4.2 Analisis Nilai-Nilai Islam dalam Pantun Utara KKMS
4.2.1 Penemuan Nilai Islam dalam Aspek Kepercayaan
Aspek kepercayaan dalam kajian ini merujuk kepada pegangan akidah yang mentauhidkan Allah SWT. Aspek kepercayaan ini boleh dipecahkan kepada nilai-nilai yang terdiri daripada keimanan, kesabaran, kesyukuran, tawakal, qada’ dan qadar, ujian, tawakal dan syukur. Islam menuntut penganutnya beriman dengan Rukun Iman iaitu beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitabnya, rasul-rasul, hari akhirat serta qada’ dan qadar. Berdasarkan pantun Utara KKMS terdapat lapan aspek yang ditemui berkaitan dengan aspek kepercayaan seperti berikut:
Jadual 4 : Nilai Islam dalam Aspek Kepercayaan
Bil Nilai Islam Huraian
1. Beriman kepada Allah Mentauhidkan Allah SWT dengan penuh keazaman.
2. Beriman kepada Malaikat
Mempercayai bahawa wujudnya malaikat yang diciptakan oleh Allah SWT.
3. Beriman kepada Rasul Mempercayai rasul diutus sebagai rahmat dan kurniaan.
4. Beriman kepada Hari Akhirat
Mempercayai hari akhirat dan memikirkan tentang akhirat dan keabadiannya.
5. Beriman kepada Qada’
dan Qadar
Perkara yang menimpa seseorang sudah ditakdirkan Allah SWT.
131
6. Ujian Menimbulkan rasa insaf membersihkan
diri untuk kesempurnaan iman.
7. Tawakal Melakukan kerja sungguh-sungguh
kemudian bertawakal (berserah) kepada Allah SWT.
8. Syukur Memerhati nikmat Allah SWT dan terus menerus bersyukur.
4.2.1.1 Beriman kepada Allah
Rukun Iman merupakan pegangan hidup orang Islam dan menjadikan asas panduan dalam kehidupan sehari-harian. Rasulullah SAW ketika baginda ditanya oleh Malaikat Jibril mengenai Iman yang mafhumnya: “Iman itu ialah bahawa engkau percaya kepada Allah, para malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya, hari kiamat dan bahawa engkau percaya qadar baik dan buruk”. (HR Muslim. Dr. Jamal Ahmed Badi, 2001:9-10). Hal ini telah dinyatakan dalam pantun Utara KKMS berikut:
Bukit Kalong jalan ke Kedah, Tempat orang menumpang lalu;
Minta tolong kepada Allah, Nak ambil juga pelepas malu.
(Pantun 2481, KKMS 1990)
Dalam konteks pantun di atas, pertolongan Allah SWT yang dimaksudkan ialah keluar daripada perasaan malu. Istilah ‘malu’ dalam Melayu merupakan sebuah emosi, penyataan atau situasi yang dialami akibat daripada perbuatan yang dilakukan sebelum atau kemudian yang ingin ditutupi kerana takut dicela. Manusia yang berada dalam masalah atau ujian, penggantungannya hanyalah kepada Allah SWT.
132
“Dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya hanya kaum yang kafir sahaja yang berputus asa daripada rahmat Allah."
(Yusuf, 12:87).
Pagi hari tumbuk beras, Lepas ditanak lalu dimakan;
Budi tuan tidak terbatas, Berserah saja pada Tuhan.
(Pantun 2810, KKMS 1990)
Pantun ini menjelaskan tentang budi pekerti yang mulia. Hidup di dunia ini mestilah sentiasa berbudi dengan melakukan perbuatan yang baik. Ini kerana amalan yang baik akan menerima ganjarannya di akhirat.
Luputlah siang malam berganti, Tiup api embun berderai, Cahaya terang gelap menjadi; Patah galah haluan perahu;
Tidak disangka sekali-kali, Niat hati tak hendak bercerai, Kesemuanya ialah kehendak Ilahi. Kuasa Allah siapa tahu.
(Pantun 2736, KKMS 1990) (Pantun 2993, KKMS 1990)
Penyataan “Tidak disangka sekali-kali, Kesemuanya ialah kehendak Ilahi”
menggambarkan sesuatu yang terjadi memang tidak dapat diduga dan penerimaan yang terjadi itu adalah kehendak Ilahi. Manusia yang berada pada tahap tersebut, sentiasa kasih kepada Allah SWT melebihi daripada segalanya dengan melazimkan dirinya mengabdi dan mengikat jiwa kepada PenciptaNya (Shuhairimi Abdullah, 2009:49). Seperti mana firman Allah SWT :
133
“Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: “Jadilah engkau!”. Maka ia terus menjadi. Oleh itu, Maha Suci Tuhan Yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan”
(Yasin, 36:82-83).
“Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam”. (Al-Fatihah, 1:2)
4.2.1.2 Beriman kepada Malaikat
Terdapat juga pantun Utara KKMS yang menyentuh kepercayaan kewujudan malaikat, seperti berikut:
Bukit Jertih berhutan buluh, Tempat raja pergi memburu;
Minta selisih malaikat empat puluh, Jangan saya diberi malu.
(Pantun 2480, KKMS 1990)
Ungkapan “minta selisih malaikat empat puluh, Jangan saya diberi malu”
menjelaskan tentang perasaan malu kepada malaikat yang mungkin melihat dan mencatat sesuatu perbuatan terutamanya yang tidak elok atau berdosa. Firman Allah SWT : perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan Yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat yang sentiasa sedia (mencatatnya)”. (Qaf, 50 :17-18)
134
‘Malaikat 40’ merujuk kepada kepercayaan Melayu kepada angka 40. Menurut Asmah Haji Omar (1993:203) dalam kebudayaan Melayu, bilangan empat dikaitkan dengan empat buah kitab suci, empat orang khalifah dan empat mazhab. (Asmah Haji Omar, 1993:202) 10 merupakan bilangan yang unggul dalam peringkat tamadun Melayu yang awal. Ia juga dihubungkan dengan 10 jari dan sebagainya. Angka 10 dikaitkan dengan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam. Hari Raya Haji (10 Zulhijah) dan Asyura (10 Muharam). Asmah Haji Omar (1993:204-205) bilangan 40 boleh dilihat sebagai pendaraban 10 kepada empat atau sebaliknya. Kedua-dua bilangan itu ada makna yang penting bagi orang Melayu Islam.
“Segala puji bagi Allah Yang menciptakan langit dan bumi, Yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap: Dua, tiga dan empat: Dia menambah pada ciptaan-Nya apa jua yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Fathir, 35:1)
“Allah memilih utusan-utusan-Nya daripada malaikat dan daripada manusia.
Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.” (Al Hajj, 22:75)
4.2.1.3 Beriman kepada Rasul
Beriman kepada Rasul dan mengasihi Rasul juga ditemui dalam pantun Utara KKMS.
Nabi Muhammad SAW merupakan nabi dan rasul yang terakhir. Rasul merupakan manusia pilihan Allah SWT yang diangkat sebagai utusan dengan tujuan menyampaikan firman-firman-Nya kepada umat manusia sebagai pedoman hidup.
135
Mengasihi sesama manusia adalah ajaran Islam yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW. Umat Islam disarankan untuk mengasihi Rasulullah SAW.
Inderagiri pasirnya lumat, Tabuh bunyi hari Jumaat, Kerang bercampur dengan lokan; Itu bernama gendang raya;
Bagai nabi kasihkan umat, Bagai nabi kasih umat, Begitu saya kasihkan puan. Begitu juga kasih saya.
(Pantun 2617, KKMS 1990) (Pantun 2943, KKMS 1990) Akar keramat akar bertuah,
Akar bertepuk di gua batu;
Nabi Muhammad cintakan Allah, Di mana tuan masa itu.
(Pantun 2298, KKMS 1990)
Ungkapan “Bagai nabi kasihkan umat”, “Nabi Muhammad cintakan Allah”
menjelaskan bahawa wujudnya seorang insan (nabi) yang mulia disisi Allah SWT.
Istilah Nabi Muhammad SAW adalah simbol kepada segala kemuliaan manusia.
Simbol ini akan mudah timbul dalam fikiran pembaca yang beragama Islam.
Mengasihi nabi dan ajarannya adalah nilai yang amat dituntut dalam Islam. Antara ajarannya ialah mengasihi sesama manusia. Firman Allah SWT :
“Tiadalah Kami mengutuskan engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. (Al-Anbiya’, 21:107)
“Setiap umat mempunyai seorang Rasul (yang diutuskan kepada mereka).
Maka, setelah datang Rasul masing-masing (untuk menyampaikan risalah) maka hukuman pun dijalankan antara mereka dengan adil dan mereka tetap tidak dizalimi”. (Yunus, 10:47)
136 4.2.1.4 Beriman kepada Hari Akhirat
Pantun Utara KKMS juga menerangkan tentang kepercayaan orang Melayu tentang hari kebangkitan semula iaitu alam akhirat dan balasan syurga. Orang Melayu yakin dunia ini hanya sementara kerana alam yang kekal adalah alam akhirat. Lihat dua rangkap pantun Utara KKMS di bawah:
Berapa lebat bunga remia, Kalau tuan pergi ke hulu, Lebat lagi bunga pegaga; Saya kirim buah pelaga;
Betapa hebat pakaian dunia, Kalau tuan mati dahulu, Hebat lagi pakaian syurga. Saya nanti di pintu syurga.
(Pantun 2433, KKMS 1990) (Pantun 2672, KKMS 1990)
Kepercayaan bahawa perhiasan yang disimbolikkan kepada istilah ‘pakaian syurga’
lebih hebat berbanding ‘pakaian dunia’ yang bersifat sementara sahaja. Kehidupan di dunia satu amanah sebelum ke alam kekal abadi, bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Anfal (8:27) :
“Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, serta (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah (yang diserahkan kepada) kamu, sedang kamu mengetahui (dosanya)”.
Kepercayaan mengenai alam akhirat atau balasan syurga ini tergambar dalam pantun Utara KKMS di bawah:
Bunga Cina di dalam taman, Halia ini tanam-tanaman, Sayang keduduk bercabang dua; Di darat jua tumbuhnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman, Dunia ini pinjam-pinjaman, Nak tumpang duduk sehari dua. Akhirat juga akan sungguhnya.
(Pantun 2493, KKMS 1990) (Pantun 2599, KKMS 1990)
Ungkapan “Dunia ini pinjam-pinjaman” menggambarkan kehidupan di dunia ini hanya sementara. Pantun ini menjelaskan tentang hidup di dunia ini hanya sementara
137
dan kehidupan di akhirat adalah kekal abadi. Oleh itu, apabila melakukan sesuatu, kita mestilah memikirkan kebaikan untuk di dunia dan di akhirat. Kehidupan di dunia merupakan permainan dan senda gurau. Ada kalanya menang ada kalanya kalah.
Susah dan senang silih berganti. Senangnya merupakan kesenangan yang menipu, sedihnya merupakan kesengsaraan sementara. Itulah di namakan kehidupan di alam fana. “Äkhirat juga akan sungguhnya”, Sungguh berbeza dengan kehidupan di dunia dan abadi di akhirat nanti. Barangsiapa senang, maka ia akan selamanya senang (Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam golongan ini). Barangsiapa menderita, maka ia akan menderita selamanya (na’udzu billahi min zalik).
“Kamu akan dibangkitkan pada hari kiamat tanpa kasut, telanjang bulat dan tidak dikhatan. Aisyah bertanya, “Ya Rasulullah, lelaki dan perempuan saling melihat (aurat) yang lain?” Nabi SAW menjawab, “Pada saat itu segala urusan sangat dasyat sehingga orang tidak memperhatikan (mengendahkan) hal itu.”
(Mutafaq ‘alaih. Muhammad Faiz Almath, 1993:50)
4.2.1.5 Beriman kepada Qada’ dan Qadar
Nilai beriman kepada qada’ dan qadar juga didapati dalam pantun Utara KKMS seperti pantun di bawah:
Cincin perak di jari manis, Tiada contoh mata dua;
Jangan teriak jangan menangis, Tiada jodoh kita berdua.
(Pantun 2548, KKMS 1990)
Ayat “Tiada jodoh kita berdua” menggambarkan luahan perasaan yang mengakui dan penerimaan atas kepercayaan bahawa jodoh adalah ketentuan Ilahi. Pantun ini menjelaskan, setiap sesuatu kejadian yang berlaku merupakan kehendak dari Allah SWT. Segala hajat yang dipohonkan sama ada berjaya atau tidak sebenarnya
138
mempunyai hikmah di sebalik kejadian itu. Justeru, apa yang diberikan haruslah diterima dengan penuh kerelaan. Dalam Islam sangat jelas bahawa hanya Allah SWT sahaja yang tahu tentang urusan jodoh. Firman Allah dalam surah al-Rum (30:21) :
“Dan antara tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya) bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu hidup bahagia dengannya dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan kasihan belas.Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.”
Belahnya belum bunyinya malam, Bunyi di darat rumah penghulu;
Allah belum menjadikan alam, Barang bersurat dari dahulu.
(Pantun 2429, KKMS 1990)
Pantun ini menggambarkan tentang kekuasaan Allah SWT dalam menjadikan alam.
Allah SWT Maha pentadbir dan segalanya yang berlaku ke atas muka bumi ini adalah ketentuan dan kehendak-Nya. Sekiranya kita renungkan pantun di atas, terdapat isyarat (petunjuk) dalam pantun di atas bahawa Allah SWT telah menentukan apa yang akan terjadi dan bahawa Allah SWT mengulangi penciptaan apa sahaja, tentunya termasuk penciptaan alam semesta juga. Allah SWT berfirman:
“Dan Dialah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Dia mengembalikannya (hidup semula sesudah mereka mati), sedangkan perlaksanaan yang demikian amatlah mudah bagi-Nya. Dan bagi-Nyalah jua sifat yang tertinggi di langit dan di bumi serta Dialah jua yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana” (Ar-Ruum, 30:27).
139
“Allah yang menjadikan bumi sebagai tempat untuk kamu menetap, dan langit sebagai bumbung yang kukuh binaannya”. (Ghafir, 40:64).
Buluh lekung berbunyi malam, Bunyi di atas bumbung penghulu;
Allah belum menjadikan alam, Suratan kita dah terjadi dahulu.
(Pantun 2487, KKMS 1990)
Pantun ini juga mengandungi keterangan tentang takdir antara dua orang insan.
Ungkapan “Suratan kita dah terjadi dahulu” menggambarkan sebuah ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT bagi setiap manusia. Syarak menyatakan hanya Allah SWT tahu akan takdir seseorang iaitu rezeki (kerja dan pendapatannya), ajal maut (umur dan sebab kematian), amalan (ibadahnya) dan kesudahannya (syurga atau neraka).
“Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan).” (Al-Qamar, 54:49)
4.2.1.6 Ujian
Nilai ujian juga terdapat dalam pantun Utara KKMS. Umat Islam wajib mempercayai bahawa setiap hamba Allah SWT akan diuji, sebagai umat Islam yang beriman kita akan redha terhadap setiap ujian atau musibah yang menimpa dan bersabar dalam menempuhinya.
Beras dibawa dalam negeri, Anak udang dalam perahu;
Emas perak boleh diuji, Hati orang siapa yang tahu.
(Pantun 2434, KKMS 1990)
140
Ungkapan “Emas perak boleh diuji, Hati orang siapa yang tahu” menggambarkan benda seperti emas dan perak ialah sesuatu yang dapat dinilai melalui ujian-ujian tertentu untuk mengetahui kesahihannya. Tetapi hati manusia sesuatu yang sukar untuk diramal kerana apa yang terpancar luaran belum tentu mencerminkan apa yang ada di dalam hati.
Ujian sudah menjadi sahabat dalam kehidupan seharian kita. Dalam al-Quran, Allah SWT telah berfirman :
“Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, ‘kami beriman’, sedangkan mereka belum diuji? (bagi membuktikan keimanan mereka). Sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang sebenar-benarnya beriman dan Dia juga mengetahui orang yang berdusta” (Al-Ankabut, 29 : 2-3).
Manusia sebagai makhluk tidak berupaya untuk mengetahui isi hati seseorang. Apa yang dilihat di luar, belum tentu itu mencerminkan apa yang terkandung di dalam hatinya. Hanya Allah SWT dan diri kita sahaja yang mengetahui dalam hati dan hanya Allah SWT sahaja tempat kita mengembalikan semua rasa di dalam hati. Firman Allah SWT dalam surah at-Taghabun (64:4) :
Mengetahui segala( isi hati) yang terkandung di dalam dada”.
141 Memukul itik di tepi kota,
Mari dikayuh sampan pengail;
Iman khatib lagi berdosa, Bertambah lagi kita yang jahil.
(Pantun 2749, KKMS 1990)
Dalam pantun di atas pula menjelaskan tentang dosa pahala perbuatan umat Islam di dunia ini. Umat Islam haruslah sedar bahawa setiap perkara yang dilakukan ada ganjaran pahala serta balasan dosa dari Allah SWT. Dalam rangkap maksud “Iman khatib lagi berdosa, Bertambah lagi kita yang jahil” bermaksud ujian Allah SWT tidak mengira darjat dan status agama seseorang sehingga dikatakan andai orang yang tinggi agama seperti ‘khatib’, masih boleh terjerumus membuat dosa, tambahan pula orang yang jahil. Khatib adalah individu yang ditugaskan membaca khutbah Jumaat, biasanya khatib adalah individu yang tinggi pengetahuan agamanya. ‘Jahil’ pula bermaksud tiada ilmu pengetahuan tentang keagamaan. Dosa dan pahala ini telah ditetapkan oleh Allah SWT. Umat Islam hendaklah patuh dan taat kepada perintah Allah SWT bagi menjamin kehidupan di dunia dan di akhirat kelak.
“Sesungguhnya Kami tetap menguji kamu (Wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang yang berjuang daripada kalangan kamu dan orang yang sabar (dalam menjalankan perintah kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.” (Muhammad, 47:31)
142 4.2.1.7 Tawakal
Pantun Utara KKMS juga mengetengahkan nilai tawakal. Sebagai hamba Allah SWT, umat manusia disaran berserah dan bertawakal dengan yakin segala ketentuan oleh Allah SWT. Lihat pantun seperti di bawah:
Sayang kepayang tumbuh di batu, Buluh hutan dibelah-belah;
Kasih dan sayang boleh ditentu, Jodoh dan pertemuan di tangan Allah.
(Pantun 2909, KKMS 1990)
Ungkapan, “Kasih sayang boleh ditentu, Jodoh dan pertemuan di tangan Allah””
menjelaskan kasih sayang sesama manusia boleh diusahakan namun berkekalan kasih sayang itu hingga ke perkahwinan ditentukan oleh Allah SWT. Usaha berada dalam batas kemampuan manusia sedangkan yang di luar batas kemampuan manusia itu diserahkan dan bertawakal kepada Allah SWT. Pantun Utara KKMS ini ingin memberitahu khalayak betapa dalam melakukan sesuatu pekerjaan itu hendaklah berusaha bersungguh-sungguh di samping berserah dan bertawakal kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Kepada Allah jualah kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang beriman.” (Al-Ma’idah, 5:23)
“....kemudian apabila Engkau telah berazam (Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah SWT, Sesungguhnya Allah SWT mencintai orang-orang Yang bertawakal kepadaNya”. (Ali-Imran, 3: 159)
143 4.2.1.8 Syukur
Analisa dalam pantun Utara KKMS juga menemui konsep nilai syukur seperti rangkap di bawah:
Ada yang datang waktu petang, Ada yang datang pakai kereta;
Tuahlah badan mendapat gelang, Mendapat cincin berbatu pula.
(Pantun 2292, KKMS 1990)
Perasaan syukur tergambar dalam pantun Utara KKMS di atas melalui ungkapan
“Tuahlah badan mendapat gelang, Mendapat cincin berbatu pula”. Istilah ‘Tuahlah badan’ bermaksud untung nasib seseorang. Perasaan orang yang mendapat sesuatu kebaikan atau nikmat adalah suka dan senang. Bertepatan dengan lumrah manusia apabila mendapat sesuatu kebaikan atau nikmat, pasti akan terbit naluri memanjatkan kesyukuran kepada pemberi nikmat tersebut. Firman Allah SWT :
“Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi syariat-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)”. (Al-Baqarah, 2:152)
Dari teluk pergi ke pecan,
Singgah bermalam di Batu Lima;
Sekalian makhluk Tuhan jadikan, Kaya miskin dipandang sama.
(Pantun 2569, KKMS 1990)
Ungkapan “Sekalian makhluk Tuhan jadikan, Kaya miskin dipandang sama” adalah pengakuan tentang kekuasaan Allah SWT dalam penciptaan semua makhluk di alam ini serta konsep bersyukur atas segala takdir. Taraf manusia dalam Islam adalah sama, cuma yang berbeza ialah keimanan seseorang itu pada Allah SWT.
144 Anak kerbau mati tertambat,
Mati tertambat di pohon pandan;
Baru sekarang saya mendapat, Terasa nyawa pulang ke badan.
(Pantun 2345, KKMS 1990)
Ungkapan “Baru sekarang saya mendapat, Terasa nyawa pulang ke badan”
menggambarkan rasa bersyukur kepada Allah SWT kerana mendapat sesuatu yang diingini sehingga timbul perasaan seolah-olah menerima semangat baharu dalam kehidupan. Dalam konteks ini, pengarang juga ingin menjelaskan kepada khalayak bahawa Nabi Muhammad SAW menyarankan umat manusia menyatakan rasa syukur terhadap nikmat yang diperoleh dan tidak mengingkari nikmat yang diberikan. Ini menunjukkan salah satu tanda daripada tanda-tanda kesyukuran.
“Yang paling pandai bersyukur kepada Allah adalah orang yang paling pandai bersyukur kepada manusia” (HR Ath Thabrani. Muhammad Faiz Almath, 1993:154)
Bersyukur adalah satu nilai yang dituntut dan diperintahkan oleh Allah SWT dan rasul-Nya dengan dalil-dalil yang antara lainnya seperti berikut:
“Kemudian sesudah itu kami maafkan kesalahan kamu, supaya kamu bersyukur” (Al-Baqarah, 2:52).
Keutamaan bersyukur juga diterangkan dalam Quran surah Ibrahim (14:7), al-Luqman (31:31), ali-Imran (3:45) dan Surah an-Nisa’ (4:147) menyarankan umat manusia menyatakan rasa syukur terhadap nikmat yang diperoleh dan tidak mengingkari nikmat yang diberikan.
145