• Tidak ada hasil yang ditemukan

University of Malaya

ALAM GHAIB DAN KAITANNYA DENGAN PENYAKIT

3.3 Alam Ghaib dan Kaitannya dengan Penyakit

3.3.2 Cara Perantaraan Kuasa Ghaib ke Alam Melayu Kedah

Allah dikatakan telah memperantarakan kuasanya ke alam Melayu Kedah dengan beberapa cara. Pertama, dengan mengkonsepsi kuasa luar biasa kepada hantu. Kedua, mengkonsepsi

semangat kepada alam tabii. Ketiga, memberi “keistimewaan” kepada bomoh. Keempat,

meninggalkan keramat di bumi, serta kelima mengilham firasat ke dalam hati manusia. Sebahagian dari kuasa tersebut telah digunakan oleh manusia untuk melindungi diri dan kehidupan mereka daripada ancaman hantu jahat dan bomoh sihir. Sebahagian yang lain pula telah dimanipulasi oleh hantu jahat dan bomoh sihir untuk memudarati orang lain.

3.3.2.1 Mengkonsepsi Kuasa Luar Biasa kepada Hantu

Masyarakat Kedah tradisional percaya bahawa salah satu cara Allah mengizinkan kuasanya ke alam Melayu Kedah ialah dengan mengkonsepsi kuasa luar biasa kepada makhluk halus atau hantu. Menurut paklong Ibrahim, orang-orang tua terdahulu percaya bahawa kuasa itu hakikatnya adalah milik Allah, dianugerahkan kepada manusia, tetapi dikonsepsi dalam bentuk kuasa luar biasa makhluk tersebut terlebih dahulu sebelum sampai kepada manusia. Dengan erti kata lain, kuasa luar biasa itu melambangkan pemberian kuasa ghaib dari Allah kepada manusia tetapi dalam konsepsi hantu. Justeru, antara bentuk kuasa luar biasa yang melambangkan kuasa ghaib tersebut ialah kekuatan fizikal, pergerakan pantas, kebolehan menghaibkan diri, keupayaan menjelmakan diri kepada makhluk lain, serta keupayaan mencipta mantera dan ritual, yang sebahagiannya telah dimanipulasi oleh manusia untuk memenuhi kepentingan diri mereka. Apabila manusia bersahabat dengan makhluk tersebut,

134

kewibawaan itu telah dialirkan pula kepada manusia, sama ada dalam bentuk pertolongan langsung, mahupun pengilhaman mantera dan ritual.13 Tujuannya ialah supaya manusia dapat menggunakan elemen tersebut untuk kepentingan diri mereka, seperti menyembuhkan penyakit, menghalang sihir, atau mengekalkan kesihatan diri.

3.3.2.2 Mengkonsepsi Semangat kepada Alam Tabii

Alam juga merupakan salah satu entiti yang terpilih menjadi perantara kuasa ghaib kepada manusia. Berbeza dengan dengan makhluk halus atau hantu. Kuasa alam dikatakan tidak dizahirkan oleh Allah dalam bentuk fizikal sebagai mana makhluk halus tetapi dikonsepsikan di dalam bentuk tenaga yang ditanam di dalam rongga-rongga alam. Menurut pakcik Ramli, tenaga itu dinamakan oleh masyarakat Kedah tradisional sebagai

semangat. Justeru, batu-batuan, pokok kayu, binatang, sungai, dan sebagainya, malah

besi-besian dikatakan mempunyai semangat. Kesemuanya bersumberkan Allah tetapi dialirkan di dalam bentuk spiritual kepada manusia menerusi rongga makhluk-makhluk tersebut. Kuasa ghaib itu sangat berguna kepada manusia. Contohnya, sifat besi yang panas dan tajam berperanan menakutkan hantu jahat supaya tidak mendatangi manusia ketika tidur, atau kesuraman alam itu memberi pengajaran kepada manusia supaya tidak meneruskan perjalanan ke kawasan keras kerana kelak diakhiri dengan natijah malang.14 Hakikatnya, kesemua kejadian-kejadian itu adalah petanda perantaraan kuasa ghaib ke alam Melayu Kedah tetapi dikonsepsikan dalam bentuk kuasa alam sebelum sampai kepada manusia.

3.3.2.3 Memberi “Keistimewaan” kepada Bomoh

Kuasa itu juga turut dialirkan kepada manusia menerusi “keistimewaan” yang diberikan kepada bomoh. Masyarakat Kedah tradisional percaya bahawa „keistimewaan‟ itu melambangkan perantaraan kuasa sakti ke alam Melayu Kedah. Bukti perantaraan kuasa itu

135

misalnya dapat dilihat terhadap beberapa petanda pada tubuh bomoh, seperti firasat hati bomoh boleh memutuskan keputusan yang tepat, penglihatan mereka boleh mengesan dan menakutkan hantu jahat, jari-jemari mereka boleh menyakiti entiti tersebut, serta mantera yang dibaca oleh bomoh pula boleh menyembuhkan berbagai penyakit serius, selain boleh melindungi manusia daripada gangguan hantu jahat. Kesemua itu menurut masyarakat Kedah tradisional adalah lambang perantaaraan kuasa sakti ke alam Melayu Kedah yang diciptakan oleh Allah dalam rupa sebegitu untuk kepentingan diri manusia setempat.

3.3.2.4 Meninggalkan Keramat di Bumi

Kuasa ghaib itu juga turut dialirkan kepada manusia menerusi konsepsi keramat (kemuliaan) sesuatu roh. Hanya roh-roh terpilih sahaja yang memperoleh „kemuliaan' tersebut. Roh mereka diberikan taraf keramat kerana semasa hayat mereka di dunia, mereka sedaya-upaya mentaati perintah Allah. Apabila mereka meninggal dunia, roh mereka terus diangkat oleh Allah bersama dengan-Nya di alam ghaib tetapi karamat mereka terus ditinggalkan di bumi. Salah satu tujuannya ialah untuk melindungi manusia daripada gangguan hantu jahat dan bomoh sihir, iaitu dengan cara mengilhamkan doa atau mantera kepada manusia. Karamat itu dianggap oleh penduduk pada waktu itu sebagai petanda perantaraan kuasa ghaib ke alam Melayu Kedah yang dihadirkan ke bumi dalam rupa sebegitu untuk tujuan membantu manusia menyelesaikan berbagai masalah, salah satunya ialah menyelesaikan masalah gangguan hantu jahat sebagai mana yang dibincangkan di atas. Di alam Melayu Kedah, kuasa supernatural itu dipanggil dengan gelaran tok keramat.

3.3.2.5 Mengilham Firasat ke dalam Hati Manusia

Terkahir, kuasa ghaib itu juga turut dikirimkan kepada manusia terus ke dalam hati tanpa berperantarakan makhluk. Ia berlaku dengan cara kuasa itu dikonsepsikan dalam rupa

136

firasat, di mana ia terus ditanam oleh Allah ke dalam roh manusia tanpa berperantarakan mana-mana makhluk sebagai mana kes-kes sebelum-sebelum ini. Fungsinya ialah untuk menyampaikan isyarat khas kepada manusia berhubung sesuatu perkara, terutama apabila manusia bakal berhadapan dengan suatu perkara buruk, seperti bakal terlibat dengan kemalangan. Keistimewaan-keistimewaan sebegitu biasanya hanya diperolehi oleh orang-orang tertentu sahaja, seperti bomoh, bidan, serta ulama. Tetapi dalam kes ini, keistimewaan itu turut dialami oleh orang-orang kebanyakan, terutama apabila makanan yang hendak dimakan itu mengandungi racun santau atau apabila bakal berhadapan dengan suatu natijah buruk, seperti bakal dipatuk ular atau bakal disesatkan oleh hantu pari di tengah rimba. Perkara itu hakikatnya adalah kuasa Allah tetapi disampaikan kepada manusia dengan cara sebegitu supaya manusia dapat mengambil pengajaran.