• Tidak ada hasil yang ditemukan

University of Malaya

1.7 Definisi Konsep

1.7.3 Pantang-larang

Pantang-larang pula berasal dari perkataan Polinesia, iaitu tafoo, atau sacer dalam bahasa Romawi kuno, kodaush dalam bahasa Ibrani (Freud 1918:31), dan pantang-larang dalam

44

bahasa Melayu (Norazit Selat 1993:172; Dewan Bahasa Pustaka 2008). Dari segi istilah, konsep pantang-larang ini ditakrifkan sebagai suatu larangan atau tegahan terhadap sesuatu perbuatan, amalan, atau percakapan bagi mengelakkan sesuatu kejadian yang tidak diingini (Freud 1918:32-39; Norazit Selat 1993:172; Wan Abdul Kadir Wan Yusoff 2000:61; Haliza Riji 2000; Salmah Omar 2010:16; Ani Omar 2014:76). Peraturan adat ini hakikatnya didokong oleh idea berasaskan kekudusan sesuatu entiti kepercayaan, seperti tuhan, dewa, roh, hantu, atau semangat yang dikatakan berwibawa, dianggap benar, dan diyakini akan memberi kesan buruk kepada pelaku-pelaku yang enggan mematuhinya serta akan mendapat ganjaran bagi mereka yang mengikutinya (Freud 1918:32-39; A. Aziz Deraman & Wan Ramli Wan Mohamad 1995; Wan Abdul Kadir Wan Yusoff 2000:61).

Dalam masyarakat Kedah tradisional, konsep pantang-larang ini didapati hanya didokong oleh idea berasaskan kekudusan entiti hantu dan semangat sahaja. Kekudusan entiti-entiti lain, seperti tuhan, dewa, mahupun roh tidak memainkan peranan utama. Walaupun ia wujud dalam masyarakat, namun ia wujud dalam perspektif dan tujuannya yang tersendiri. Hal ini kerana dalam masyarakat Kedah tradisional, hanya entiti hantu dan

semangat sahaja yang berfungsi terhadap prinsip pantang-larang ini. Mereka didapati

menjadi pencetus kepada prinsip pantang-larang tersebut. Maka, tidak hairanlah jika entiti ini lebih dekat dengan mereka berbanding agama. Contohnya, seseorang yang sakit secara tiba-tiba sebaik sahaja terkena cahaya matahari kuning pada waktu senja menjadikan mereka percaya bahawa ada sumpahan tertentu dengan cahaya tersebut. Akibat tiada pengetahuan yang kukuh, kejadian itu terus ditafsirkan sebagai ada “kuasa” di sebalik cahaya tersebut. “Kuasa” inilah yang menjadikan seseorang itu sakit atau boleh mendapat sakit. Idea inilah yang menjadikan prinsip pantang-larang tempatan lebih didominasi oleh elemen magis berbanding agama. Oleh kerana kajian ini berteraskan magis, maka sudah

45

tentu, hanya elemen magis sahaja yang dipilih dalam kajian ini agar hasil yang diperolehi kelak seiring dengan matlamat kajian ini dan menepati konsepsi pemikiran lokal itu sendiri.

Berhubung ketuhanan pula, peraturan yang berhubung dengan ketuhanan juga tidak dipilih dalam kajian ini. Hal ini kerana menurut masyarakat Kedah tradisional, peraturan yang dicetuskan oleh tuhan dianggap sebagai perintah tuhan, bukannya peraturan tradisi atau pantang-larang. Sebagai perintah tuhan, ia sudah tentu perlu dipatuhi. Tujuannya ialah untuk mengelak daripada terkena balasan tuhan di hari akhirat kelak. Misalnya, larangan agar tidak membuang air besar di dalam sungai. Dari sudut magis, mungkin tegahan itu adalah untuk mengelak daripada dimarahi oleh penunggu sungai atau hantu air, iaitu untuk mengelak daripada bencana yang bersifat serta-merta. Namun, dari sudut agama pula, tegahan itu mungkin adalah untuk mengelak daripada kemurkaan Allah. Hal ini kerana jika Allah murka, orang yang dimurkai itu, sukar lagi mendapat balasan syurga. Justeru, supaya seiring dengan pemikiran dalam masyarakat yang dikaji, maka kajian ini hanya memilih intipati-intipati yang dinamakan sebagai pantang-larang sahaja, manakala intipati-intipati yang dinamakan sebagai peraturan agama ditolak sama sekali agar hasil yang diperolehi kelak benar-benar melambangkan pemikiran tradisi masyarakat yang dikaji itu sendiri.

Dalam kajian ini juga, prinsip berhubung kedewaan juga dikonsepsi dari sudut yang berbeza. Hal ini kerana dalam masyarakat Kedah tradisional, entiti kedewaan dianggap sebagai sebahagian daripada konsep semangat dalam kepercayaan tempatan. Pada asalnya, entiti kedewaan berasal daripada ketuhanan agama Hindu. Namun, oleh kerana prinsip ini serupa dengan prinsip semangat dalam kepercayaan tempatan, iaitu percaya dengan keberadaan “tenaga” atau jiwa di dalam elemen alam (seperti semangat pokok, matahari, bulan, bintang, sungai, binatang, bukit, gunung, dan manusia itu sendiri) yang hidup dan berupaya mempengaruhi hidup manusia, maka idea Hinduisme itu terus diserap dengan

46

idea semangat dalam kepercayaan tempatan.9 Maka, tidak hairanlah jika dalam masyarakat ini, prinsip pantang-larangnya lebih banyak disebut-sebut sebagai dipengaruhi oleh

semangat berbanding dewa. Maka, atas alasan itu, kajian ini memandang prinsip

pantang-larang dari sudut konsepsi semangat sahaja berbanding kedewaan agar hasil yang diperolehi kelak benar-benar melambangkan alam fikir masyarakat yang dikaji itu sendiri.

Masyarakat Kedah tradisional juga mengkonsepsi roh berbeza dari sudut pandangan universal.10 Hal ini kerana dalam masyarakat Kedah tradisional, roh dianggap sebagai suatu punca kepada terjadinya entiti hantu. Menurut masyarakat tersebut, entiti hantu terjadi akibat roh orang yang jahat tidak dapat naik ke langit untuk kembali kepada Allah kerana langit enggan membuka pintu akibat kejahatannya, lantas mereka terawang-awang ke bumi dan bertukar diri menjadi hantu. Idea berhubung hantu inilah yang banyak mempengaruhi prinsip kepercayaan tempatan, termasuklah asas pantang-larangnya. Maka, tidak hairanlah, jika dalam masyarakat ini, elemen roh jarang dikaitkan dengan prinsip pantang-larang berbanding hantu walaupun mereka berasal daripada asas yang sama. Maka, atas faktor inilah, kajian ini mengkonsepsikan pantang-larang terhadap prinsip hantu sahaja berbanding roh walaupun mereka berasal daripada asas yang sama supaya hasil yang diperolehi kelak benar-benar melambangkan pemikiran masyarakat yang dikaji itu sendiri.

Berbalik kepada asas pantang-larang, konsep pantang-larang itu telah diperluaskan intipatinya kepada berbagai pantang-larang lagi, seperti objek yang tidak boleh disentuh, makanan yang tidak boleh dimakan, tempat yang tidak boleh disentuh, perkataan yang tidak boleh dituturkan, bunyi-bunyian yang tidak boleh diadakan, serta perkara yang tidak boleh dilihat atau dilakukan. Sesiapa yang melanggar larangan ini, mereka akan mendapat bahaya atau bencana tertentu (Norazit Selat 1993:172). Sesiapa yang mengikutinya mereka akan mendapat manfaat atau ganjaran. Dalam sesetengah masyarakat, bahaya itu boleh mengenai

47

semua orang, iaitu bukan sahaja individu, malah melibatkan keseluruhan ahli kumpulan (Ismail Hamid 1991:44). Krisis ini hanya boleh diatasi dengan cara memohon ampun kepada makhluk tersebut sahaja atau mengadakan upacara ritual tertentu sebagai mengurangkan kemarahan tersebut (Freud 1918; Wan Abdul Kadir Wan Yusoff 2000).