terpakai bagi perolehan kerja sahaja.
5.2 Dengan berkuatkuasanya Pekeliling ini, pekeliling-pekeliling berikut adalah dipinda /dibatalkan:
a) SP.JPS UB 1/94 bertarikh 13 Januari 1994 (Dibatalkan) i. Borang Perakuan Bayaran Interim JKR 66
ii. Borang Perakuan Pelarasan Jumlah Harga Kontrak JKR 203V iii. Borang Perakuan Muktamad
b) Ruj. (8) dlm. PPS 10/4/2 CUB Jld. 2 bertarikh 16 Julai 1996.
(Dibatalkan)
Bayaran Balik Wang Pendahuluan Melalui Pemotongan Dalam Bayaran Kemajuan Dengan Menggunakan Borang JKR 66
c) SP.JPS. Bil 1/1999 bertarikh 18 Februari 1999 (Dipinda) Garispanduan Penggunaan Wang Jaminan Pelaksanaan
− Borang Perakuan Bayaran Interim JKR 66 yang diperkenalkan melalui Surat Pekeliling ini adalah dibatalkan.
Sekian.
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
“CINTAILAH SUNGAI KITA”
(DATO’ IR. HJ. KEIZRUL B. ABDULLAH) Ketua Pengarah,
Jabatan Pengairan dan Saliran, Malaysia.
26 Julai 2000
Bil. Fail : (57) dlm. PPS. 10/4/2 CUB Jld. 3