• Tidak ada hasil yang ditemukan

Tumpuan pada Diakritik Vokal Berbanding dengan Aksara Lain

Dalam dokumen VOL. 4 (2) NOV. 2017 (Halaman 30-36)

DAPATAN KAJIANDAN PERBINCANGAN

2. Tumpuan pada Diakritik Vokal Berbanding dengan Aksara Lain

Peratusan purata Total Contact Time bagi kedua-dua diakritik dalam kedua-dua kaedah ejaan dinilai. Bagi Kaedah 2, peratusannya ialah 10.82%. Ujian Sampel Berpasangan menunjukkan bahawa perbezaan peratusan antara kedua-dua diakritik dan ROI lain adalah signifikan, t(17)=27.50, p<.001. Bagi Kaedah 4, peratusannya ialah 12.445. Ujian Sampel Berpasangan menunjukkan bahawa perbezaan antara peratusan bagi kedua-dua diakritik dan ROI yang lain adalah berbeza dengan siginifikan, t(17)=18.44, p<.001. Ini dengan jelas menunjukkan bahawa masa yang diambil oleh responden untuk melihat diakritik Jawi adalah tidak sampai 13% daripadaTotal Contact Time bagi keseluruhan perkataan.

Analisis ke atas pelbagai ROI bagi semua perkataan menunjukkan, secara purata, responden melihat semua aksara apabila diminta membaca Jawi dalam keempat-empat kaedah ejaan. Total Contact Time yang paling panjang adalah untuk ejaan Kaedah 1 (Purata 317.91ms) sementara Total Contact Time yang paling singkat adalah untuk Kaedah 4 (Purata 7.33ms). Jadual 3 menunjukkan purata Total Contact Time bagi keempat-empat kaedah ejaan.

JADUAL 3

Total Contact Time (TCT) yang paling panjang dan yang paling singkat bagi semua kaedah ejaan

Kaedah 1 Kaedah 2 Kaedah 3 Kaedah 4

Paling Panjang Paling Singkat Paling Panjang Paling Singkat Paling Panjang Paling Singkat Paling Panjang Paling Singkat Jumlah TCT 5722.39 879.58 3820.05 160.05 3806.40 539.36 3540.90 131.93 Purata 317.91 49.87 212.22 8.89 211.47 32.96 196.72 7.33

Memandangkan objektif kajian ini adalah untuk melihat sama ada diakritik vokal adalah benar-benar “gangguan persepsi” atau tidak, seperti yang dinyatakan oleh penyelidik terdahulu, yang menjalankan kajian ke atas tulisan bahasa Arab, fokus kajian ini ditumpukan terus kepada Keadaan 2 (perkataan dua suku kata bahasa Melayu dengan penambahan diakritik vokal kepada kedua-dua suku kata), dan Keadaan 4 (dua suku kata seperti Kaedah 3, tetapi dengan diakritik vokal untuk menggantikan huruf vokal).

Bagi Kaedah 2, daripada 18 stimulus yang dipersembahkan kepada responden, hanya 7 mempunyai aksara yang lain daripada diakritik vokal sebagai Total Contact

Time yang paling singkat. Semua 11 stimulus yang lain ialah diakritik yang mewakili

vokal rendah di hadapan /a/ (8 perkataan), atau diakritik yang mewakili vokal tinggi di hadapan /i/ (2 perkataan), atau diakritik yang mewakili vokal tinggi di belakang /u/ (1 perkataan).

Bagi Kaedah 4, daripada 18 stimulus yang dipersembahkan kepada responden, hanya 3 yang mempunyai aksara yang lain daripada diakritik vokal sebagai Total

Contact Time yang paling singkat. Semua 15 stimulus lain merupakan diakritik yang

mewakili sama ada vokal rendahdi hadapan /a/ (10 perkataan), atau vokal tinggi di hadapan /i/ (4 perkataan), atau vokal tinggi di belakang /u/ (1 perkataan).

Kajian ini menunjukkan dapatan tentang proses membaca tulisanJawi yang tidak dapat dikenal pasti dalam kajian terdahulu. Salehuddin dan Winskel (2014a) misalnya,

menunjukkan bahawa walaupun diakritik vokal dalam tulisan Jawi meningkatkan ketepatan dalam proses membaca tulisan tersebut, dapatan kepantasan menunjukkan bahawa responden mengambil masa yang lebih panjang untuk membaca tulisan Jawi. Ini mencadangkan bahawa diakritik vokal dalam ejaan Jawi mengambil masa yang lebih panjang untuk diproses. Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada penambahan diakritik vokal pada sistem ejaan Jawi yang sedia ada akan mengakibatkan penambahan dari segi masa yang diperlukan untuk membaca tulisan tersebut atau tidak, memandangkan diakritik vokal dianggap sebagai “gangguan persepsi” dalam pembacaan tulisan bahasa Arab (contohnya, Roman & Pavard, 1987).

Total Contact Time dalam bacaan Jawi menunjukkan bahawa kajian ini

sebenarnya melengkapkan dapatan daripada eksperimen ke atas proses bacaan Jawi terdahulu yang menggunakan perisian DMDX. Total Contact Time dalam kajian ini menunjukkan bahawa responden mengambil masa yang paling panjang untuk membaca Jawi dalam sistem ejaan yang sedia ada, dan masa yang diambil ialah secara signifikannya lebih panjang daripada ketiga-tiga kaedah ejaan yang lain. Penambahan diakritik vokal, dan/atau penambahan huruf vokal (pada suku kata ejaan Jawi sedia ada yang tidak mempunyai huruf vokal) telah memendekkan Total Contact Time. Ini mencadangkan bahawa transformasi ke atas sistem ejaan Jawi yang sedia ada mampu mengurangkan kerumitan dalam proses membaca Jawi.

Daripada ketiga-tiga kaedah ejaan, Kaedah 4, iaitu kaedah yang melibatkan penyingkiran huruf vokal daripada setiap suku kata dan penambahan diakritik vokal dalam setiap suku kata, mempunyai Total Contact Time yang paling singkat. Ini mencadangkan bahawa proses yang diambil untuk membaca Jawi akan berkurangan apabila huruf vokal disingkirkan daripada satu-satu suku kata. Diakritik vokal dalam Jawi sebenarnya telah membantu proses membaca Jawi, dengan mengurangkan kerumitan dalam proses membaca Jawi. Dapatan ini adalah amat berbeza dengan dapatan daripada kajian penjejakan mata dalam bacaan bahasa Arab.

Walaupun pembacaan Jawi dalam Kaedah 2 dan 3 ialah secara signifikannya lebih pantas daripada Kaedah 1, dan sebaliknya, adalah secara signifikannya lebih perlahan daripada Kaedah 4, proses pembacaan antara Kaedah 2 dengan 3 adalah tidak berbeza antara satu dengan yang lain. Ini mungkin kerana penggunaan diakritik vokal dan huruf vokal yang ditambah kepada sistem ejaan Jawi yang sedia ada memainkan peranan yang sama, iaitu membantu responden membuat keputusan tentang bunyi vokal yang manakah yang perlu digunakan bersama-sama huruf konsonan dalam suku kata tersebut. Total

Contact Time bagi Kaedah 4 adalah yang paling singkat kerana dengan penyingkiran

huruf vokal daripada ejaan yang sedia ada, bilangan aksara yang responden perlu lihat dalam satu-satu perkataan akan berkurangan.

Mungkin ada yang mempertikaikan bahawa Total Contact Time mungkin dipengaruhi oleh cara susunan perkataan Jawi itu dipersembahkan kepada pembacanya. Ini kerana perkataan dalam Kaedah 1 dipersembahkan yang paling awal, dan hanya selepas itu, perkataan dalam ejaan Kaedah 2, 3, dan 4 (dalam turutan tersebut), dipersembahkan kepada responden. Walau bagaimanapun, susunan persembahan tidak patut dipertikaikan kerana bentuk perkataan tersebut, secara keseluruhannya adalah amat berlainan dalam keempat-empat kaedah ejaan. Bentuk huruf bahasa Arab amat bergantung kepada konteks kedudukan mereka (Abu-Arabia, 2002). Jadi, bentuk huruf secara individunya akan bertukar dengan penambahan atau penyingkiran huruf vokal dalam kaedah ejaan yang berlainan.

Dapatan kajian ini memberikan perspektif yang berlainan daripada apa yang diperoleh daripada kajian Salehuddin dan Winskel (2014a, b) yang mendapati bahawa kadar masa tindak balas yang lebih perlahan apabila diakritik vokal hadir dalam tulisan Jawi. Sebaliknya, dalam kajian ini, Total Contact Time bagi stimulus adalah yang paling singkat apabila diakritik vokal hadir. Perbezaan ini sebenarnya disebabkan oleh cara data kajian ini diperoleh. Data yang diperoleh dalam Salehuddin dan Winskel (2014a, b) adalah dalam bentuk “tindak balas masa” apabila bermulanya ujaran. Sebaliknya, dalam kajian ini, data diperoleh berdasarkan Total Contact Time yang responden ambil dalam proses membaca tersebut, dan bukannya “tindak balas masa”.

Selain itu, perbezaan dalam apa yang responden perlu lakukan dalam eksperimen tersebut turut mempengaruhi dapatan. Tidak seperti dalam kajian ini, responden diminta membaca perkataan yang dilihat mereka hanya dalam hati (tanpa menggerakkan mulut mereka). Dalam kajian Salehuddin dan Winskel (2014a, b), responden dikehendaki menyebut dengan betul perkataan yang dibaca oleh mereka. Menurut Salehuddin dan Winskel (2014a, b), ejaan Jawi yang mempunyai diakritik vocal mirip tulisan dalam kitab suci al-Quran. Ayat suci al-Quran wajib dibaca (disebut) dengan cermat dan secara jelas (al-Quran, 73:4). Oleh itu, apabila responden diminta membaca tulisan Jawi yang dieja dengan diakritik vokal dengan bersuara, pengalaman mereka membaca al-Quran sebelum ini mungkin mempengaruhi cara mereka membaca tulisan Jawi tersebut. Sebaliknya, dalam kajian ini, responden tidak dibenarkan membaca dengan bersuara, atau menggerakkan mulut mereka apabila membaca perkataan yang terpapar pada skrin komputer riba mereka. Mereka hanya dibenarkan membaca perkataan tersebut “dalam hati”. Oleh sebab tidak ada keperluan untuk responden membaca dengan berhati-hati apa-apa yang dibaca mereka, maka masa yang diambil untuk membaca dalam eksperimen ini adalah lebih singkat. Dapatan yang dikumpulkan daripada kajian ini menunjukkan apa yang sebenarnya berlaku dalam kognisi pembaca apabila mereka membaca, sedangkan dalam Salehuddin dan Winskel (2014a, b), dapatannya menunjukkan masa yang diperlukan mereka untuk mengujarkan perkataan tersebut.

Bacaan responden yang tidak tepat dalam proses membaca “dalam hati” tidak dapat diketahui dalam eksperimen ini kerana responden tidak dibenarkan membaca dengan kuat perkataan yang terpapar di atas skrin komputer riba. Namun, ini tidak menjadi satu halangan kerana kajian ini bertujuan untuk menyelidik kawasan mana yang responden berikan tumpuan ketika membaca. Ini jelas menunjukkan bahawa pembacaan yang tepat atau sebaliknya tidak perlu menjadi pemboleh ubah dalam eksperimen ini.

Proses membaca Jawi dan proses membaca teks dalam bahasa Arab, seperti yang disebut oleh Salehuddin (2012) ialah dua proses yang berlainan dan kajian ini menunjukkan bahawa dari segi penggunaan diakritik vokal, kesannya berbeza. Jawi, dengan kehadiran diakritik vokal, membantu responden bukan sahaja dalam meningkatkan ketepatan, tetapi juga dalam Total Contact Time. Diakritik vokal membantu responden menggunakan masa yang lebih singkat untuk memproses perkataan.Walaupun masa yang diambil untuk memulakan bacaan adalah lambat, masa yang diperlukan untuk memproses bacaan secara keseluruhannya berjaya dikurangkan.

KESIMPULAN

Kajian ini menunjukkan bahawa kerumitan dalam proses membaca Jawi boleh dikurangkan apabila transformasi, terutamanya dengan penambahan diakritik vokal, dilakukan ke atas ejaan Jawi yang sedia ada. Jika kerumitan dalam proses membaca Jawi dapat dikurangkan, ada kemungkinan yang pembaca akan lebih bermotivasi untuk membaca bahan bacaan yang ditulis dalam tulisan Jawi. Tulisan Jawi akan selama-lamanya dipinggirkan jika tiada usaha dilakukan untuk mengurangkan kerumitan dalam proses membaca tulisan ini. Jika tiada sebarang bentuk transformasi dilakukan kepada sistem ejaan Jawi yang sedia ada ketika ini, usaha kerajaan untuk mempromosikan tulisan ini yang bernilai jutaan ringgit tidak akan tercapai,malah, Jawi akhirnya akan tinggal menjadi “warisan negara” semata-mata.

BIBLIOGRAFI

Abu-Rabia S. (2002). Reading in a root-based-morphology language: the case of Arabic Journal of Research in Reading, 25(3), 299-309.

Al-Qur‟an, 73:4.

Ashby, J., Treiman, R., Kessler, B., & Rayner, K. (2006). Vowel processing during silent reading: Evidence from eye movements. Journal of Experimental Psychology: Learning, Memory,

and Cognition, 32, 416-424.

Chahine, N. (2012). Reading Arabic: Legibility studies for the Arabic script. Faculty of the Humanities, Leiden University.

Dewan Bahasa dan Pustaka Korpus Buku dan Majalah.

http://sbmb.dbp.gov.my/korpusdbp/Researchers/Search2.aspx

Forster, K. I. & Forster, J. C. (2003). DMDX: A windows display program with millisecond accuracy. Behavior Research Methods, Instruments & Computers, 35, 116-124

Holmqvist, K., Nyström, M., Andersson, R., Dewhurst, R., Jarodzka, H., & van de Weijer, J. (2011). Eye Tracking – A comprehensive guide to methods and measures. Offord: Oxford University Press

Reichle, E. D. & Laurent, P. A. (2006). Using reinforcement learning to understand the emergence of “intelligent” eye-movement behavior during reading. Psychological Review,

113, 390-408.

Roman, G., & Pavard, B. (1987). A comparative study: How we read Arabic and French. In J. K. O‟Regan & A. Levy-Schoen (Eds.). Eye Movements: From Physiology to Cognition (pp. 431-440). Amsterdam: North Holland Elsevier.

Salehuddin, K. & Winskel, H. (2014a). Reducing the cognitive complexity in reading the Arabic script of written Malay via diacritics. Procedia – Social and Behavioral Sciences,114, 40-44. (4th World Conference on Psychology, Counselling and Guidance – WCPCG-2013).

Salehuddin, K. & Winskel, H. (2014b). How do Arab speakers cognitively process Malay in the Arabic script? Procedia – Social and Behavioral Sciences, 118, 222-228. (SoLLs.INTEC.13: International Conference on Knowledge-Innovation-Excellence: Synergy in Language Research and Practice).

Salehuddin, K. & Winskel, H. (2015a). Using Diacritics in the Arabic script of Malay to Scaffold Arab Postgraduate Students in Reading Malay Words. Malaysian Journal of Learning and

Instruction, 12, 69-83.

Salehuddin, K. & Winskel, H. (2015b). Experimenting different Jawi spelling conditions to gauge their cognitive complexity. GEMA Online Journal, 15(2), 51-63.

Salehuddin, K. (2012). Penilaian ke atas kerumitan kognitif dalam proses membaca Jawi (Evaluating the cognitive complexity in the process of reading Jawi). GEMA Online Journal

of Language Studies, 12(4), 1181-1194.

Salehuddin, K. (2013). Arabic script of written Malay: Innovative transformations towards a less complex reading process. Pertanika Journal of Social Sciences and Humanities, 21(S), 63-76. Schall, A. & Bergstrom, J.R. (2014). Introduction to eye tracking. In Bergstrom, J.R. & Schall, A.

(Eds.). Eye tracking in user experience design (pp. 3-26). Amsterdam: Morgan Kaufmann.

PENGHARGAAN

Penulis-penulis ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia atas pemberian dana ERGS1/2011/SSI/UKM/02/5 untuk menjalankan kajian

MAHAWANGSA 4 (2): 217 – 227 (2017)

MAHAWANGSA

Laman sesawang: http://www.mahawangsa.upm.edu.my/

Penggunaan Bahasa dalam Bahan Perhubungan Media di

Dalam dokumen VOL. 4 (2) NOV. 2017 (Halaman 30-36)