• Tidak ada hasil yang ditemukan

University of Malaya

SISTEM PERLINDUNGAN DIRI MASYARAKAT KEDAH TRADISIONAL

4.4 Bentuk Perlindungan Diri: Tiga Benteng Perlindungan

4.4.1 Hantu Baik sebagai Penjaga Nyawa dan Tanah Kediaman

4.4.1.1 Pemeteraian Persahabatan

Hasrat untuk bersahabat dengan hantu rimba yang dikategorikan sebagai hantu baik ini melibatkan proses yang panjang. Dalam masyarakat Kedah tradisional, hasrat itu terzahir dalam berbagai versi. Faktor utama kenapa wujud berbagai versi itu ialah perbezaan lokasi penempatan penduduk dan jenis hantu yang ingin disahabati.9 Realiti perkara itu diterangkan dengan lebih lanjut oleh paklong Ibrahim, individu yang mengetahui bagaimana ritual itu dijalankan oleh arwah tok Junus, iaitu warga tua di kampung tersebut. Konteks ini ialah konteks untuk memeterai persabahatan dengan jembalang harimau dan hantu raya. Berikut adalah proses yang mesti dilalui untuk menjayakan agenda tersebut.

Pertama, penyediaan bahan ritual. Masyarakat Kedah tradisional, termasuklah tok Junus perlu menyediakan bahan keperluan ritual dengan secukupnya. Tujuannya supaya makhuk tersebut berasa gembira, sekali gus mudah untuk mendapatkan pertolongan. Manakala, kegagalan berbuat sedemikian akan menyebabkan makhluk tersebut bersedih hati, sekali gus permohonan tidak diperkenankan. Antara bahan penting yang perlu disediakan untuk menjayakan ritual itu ialah sebuah peru (perahu) daun pisang, sebatang

dian (lilin), secobek pulut kuning, sebiji telur ayam kampung, dan bahagian tertentu

175

daripada ayam kampung yang telah dipanggang.10 Tetapi ada yang menggantikan ayam kampung dengan darah kambing. Ia bergantung kepada jenis hantu dan jenis makanan kegemaran mereka.11 Bahan-bahan itu, menurut paklong Ibrahim dipanggil oleh masyarakat Kedah tradisional sebagai bahan jamuan (foto 4.1). Setiap satunya mempunyai fungsi yang tersendiri. Pulut kuning, telur ayam kampung, isi ayam kampung, atau darah kambing berfungsi untuk menarik perhatian makhluk tersebut mendatangi manusia. Hal ini kerana makanan-makanan tersebut adalah makanan kegemaran mereka. Api dian pula berfungsi sebagai agen penarik. Hal ini kerana cahaya tersebut dikatakan seakan-akan membuka jalan kepada makhluk tersebut untuk mendatangi manusia. Peru daun pisang pula digunakan untuk meletakkan kesemua jenis bahan sakral tersebut di dalamnnya.

Foto 4.1: Bahan Jamuan Hantu Rimba

(Sumber: Kajian Lapangan 2015)

Foto 4.1 adalah lakaran bahan jamuan untuk menjamu hantu rimba. Berdasarkan keterangan informan, pada zaman dahulu, bahan-bahan ini dipersembahkan kepada hantu rimba sebagai tujuan untuk mendapatkan pertolongan bagi menyelesaikan berbagai krisis

Dian Telur ayam kampung Darah kambing Perahu Ayam panggang Pulut kuning

University of Malaya

176

hidup. Salah satunya ialah untuk melindungi manusia daripada ancaman musuh, sihir, serta penyakit. Selain untuk mendapatkan sesuatu hajat yang bersifat serta-merta. Contohnya, untuk menyembuhkan penyakit atau mengesan barangan peribadi yang hilang. Kerjasama itu akan berterusan dari satu generasi sehingga ke satu generasi sehinggalah ke hari ini.

Kedua, cara melaksanakan ritual. Hasrat menjayakan ritual itu mestilah tertakhluk kepada waktu-waktunya. Ia biasanya diadakan sekitar jam tujuh malam dan ke atas. Hal ini kerana pada waktu-waktu sebegitu, makhluk-makhluk tersebut berkeliaran ke merata-rata tempat. Justeru, ia memudahkan urusan pemohon (individu yang ingin bersahabat dengan hantu baik) untuk memanggil mereka. Sebelum ritual itu diadakan, bahan-bahan tersebut perlulah dibawa ke hutan terlebih dahulu. Apabila sampai di sana, peru daun pisang tersebut perlu diletakkan di atas kayu yang kukuh supaya tidak terbalik ketika ritual diadakan serta mestilah diisi dengan bahan-bahan sakral itu secara teratur. Ritual dimulakan dengan dian dibakar terlebih dahulu, sambil pemohon mestilah mengungkapkan kata:

“Datanglah kepadaku wahai pemegang air, api, angin, dan tanah aku ingin bersahabat dengan mu”

Dua peristiwa aneh dipercayai akan muncul tidak lama selepas kata-kata itu diungkapkan. Pertama, kelibat bayang yang gelap dan besar mendatangi pemohon dari arah belakang. Kedua, api dian akan terliuk-liuk dengan sendirinya. Kejadian itu adalah petanda bahawa makhluk tersebut telah mendatangi pemohon. Jika keadaan itu berlaku, pemohon diminta agar berpura-pura seakan-akan melihat makhluk tersebut serta bertindak seakan-akan berkomunikasi dengan mereka. Terdapat empat cara yang boleh digunakan oleh pemohon untuk berkomunikasi dengan makhluk-makhluk tersebut.12 Salah satu versi yang paling menonjol ialah dengan mendengar suara hati. Menerusi kaedah ini, makhluk-makhluk itu dikatakan tidak bercakap dengan manusia secara langsung tetapi setiap tutur kata mereka

177

dikatakan terus disampaikan ke hati manusia. Berikut adalah ungkapan yang telah digunakan oleh makhluk tersebut yang dikirimkan terus ke dalam hati manusia serta bentuk ungkapan yang boleh dituturkan oleh pemohon untuk menjayakan agenda tersebut.

Pemohon : Oh! engkah dah datang. Engkau Lapar?

Hantu Rimba : Ya aku lapar. Aku mahu makan.

Pemohon : Aku tidak izin engkau makan, melainkan engkau mengakui

bahawa aku adalah tuanmu dan engkau mematuhi setiap arahanku selagi aku hidup.

Hantu Rimba : Baiklah, engkau adalah tuanku. Jadi, apakah arahan mu itu?

Pemohon : Engkau perlu melindungi diriku dan ahli-ahli keluargaku

daripada segala ancaman musuh, penyakit, sihir, dan bahaya. Hantu Rimba : Baiklah, aku mentaatimu.

Pemohon : Jika begitu ambil makanan ini. Aku berjanji menjamu

(memberi makan) engkau pada tarikh ini setiap tahun.

Cara makhluk tersebut menikmati makanan adalah berbeza dengan cara manusia. Makhluk itu dikatakan menikmati makanan secara ghaib. Dengan erti kata lain, mereka menikmati makanan dengan mengambil wap makanan sahaja, sedangkan zat makanan tidak disentuh.

Terakhir, pengesahan persahabatan. Dalam masyarakat Kedah tradisional, mimpi merupakan wasilah yang sering digunakan oleh makhluk tersebut bagi mengesahkan hubungan persahabatan dengan manusia. Sehubungan itu, dalam kes ini, jika mimpi itu benar-benar menjelma, ia menandakan hubungan tersebut telah diikat rasmi. Ketika itu, tiada lagi keberatan bagi makhluk tersebut untuk memperlihatkan diri mereka yang sebenar kepada manusia. Justeru, jika entiti yang mendatangi mimpi pemohon itu suatu makhluk yang berbadan tinggi, besar, dan berbulu lebat, makhluk tersebut ialah hantu raya. Tetapi jika entiti yang mendatangi manusia itu badannnya berbelang, makhluk tersebut ialah

jembalang harimau. Justeru, untuk mengekalkan hubungan tersebut, manusia mestilah

sentiasa mematuhi janji sebagai mana yang dimeterai menerusi perjanjian di atas.

178