6 Jamadil Awwal 1436 / 25 Februari 2015 Chiku, Gua Musang
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Tidakkah Kami telah menjadikan bumi yang terbentang luas sebagai hamparan? Dan Kami jadikan bukit-bukau sebagai pengukuhnya?
(Al-Naba’: 6-7)
Alhamdulillah marilah sama-sama kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita jayakan juga hasrat besar kita bagi membina kilang simen bersepadu terbesar di Chiku, Gua Musang ini.
Saya terlebih dahulu mengucapkan tahniah dan syabas khasnya kepada pihak Majlis Daerah Gua Musang dan juga syarikat pemaju ASN Cement Sdn Bhd yang telah bertungkus-lumus berusaha sejak daripada awal lagi bagi memastikan pembinaan kilang ini berjaya dan ini adalah satu usahasama antara PBT Majlis Daerah Gua Musang dan syarikat swasta yang pertama sedemikian di negara ini.
Negeri Kelantan ini pada hakikatnya telah membangun dengan beridentitikan Islam sebagai teras, maka setiap pembangunan yang akan ditempa nanti juga tidak akan terpisah dari dasar-dasar yang digariskan oleh tuntutan Islam.
Segala perancangan membangunkan ekonomi Kelantan yang telah diusahakan oleh kerajaan negeri juga membuktikan bahawa Kelantan dan rakyatnya tidak pernah ketinggalan di dalam arus kemajuan bahkan sama
148
dengan pembangunan-pembangunan yang terdapat di negeri-negeri lain yang membangun.
Model ekonomi yang berteraskan konsep langit terbuka pada hari ini perlu disantuni dengan lebih gigih. Dari sudut pembangunan ekonomi, Kelantan insyaAllah telah dan sedang berusaha menjalinkan hubungan perdagangan yang lebih mantap dengan negara-negara lain di peringkat antarabangsa.
Kerajaan negeri amat serius dengan pelbagai usaha untuk menarik pelabur bagi melabur di Kelantan sama ada pelabur dari dalam atau luar negara.
Moto yang kita gariskan di bawah Merakyatkan Membangun Bersama Islam untuk dilaksanakan di semua peringkat ialah Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan. Ianya perlu diberi kerjasama oleh semua pihak. Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan ini pada asasnya bermaksud penerapan nilai Membangun Bersama Islam di dalam kehidupan rakyat seharian termasuklah dalam mengurus hal ehwal pembangunan serta memastikan kemajuan dalam sesebuah negeri itu menepati ciri-ciri yang telah digariskan oleh agama.
Apa yang kita mahu di Kelantan ini, aspek-aspek pembangunan berjalan seiring dengan tuntutan syariat. Jika syariat Allah SWT diketepikan, biarpun bangunan yang dibina mencakar langit, pelbagai kemudahan bangunan dan prasarana dapat disediakan, namun ia tetap tidak mempunyai apa-apa harga di sisi Allah SWT sekiranya aspek syariat dan pembangunan berlandaskan agama diketepikan.
Pembangunan sosio ekonomi di Kelantan adalah merupakan keutamaan kerajaan negeri dan pihak kerajaan negeri telah menyatakan hal ini dalam strategi kerajaan untuk mempastikan bahawa penyelenggaraan segala kemudahan infrastruktur asas secara teratur dan menyeluruh bagi menjamin tahap sosio-ekonomi dan kebajikan rakyat direalisasikan sebaik mungkin bagi menjadikan negeri Kelantan sebagai Negeri Berkebajikan.
149
Kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM 281.61 juta bagi memberi fokus dan penekanan kepada usaha mempertingkatkan penyediaan prasarana dan kemudahan demi memajukan tahap sosio-ekonomi rakyat jelata berasaskan kepada kemampuan kewangan kerajaan negeri.
Walaupun dalam keadaan ekonomi yang sederhana serta kedudukan kewangan yang terhad, kerajaan akan terus memberi penekanan dalam mempastikan setiap rakyat dapat menikmati kemakmuran negeri melalui pelbagai program pembangunan yang dirancang. Program pembangunan kemudahan infrastruktur asas kepada rakyat akan tetap menjadi pilihan utama kerajaan negeri, kerana bagi kerajaan negeri, pembangunan infrastruktur akan menjadi pemangkin kepada pembangunan fizikal dan pembangunan sosial yang lain. Oleh itu, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sejumlah RM 54.50 juta bagi menjayakan penyediaan kemudahan infrastruktur asas kepada rakyat ini.
Projek kilang simen terbesar yang kita usahakan ini di mana merangkumi sebahagian dari kawasan Felda dan tanah negeri adalah salah satu usaha kerajaan negeri untuk membangunkan Bandar Chiku kerana di sini kedudukannya yang amat strategik serta mempunyai banyak gua batu kapur.
Keadaan ini akan memudahkan lagi usaha penghasilan batu hangus dan untuk mendapatkan bahan mentah utama simen iaitu batu kapur dan tanah liat yang boleh dikuari terus dari bukit batu kapur tersebut.
Projek ini pada asasnya adalah salah satu pemangkin kepada ekonomi di negeri Kelantan dan ia adalah projek perindustrian terbesar di negeri Kelantan dan apabila projek ini siap sepenuhnya saya yakin ia akan dapat menjana peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk setempat dan saya difahamkan projek ini akan menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 3,000 penduduk tempatan nanti sama ada secara langsung atau tidak
150
langsung. Ini adalah satu perkara yang membanggakan pihak kerajaan dalam usaha kita membangunkan zon-zon komersial di negeri ini.
Saya berharap juga agar tahap-tahap pengawalan pencemaran udara khususnya dapat ditingkatkan sebaiknya kerana sudah tentu dengan adanya kilang ini habuk-habuk daripada aktiviti kuari ini akan melebar luas dan jika tiada kawalan ia akan menggangu kestabilan dan kesihatan hidup penduduk berdekatan khasnya jika berlaku pemendapan dalam sumber air yang digunakan oleh penduduk.
Saya yakin, jika perancangan projek yang ada termasuk lain-lain projek sekiranya disertai dengan pelaksanaan pembangunan sikap yang cemerlang dan bergerak seiring dengan projek ekonomi di negeri ini, sudah tentu negeri Kelantan akan cepat membangun.
Pada hakikatnya, industri simen ini memainkan peranan utama dalam pelaksanaan program pembangunan prasarana yang diusahakan kerajaan negeri dan ia berfungsi sebagai pembekal kepada industri pembinaan. Bukan mudah untuk membina kilang-kilang sebegini kerana beberapa faktor keselamatan, penghasilan bahan mentah dan lain-lain sangat perlu diambil kira.
Sempena Majlis Pecah Tanah Tapak Pembinaan Kilang Simen Bersepadu pada hari ini, saya sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang berusaha dan bertungkus-lumus membangunkan kilang simen terbesar ini dan sekaligus membangunkan pertumbuhan ekonomi negeri Kelantan yang kita cintai.
151
Saya dengan ini, merasmikan Tapak Kilang Simen Bersepadu dengan lafaz yang mulia:
ميحرلا نمحرلا اللَّ مسب
Semoga diberkati Allah.
رفغتسأو اذه يلوق لوقأ هتاكربو اللَّ ةمحرو مكيلع ملاسلاو مكلو يل ميظعلا اللَّ
152
MAJLIS UCAPTAMA CEO PERBADANAN MENTERI BESAR