• Tidak ada hasil yang ditemukan

University of Malaya

2.2.2.5 Kemudahan Asas

Seperti kampung-kampung yang lain, Kampung Keledang juga tidak ketinggalan dari aspek pembangunan fizikal dengan penyediaan kemudahan asas yang baik dan sempurna. Kesemua pihak berganding bahu untuk merealisasikan hasrat tersebut. Antara pihak yang terlibat ialah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW), Majlis Daerah Baling (MDB), Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Baling, serta mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Yang Berhormat Tuan Johari Abdullah. Antara kemudahan yang telah disediakan ialah kemudahan elektrik, kemudahan surau, kemudahan jambatan, kemudahan air bersih, kemudahan jalan mini tar, dan kemudahan lampu jalan.

Kemudahan elektrik merupakan kemudahan pertama yang telah disediakan di kampung tersebut. Kemudahan itu disediakan pada tahun 1984. Menurut imam kampung, Tuan Haji Ahmad Ishak, sebelum kemudahan tersebut dibina, penduduk setempat hanya menggunakan pelita sahaja untuk menerangi rumah mereka ataupun menggunakan unggun api yang dibuat di bawah rumah. Rumah mereka dibina setingkat daripada tanah dengan disokong oleh beberapa batang tiang yang kukuh. Maka, tidak hairanlah jika unggun tersebut dapat dibina di bawah rumah tersebut. Selain untuk pencahayaan, unggun api tersebut juga berperanan untuk menghalau nyamuk pada waktu malam. Pada tahun 1984, kabel elektrik telah dibina di dalam kampung. Maka, kemudahan lampu dapat dipasang di dalam rumah. Secara tidak langsung, kemudahan tersebut dapat memudahkan urusan mereka pada waktu malam, selain dapat mengukuhkan lagi tahap keselamatan mereka.

Surau dibina sebelum kemudahan elektrik lagi. Namun secara rasminya, surau dibina pada tahun 1986, iaitu dua tahun selepas kemudahan tenaga elektrik. Surau dibina setelah arwah Tuan Ishak Jusoh mewakafkan tanahnya untuk kemudahan tersebut. Hasil

91

daripada aktiviti gotong-royong, kemudahan tersebut dapat disiapkan pada tahun tersebut juga. Dari semasa ke semasa, kemudahan itu telah ditambah baik. Pada tahun 2009, pusat khidmat ADUN Kupang misalnya bersama dengan sumbangan orang ramai telah menyalurkan peruntukan untuk membesarkan kemudahan institusi agama tersebut (foto 2.1). Selain aktiviti agama, iaitu solat dan kuliah agama, surau tersebut juga turut menjadi pusat utama bagi aktiviti Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Pada hari tertentu, surau tersebut telah menjadi pusat utama bagi aktiviti wanita. Antara aktiviti tersebut ialah usrah agama, program membaca surah Yasin, program bersama pemimpin, dan program muslimat.

Foto 2.1: Surau Nurul Hidayah, Kampung Keledang

(Sumber: Kajian Lapangan, 2016)

Foto 2.1 adalah surau yang dibina di kampung tersebut. Surau ini menjadi pusat utama kegiatan masyarakat. Antaranya ialah majlis keramaian, program kampung, mesyuarat parti, mahupun program agama. Pada zaman dahulu, kawasan surau ini menjadi tempat utama masyarakat setempat mengadakan ritual menjamu “tok nenek” (hantu belaan). Ritual tersebut diadakan untuk tujuan memelihara keamanan kampung, selain untuk tujuan perlindungan diri daripada bencana, alam ghaib (atau hantu), serta penyembuhan penyakit.

92

Kemudahan jambatan pula merupakan kemudahan ketiga yang dibina di kampung tersebut. Kemudahan ini dibina pada tahun 1986. Sebelum ini, penduduk kampung menyeberangi sungai menggunakan rakit atau perahu kecil sahaja, namun bermula pada tahun 1986, pihak kerajaan telah membina sebuah jambatan kayu untuk kemudahan penduduk setempat untuk merentasi sungai. Dalam tempoh lima tahun atau lebih, MDB akan membaiki dan memulihkan jambatan tersebut dengan menukar kayu-kayu yang baharu. Pada tahun 2009, bermula era kemajuan perhubungan di kampung tersebut. Pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan kerjasama MDB dan JKR Baling telah membina jambatan baharu (foto 2.2) di dalam kampung tersebut bagi menggantikan jambatan sedia ada. Jambatan itu merupakan jambatan besi yang pertama di dalam kampung tersebut. Ia lebih kukuh dan berupaya memuatkan dua buah motosikal dalam satu-satu masa berbanding jambatan sedia ada yang hanya mampu memuatkan sebuah motosikal sahaja dalam satu-satu masa. Kehadiran jambatan itu secara tidak langsung memudahkan orang awam bergerak ke bandar Baling bagi melaksanakan apa-apa sahaja urusan mereka, selain untuk memasarkan produk pertanian mereka di bandar tersebut.

93

Foto 2.2: Jambatan Baharu Kampung Keledang

(Sumber: Kajian Lapangan, 2016)

Foto 2.2 adalah jambatan baharu yang dibina pada tahun 2009. Jambatan ini menghubungkan penduduk kampung yang kediaman mereka berada di tepi-tepi sungai. Penduduk yang berada di sebelah jalan besar menggunakan kemudahan ini untuk ke kawasan hutan untuk mencari bahan-bahan untuk tujuan ritual perbomohan dan ritual penyembuhan penyakit. Penduduk yang berada di sebelah hutan pula menggunakan laluan ini untuk ke jalan besar, selain untuk mengunjungi sanak-saudara mereka di jalan besar.

Kemudahan air bersih pula merupakan kemudahan seterusnya yang dibina di kampung tersebut. Kemudahan ini dibina pada pada tahun 1991. Kini kesemua rumah mempunyai kemudahan tersebut. Menurut Pengerusi JKKK, Tuan Yahya Hamid, sebelum itu, penduduk setempat hanya menggunakan air sungai ataupun perigi sahaja untuk kegunaan harian mereka. Air sungai misalnya digunakan sebagai bahan untuk membasuh pakaian, selain sebagai sumber minuman dan makanan. Perigi dibina selepas itu. Ia dibina berhampiran dengan rumah penduduk. Tujuannya ialah untuk memudahkan urusan harian mereka tanpa perlu ke sungai. Pada tahun 1991, paip besar telah dibina di dalam kampung

94

tersebut. Maka, bermulalah era kemajuan air bersih di dalam kampung. Kemudahan itu memudahkan penduduk setempat kerana tidak perlu lagi ke sungai untuk mengambil air, selain menghindarkan orang ramai daripada penyakit yang berkaitan dengan bakteria yang selama ini kerap dialami oleh penduduk kampung akibat terminum air yang tercemar.

Kemudahan jalan mini tar pula dibina pada tahun 2006. Pada asalnya, hanya sebahagian sahaja jalan kampung yang diturap, terutama laluan menuju ke jalan besar. Selebihnya tidak berturap, terutama jalan yang agak jauh daripada jalan besar. Laluan-laluan tersebut didapati berbatu dan berlopak. Masalah tersebut mendapat perhatian MDB pada awal tahun 2006. Pada Jun 2006, MDB dengan kerjasama JKR Baling serta Pejabat ADUN Kupang telah membersih dan menurap jalan tersebut sepanjang 1.5 kilometer. Aktiviti tersebut selesai pada 13 Julai 2007. Penduduk setempat kini dapat menikmati jalan yang lebih baik dan selesa (foto 2.3). Menurut mantan Majlis Ketua Kampung Keledang (MKK Keledang), Tuan Johari Ishak, kemudahan itu secara tidak langsung dapat memudahkan penduduk setempat untuk melakukan urusan harian mereka di bandar Baling, terutamanya untuk memasarkan produk pertanian mereka, selain memberi peluang kepada mereka untuk memiliki kenderaan sendiri kerana kondisi jalannya yang semakin baik.

95

Foto 2.3: Jalan Mini Tar Kampung Keledang

(Sumber: Kajian Lapangan, 2016)

Foto 2.3 adalah jalan mini tar Kampung Keledang. Jalan ini menjadi laluan perhubungan utama bagi penduduk kampung. Bagi penduduk yang rumahnya berada di jalan besar, jalan ini menjadi laluan utama bagi mereka untuk mengunjungi rumah sanak-saudara yang kedudukannya jauh dari jalan besar. Bagi penduduk yang berada jauh dari jalan besar pula, jalan ini menjadi laluan utama bagi mereka untuk mengunjungi bandar. Selain itu, jalan ini juga menjadi laluan utama bagi penduduk kampung untuk ke kawasan kebun getah mereka, selain sebagai laluan utama untuk ke kawasan hutan bagi mengutip hasil hutan bagi tujuan mencari bahan makanan, menganjurkan ritual amal, atau ritual menyembuhkan penyakit.