Latihan SkiVes
Jadual 3.5: Sub fasa, metod dan penerangan dalam fasa reka bentuk dan pembangunan
3.4.1 a Kekuatan Kaedah Fuzzy Delphi (FDM) Sebagai Kaedah Pengukuran Yang Efektif
Jika disorot kembali bahawa kaedah Delphi adalah suatu teknik dan pendekatan yang digunakan untuk meninjau dan mengumpulkan pendapat kesepakatan sekumpulan pakar secara berstruktur (Muhammad Imran, 2007; Adler & Ziglio, 1996). Manakala Linstone dan Turoff (2002) pula menyatakan bahawa kaedah Delphi adalah suatu kaedah dalam membuat keputusan dengan melalui beberapa pusingan soal selidik bagi mendapatkan pandangan pakar berkenaan sesuatu isu atau perkara yang sedang dikaji. Penegasan Delbecq, Van de Ven dan Gustafson (1975) pula dirujuk menyatakan kaedah Delphi merupakan satu kaedah yang berupaya mencari titik persetujuan dan konsensus pakar secara bersistematik dengan menggunakan satu set soal selidik yang telah dibangunkan berdasarkan pendapat pakar itu sendiri. Hill dan Fowles (1975) pula menegaskan bahawa kaedah Delphi berupaya menjadi suatu alat untuk membuat suatu ramalan dan jangkaan bagi suatu isu untuk masa depan berdasarkan pandangan sekumpulan pakar yang berkaitan dalam sesuatu isu. Kesimpulan pandangan pakar di atas membuktikan bahawa kaedah Delphi ini adalah suatu kaedah yang berupaya untuk membuat sesuatu keputusan di mana responden yang terlibat terdiri daripada mereka yang arif dengan sesuatu isu dan kajian. Justeru itu, kajian yang berasaskan kaedah Delphi amat memerlukan pengkaji menjalankan proses temubual kepada responden bagi mendapatkan pandangan mereka terhadap isu yang dikaji. Walau bagaimanapun, proses mendapatkan isu ini juga boleh dijalankan dengan menggunakan kaedah alternatif lain seperti melakukan pencarian literatur (Chang, Hsu & Chang, 2011; Dullfield‟s, 1993). Hal ini sejajar dengan pandangan Powell (2003) yang menghujahkan bahawa kaedah Delphi adalah sangat fleksibel di mana tujuan utama kaedah ini digunakan adalah untuk membuat sesuatu keputusan berdasarkan kesepakatan kumpulan pakar.
University
112
Namun begitu, terdapat juga kelemahan dalam kaedah ini di mana Saedah (2008) berhujah bahawa kebolehpercayaan data adalah diragui sekiranya pengkaji gagal memilih pakar yang sebenar. Beliau juga menambah bahawa, antara kelemahan lain yang berkemungkinan berlaku adalah melibatkan kebosanan yang dialami oleh pengkaji dan kumpulan pakar kerana ia melibatkan beberapa pusingan Delphi yang berulang-ulang serta tempoh masa kajian yang panjang. Permasalahan ini turut dikongsi dan disokong oleh Bojadziev dan Bojadziev (2007) dengan menegaskan bahawa kelemahan yang paling ketara di dalam sesuatu kajian yang melibatkan pendekatan kaedah Delphi adalah ia melibatkan suatu kajian yang panjang dan berulang di mana ia mampu menyebabkan kebocoran dan kehilangan data berlaku seterusnya menghasilkan data yang tidak tepat dan tidak lengkap. Hal demikian menyebabkan para pengkaji cenderung memilih bilangan pakar yang rendah di dalam menjalankan kajian. Namun begitu, pemilihan bilangan pakar yang rendah turut menjadi kontroversi kerana dikhuatiri bilangan pakar yang kecil tidak berupaya untuk mengukur sesuatu isu yang besar (Saedah, 2008). Dengan kata lain ia bermaksud pendapat jumlah pakar yang dipilih berkemungkinan tidak mewakili sebilangan besar pendapat pakar-pakar yang lain. Pandangan ini turut disokong oleh sarjana lain di mana keputusan yang dibuat oleh pakar adalah bergantung kepada kompetensi individu dan ia sangat subjektif (Bojadziev & Bojadziev, 2007).
Antara kelemahan lain bagi kaedah Delphi yang telah disenaraikan Ho dan Chen (2007) adalah seperti berikut:
1. Pengulangan pusingan Delphi untuk mencapai kesepakatan pakar akan menyebabkan masa kajian bertambah panjang.
2. Pengulangan pusingan Delphi juga berupaya menyumbang kepada gangguan kesinambungan data yang diperoleh daripada kumpulan pakar.
University
113
3. Peningkatan kos berlaku kerana pandangan daripada pakar yang melibatkan beberapa pusingan dan analisis yang dilakukan.
4. Pendapat antara pakar hanya boleh diperoleh pada peringkat tertentu sahaja. Sebarang kekaburan tidak akan dipertimbangkan, keadaan ini akan membawa kepada salah tafsir di antara pakar.
5. Kelemahan dalam proses analisis juga akan menyebabkan beberapa pendapat pakar tidak diambil kira dalam mencapai konsensus.
Oleh itu, berdasarkan kepada permasalahan yang timbul daripada kaedah Delphi, maka kaedah Fuzzy Delphi (FDM) telah dibangunkan bagi menyelesaikan permasalahan yang telah dinyatakan. Di antara kebaikan dan kelebihan kaedah Fuzzy Delphi (FDM) ialah:
1. Ia berupaya mengelakkan kebosanan terhadap pengkaji dan kumpulan pakar kerana berupaya mengurangkan pusingan Delphi.
2. Ia berupaya mengelakkan kehilangan dan kebocoran data yang dikutip oleh pengkaji terhadap sekumpulan pakar di dalam kajian. 3. Pakar sepenuhnya boleh meluahkan pendapat mereka, memastikan
kesempurnaan dan pendapat yang konsisten.
4. Mengambil kira kekaburan yang tidak boleh dielakkan semasa proses kajian dijalankan. Kaedah ini tidak menyalahtafsirkan pendapat asal pakar dan memberikan gambaran tindak balas sebenar mereka.
Hujah ini adalah sejajar dengan Chang, Huang dan Lin (2000), yang memberi pandangan bahawa kaedah Fuzzy Delphi (FDM) mampu untuk menyediakan perkara-perkara berikut:
a) Ia memproses kekaburan berhubung item ramalan dan kandungan maklumat responden.
b) Ciri-ciri individu peserta boleh dijelaskan.
University
114
Secara ringkas, kaedah Fuzzy Delphi (FDM) ini mampu digunakan untuk mendapatkan konsensus pakar yang bertindak sebagai responden berdasarkan penggunaan kaedah kuantitatif. Jika disorot kepada kajian lepas, terdapat banyak kajian yang mengaplikasikan pendekatan Fuzzy Delphi (FDM) seperti pemilihan bahan dalam bidang kejuruteraan (Chang, Hsu & Chang, 2011); analisis masalah dan keperluan guru pendidikan khas integrasi (masalah pembelajaran) peringkat sekolah rendah dalam bidang pendidikan seksualiti (Shariza, et. al, 2014); pemilihan teknologi bagi minyak pelincir kejuruteraan (Hsu, Lee & Kreng, 2010); penilaian terhadap indikator utama dalam menentukan kompetensi eksekutif pengurusan dalam bidang perakaunan (Liu, 2013); pemilihan strategi penyelesaian masalah dalam bidang komunikasi (Jafari, Jafarian, Zareei & Zaerpour, 2008); penentuan kompetensi guru terhadap pengurusan pengajaran dan pembelajaran (Mohd Ridhuan, Shariza & Mohd Ibrahim (2014); penentuan faktor-faktor sosio-ekologi yang mempengaruhi kawasan luar bandar (Lezama, Arroyo & Hernandez, 2014); penentuan kegagalan talian paip (Ariavie & Ovuwo, 2012); keperluan aspek „riadhah ruhiyyah‟ untuk profesionalisme perguruan dalam bidang pendidikan islam (Habibah @ Artini et. al, 2014); pemilihan pembekal dalam sistem pembuatan (Tahriri, Mousavi, Haghighi & Md Dawal, 2014); penilaian facebook (FB) bagi kurikulum masa depan (Nurulrabihah et, al, 2013); penilaian keupayaan perisai tempur dalam bidang ketenteraan (Cheng & Lin, 2002), reka bentuk panduan dalam psikologi pembelajaran bagi sekolah menengah (Nurulrabihah, et. al, 2015), penentuan elemen aktiviti bagi M-pembelajaran (Asra, Muhammad Ridhuan Tony Lim, Saedah & Siti Aisyah, 2014); pemilihan pekerja oleh bahagian sumber (Abduljabbar, 2015), pemilihan penyedia perkhidmatan pelanggan (Gupta, Sachdeva & Bhardwaj, 2010); pembinaan kerangka bagi pembangunan pihak yang berkepentingan dalam kejuruteraan marin (Nazirah et. al, 2015) dan sebagainya.
University
115