• Tidak ada hasil yang ditemukan

University of Malaya

SISTEM PERLINDUNGAN DIRI MASYARAKAT KEDAH TRADISIONAL

4.3 Intipati Perlindungan Diri

Bahagian ini pula berusaha untuk membuat takrifan terhadap intipati-intipati perlindungan diri (petua, pantang-larang, dan upacara ritual) yang terhasil akibat rangsangan “takut dan risau” di atas. Pengenalan ini penting supaya semua pihak dapat menanggapinya terlebih dahulu sebelum menganjak ke bab-bab yang lain. Hal ini kerana dari asas itu terbentuknya tiga benteng perlindungan diri sebagai meratifikasi ketiga-tiga intipati tersebut. Oleh yang demikian, makna intipati petua, pantang-larang, dan upacara ritual adalah seperti berikut.

4.3.1 Petua

Petua dirumus sebagai nasihat, petunjuk, atau panduan yang berguna yang disampaikan oleh orang-orang tua (termasuk bomoh) berhubung cara menyelesaikan sesuatu masalah atau cara melaksanakan sesuatu perkara supaya memberi kesan atau pulangan yang paling baik. Dalam hal ini, dimensi petua itu dapat dirumus seperti berikut. Antaranya ialah ritual yang perlu dipersembahkan, doa dan ungkapan yang perlu dibaca dan dituturkan,

168

bunyian yang perlu diadakan, objek yang perlu digunakan, makanan yang perlu dimakan, bentuk tidur yang dicadangkan, pergerakan yang perlu dibuat, serta sebagainya.

Hakikatnya, falsafah petua dibentuk menerusi proses mencari, uji-menguji, dan mengaplikasi ekologi tempatan secara berterusan.2 Tujuannya ialah untuk mencari suatu kaedah yang paling berkesan untuk menyelesaikan suatu masalah atau untuk mencapai suatu tujuan. Dalam konteks kajian ini, elemen-elemen tersebut dieksploitasi untuk menghasilkan suatu kaedah bagi menangani masalah gangguan entiti alam ghaib, iaitu hantu jahat dan bomoh sihir. Menerusi proses-proses yang disebutkan di atas, jawapan yang paling tepat bagi mengatasi masalah tersebut yang ditemui ialah dengan bersahabat dengan hantu baik untuk memperoleh ritual atau cara yang lain pula yang ditemui ialah dengan menggunakan bahan-bahan fizikal tertentu yang ditakuti oleh hantu jahat, seperti besi.3

Bagi masalah-masalah yang lain pula, cara penyelesaiannya menuntut proses berbeza. Mereka perlu melalui proses yang serupa, iaitu mencari, uji-menguji, merekacipta, serta mengaplikasi berbagai ekologi tempatan sebagai mencari jawapan bagi setiap masalah tersebut. Masalah kecederaan di badan misalnya, cara penyembuhan yang dituntut mungkin dengan cara meletakkan dedaun tertentu agar luka tersebut kembali sembuh. Pengetahuan ini seterusnya telah disampaikan kepada orang lain oleh penemunya. Tujuannya, supaya ilmu itu terus berkesinambungan serta dapat digunapakai oleh orang-orang lain untuk menyelesaikan masalah yang serupa di tempat yang sama atau di tempat yang lain. Justeru, atas sebab itu, ilmu ini dinamakan sebagai petua oleh masyarakat Kedah tradisional.

4.3.2 Pantang-Larang

Pantang-larang pula merujuk kepada suatu peraturan adat yang dipraktikkan dalam sebuah budaya yang berhubung kait dengan kepercayaan terhadap sesuatu kuasa ghaib, seperti

169

Tuhan, dewa, roh, atau hantu, di mana peraturan-peraturan tersebut dianggap benar, diyakini akan memberi kesan buruk kepada pelaku-pelaku yang enggan mematuhinya, serta akan mendapat ganjaran bagi mereka yang mengikutinya. Dengan erti kata yang lebih tepat, intipati ini menerangkan tentang beberapa tata kelakuan yang perlu dihindari, seperti ungkapan yang tidak boleh dituturkan, bunyi-bunyian yang perlu dielakkan, objek yang tidak boleh disentuh, makanan yang tidak boleh dimakan, perkara yang tidak boleh dilihat dan sebagainya, dengan kesemuanya bergantung kepada asas sebab-musabab pantang-larang itu ditubuhkan.4 Sesiapa yang mengikuti pantang-larang itu, mereka akan mendapat kebaikan, manakala, sesiapa yang melanggar larangan tersebut, perlakunya itu akan mendapat malapetaka, serta menerima isbat sosial daripada masyarakat. Dalam sesetengah masyarakat, bahaya akibat pelanggaran pantang-larang tersebut boleh mengenai semua orang, yakni bukan sahaja individu, malahan melibatkan keseluruhan ahli masyarakat.

Hakikatnya, prinsip pantang-larang ini dipelopor oleh idea yang berasaskan kepercayaan. Misalnya, kepercayaan terhadap sesuatu kejadian aneh yang menurut mereka adalah luar biasa. Kepercayaan berhubung keanehan pokok besar misalnya. Pokok yang bergoncang secara tiba-tiba itu telah menimbulkan persoalan tentang entiti yang mencetuskannya. Secara kebetulannya, individu lain juga turut mengalami kejadian yang serupa di tempat yang sama. Maka, timbul kepercayaan bahawa sememangnya ada sesuatu yang tidak kena dengan pokok tersebut. Oleh kerana tiada pengetahuan yang kukuh berhubung kejadian-kejadian tersebut, maka mereka mentafsir kejadian-kejadian tersebut mengikut kefahaman mereka sendiri. Hasil tafsiran tersebut ialah wujud tanggapan bahawa kejadian-kejadian tersebut diperlakukan oleh suatu kuasa ghaib yang menguasai alam ini, di mana kuasa-kuasa ghaib tersebut merupakan makhluk halus yang menumpangi pokok tersebut. Idea berhubung keberadaan penunggu itu lalu disebarkan kepada khalayak lain,

170

serta diwariskan dari satu generasi ke satu generasi sehingga ke hari ini. Kini, apabila masyarakat setempat melalui kawasan tersebut, mereka akan mempratiskan berbagai pantang-larang sebagai asas menghormati tempat tersebut. Antaranya ialah tidak bercakap kuat dan bergelak tawa, tidak menutur perkataan yang membangga diri, malah jauh sekali memetik buah-buah, bunga-bungaan, atau batu-batuan di kawasan tersebut. Dengan yang demikian, terbuktilah bahawa salah satu aspek yang mempelopor intipati pantang-larang dalam masyarakat Kedah tradisional ialah idea berhubung kepercayaan terhadap keanehan sesuatu kejadian itu sendiri yang dipercayai ada hubung kait dengan kuasa luar biasa.

4.3.3 Upacara Ritual

Upacara ritual pula merujuk kepada suatu amalan menghubungi hantu baik untuk mendapatkan suatu manfaat, dengan melibatkan beberapa perlakukan dan pertuturan. Manfaat itu pula terbahagi kepada dua. Pertama, perhubungan itu diadakan sebagai tujuan untuk mendapatkan “suatu kaedah” untuk melaksanakan suatu perkara. Misalnya, meminta makhluk itu mencari atau merekacipta mantera yang ditakuti oleh hantu jahat atau meminta makhluk-makhluk itu mereka ritual-ritual perbomohan.5 Manakala bagi kes kedua pula, amalan itu diadakan sebagai tujuan untuk mendapatkan pertolongan langsung makhluk itu untuk memenuhi keperluan segera manusia, seperti perlindungan ketika di hutan, melindungi manusia daripada sihir, atau menolong melakukan kerja-kerja berat.6

Asas mula tercetus amalan itu pula jika diamati secara mendalam terbentuk sebaik sahaja manusia mula mendatangi makhluk tersebut di hutan, terutama oleh golongan tua atau bomoh. Mereka telah menyanggu (menyeru) makhluk itu dengan bahan jamuan tertentu, seperti darah kambing, telur ayam kampung, ayam panggang, dan sebagainya serta telah membuat suatu perjanjian dengannya.7 Sebagai balasan, makhluk tersebut pula perlu

171

menumpahkan seluruh taat setia kepada manusia serta sanggup melakukan apa sahaja yang diminta oleh manusia, termasuklah perkara-perkara yang bersifat luar biasa. Perkara-perkara yang bersifat luar biasa itu dalam konteks ini merujuk kepada ilmu kebal, ilmu ghaib diri, ilmu persilatan, ilmu sihir, ilmu perbomohon, ilmu pikat wanita, ilmu tilik, ilmu tafsir mimpi, ilmu terbang, ilmu menjinak binatang buas, dan sebagainya.