METODOLOGI KAJIAN
1. Inisiatif Pelaksana Terhadap Murid-murid LINUS
Pelbagai inisiatif yang diambil oleh pelaksana tersebut dihuraikan selanjutnya menerusi sub kategori-sub kategori berikut. Menerusi kategori pertama iaitu inisiatif pelaksana terhadap murid-murid LINUS ini, terdapat sembilan sub kategori yang juga muncul daripada temu bual, pemerhatian dan analisis dokumen.
160 Analisis tersebut menghuraikan pelaksana bertindak mengenal pasti faktor yang menyebabkan murid-murid LINUS tidak menguasai literasi melalui sembilan sub kategori berikut iaitu pemerhatian, perbualan, kenal pasti masalah dalam diri murid-murid, kenal pasti masalah luar diri murid-murid, mengetahui latar belakang murid-murid, mengenal potensi murid-murid, pengamatan terhadap murid-murid, prihatin akan murid-murid dan program.
Pelaksana Program LINUS Memerhati Murid-Murid LINUS
Kajian ini mendapati salah satu inisiatif yang diambil oleh pelaksana Program LINUS untuk mengenal pasti faktor yang menyebabkan murid-murid LINUS tidak menguasai literasi ialah guru besar turut melakukan pemerhatian berterusan terhadap murid-murid LINUS. Hal ini dilakukan seawal proses kemasukan murid-murid-murid-murid semasa awal tahun persekolahan sehinggalah selepas mereka melalui Saringan 1 LINUS. Penyataan temu bual berikut menjelaskan hal ini.
Pada awal tahun, pada hari pendaftaran, kami panggil ibu bapa, ibu bapa Tahun Satu untuk semua Tahun Satu tak ramai pun kan. Itu untuk penerangan Tahun Satu. Kemudian, bila awal tahun, kelas seperti biasa, ada transisi kan. Transisi pun seminggu je hari tu kami buat. Kemudian, belajar macam biasa. Masa tu, cikgu Tahun Satu, mula lah memerhatikan mana yang boleh budaknya, mana yang tak boleh sehinggalah ujian yang pertama kan. Baru lah tahu budak yang mana dalam arus Perdana, budak mana yang LINUS dan budak yang mana Tegar. Dari situ baru dapat tahu kan.
(GB/SKKP/1/100-105)
Menerusi pemerhatian awal tahun pada hari pendaftaran ini, guru besar sebagai pelaksana sudah mendapat gambaran awal akan komitmen ibu bapa terhadap sekolah dan murid-murid tersebut. Maksudnya ibu bapa yang hadir ke sekolah bersama-sama anak masing-masing adalah lambang awal yang positif dari sudut komitmen ibu bapa terhadap sekolah dan pembelajaran anak.
161 Guru besar sebagai pelaksana memiliki harapan bahawa penguasaan literasi akan ditunjangi oleh kolaboratif ibu bapa secara hadir pada awal sesi persekolahan. Namun begitu, masih ramai ibu bapa yang langsung tidak hadir ke sekolah bukan sahaja pada hari pendaftaran anak mereka, malahan sepanjang tahun dalam sesi persekolahan itu. Lebih mendukacitakan lagi ketidakhadiran ini tanpa sebarang alasan mahupun pemberitahuan.
Tapi, di sekolah ni, pada awal tahun, pada hujung tahun tu, daripada 12, 4 orang saja yang datang. Ni cakap terus-terang lah kat Puan Naza ye. 4 orang je yang datang dan 4 orang tu pun bukan semua keluarga asli campur dengan warga Melayu tu hanya dalam 4 keluarga je yang datang. Jadi, pendedahan tentang LINUS ni, kita tak dapat nak beri pada semua lah.
(GL/SKKP/1/84-87)
Berdasarkan penyataan temu bual di atas, guru literasi sebagai pelaksana Program LINUS tanpa berselindung meluahkan secara terus-terang masalah ibu bapa yang tidak hadir ke sekolah apabila dipanggil. Ada nada kekecewaan dalam diri guru literasi kerana tidak mendapat kerjasama ibu bapa. Kekecewaan ini berasas kerana ketidakhadiran ibu bapa menyebabkan guru literasi juga tidak dapat memberi pendedahan tentang Program LINUS kepada ibu bapa murid-murid. Hal ini bermakna segala beban mencelikkan murid-murid akan terpikul di pihak sekolah dan bahu guru-guru sahaja. Ibu bapa tidak peduli untuk membantu anak masing-masing dengan alasan mereka tidak tahu apa-apa kerana tidak berlaku diskusi, proses bertukar fikiran dan mengalami senario sesi awal persekolahan.
Kajian mendapati sebagai pelaksana Program LINUS mereka memahami murid-murid dan kerjaya seawal sesi persekolahan bermula. Mereka perlu inspirasi daripada kehadiran ibu bapa yang hadir menghirup udara sekitar sekolah dan berinteraksi dengan guru dan anak masing-masing. Hal ini merupakan pengalaman
162 luar biasa pelaksana Program LINUS yang sukar dilupakan untuk memajukan murid-murid LINUS dan sekolah.
Kajian ini mendapati sesuatu organisasi seperti sekolah yang ingin mempunyai kualiti bukan sahaja diukur kepada kekuatan akademiknya tetapi merangkumi jaringan hubungan yang istimewa dengan ibu bapa murid-murid LINUS. Hubungan manusia atau interpersonal adalah penting untuk menggerakkan sesebuah organisasi seperti sekolah.
Moral daripada senario tersebut ialah pelaksana Program LINUS melihat interaksi dengan ibu bapa dan hubungan yang terjalin tersebut sebagai satu keutamaan. Sekolah perlu lebih proaktif dalam membina hubungan dengan ibu bapa murid-murid LINUS. Setiap isu sekolah perlu dibawa berbincang sama ada berkaitan dengan program-program sekolah yang baharu atau tentang laporan perkembangan anak-anak mereka.
Dapatan ini membuktikan pihak sekolah perlu mengambil dua kesempatan atas hubungan yang sedia ada untuk mewujudkan keserasian antara pihak sekolah dengan ibu bapa. Hal ini membolehkan pihak sekolah menggunakan peluang-peluang yang wujud daripada hubungan baik tersebut untuk mendapatkan bantuan, sokongan dan kerjasama demi kebaikan sistem pendidikan di sekolah tersebut dan peningkatan pencapaian literasi murid-murid LINUS seawal sesi persekolahan dibuka.
Kajian ini juga mendapati semasa Program Transisi pula iaitu program suai kenal murid-murid, guru literasi sebagai pelaksana Program LINUS mulai membuat catatan tentang murid-murid tersebut sekiranya mereka ada masalah dalam pembelajaran. Oleh itu guru tersebut boleh membuat keputusan untuk proses penempatan murid-murid tersebut sama ada ke aliran perdana, sebagai murid-murid LINUS ataupun murid-murid LINUS Tegar.
163 Guru literasi berinisiatif sedemikian untuk mengenali, memahami murid-murid serta memudahkan maklumat tentang murid-murid dialirkan kepada semua guru lain. Hal ini penting kerana secara mudah, penguasaan literasi akan tercapai apabila murid-murid difahami menurut acuan kejadiannya. Sebagai guru, beliau perlu mengetahui hakikat kemenjadian, fungsi dan peranan, asal usul dan latar belakang kehidupan murid-murid. Jawapan kepada mengapa persoalan ini penting tersirat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan insan berketrampilan dari sudut jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Lantaran itu, Program LINUS termasuk aktiviti memahami hakikat keperluan murid-murid LINUS dan penghayatan kehendaknya perlu dilaksanakan.
Oleh itu proses kolaboratif sesama guru sepanjang sesi persekolahan mesti berkesan. Selain itu semua pelaksana mendapat maklumat yang tepat tentang murid-murid LINUS. Dengan demikian mereka lebih mengenali, memahami keperluan murid-murid tersebut.
Seterusnya menerusi pemerhatian di dalam kelas semasa proses P&P, kajian mendapati apa yang menyedihkan ialah pelaksana mengenal pasti antara faktor yang menyumbang kepada kegagalan murid-murid LINUS menguasai literasi ialah sering tidak hadir ke sekolah, tidur di dalam kelas dan tidak menumpukan perhatian semasa guru mengajar. Selain itu murid-murid yang tidak pandai bergaul sesama kawan, pasif, tidak berminat juga didapati lemah pencapaiannya. Pelaksana juga berkongsi hal yang sama dengan pengkaji tentang faktor ini.
Dapatan ini bertepatan dengan Sorotan Kajian Bab 2 berkaitan isu yang timbul dalam pelaksanaan Program LINUS iaitu isu murid-murid yang bermasalah dalam pembelajaran :
Konsep kendiri murid-murid yang rendah adalah masalah kritikal. Murid-murid pasif, enggan terlibat dalam aktiviti akibat gangguan emosi, krisis keluarga,
164 perpecahan dan konflik keluarga. Mereka tiada keyakinan untuk berjaya dalam pelajaran. Mereka lambat berfikir dan bertindak, mudah lupa ajaran guru, sukar memahami dan lemah pengamatan. Justeru tidak minat belajar, mudah putus asa, pendiam, pemalu dan sukar bertindak. (Tiada sumber)
Isu ini dianalisis untuk mengenal pasti bagaimanakah kekurangan dari sudut teori, model penggubalan dan model pelaksanaan menjadi faktor penyebab wujudnya permasalahan dalam pelaksanaan Program LINUS. Hal ini dijelaskan lebih lanjut dalam Bab 5.
Murid-murid LINUS yang sering tidak hadir ke sekolah, tidur di dalam kelas, pasif dalam pergaulan, tidak berminat, membawa maksud ada keperluan mereka yang tidak dipenuhi sama ada oleh ibu bapa mahupun guru. Penyataan temubual berikut menjelaskan hal ini.
…murid-murid yang tidak melepasi LINUS kadang kalanya ada mempunyai masalah dari segi masalah kehadiran…
(PL/SKLA/1/64-65)
Itu punca-punca murid-murid LINUS inilah saya rasa sebabnya tidur di dalam kelas tidak menumpukan perhatian apa yang diajar oleh guru kerana mungkin murid-murid itu penat.
(PL/SKLA/1/114-116)
Berdasarkan analisis dokumen iaitu Buku Rekod Kehadiran murid-murid LINUS tersebut, memang didapati banyak kehadiran mereka yang kosong. Jadi kenyataan pelaksana Program LINUS tentang ketidaklancaran proses P&P akibat ketidakhadiran murid-murid LINUS tersebut memang berasas.
Dapatan ini juga bertepatan dengan kandungan Teori Pembelajaran Bandura yang menekankan tingkah laku manusia berlaku hasil hubungan antara persekitaran dengan tingkah laku manusia. Pembelajaran hanya bermula apabila murid-murid LINUS tersebut bertindak dengan rangsangan. Tetapi andai murid-murid tidak ada, sukar bagi guru literasi untuk merangsang P&P mereka. Di samping itu, teori ini
165 menyatakan bahawa proses pembelajaran tidak akan berjalan lancar sekiranya murid-murid tidak berminat dan tidak hadir ke sekolah.
Atas keinginan merasai pengalaman, melalui pemerhatian juga, kajian mendapati murid-murid yang tidak mengambil sarapan pagi, mengabaikan pemakanan berzat sukar menerima pengajaran guru. Malahan murid-murid ini merupakan gangguan kepada guru-guru untuk sesi P&P di dalam kelas. Penyataan yang berikut menyokong dapatan ini.
…dia sangat memang tak fokus kacau sana kacau sini. Lepas tu murid-murid lain pun selalu mengadu dia curi makanan dia curi itulah. Buat kerja memang tak nak buat. Lepas tu saya masih ingat nama dia Murali. Saya masih ingat lepas tu kan lepas tu sekali saya dapat aduan dari murid-murid…
(GB/SKPJ/1/497-500)
Dapatan ini pula membawa pengkaji kembali kepada unsur dalam Teori Humanistik yang menyokong kajian ini di mana salah satu cirinya ialah manusia itu mempunyai keperluan asas. Sekiranya keperluan asas manusia dipenuhi, individu dapat memotivasikan diri untuk mencapai kesempurnaan diri. Hal ini turut disokong oleh Hierarki Keperluan Maslow (1984) iaitu jika keperluan psikologi tidak dipenuhi oleh individu, jiwa akan terganggu.
Kajian ini turut mendapati menerusi pemerhatian fizikal murid-murid LINUS, pelaksana mendapati ada dalam kalangan murid-murid LINUS itu fizikalnya berlainan daripada murid-murid normal.
Kalau kita tengok dari segi fizikal dia tapi nanti kalau puan boleh tengok dia atau boleh nampaklah sedikit. Tapi kita sekarang ni kita nampak satu nak katakan bukanlah nak katakan istimewa tak dia tu tapi ada sedikit dia kelainan sedikit. Maknanya slow dia slow dia slow ye. Tapi dia boleh mengaji apabila kita ajar tu dia boleh membaca cuma lambatlah.
166 Oleh itu berasaskan dapatan ini, dapat diinterpretasikan inisiatif pelaksana Program LINUS melakukan pemerhatian awal, pemerhatian terhadap fizikal murid-murid LINUS, tingkah laku murid-murid, pergaulan murid-murid, pemerhatian harian dalam kelas dari sudut sikap murid-murid, cara murid-murid membaca dan menulis dapat membantu mengenal pasti mengapa murid-murid LINUS tidak menguasai literasi. Maka langkah segera perlu diambil oleh pelaksana untuk mengatasi hal-hal tersebut.
Sebagai pelaksana Program LINUS, mereka berasa perlu membuat pemerhatian untuk melihat ke dalam diri setiap murid LINUS. Pemerhatian tersebut membolehkan mereka mengenal pasti ketidakcukupan diri murid-murid LINUS tersebut yang perlu diperbaik. Selain itu pemerhatian tersebut turut mengupayakan pelaksana Program LINUS untuk mengenal pasti murid-murid LINUS dari sudut kesempurnaan yang perlu ditingkatkan.
Kajian mendapati pelaksana Program LINUS berasa gusar akan senario murid-murid LINUS di sekolah masing-masing. Menerusi pemerhatian di sekolah pengkaji turut berasakan hal yang sama. Namun berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Lebih-lebih lagi setelah melakukan pemerhatian sendiri, pengkaji mendapati pelaksana Program LINUS di empat buah sekolah tersebut berperanan aktif dengan menelusuri akar masalah yang menyebabkan murid-murid LINUS tidak menguasai literasi dan berusaha mengatasinya.
Perbualan dengan Murid
Seterusnya kajian ini mendapati kebijaksanaan pelaksana memanfaatkan perbualan dengan murid-murid LINUS, dapat mencungkil faktor-faktor yang menyebabkan mereka gagal menguasai literasi. Dengan tindakan sedemikian pelaksana mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dalam kehidupan murid-murid di rumah bersama
167 keluarga. Natijahnya pelaksana dapat mendekati dan lebih memahami murid-murid LINUS tersebut serta membantu mereka.
Saya rasa itu peranan juga untuk memanggil murid-murid, bertanya dari segi latar belakang keluarga, kehidupannya di rumah. Saya rasa itu peranan saya sebenarnya itu.
(K/SKLA/1/44-45)
Kajian ini mendapati kemampuan murid-murid LINUS untuk berbual-bual dengan guru banyak mempengaruhi pembelajaran mereka. Kemampuan berbual melibatkan kemahiran mendengar secara langsung. Hal ini demikian kerana perbualan merupakan satu aspek penting dalam proses komunikasi.
Semasa pemerhatian kelas guru literasi, pengkaji mendapati guru berbual-bual mesra dengan murid-murid LINUS sebelum memulakan sesi P&P ataupun semasa sesi P&P. Guru literasi berinisiatif mendengar respons murid-murid LINUS dalam perbualan tersebut. Proses mendengar ini berkait secara terus dengan proses berfikir. Berfikir dalam konteks ini melibatkan penggunaan proses mental dalam melakukan inferens, menjangkakan hasil, generalisasi, organisasi dan membuat rumusan.
Cikgu: Ok tangan dekat sisi. Azrul dekat tangan tu dekat sini sikit. Ok, ok cakap
apa?
Murid: Selamat Pagi, Cikgu Farah
Cikgu: Ok bagus, duduk. Sihat ya? Sihat. Ok hari ini cikgu ada bawa sesuatu,
Azrul duduk elok-elok jangan pegang bekas pensel ok cikgu nak Rabika, Norizah, Azrul teka ya apa yang cikgu bawa? Ni cikgu ada ni ha boleh dengar tak bunyi dia? Cuba dengar ha cuba dengar lepas tu teka. Ha ok siapa nak teka?
Murid: Saya
Cikgu: Ok Norizah apa yang ada dalam ni? Murid: Kuih
Cikgu: Apa dia? Murid: Kuih
168 Justeru, keupayaan menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan dan idea yang kritis secara lisan dapat membina keyakinan dan kecekapan murid-murid LINUS dalam berbahasa seterusnya menguasai literasi.
Maka tidak hairanlah guru literasi yang berinisiatif sentiasa menyiapkan diri terlebih dahulu sebelum memulakan P&P kelas LINUS. Beliau bermula dengan perbualan ringkas, sekadar menyapa murid-murid, bertanya khabar sehinggalah murid-murid benar-benar bersedia untuk menghadapi pelajaran barulah beliau memulakan sesi P&P.
Berdasarkan analisis dokumen menerusi Buku Rancangan Mengajar guru literasi, dan diperkukuh melalui pemerhatian kelas, kajian mendapati dalam set induksi guru literasi yang prihatin akan bertanya khabar murid-murid LINUS terlebih dahulu, bertanya soalan tentang mata pelajaran yang diajar dalam sesi sebelumnya sebelum sesi P&P hari itu dijalankan. Hal ini mengukuhkan lagi dapatan kajian ini di mana pelaksana berinisiatif melakukan perbualan untuk mencungkil mengapa murid-murid sukar menguasai literasi.
Kenal pasti masalah pembelajaran dalam diri murid-murid LINUS
Dalam sorotan kajian Bab 2, masalah pembelajaran diterangkan sebagai suatu keadaan tertentu yang dialami oleh murid-murid LINUS. Masalah ini menghalang kelancaran proses yang dilakukan guru untuk memperoleh suatu perubahan tingkah laku yang baharu daripada murid-murid LINUS secara keseluruhan.
Keadaan tertentu itu boleh berkenaan dengan keadaan diri murid-murid iaitu berupa kelemahan dan boleh juga berkenaan dengan persekitaran yang tidak kondusif bagi diri murid-murid.
169 Masalah pembelajaran ini tidak hanya dialami oleh murid-murid yang lembap sahaja dalam pelajarannya, tetapi juga boleh menimpa murid-murid yang pandai atau bijak. Kajian ini mendapati masalah pembelajaran murid-murid LINUS boleh dilihat dari dua sudut iaitu masalah pembelajaran dalaman dan masalah pembelajaran luaran. Menerusi pemerhatian, kajian ini mendapati masalah pembelajaran dalaman murid-murid LINUS adalah masalah yang timbul daripada dalam diri murid-murid-murid-murid LINUS. Masalah pembelajaran dalaman yang berasal dari dalam diri murid-murid itu sendiri ialah masalah kesihatan murid-murid, rasa selamat, faktor kemampuan intelektual, faktor afektif seperti yakin diri, motivasi, kematangan untuk belajar, usia, latar belakang sosial, kebiasaan belajar, kemampuan mengingat dan kemampuan indera seperti melihat, mendengar atau merasakan.
Masalah pembelajaran dalaman boleh dilihat dari dua sudut iaitu: (1) Biologi dan (2) Psikologi. Masalah bersifat biologi ialah masalah yang bersifat kejasmanian seperti kesihatan, cacat badan, kurang makan dan sebagainya. Sementara masalah yang bersifat psikologi adalah seperti perhatian, minat, IQ, dan emosi. Menerusi pemerhatian, pengkaji mendapati terdapat murid-murid LINUS yang kurus fizikalnya, memakai kaca mata yang tebal, hingus meleleh, batuk dan lain-lain lagi.
Dalam kajian ini pengkaji mendapati sungguhpun murid-murid LINUS ramai, pelaksana tetap mengambil inisiatif untuk mengenal pasti masalah pembelajaran dalaman murid-murid itu sendiri sama ada bersifat biologi atau psikologi seperti latar, diri, masalah kesihatan murid-murid, IQ dan emosi.
Faktor biologi berhubungan dengan keadaan jasmani murid-murid misalnya tentang fungsi organ-organ, dan susunan-susunan tubuh yang dapat mempengaruhi semangat dan kemampuan murid-murid LINUS dalam mengikuti pelajaran. Hal ini berkaitan dengan fizikal murid-murid tersebut.
170 Berasaskan pemerhatian, kajian mendapati fizikal murid-murid yang kekurangan zat makanan, akan mengakibatkan kemerosotan kesihatan. Hal ini menyebabkan murid-murid menjadi cepat lesu, mengantuk, dan tidak ada semangat untuk belajar. Pada akhirnya murid-murid tidak dapat mencapai hasil belajar yang diharapkan. Selain itu murid-murid mudah diserang penyakit seperti selesema, sakit gigi, batuk, dan lain sejenisnya. Semua senario itu tentu akan mempengaruhi hasil belajar murid-murid.
Semasa pemerhatian kelas, kajian mendapati ada murid-murid yang terlena semasa guru mengajar. Hal ini demikian kerana pelbagai sebab yang dinyatakan di atas. Namun bagi guru literasi, hal ini adalah biasa pada mereka. Sesi P&P tetap diteruskan sehingga akhir walaupun murid-murid terus lena di meja.
Berdasarkan pemerhatian ini kajian mendapati murid-murid sebenarnya tidak digerakkan jiwanya untuk berubah kepada kehidupan yang lebih baik. Guru dan sekolah merupakan institusi yang menggalas tanggungjawab tersebut, sepatutnya sentiasa menggerakkan murid-murid agar bersedia berubah ke arah kehidupan yang lebih baik melalui penguasaan ilmu dan dalam konteks kajian ini ialah penguasaan literasi.
Namun demikian, menurut pelaksana ada dalam kalangan murid-murid LINUS itu bukan menghadapi masalah pembelajaran dalaman seluruhnya tetapi ada banyak faktor penarik di luar yang mengganggu proses pembelajaran mereka.
“… sebab setiap murid-murid ni dia punya kebolehan beza-beza. Untuk cepat dan lambat. Yang lambat kuasai kemahiran tu, masalahnya lambat tu mereka bukan murid-murid yang lembap. Ada faktor lain, cthnya tak beri tumpuan waktu belajar, tak fokus. Dia tengok ada benda menarik di luar, dia tengok kat tingkap, tu yang sebabkan dia tak boleh belajar sepenuhnya, …..”
171 Ironinya dalam keadaan beban tugas yang mencengkam, semasa pemerhatian kelas, kajian mendapati pelaksana masih bertanya beberapa soalan yang menunjukkan bahawa beliau kenal murid-murid dengan mendalam di samping menyelitkan unsur-unsur nasihat.
Hal ini bermaksud pelaksana memahami bahawa tanggungjawab mengajar itu bukan sekadar memberi fakta dan menyelesaikan sukatan tetapi ada yang lebih dalam daripada itu iaitu memahami keperluan murid-murid. Pelaksana maklum bagaimana untuk mengajar murid-murid LINUS yang ada masalah pembelajaran. Penyataan berikut menyerlahkan hal ini.
Cikgu: Ok tak boleh sombong sebab semua ada kelebihan dia, boleh? Faham
tak semua orang ada kelebihan dia macam Rabika, Rabika mungkin pandai masak, Norizah, Norizah mungkin artis yang cantik, Azrul mungkin Azrul berlari kuat, berlari pantas, kan? Kan? Ok dah ok tanggal topeng kejap lagi kita pakai balik, boleh? Ke nak pakai je? Ke nak pakai je? Nak pakai? Nak pakai? Ha pakailah, pakailah.
(GL/SKKU/P1/131-135)
Selain itu berdasarkan analisis dokumen dalam fail LINUS, didapati pelaksana menyimpan rekod justifikasi masalah kesihatan murid-murid (Rujuk Lampiran). Dengan inisiatif yang demikian pelaksana dapat pula ketahui apa masalah pembelajaran yang dihadapi murid-murid.
Pelaksana Program LINUS di sekolah bertindak menyelesaikan masalah pembelajaran murid-murid LINUS kerana memahami hakikat penguasaan literasi adalah wajib dan menjadi teras utama melalui pendidikan awal murid-murid, yang dimanifestasikan melalui kurikulum teras (core curricullum). Hal ini demikian kerana tujuan dan matlamat pendidikan itu sendiri adalah untuk membina insan yang berperanan sebagai khalifah Allah SWT dalam memakmurkan bumi.
172 Pelaksana Program LINUS juga memahami pendidikan kepada murid-murid LINUS hari ini mesti cenderung kepada keupayaan teras (Core Competency) yang memberi penekanan kepada aspek kecekapan penguasaan literasi.
Pelaksana LINUS sedar pendidikan tidak berkesan apabila sistem, kurikulum, dan matlamat akhir pendidikan sendiri tidak menjurus kepada pembentukan