• Tidak ada hasil yang ditemukan

MAKNA ASASI SETIAP KATA KUNCI HATI BUDI MELAYU

Dalam dokumen VOL. 4 (2) NOV. 2017 (Halaman 135-140)

The Semantic Field of Malay Virtues inTraditional Malay letters

MAKNA ASASI SETIAP KATA KUNCI HATI BUDI MELAYU

Selanjutnya,akan diinterpretasikan makna asasi bagi 12 kata kunci yang mengelilingi kata fokus “tulus” tersebut. Kata kunci itu ialah “suci”, “murni”, “ikhlas”, “rela”, “hormat”, “memuliakan”, “sanjungan”, “sangka baik”, “bangga”, “suka”, “kagum”, dan “ingatan yang berpanjangan”. Setiap kata kunci akan dihuraikan pemaknaannya selari dengan pembentukan frasa HBM dalam warkah kajian. Untuk tujuan tersebut, pengkaji menggunakan Kamus Dewan Edisi Keempat Cetakan Pertama (2015) yang merupakan kamus umum bahasa Melayu paling autentik dan menjadi rujukan utama pengguna bahasa Melayu di Malaysia.

Suci dan Murni

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat Cetakan Pertama (2015: 1531, 1057, 1058), “suci” bermaksud niat atau perasaan yang bersih daripada sebarang kejahatan atau keburukan. Manakala “murni” berkaitan perihal asli dan tulen, yang tidak mengandungi unsur asing. Maka, kata kunci “suci” dan “murni” merupakan keperibadian bersih serta tulen yang dikenal pasti dalam kalanganmasyarakat Melayu tradisional, yang telah membantu mengangkat martabat bangsa ini di mata dunia suatu ketika dahulu.

“Suci” dan “murni” dalam konteks ini ialah keikhlasan yang amat mendalam, yang tidak mengandungi sebarang rasa curiga atau dendam. Hal ini dikesan melalui rasa hormat, tulus ikhlas, serta berlapang dada Sultan Sulu yang mengutus warkah kepada Gabenor Hong Kong untuk menyampaikan perkhabaran tentang Marudu yang telah diserangorang Borneo. Gambaran sifat “suci” dan “murni” dalam kalangan orang Melayu abad ke-19 ini dapat dilihat melalui frasa yang menunjangi HBM dalam warkah kajian, iaitu:

…hormat takzim lagi pun dengan takrim tambahan oleh ikhlas tulus dari bab al-fuad yang amat putih lagi jernih sadhrah pun tiada mengandungkan sesuatu apa bekas keruh atau daki…

(Warkah Sultan Sulu Muhammad Fadl kepada Gabenor Hong Kong, [1845])

Ikhlas

“Ikhlas” menurut Kamus Dewan Edisi Keempat Cetakan Pertama (2015: 563) ialah hati suci, tidak menipu atau tidak berpura-pura, dan tidak mengharapkan balasan atas apa yang telah dilakukan. Hal ini bersesuaian dengan keperibadian orang Melayu seperti dalam warkah perjanjian antara Sultan Brunei dengan Raja Sarawak melalui petikan berikut, “…perjanjian memberikan batu harang daripada negeri Mengkabung sehingga Tanjung Baram kepada Tuan Besyar James Brooke Esquire, Raja Sarawak”. Perkara ini memperlihatkan yang Sultan Brunei dengan hati yang “ikhlas” lagi suci sanggup memberikan pajakan kawasan yang kaya dengan batu arang dari Mengkabung hingga Tanjung Baram kepada Raja Sarawak, James Brooke. Sungguhpun di sebalik keikhlasan Raja Brunei ini terselit muslihat atau sebagai dorongan perlindungan, namun sifat “ikhlas” di hati pembesar Melayu ini ternyata mulia. Pengintepretasian dan pemaknaan bagi perkataan “ikhlas” yang dikenal pasti sebagai kata kunci dalam frasa HBM yang mengelilingi kata fokus “tulus” ini menjelaskan bahawa sifat mulia telah wujud dalam masyarakat Melayu sejak abad ke-19 lagi.

Rela

Selain itu, masyarakat Melayu juga berperibadi sanggup atau “rela” berbuat sesuatu sekiranya disuruh oleh orang yang dikenalinya. Kerelaan orang Melayu ini ada kalanya mengorbankan nyawa demi sebuah persahabatan atau perlindungan. Dalam kajian ini, kata kunci “rela” dikenal pasti melalui tindakan Munsyi Abdullah yang sanggup memberikan syair tentang kebakaran besar di Kampung Gelam yang telah dikarangnya kepada E.Dulaurier. Kenyataan ini dikesan melalui petikan berikut, “Maka adalah suatu

Hormat

Istilah “hormat” menurut Kamus Dewan Edisi Keempat Cetakan Pertama (2015: 544) dikaitkan dengan pandangan yang tinggi terhadap seseorang dengan memberikan layanan yang penuh sopan. Sifat mahmudah ini harus ada dalam diri setiap orang muslim yang beriman kepada Allah Subhanahu Wa Taala (SWT). Antara contoh sifat “hormat” itu ialah memberikan layanan mesra dan sopan kepada orang lain, saling bekerjasama, saling menghargai budi serta jasa antara satu sama lain. Oleh itu, sifat mulia ini perlu menjadi amalan semua masyarakat untuk memperkukuh hubungan baik dalam komuniti mahupun negara.

Keperibadian masyarakat Melayu tradisional yang menggambarkan sifat “hormat”, yang dikaitkan dengan frasa dalam warkah kajian adalah seperti berikut, “…suatupun tiada tanda hayat kepada sahabat kita, hanyalah kirim tabi' jua adanya.” Frasa ini menjelaskan bahawa masyarakat Melayu menekankan sifat hormat menghormati dan hubungan baik dengan semua orang. Hubungan yang dimaksudkan bukan sahaja secara bersemuka malahan melalui medium perantara sekalipun. Dalam frasa tersebut misalnya, kata-kata dalam penutup warkah itu menjelaskan perihal pandangan tinggi Sultan Brunei terhadap Raja Sarawak. Baginda mengakhiri warkahnya dengan penuh sopan dan memberikan perhormatan demi memperkukuh hubungan antara kedua-dua belah pihak. Oleh itu, istilah “hormat” merujuk kepada tindakan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu tradisional dalam membentuk hubungan yang baik dan membina bangsa yang beretika.

Memuliakan

Frasa yang menunjangi teras HBM dalam warkah kajian yang menjelaskan ciri “memuliakan” adalah seperti yang berikut:

...inilah warkat ikhlas wa tuhfat ajnas yang terbit daripada fuad al-zakiat yang amat hening dan jernih yang tiada menaruh syak dan waham di dalamnya selagi ada peridaran m-d-a-m-r-y-d-r nur al-shams nur

wa-al-qamar perkitaran malam dan siang yang tiada menaruh lupa dan

lalai barang sesaat thabit juga atas sentiasa selama2nya 'ala

al-dawam...

(Warkah Datuk Bendahara Pahang kepada E.A.Blundell, 14 Ramadan 1272 [20 Mei 1856])

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat Cetakan Pertama (2015: 1052), istilah “memuliakan” bermaksud tinggi (kedudukan, pangkat, martabat), luhur, terhormat, dan tertinggi. Sifat memuliakan ini bukan sahaja ditujukan kepada Raja atau Sultan, malah masyarakat Melayu tradisional turut menghormati serta memuliakan masyarakat biasa. Malah, dalam konteks kehidupan masyarakat Melayu tradisional seperti yang digambarkan dalam frasa di atas, ternyata Datuk Bendahara Pahang dengan lurus hati menyatakan keikhlasannya mengutus warkah kepada E.A.Blundell tanpa sebarang perasaan buruk sangka, malah melahirkan rasa ingatan yang berpanjangan terhadapnya. Hal ini bersesuaian dengan kehidupan masyarakat Melayu zaman tersebut yang sentiasa memandang tinggi kepada bangsa lain agar martabat bangsanya lebih terpelihara dan dipandang mulia. Ringkasnya, istilah “memuliakan” yang dihuraikan melalui frasa ini yang menjelaskan konsep “tulus” adalah selaras dengan peradaban masyarakat Melayu tradisional yang „jujur‟ dalam setiap tindak tanduk kehidupan.

Sanjungan

...amat bangsawan dan dermawan setiawan daripada pihak melakukan atas jalan kasih-berkasihan dan berjina2kan pada segala sahabat handai taulannya jauh dan dekat, maka termasyhurlah warta ihsannya...

(Warkah Datuk Bendahara Pahang kepada E.A.Blundell, 14 Ramadan 1272 [20 Mei 1856])

Frasa di atas menjelaskan perihal salah satu lagi keperibadian masyarakat Melayu tradisional, yang menunjangi teras HBM dalam warkah yang dikaji. Frasa ini menghuraikan sifat menyanjungi orang lain seperti yang diutarakan oleh Datuk Bendahara Pahang itu. Baginda memandang tinggi kepemimpinan E. A. Blundell, Gabenor Negeri-negeri Selat pada masa itu dengan memuji-muji sikap dermawan serta setiakawan beliau yang masyhur ke seluruh kepulauan Melayu.

Istilah “sanjungan” menurut Kamus Dewan Edisi Keempat Cetakan Pertama (2015: 1389) ialah penghormatan dan pujian kepada seseorang atas sesuatu pencapaian atau kebolehan yang dimilikinya. Kata-kata berupa pujian ini adakalanya bersifat prejudis dan ada niat lain di sebalik sanjungan yang diberikan. Walau apapun niat seseorang, namun memberikan penghargaan merupakan suatu amalan yang mulia dan dapat mempererat hubungan. Jelasnya, sifat “sanjungan” seperti yang digambarkan dalam frasa HBM di atas merujuk kepada keperibadian masyarakat Melayu tradisional yang saling memberikan penghormatan serta pujian kepada orang lain.

Sangka Baik

“Sangka baik” merupakan salah satu sifat yang perlu ada dalam diri setiap manusia. Sifat mulia ini sangat dituntut dalam Islam kerana bersangka baik terhadap orang lain atau atas segala kejadian adalah mulia dan dapat mengelakkan perpecahan sesama masyarakat. Dalam frasa yang menunjangi HBM dalam WMT juga ada dijelaskan kata kunci ini, yang menjadi sebahagian amalan masyarakat Melayu tradisional. Frasa tersebut ialah, “…janganlah sahabat kita sangkakan kejahatan halnya, semata2 kebajikan

memuaskan hati. Selaras dengan ungkapan “sangka baik” seperti dalam frasa di atas, kata kunci ini dapat mencerminkan keperibadian masyarakat Melayu. Kehadirannya bersesuaian dengan pembentukan nilai masyarakat tersebut yang sentiasa memandang positif terhadap orang lain demi kesejahteraan sejagat.

Bangga dan Suka

Seterusnya, frasa yang dikenal pasti menunjangi HBM yang menjelaskan perihal sifat “bangga” dan “suka” masyarakat Melayu terkandung dalam warkah daripada Sultan Perak kepada O. Cavenagh yang berbunyi, “Maka sangatlah beta menanggung kesukaan oleh mendengar sahabat menjadi Gunur yang tiga buah negeri…”. Sultan Perak melahirkan rasa “bangga” dan “suka” hatinya setelah mendapat perkhabaran yang O. Cavenagh akan mengambil alih jawatan sebagai Gabenor Negeri-negeri Selat. Keperibadiaan mulia raja Melayu yang menghargai orang lain telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Melayu. Selain untuk mengeratkan hubungan, sifat saling membanggai dan gembira dengan pencapaian pembesar lain adalah sebagai tanda sokongan dan perlindungan.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat Cetakan Pertama (2015: 121, 1534) “bangga” bermaksud besar hati, dan “suka” bererti girang hati. Dalam konteks kajian ini, kata kunci “bangga” dan “suka” ini bolehlah dihuraikan sebagai keperibadian mulia yang ditunjukkan oleh raja Melayu, yang saling besar hati dan girang dengan pencapaian pembesar lain. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa sifat mulia ini telah membentuk keperibadian masyarakat Melayu dan mengangkat martabatnya di mata pihak Inggeris.

Kagum

“Kagum” menurut Kamus Dewan Edisi Keempat Cetakan Pertama (2015: 654) bermaksud takjub atau berasa amat sangat tertarik melihat sesuatu yang luar biasa. Perasaan kagum ini boleh diluahkan melalui kata-kata baik secara lisan mahupun bertulis, dan juga melalui ekspresi mimik muka. Kagum ini boleh melibatkan ketakjuban terhadap sesuatu objek yang diperhatikan atau keperibadian seseorang.

Dalam konteks kajian ini, “kagum” yang dimaksudkan ialah keperibadian seorang pemerintah seperti dalam frasa berikut,“…yang sangat arif lagi beriman bijaksana pada hal melakukan atas jalan berkasih-kasihan dan bertolong-bertolongan dengan segala sahabat handai taulannya…”. Dalam frasa ini, terserlah sifat “kagum” di hati Sultan Umar dari Terengganu atas kemampuan O. Cavenagh menjalinkan hubungan baik dengan negeri-negeri Melayu hingga mampu memberikan bantuan serta pertolongan.

Hubungan baik itu juga telah menjadikan Gabenor Negeri-negeri Selat tersebut kian dihormati dan masyhur di kepulauan Melayu pada waktu itu.

Ringkasnya, pengintepretasian perkataan “kagum” yang dikenal pasti sebagai kata kunci dalam HBM yang mengelilingi kata fokus “tulus” membuktikan bahawa sifat mengagumi kebolehan dan pencapaian orang lain wujud dalam masyarakat Melayu tradisional. Keadaan ini menjelaskan bahawa masyarakat Melayu tradisional merupakan bangsa yang berperadaban tinggi.

Ingatan yang Berpanjangan

Seterusnya, frasa yang menunjangi HBM yang menjelaskan bahawa sifat masyarakat Melayu tradisional, khususnya Raja Melayu yang sentiasa memupuk rasa kasih sayang dan ingatan yang berkekalan adalah seperti yang berikut:

Ini surat tulis dan ikhlas kasih sayang yang tiada berkesudahan… (Warkah Raja Muda Patani kepada W.W. Skeat,

27 Muharam 1317 [7 Jun 1899])

Sifat sentiasa menghargai orang lain dan menanamkan rasa “ingatan yang berpanjangan” terhadap seseorang atau sesuatu perkara sememangnya sinonim dengan masyarakat Melayu. Masakan tidak, dengan ingatan yang berkekalan jugalah perkara negatif dan sikap dendam sentiasa bersarang di benak orang Melayu. Namun, dalam konteks kajian ini, “ingatan yang berpanjangan” yang dimaksudkan merupakan sesuatu yang terbit dalam fikiran seorang Raja Melayu terhadap sahabatnya, seorang pemerintah Inggeris.

“Ingatan” menurut Kamus Dewan Edisi Keempat Cetakan Pertama (2015: 578, 1134) ialah sesuatu yang diingati dan timbul dalam fikiran. Manakala “berpanjangan”, ialah berlanjutan, tidak berkeputusan, atau berterus-terusan. Sehubungan itu, “ingatan yang berpanjangan” seperti yang dinyatakan dalam frasa ini merujuk kepada nilai mulia raja Melayu yang tidak mudah melupakan orang lain. Ingatan yang tidak berkeputusan ini juga membuktikan bahawa masyarakat Melayu kaya dengan nilai hormat dan kasih sayang sesama manusia.

RANGKAIAN KESATUAN MAKNA DAN MEDAN SEMANTIK HATI BUDI

Dalam dokumen VOL. 4 (2) NOV. 2017 (Halaman 135-140)