• Tidak ada hasil yang ditemukan

University of Malaya

1.7 Definisi Konsep

1.7.7 Penyakit Bawaan Alam Ghaib

Penyakit bawaan alam ghaib pula merujuk kepada penyakit yang dipuncai oleh kuasa-kuasa ghaib atau disebut juga sebagai kekuatan ghaib. Secara umumnya, Foster dan Anderson (1978:53) mengkelaskan kuasa-kuasa ghaib yang menimpakan penyakit kepada manusia itu hanya berupa tuhan, makhluk ghaib, roh nenek moyang, serta manusia (bomoh) sahaja.

Dalam konteks masyarakat ini, entiti-entiti yang menimpakan penyakit kepada manusia itu hanya berupa makhluk ghaib (atau hantu) serta manusia (atau bomoh sihir) sahaja. Entiti-entiti lain dipandang dari perspektif yang berbeza. Entiti hantu misalnya, ia dikelaskan di bawah kategori ini kerana pada zaman dahulu, kajian mendapati, hanya entiti itu sahaja yang paling banyak menyakiti manusia berbanding entiti-entiti yang lain. Kekuatan luar biasa yang dimiliki oleh entiti itu, seperti kekuatan fizikal, pergerakan pantas, kebolehan menghaibkan diri, serta keupayaan menjelmakan diri kepada makhluk lain telah digunakan oleh entiti itu untuk memasuki tubuh manusia dan menyakiti bahagian dalaman dan luaran tubuh. Kajian mendapati, asas utama kenapa hanya entiti itu sahaja yang dikaitkan dengan punca penyakit berbanding entiti-entiti yang lain kerana pada zaman dahulu, hanya peristiwa yang disuluh oleh entiti itu sahaja yang pertama kali membentuk idea berhubung sakit tempatan sehingga idea berhubung sakit mesti dikonotasikan kepada entiti itu. Contohnya, jika seseorang mendapat sakit setelah memasuki hutan, maka kejadian itulah yang menumbuhkan idea bahawa sakit itu mestilah disebabkan oleh entiti itu atau dikonotasikan kepada entiti itu berbanding entiti-entiti lain (seperti tuhan atau roh nenek moyang), walaupun entiti-entiti lain juga turut berperanan terhadap idea penyakit tempatan.13 Maka, atas sebab itu, kajian ini hanya mengkonsepsikan idea hantu sahaja terhadap prinsip sakit tempatan agar seiring dengan kedudukannya dalam masyarakat.

55

Dalam masyarakat Kedah tradisional, selain makhluk halus, bomoh sihir juga dikonsepsikan sebagai entiti ghaib yang boleh menimpakan penyakit kepada manusia. Asasnya kerana dalam masyarakat ini, entiti itu juga dikatakan memiliki kekuatan luar biasa, yang dari kekuatan itu mereka boleh menggunakannya untuk menghubungkan penyakit kepada manusia, selain digunakan untuk menyeru hantu jahat bagi mengirimkan sihir kepada manusia lain. Maka, atas sebab itu, dalam masyarakat ini, entiti itu juga dikonsepsikan sebagai entiti ghaib yang boleh menghubungkan penyakit kepada manusia lain, walaupun mereka merupakan entiti tabii. Konsepsi sebegini turut digunakan oleh Aishah Mohamed dan Abd. Aziz Bidin (2010:31) dalam makalah yang berjudul “Makanan dan Kepercayaan tentang Etiologi Penyakit: Kes Orang Kelantan”, di mana bomoh atau ahli sihir dikonsepsikan sebagai entiti ghaib kerana mereka berupaya menghubungkan penyakit kepada manusia secara ghaib dengan cara memasukkan bahan kotor, jampi, atau racun ke dalam makanan orang yang dikehendaki. Maka, atas sebab itu, kajian ini mengkonsepsikan bomoh sihir sebagai entiti ghaib walaupun mereka merupakan entiti tabii agar konsepsi itu seiring dengan kedudukannya dalam masyarakat Kedah tradisi itu sendiri.

1.7.8 Hantu

Seiring dengan Mohtar Md. Dom (1977c:3) dan Ismail Hamid (1991:33), kajian ini juga mentakrifkan konsep hantu sebagai roh atau jiwa yang tidak berbadan atau makhluk halus yang berasal daripada roh orang yang telah mati. Asasnya kerana dalam masyarakat ini, idea itu tercetus akibat daripada kepercayaan bahawa langit enggan membuka pintu kerana kejahatan mereka di dunia atau semasa hayat, lantas roh mereka kembali ke bumi dan bertukar diri menjadi hantu. Prinsip ini dideduksikan oleh Ismail Hamid (1991:33) sebagai lahir daripada konsep immortality, iaitu suatu konsep bahawa roh manusia itu bersifat abadi serta akan kekal di bumi buat selama-lamanya. Setelah kembali ke bumi, entiti itu

56

dikatakan telah menyerapi diri dengan elemen-elemen alam yang lain, seperti pokok kayu, sungai, gua, rumah manusia, gunung-ganang, bukit-bukau, dan sebagainya. Walaupun mereka hidup di bumi, namun mereka tidak dapat dilihat oleh manusia kerana dimensi alam mereka berbeza dengan dimensi alam manusia, melainkan mereka sengaja menunjukkan diri kepada manusia. Dalam masyarakat Melayu tradisional, terdapat lebih daripada 20 jenis hantu. Antaranya ialah hantu penanggal, hantu raya, hantu laut, hantu jamuan, hantu pelesit, hantu busut, hantu kuning halilintar, hantu bungkus, hantu kubur, mambang, orang bunian, dan toyol (Ismail Hamid 1991:33). Mereka dipercayai hidup di merata-rata tempat, seperti di sawah padi atau kebun, laut, pantai, hutan rimba, rumah, dan gunung (Winstedt 1961:19; 1993:16-19; Mohd Taib Osman 1989b:181; Mastor Surat et al. 2012:61).

Masyarakat Kedah tradisional juga mengkelaskan sifat hantu kepada dua jenis, iaitu sifat baik dan sifat jahat, dengan kebiasaan mereka menyebutnya sebagai hantu baik mahupun hantu jahat. Hantu baik merujuk kepada hantu yang dipelihara oleh manusia dan diarahkan oleh manusia untuk melakukan tugas-tugas tertentu yang menurut pandangan mereka merupakan tugas yang baik. Tugas-tugas yang dianggap sebagai tugas yang baik itu berupa tugas seperti, menyembuhkan penyakit, mencari barang berharga yang hilang, mengesan sihir, menjaga rumah daripada dimasuki oleh penceroboh, menjaga kampung daripada dimasuki oleh pembawa sihir, menjalankan ritual tertentu untuk tujuan menghalau hantu jahat yang berada di dalam rumah, serta melakukan tugas-tugas tertentu yang menurut pandangan mereka merupakan tugas yang berat, seperti tugas menanam padi.

Manakala, konsep hantu jahat pula bertentangan dengan konsep hantu baik. Terdapat dua idea berhubung konsep hantu jahat. Pertama, hantu jahat dirujukkan sebagai mana-mana hantu yang dipelihara oleh manusia yang ditugaskan untuk melakukan tugas-tugas tertentu yang menurut pandangan mereka merupakan tugas-tugas yang jahat. Tugas-tugas-tugas

57

yang dianggap sebagai tugas yang jahat itu berupa tugas, seperti menyihir orang lain, menggigit dan menyakiti orang lain, memporakperandakan hubungan antara ahli keluarga, mencuri barang berharga milik orang lain untuk kepentingan tuan mereka, merosakkan tanaman manusia, serta membakar rumah manusia. Menurut konsepsi kedua pula, hantu jahat ditakrifkan sebagai mana-mana entiti yang berasal daripada rimba dan tidak dipelihara oleh manusia. Mereka juga menimpakan malapetaka serupa dengan malapetaka di atas.

1.7. 9 Bomoh

Bomoh pula merujuk kepada seorang manusia biasa tetapi memiliki kekuatan luar biasa atau kuasa magis (Mohd Taib Osman 1977:16; Jahid Sidek 2004:17), yang dari kekuatan itu mereka berupaya menggunakannya untuk menguasai dan berkomunikasi dengan

semangat tertentu, menghubungi hantu, serta menyembuhkan berbagai jenis penyakit

manusia (Winstedt 1925:42; Endicott 1970:11; Mohd Taib Osman 1977:16, 1984:148, 1989:54; Azhar Ibrahim Alwee 2006:2: Muhd Abdul Hadi Johari & Ahmad Hakimi 2018).

Seperti konsepsi hantu, masyarakat Kedah tradisional juga mengkelaskan sifat bomoh kepada dua jenis, iaitu sifat baik dan sifat jahat, dengan kebiasaan mereka menyebutnya sebagai bomoh baik mahupun bomoh “membuat orang” (Azhar Ibrahim Alwee 2006:3) atau bomoh sihir. Bomoh baik merujuk kepada mana-mana bomoh yang berusaha menggunakan keistimewaan magis yang dimiliki olehnya untuk membantu orang lain bagi menyelesaikan masalah manusia. Bentuk pertolongan tersebut ialah dengan cara menyembuhkan penyakit orang lain, berusaha memulihkan semangat orang lain, menghilangkan sihir daripada tubuh manusia, menemukan bahan sihir di kawasan rumah, menghalau hantu jahat yang berada di dalam rumah atau di sekeliling kawasan rumah,

58

menemukan barang berharga yang hilang, mendorong nasib baik yang tinggi kepada manusia, serta memberi nasihat berhubung perbomohan, alam ghaib, petanda, dan mimpi.

Bomoh “membuat orang” atau bomoh sihir pula merujuk kepada mana-mana bomoh yang berusaha menggunakan keistimewaan magis yang ada pada dirinya untuk menyeru hantu jahat bagi mengirimkan sihir kepada manusia lain. Mereka didatangi oleh orang jahat dan diminta untuk mengirimkan ilmu hitam itu kepada orang yang disasarkan. Tujuannya ialah untuk membalas dendam atas sebab-musabab tertentu, seperti cemburu, ingin menolong seseorang, atau untuk memerangkap kasih sayang seseorang yang hanya diketahui sebab-musababnya oleh perlakunya sahaja (Aishah Mohamed & Abd. Aziz Bidin 2010). Untuk mencapai tujuan itu, bomoh sihir telah menyeru hantu jahat (atau hantu belaanya) bagi mendatanginya untuk menghidupkan bahan sihir. Manakala, tugas-tugas seterusnya, iaitu tugas memasukkan bahan sihir ke dalam badan mangsa, mengaktifkan dan menyebarkan sihir di dalam badan mangsa, menyakiti mangsa sehingga menderita sakit, serta meragut nyawa mangsa sehingga meninggal dunia telah diserahkan kepada entiti itu.

1.7.10 Sihir

Sihir pula merujuk kepada suatu ilmu hitam (Rozai 2001), iaitu suatu ilmu yang digunakan oleh bomoh (Endicott 1970), kahin [dalam istilah Arab] (Jahid Sidek 2004:1), atau

magician (Mauss 1972) untuk menimpakan penyakit kepada manusia lain dengan cara

ghaib sebagai memenuhi hasrat seseorang (Abdul Razzak Naufal 1982). Ia bererti, seseorang telah mendatangi bomoh sihir, lantas meminta bomoh tersebut menyihir orang yang dibenci menggunakan ilmu tersebut. Tujuannya ialah untuk membalas dendam akibat memenuhi alasan-alasan tertentu yang bersifat peribadi yang hanya diketahui oleh pelakunya sahaja (Aishah Mohamed & Abd. Aziz Bidin 2010). Intipati perbuatan sihir itu

59

pula dikatakan mengandungi beberapa praktis khusus. Antaranya ialah mantera, ungkapan tertentu, rites, pergerakan, persembahan, dan sebagainya untuk tujuan merealisasikan hasrat jahat tersebut (Mauss 1972; Abdul Razzak Naufal 1982; Subbotsky 2010).

Sumber sihir itu pula dikatakan diperolehi menerusi berbagai sumber. Menurut perspektif Islam, sumber sihir itu dikatakan diperolehi dengan cara mendengar perkhabaran langit, iaitu suatu perkhabaran antara Allah dengan malaikat ketika proses menyampaikan wahyu atau perintah daripada Allah, dengan entiti itu mencuri dengar perbualan tersebut (Jahid Sidek 2004:1). Dalam konteks sihir ini, ilmu itu dikatakan telah disalahgunakan oleh entiti itu, dengan cara ia disampaikan kepada manusia (bomoh sihir) untuk menghubungkan penyakit kepada manusia bagi kepentingan diri mereka. Islam menjelaskan, perbuatan itu sengaja dilakukan oleh entiti itu untuk tujuan menyesatkan manusia daripada Islam. Tujuannya ialah agar manusia terus bergantung harap kepada mereka berbanding Allah, lantas terus tergolong dalam kumpulan orang yang sesat. Orang yang sesat atau orang yang tergelincir daripada Islam hukumannya ialah dikenakan balasan neraka oleh Allah kelak.

Dari perspektif budaya pula, sumber ilmu itu dikatakan berpunca daripada makhluk halus atau hantu (Mauss 1972; Jahid Sidek 2004:1; Aishah Mohamed & Abd. Aziz Bidin 2010; Subbotsky 2010:4). Masyarakat Kedah tradisional percaya bahawa segala ilmu sihir atau magis yang wujud di dunia ini semuanya dikatakan sebagai berpunca daripada entiti itu atau dicipta serta dihidupkan oleh entiti itu, dengan ilmu itu dimiliki oleh manusia setelah ia disampaikan kepada manusia, dengan tanpa menafikan peranan Allah sebagai pemilik asal kepada kuasa tersebut. Dalam konteks sihir ini, ia hanya menjadi sihir setelah ilmu itu disampaikan kepada manusia (bomoh sihir) oleh entiti itu, lantas ia dimanipulasi oleh bomoh sihir sebagai medium untuk menghubungkan penyakit kepada manusia.

60

1.7.11 Allah

Allah pula merujuk kepada Tuhan seluruh makhluk (Taylor 1971:11) atau disebut oleh Sheratt dan Hawkin (1972:76) sebagai Supreme God, bukannya merujuk kepada nama bagi Tuhan umat Islam (Ellwood Jr 1976: 338). Seluruh makhluk dalam konteks ini merujuk kepada seluruh entiti alam semesta. Entiti-entiti itu dikatakan tunduk dan menjadi hamba kepada-Nya, termasuklah makhluk yang sebelum ini dianggap oleh manusia purba (mungkin termasuk oleh orang Kedah kuno) sebagai supreme deity atau Tuhan atau Dewa Agung (Champion & Short 1951:234). Hakikatnya Allah merujuk kepada Tuhan yang tidak bertempat dan Zat-Nya sama sekali tidak serupa dengan makhluk di alam semesta dan tidak boleh dikhayalkan sama sekali oleh akal manusia (Shalaby 1977:67; Rahmat 1979). Hanya sifatnya sahaja yang boleh disifatkan oleh manusia, seperti Maha Besar, Maha Kuasa, Maha Tahu, Maha Cipta, dan sebagainya (Haron Din 1998, 2007) tetapi hakikat sifat itu tetap juga tidak boleh ditanggapi oleh manusia kerana di luar sempadan pengetahuan manusia, tetapi manusia Islam wajib beriman dengan sifat tersebut (Shalaby 1977:69).