• Tidak ada hasil yang ditemukan

University of Malaya

ALAM GHAIB DAN KAITANNYA DENGAN PENYAKIT

3.2 Sistem Worldview (Pandangan Dunia) Masyarakat Kedah Tradisional

3.2.2 Entiti-Entiti Alam

3.2.2.3 Objek Alam

Objek tabii pula merujuk kepada alam sekitar fizikal yang berada di sekeliling manusia, seperti pokok kayu, batu-batuan, tanah-tanih, binatang, sungai, angin, matahari, bulan, bintang, langit, awan, dan hujan, dengan pada masa yang sama, jasad elemen-elemen tersebut dipercayai turut diruangi oleh suatu jiwa yang dinamakan semangat. Semangat merujuk kepada suatu jiwa atau tenaga yang tidak berkeperibadian yang memenuhi jasad elemen-elemen tersebut, dengan kehadiran mereka berupaya mempengaruhi cara berfikir serta tata tingkah laku masyarakat Kedah tradisional. Misalnya, kepercayaan terhadap bulan sabit. Masyarakat Kedah tradisional percaya bahawa bulan sabit adalah bulan sakit. Justeru, kehadiran bulan tesebut ketika membina rumah (rumah yang masih belum berbumbung) boleh menyebabkan rumah yang siap kelak akan mendapat penyakit. Nasib malang itu hanya boleh diatasi dengan cara memasang tebar layar di bahagian alang rumah sebagai pengganti bumbung.5 Hal yang serupa juga dialami oleh petani. Perbuatan menduduk di atas cangkul ketika bertani misalnya boleh menyebabkan sakit di bahagian pinggang akibat “unsur cangkul” (semangat) tidak menggemari perbuatan tersebut. Perkara itu hanya boleh diatasi dengan cara pelakunya tidak lagi melakukan perbuatan tersebut di masa hadapan.

Di alam Melayu Kedah, kedua-dua elemen tersebut, sama ada elemen jasad, mahupun semangat telah digunakan oleh masyarakat setempat untuk berbagai tujuan. Bagi objek-objek berjasad, elemen-elemen tersebut telah digunakan oleh manusia untuk membina tempat berteduh, mencipta peralatan rumah, serta mencipta teknologi pertanian, dengan pada masa yang sama tidak melupai akan semangat yang berada di dalamnya.6

126

Manakala, bagi elemen semangat pula, terutama semangat baik, unsur spritual itu merupakan salah satu elemen yang digunakan oleh orang-orang terdahulu untuk melindungi kehidupan mereka daripada ancaman hantu jahat sebagai mana kes penggunaan besi ketika tidur, mahupun penggunaan batu petir ketika melusuri kawasan keras yang diterangkan dengan lebih lanjut di bab empat. Selain itu, unsur yang turut beroperasi dalam bentuk suasana alam itu juga turut digunakan sebagai panduan untuk melusuri kawasan keras.7

Manakala, kehadiran semangat alam yang beraura malang pula lebih mengufuk kepada kemudaratan manusia. Contohnya, keberadaan aura malang yang berlebihan di dalam rumah, secara tidak langsung boleh menyebabkan penghuni-penghuni rumah mengalami berbagai masalah. Antaranya ialah persengketaan ahli keluarga, rumah kelihatan usang dan suram, rumah tidak dikunjungi oleh orang ramai, serta perkara yang paling ditakuti ialah aura tidak baik tersebut menarik hantu jahat untuk mendatangi rumah.8

3.2.2.4 Bomoh

Bomoh pula merujuk kepada manusia yang mempunyai kuasa sakti, dengan keistimewaan itu tidak ada pada manusia biasa. Dengan “keistimewaan” itu, firasat hati mereka berupaya memutuskan suatu keputusan, dengan keputusan itu biasanya adalah tepat. Manakala, perbuatan mereka pula berupaya mencetuskan kesaktian, dengan kesaktian itu antaranya boleh digunakan untuk menghasilkan aura yang boleh menyakiti hantu jahat. Namun, „keistimewaan‟ itu dikatakan tidak terhasil secara semula jadi. Ia dikatakan diperolehi menerusi persahabatan dengan makhluk halus serta tok keramat. Walaupun demikian, masyarakat Kedah tradisional tetap percaya bahawa terdapat bomoh yang memiliki kesaktiannya sendiri, yang dari kelebihan itu dapat digunakan untuk mencipta dan menghidupkan mantera untuk tujuan menyembuhkan penyakit tanpa pertolongan makhluk tersebut. Misalnya, penyakit seperti demam panas, kurap, kudis, dan kayap yang sembuh

127

akibat keajaiban air ludahan bomoh atau sentuhan bomoh. Bahkan, pandangan, pendengaran, serta jari-jemari bomoh juga mempunyai kesaktian yang tersendiri, yang dari kesaktian itu boleh digunakan untuk menyakiti hantu jahat. Tetapi perkara itu tidak dibincangkan dengan lebih lanjut di dalam kajian ini kerana melepasi skop kajian. Perkara yang diberi perhatian ialah kesaktian bomoh yang dipuncai oleh makhluk halus sahaja, yang kesemuanya dizahirkan di bab empat, terutama di bab upacara ritual. Dari sudut yang lain pula, terutama asas menjadi bomoh, masyarakat Kedah tradisional percaya bahawa kelebihan itu sengaja diciptakan oleh Allah untuk keperluan mereka. Antaranya ialah untuk mengubati penyakit dan melindungi diri mereka daripada ancaman hantu jahat dan perbuatan sihir. Namun, kriteria seseorang itu dipilih menjadi bomoh tidak diketahui oleh manusia kerana hanya Allah sahaja yang mengetahuinya sebagai Tuhan Maha Pencipta.

Menurut bomoh Awang, lima cara yang digunakan oleh seseorang untuk menjadi bomoh atau memperoleh kuasa sakti. Pertama ialah menerima ilmu daripada seseorang yang sedang nazak. Perwarisan ilmu dengan cara sebegini disebut sebagai peturun. Ilmu

peturun hanya boleh diwariskan kepada seseorang yang tertentu sahaja, seperti ahli

keluarga atau sahabat handai kerana ilmu peturun adalah ilmu keturunan. Contohnya, ilmu yang diwariskan kepada abang Azmi misalnya bersusur galur daripada nenek moyangnya. Ilmu itu diwariskan kepadanya ketika ibunya sedang nazak. Ia direalisasikan menerusi satu ungkapan khas. Ungkapan tersebut berbunyi “terimalah benda ini, aku serah kepada engkau kerana aku sudah hendak pergi”. Reaksi orang yang mendengar itu boleh sama ada hendak menolak atau menerima permintaan itu. Kedua, ilmu perbomohan juga boleh diperolehi dengan cara mempelajarinya daripada hantu belaan nenek moyang. Kes itu biasanya berlaku apabila pemilik ilmu itu tidak sempat mewariskan ilmunya kerana telah meninggal dunia. Justeru, tugas menyampaikan ilmu itu telah diambil alih oleh hantu belaannya. Dua

128

cara makhluk ini menyampaikan ilmu kepada manusia, iaitu dengan mengadakan mimpi ataupun merasuk individu lain untuk dijadikan orang tengah. Pada ketika itu, orang yang berkehendakkan ilmu itu boleh mengikuti ajaran hantu belaan tersebut jika berfikiran hendak meneruskan amalan nenek moyangnya selama ini. Ketiga, seseorang itu juga boleh menjadi bomoh dengan mempelajari ilmu tersebut daripada seseorang yang ahli atau disebut menuntut. Menuntut boleh direalisasikan dengan cara menemui seseorang yang ahli, yang dalam kes ini merujuk kepada bomoh. Ketika pertemuan itu diadakan, orang yang berhajat itu perlu memberitahu segala hajat kedatangannya. Bomoh tersebut boleh memberi reaksi, sama ada menolak atau menerima permintaan itu. Jika permintaan itu diterima, bomoh akan mencadangkan beberapa perkara sebagai langkah memulakan ajaran. Misalnya, bomoh mencadangkan agar individu tersebut menghafal mantera atau bertapa. Keempat, ilmu itu juga boleh diperolehi dengan cara dipertemukan dengan barangan sakti. Masyarakat Kedah tradisional percaya bahawa Allah juga mengurniakan “keistimewaan” itu kepada manusia dengan cara dipertemukan dengan barangan azimat tertentu, seperti batu petir, batu cincin, pedang, atau tongkat, yang kesemuanya mempunyai kuasa sakti yang boleh digunakan untuk mengubati penyakit. Cara terakhir untuk menjadi bomoh ialah dengan mengikuti ilham langsung daripada Allah. Masyarakat Kedah tradisional percaya, ilmu itu juga boleh disampaikan kepada manusia terus dari Allah tanpa berperantarakan makhluk. Ilmu yang termasuk dalam kategori ini biasanya disampaikan menerusi dua cara. Pertama, menerusi mimpi, seperti bermimpi didatangi seseorang tokoh alim yang mengajar ilmu perbomohan kepada manusia. Kedua, ilmu diberikan melalui sudi daripada Allah. Sudi bermaksud Allah mengenakan ujian kepada manusia dalam bentuk penyakit yang serius, seperti santau atau penyakit mistik, dengan pada masa yang sama Allah mengilhamkan cara menyembuhkannya di dalam hati pesakit. Cara yang diajar itu boleh digunakan oleh

129

pesakit, sama ada untuk menyembuhkan penyakit sendiri atau orang lain. Namun begitu, masyarakat Kedah tradisional tetap percaya bahawa kesemua hakikat ilmu-ilmu tersebut adalah bersumberkan Allah bukannya makhluk-makhluk tersebut. Makhluk-makhluk tersebut sekadar menjadi perantara sahaja antara Allah dengan manusia.

Di alam Melayu Kedah, bomoh dijustifikasi sebagai tokoh penting. Mereka dianggap sebagai salah seorang pemegang utama kuasa sakti di bumi. Kuasa yang dikonsepsikan dalam bentuk kelebihan itu telah digunakan untuk dua tujuan. Pertama, kuasa itu telah digunakan untuk menyelesaikan masalah manusia. Bomoh yang termasuk dalam kategori ini disebut sebagai bomoh baik. Kedua, kuasa itu telah digunakan untuk memudarati orang lain. Bomoh yang termasuk dalam kategori ini disebut sebagai bomoh sihir. Bomoh baik biasanya menggunakan kuasa itu untuk menyembuhkan penyakit manusia, menghalau hantu jahat daripada mendatangi manusia, memagari rumah daripada hantu jahat, serta mencari barangan berharga yang telah hilang, seperti duit atau barangan emas. Bagi bomoh jahat pula, kuasa mereka itu telah diperhebatkan lagi dengan kudrat hantu jahat telah digunakan untuk memudratkan orang lain. Bentuk kemudaratan tersebut ialah menyihir orang lain, mengarahkan hantu jahat untuk menyakiti orang lain, menggunakan ilmu tersebut untuk memikat orang lain, serta memindahkan sebahagian kecil daripada ilmu tersebut kepada orang lain bagi digunakan untuk tujuan yang salah. Misalnya, mengajar ilmu kebal kepada seseorang supaya ilmu tersebut dapat digunakan bagi melakukan aktiviti yang salah, seperti merompak, mencuri, merogol, dan membunuh.