• Tidak ada hasil yang ditemukan

SOROTAN KAJIAN

2.2 Program LINUS

Dalam konteks kajian ini, dasar merujuk kepada prinsip, haluan,sikap, pandangan serta pegangan secara kolektif yang diambil dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Dasar bererti asas, ketetapan, pegangan, tonggak tindakan atau policy. Dasar adalah pilihan kerajaan untuk dilaksana atau tidak setelah melalui proses tertentu (Thomas Dye, 2002). Pelaksanaan dasar awam bererti mencapai, memenuhi hasrat kerajaan

52 (Michael & Peter, 2002). Dasar mempunyai outcome yang dapat dilihat dan kadangkala tidak. Dasar merujuk kepada tindakan yang bertujuan (Michael & Peter, 2002).

Menurut Hogwood & Gunn dalam Hupe (2002), dasar awam didefinisikan sebagai reka bentuk yang dipengaruhi oleh keputusan dan pengaruh keadaan individu, kumpulan dan organisasi. Menerusi ketetapan DPK, pelbagai program pendidikan digubal KPM untuk memenuhi objektif kerajaan.

Menurut Arshad (2002), dasar pendidikan merupakan satu daripada dasar-dasar awam yang paling banyak digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan dari semasa ke semasa. Di Malaysia, dasar dan Program LINUS digubal di KPM untuk dilaksanakan di sekolah. Belanjawan yang diperuntukkan adalah untuk perjalanan sistem sekolah. Berjaya ataupun gagal Program LINUS bergantung kepada kecekapan pentadbir melaksana dasar tersebut (Ramaiah, 1993; Harding, Ansie; Engelbrecht, Johann; Verwey & Amanda, 2011). Hasil program ini ialah murid-murid yang menguasai literasi dan numerasi. Hal ini dijelaskan dalam Rajah yang berikut.

Hubungan Antara Dasar, Strategi Sektor dan Program Dasar Negara- Dasar Pendidikan Negara

Dasar Sektor- Agenda NKRA Pendidikan Negara

Program - Program LINUS Rajah 2.1 Hubungan Antara Dasar

53 Dasar awam juga dianggap sebagai alat memperuntukkan nilai kepada rakyat. Hal ini disebabkan dasar tersebut mengandungi latihan-latihan dan program-program yang bertujuan untuk meningkatkan pembangunan rakyat (Easton, 1965; Essuman, Ato & Bosumtwi-Sam, 2013).

Lewis A. Froman Jr. (1967) menyatakan dasar awam mempunyai dua makna yang nyata iaitu dasar sebagai:

i. Cara untuk melakukan sesuatu perkara. ii. Program-program yang dijalankan.

Oleh itu dalam kajian kualitatif ini, pengkaji memilih untuk menyatakan dasar awam sebagai makna yang kedua iaitu program yang dijalankan oleh KPM iaitu Program LINUS (Lewis A. Froman, 1967).

Menurut Arshad (2002), dasar yang bagus ialah dasar yang menyelesaikan masalah awam, memelihara kebajikan dan kesejahteraan awam. Sebaliknya, dasar yang lemah pula tidak menyelesaikan masalah awam, malahan memburukkan lagi keadaan masalah. Seterusnya langkah-langkah penyelesaian yang berkesan dapat ditentukan dan pembaziran kewangan dapat dielakkan (Mahzan, 2002).

Indeks Prestasi Utama/Key Performance Index (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara/National Key Result Area (NKRA) diumumkan pada Julai 2009. Salah satu sub NKRA tersebut ialah meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti. Tujuan sub NKRA LINUS ini ialah memastikan murid-murid yang bersekolah boleh menguasai kemahiran literasi dan numerasi ketika melangkah ke Tahun 4 sebelum penghujung tahun 2012. Program LINUS yang dilaksanakan di seluruh sekolah kerajaan pada tahun 2010 merupakan wacana menyempurnakan hasrat kerajaan.

54 Malaysia telah mencapai kejayaan cemerlang dalam sistem pendidikan sepanjang tempoh 50 tahun termasuk pencapaian kadar literasi dewasa sebanyak 92%. Walau bagaimanapun, pendidikan Malaysia telah ketinggalan berbanding Singapura, Hong Kong dan Korea. Jurang perbezaan keberhasilan antara murid-murid di Malaysia terus meluas. 20% murid-murid Malaysia gagal mencapai tahap minimum Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dalam Matematik dan Sains pada tahun 2007, berbanding hanya 5-7% pada tahun 2003. Memperbaik pencapaian pendidikan penting untuk membina satu tenaga kerja yang berdaya saing (Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan, 2010).

Kerajaan prihatin akan penguasaan literasi dan numerasi murid-murid. Sejumlah 27.2% bajet 2010 dikhususkan kepada akses pendidikan berkualiti, dan bagi Program LINUS sebanyak RM400 juta disediakan untuk tiga tahun, iaitu dari tahun 2010 hingga 2012 (Rancangan Malaysia Ke-10, 2010).

2.3 Falsafah

Dalam pentadbiran kerajaan, landasan asas falsafah dan teori diperlukan sebagai panduan menjalankan kegiatan pendidikan secara bermoral. Dalam falsafah kehidupan, prinsip utama ialah segenap urusan manusia mestilah berteraskan nilai-nilai murni iaitu jujur, amanah, budiman, kebajikan awam, jimat cermat dan hormat. Tanpa nilai ini, tamadun menjadi mundur.

Pentadbiran kerajaan mesti berpandukan falsafah dan sistem peradaban yang baik agar proses penggubalan dasar menjurus ke arah kesejahteraan dan kegembiraan awam (Mahzan, 2002). Dalam bidang pendidikan pula, KPM bertindak berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) seperti yang berikut:

55 Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Falsafah Pendidikan ini menjadi panduan semua aktiviti pendidikan di Malaysia dikenali sebagai FPK. Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan negara menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti.

FPK menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu melahirkan insan berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang menjadi warganegara yang baik. Hal ini sudah semestinya tercapai melalui penguasaan literasi dalam kalangan murid-murid di SK.Selain itu, pendidikan merupakan proses asas untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.

Matlamat pendidikan adalah untuk membangunkan semua aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang supaya kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara. Berilmu, berpendidikan, berbudi pekerti yang baik, berakhlak mulia yang sekali gus menjadi ciri-ciri asasi seorang ahli keluarga, masyarakat dan warganegara yang terdidik.

Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah teori tentang ilmu, nilai dan peranan ilmu dalam pembangunan insan. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan ilmu kepada manusia

56 tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta manusia.

Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang amat tinggi nilainya. Berdasarkan FPK, jelas bahawa tujuan pendidikan tinggi bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma, tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh melalui program-program pendidikan.