2.4 Kefahaman Guru Dalam Pelaksanaan Kurikulum 2013
2.4.4 Kefahaman Guru Dalam Menggunakan Media Pembelajaran
Media pengajaran merupakan alat yang boleh membantu proses pengajaran dan pembelajaran supaya menjadi lebih menyeronokkan dan berkesan serta memudahkan guru dan pelajar berinteraksi dalam proses penyaluran maklumat. Nurseto (2011)
menyatakan bahawa media sebagai alat pembelajaran yang lebih efektif, mempercepat proses belajar. Antara contoh media yang dapat digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah internet, tv, gambar, flash card, dan powerpoint. Mengikut Heinich et al., (1993), media ialah alat penyampaian atau pembawa maklumat dengan penerima seperti televisyen, radio, gambar, Internet, risalah, foto dan perisisan komputer. Media berfungsi dengan memudahkan proses komunikasi antara penghantar dan penerima.
Nurseto (2011) menyatakan bahawa media sebagai wahana penyalur informasi agar dapat membantu pelajar mencapai tujuan pembelajaran. Yusuf Hashim (1997) menyatakan media diistilahkan sebagai tujuan menyampaikan maklumat dan pengetahuan dengan menggunakan peralatan dan bahan perisian yang dibina dan direka sesuai dengan bahan pembelajaran. Penggunaan media pembelajaran dapat melancarkan proses pembelajaran dan mengoptimakan hasil pembelajaran (Nurseto,2011). Oleh itu, kefahaman guru dalam penggunaan media harus disesuaikan dengan kurikulum. Penggunaan media secara sistematik dalam proses pengajaran dan pembelajaran membantu meningkatkan kapasiti kefahaman pelajar (Rozinah Jamaluddin, 2003).
Penggunaan sumber pembelajaran atau media yang dipilih secara teliti akan memberi kejayaan kepada proses pembelajaran. Penggunaan media pembelajaran akan menjadi nilai tambah kepada proses pembelajaran (Basmalah, 2013). Media pembelajaran dapat menarik dan menstimulasikan perhatian pada bahan pembelajaran, menjelaskan isi kandungan pelajaran, membantu pembentukan sikap
dan pembangunan serta memberi peluang untuk menganalisis sendiri prestasi secara individual (Kemp, 1995).
Perubahan global dan perkembangan teknologi dalam sistem pendidikan menuntut guru melakukan perubahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (Thomas dan Agung, 2005). Haris (2011) jelas menyatakan bahawa sistem pendidikan sekolah kini mengikut perubahan teknologi dengan menguasai Tehnological Pedagogical Content Knowledge (TPACK). Media pengajaran yang digunakan dapat membantu guru untuk menjelaskan konsep dan memberi penerangan kepada pelajar agar mesej yang ingin disampaikan jelas dan tepat.
Wijanto (2012) dalam kajiannya menyatakan guru merupakan nadi utama dalam menyampaikan kurikulum melalui media. Oleh itu, media pembelajaran dapat di reka bentuk secara baik dan akan membantu pelajar mencapai tujuan pembelajaran. Penggunaan media lebih berguna untuk meningkatkan pemahaman dan ingatan kandungan pembelajaran oleh pelajar (Chen, 2011).
Sebagai pekerja profesional, guru harus menguasai substansi keilmuan dan menguasai model pembelajaran supaya dapat melibatkan pelajar secara aktif. Sebilangan guru hanya sekadar melaksanakan kewajipan, namun guru yang bersikap sedemikian adalah relatif dan tidak memerlukan strategi serta pelbagai kaedah tertentu dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru berkenaan tidak ambil kisah dengan latar belakang pelajar dan karekteristiknya. Mereka merasakan tidak perlu membuat perancangan pembelajaran, pembangunan strategi, pembangunan
mesej dan mengabaikan penggunaan media dalam pembelajaran (Mukhtar & Yamin, 2002).
Guru dituntut menggunakan media yang sedia ada atau media baharu. Maka, guru perlu mengetahui dan memahami cara penggunaan media pembelajaran. Hamalik (1994) menjelaskan bahawa guru harus mempunyai pelbagai kefahaman terhadap fungsi media dalam rangka mencapai tujuan pendidikan.
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, terdapat guru tidak menyedari bahawa penggunaan media pembelajaran sangat membantu guru dalam proses pengajaran. Menurut Alwen Bentri (1998) guru pada dasarnya kurang mengetahui dan menyedari sepenuhnya fungsi dan tujuan digunakan alat dan media tersebut. Walhal media berfungsi sebagai sumber alternatif dan dapat memberikan rangsangan ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Rowntree (1982) menjelaskan bahawa pada dasarnya media berfungsi sebagai alat pengajaran untuk meningkatkan motivasi. Basmalah (2013) turut senada menyatakan bahawa media pembelajaran yang baik akan memberikan motivasi, mudah mengingati pelajaran dan menjadikan pelajar lebih aktif di dalam kelas.
Media dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat dinyatakan bahawa sumber rangsangan kepada pelajar dan guru. Pelajar dan guru boleh meletakkan media sebagai variasi penjelasan verbal mengenai bahan pembelajaran. Guru perlu menggunakan media dalam menjelaskan pembelajaran pada saat guru menyampaikan pembelajaran. Hal ini banyak membantu guru dalam meningkatkan proses pengajaran dan pembelajarannya (Rusman, 2009). Menurut Kemp dan
Danton (1985) beberapa hasil kajian yang menunjukkan kesan positif daripada penggunaan media sebagai integrasi pembelajaran di dalam kelas.
Dale (1969) mengemukakan bahawa bahan-bahan audio-visual dapat memberikan banyak manfaat asalkan guru berperanan aktif dalam proses pembelajaran. Selain itu Basmalah (2013) menyatakan bahawa internet, CD dan audio visual dapat digunakan sebagai media pembelajaran yang menarik. Untuk menyediakan bahan pelajaran dengan bantuan media guru perlu sentiasa bersedia menggunakannya. Dalam sistem pendidikan ketika ini, hubungan guru dan pelajar merupakan elemen penting. Oleh itu, guru perlu memahami dan memanfaatkan media pembelajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Sudjana dan Rivai (1990) mengemukakan manfaat media pembelajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih jelas maknanya serta mudah difahami oleh pelajar. Kaedah pengajaran dan pembelajaran akan lebih berbeza dan bukan semata-mata komunikasi verbal melalui penuturan kata-kata oleh guru. Hasilnya pelajar tidak bosan dan guru dapat meningkatkan kefahaman pelajar dengan cepat. Sebaliknya, pelajar bukan hanya mendengar huraian guru, tetapi melakukan aktiviti lain seperti mengamati, mendemonstrasi dan main peranan. Hamalik (1994) menjelaskan manfaat media pendidikan untuk meningkatkan perhatian pelajar. Habidin et al., (2013) menyatakan bahawa media pembelajaran secara interaktif akan melahirkan proses pembelajaran yang lebih efektif dan efisyen.
Kefahaman guru dalam menggunakan media pembelajaran memerlukan ketekunan dan kemahiran yang tinggi dalam menerapkan budaya pengajaran dan pembelajaran
yang ditentukan. Arsyad (2010) menjelaskan terdapat enam faktor yang harus difahami oleh guru dalam menerapkan media pembelajaran iaitu faktor tujuan, faktor kegunaan, faktor bayaran, faktor pelajar, faktor kesediaan dan faktor kualiti teknikal.
Dalam memahami faktor tujuan, setiap media yang dipilih oleh guru hendaklah mencapai tujuan yang ditetapkan. Sebagai contoh, guru mengajar subjek jenis -jenis pakaian, maka media yang tepat untuk menyediakan bahan tersebut adalah media grafik seperti benda asli, gambar, poster, kliping dan carta agar pelajar dapat melihat dengan jelas dan membezakan dengan yang lain. Begitu juga dengan memahami keadaan pelajar, setiap media yang digunakan hendaklah sesuai dengan peringkat kemampuan pelajar.
Dalam memahami faktor bayaran, media yang dipilih oleh guru hendaklah sesuai dengan hasil yang diperolehi. Menerusi faktor kesediaan, guru sentiasa bersedia dengan apa jua keadaan dan mengambil keputusan untuk menukar atau memilih media yang lain sekiranya berlaku kerumitan. Manakala faktor kualiti dan teknikal menekankan mutu dan kualiti media yang digunakan seperti alat OHP.